Pelajar tunggu SPM maut motosikal rempuh van – Bernama


Pelajar tunggu SPM maut motosikal rempuh van

20 Disember 2012

KUANTAN – Seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah van di Batu 3, Jalan Kuantan-Maran dekat Tanah Putih di sini petang semalam.

Muhammad Zaim Mohd Zin, 17, pelajar Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar Kuantan yang memiliki lesen ‘L’ maut di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira 6.35 petang, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim.

“Di tempat kejadian, dipercayai mangsa hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang van dari arah yang sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.- Bernama

Berkat saling kongsi ilmu – Metro


Berkat saling kongsi ilmu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA SELANGOR: Saling berkongsi ilmu dalam mata pelajaran diminati menjadi rahsia kejayaan tiga rakan karib mendapat keputusan cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam.

Luqman Hakim Daim, Alif Asyraf Amin dan Mohamad Aiman Arif Mohamat Saat, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Kuala Selangor memperoleh 8A dalam peperiksaan itu.
Mohamad Aiman yang meminati Matematik berkata, setiap kali mengulang kaji pelajaran mereka saling bertukar maklumat dan memperbaiki subjek lemah.

 

“Kami menggunakan masa sebaiknya untuk memastikan masa berkualiti tidak dipersiakan kerana perlu diselang-selikan dengan tugasan diberi guru.
“Bayangkan jika mengulang kaji seorang diri ia akan menjadi bosan. Sebab itu kami bertiga saling bertukar maklumat dalam mata pelajaran diminati dan sentiasa membuat latihan,” katanya.
yang bercita-cita menjadi saintis.

 

 

Luqman Hakim pula menganggap kejayaan itu hasil restu dan doa ibu bapanya di samping bantuan guru.
“Hampir setiap hari saya akan memohon supaya kedua ibu bapa saya merestui perjuangan saya. Waktu yang paling penting adalah sebelum mengulang kaji pelajaran dan mulut saya sentiasa ringan memohon kemaafan daripada mereka supaya hati sentiasa tenang,” katanya.

 

Bagi Alif Asyraf pula, dia mengambil organ dalaman seperti hati, limpa, perut atau paru lembu serta ayam kerana percaya ia memberi kesan negatif terhadap otak.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, SMS Kuala Selangor mencatat peratus lulus terbaik dengan 100 peratus calon lulus PMR membabitkan 144 calon.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20

Peragut lima sekawan – Metro


Peragut lima sekawan

Oleh Norasikin Daineh
norasikin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA KINABALU: Lima pekerja pusat cuci kereta termasuk dua remaja yang melakukan ‘kerja sambilan’ dengan meragut beg mangsa di sekitar Luyang, di sini, tumpas apabila perbuatan mereka dihidu polis sebelum ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini.

Difahamkan, lima sekawan itu mula melakukan kegiatan itu sejak awal bulan ini membabitkan enam mangsa termasuk seorang daripada mereka bergelar Datin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan M Chandra berkata, serbuan pertama dilakukan jam 1 pagi semalam apabila tiga suspek berusia antara 15 hingga 25 tahun termasuk seorang bukan warga tempatan ditahan di kawasan Foh Sang, di sini selepas didapati memandu dalam keadaan mencurigakan selain menggunakan kenderaan dipercayai dicuri.

 

“Ketika kejadian, semua suspek yang menaiki Perodua Myvi enggan memberhentikan kenderaan, sebaliknya memecut laju sebaik ditahan polis.
“Polis memintas dan semua suspek ditahan selepas bergelut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.
Chandra berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan dua lagi suspek terbabit dalam kejadian ragut.

 

 

“Dua suspek berusia 21 dan 34 tahun ditahan pada jam 9.10 pagi tadi (semalam) di sekitar Putatan di dalam kereta jenis sama.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemui barangan hasil ragut dilakukan suspek termasuk telefon bimbit, komputer riba dan beg berjenama bernilai RM72,000,” katanya.

 

Menurut Chandra, siasatan lanjut mendapati semua suspek berkenaan bekerja sebagai pencuci kereta dan terbabit dalam enam kes ragut.
“Antaranya kes ragut membabitkan Datin di pusat beli- belah selain menggunakan kenderaan curi ketika melakukan aktiviti mereka.
“Semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan meragut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20

‘Saya tak akan sia-siakan pengorbanan ibu’ – Metro


‘Saya tak akan sia-siakan pengorbanan ibu’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

REMBAU: “Kepayahan ibu membesarkan kami empat beradik menjadi pembakar semangat saya sebagai anak sulung untuk mengubah kehidupan kami sekeluarga. Saya percaya hanya dengan pendidikan dapat membebaskan diri daripada kemiskinan,” kata pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau (SMSR), Nurul Asyiqin Abdullah, 15, yang muncul antara 118 daripada 150 calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan, semalam.

Nurul Asyiqin berkata, dia kehilangan ayahnya sejak berusia tujuh tahun dan segala tanggungjawab terletak di bahu ibunya, Siti Hafizah Mohd Hassan, 36, yang melakukan pelbagai pekerjaan seperti pengawal keselamatan, tukang masak dan menjual kuih-muih bagi menyara mereka sekeluarga.
Menurutnya, walaupun hidup serba kekurangan, ibunya amat menitikberatkan pelajaran dan sentiasa mengingatkan mereka adik-beradik bahawa pelajaran begitu penting bagi menjamin masa depan cerah.

 

“Ibu bekerja keras bagi memastikan kami dapat meneruskan persekolahan dan kadangkala mengikat perut kerana mahu berjimat cermat. Walaupun penat, ibu akan menemani kami adik-beradik mengulangkaji pelajaran.
“Sekali lagi keluarga kami diduga apabila doktor mengesahkan ibu menghidap radang urat saraf menyebabkan dia sukar berjalan dan tidak mampu melakukan kerja berat serta perlu menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Slip Peperiksaan Keputusan PMR di sekolah berkenaan.
Katanya, ibunya sanggup merahsiakan saat dimasukkan ke hospital dan dibedah Mac lalu dengan alasan tidak mahu dia bimbang hingga menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran.

 

 

“Bergenang air mata saya apabila pulang ke rumah dan ibu sudah selesai menjalani pembedahan. Namun, saya bersyukur pembedahan itu berjaya dan ibu dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Dalam pada itu, SMSR menunjukkan peningkatan tinggi apabila Gred Purata Sekolah (GPS) melonjak kepada 1.04 berbanding tahun lalu, 1.07 sekali gus meletakkan sekolah ini di tempat kedua terbaik di negeri ini selepas Kolej Tunku Kurshiah di Seremban.

 

Pencapaian cemerlang ini juga menjadikan daerah Rembau sebagai daerah terbaik pencapaian cemerlang PMR di negeri ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chembong, Zaifulbahri Idris; Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, Datin Naemah Dahalan dan Pengetua Kanan SM Sains Rembau, Norzila Idris.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20

Budak disamun dalam surau – Metro


Budak disamun dalam surau

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT...Mohd Fairuez menunjukkan mukanya yang lebam.
SAKIT…Mohd Fairuez menunjukkan mukanya yang lebam.

KUALA LUMPUR: Biarpun berada dalam surau, seorang kanak-kanak lelaki masih menjadi mangsa jenayah apabila dia bukan saja dipukul sebaliknya turut disamun dua lelaki dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan di Sungai Besi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, Mohd Fairuez Irwan Shah, 11, bukan saja cedera di kepala sebaliknya kehilangan telefon bimbit yang dihadiahkan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 49, sempena hari lahirnya pada tahun lalu.
Ketika kejadian, Fairuez menunggu di surau berkenaan bagi menunaikan solat Zuhur. Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia dan ahli keluarganya dididik bapa supaya menunaikan solat di surau atau masjid sejak berumur 10 tahun. Menceritakan semula kejadian itu, Fairuez berkata, dia yang menunggu masuk waktu solat didatangi dua lelaki berusia 20-an.

 

“Saya kenal seorang saja..lagi seorang saya tidak kenal. Sebaik datang, mereka rampas telefon bimbit saya. Belum sempat berkata apa-apa, lelaki itu menumbuk dan memukul saya.
“Mereka mengarahkan saya supaya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Fairuez berkata, dia memaklumkan kejadian itu kepada abangnya selepas pulang ke rumah manakala bapanya mengetahui kejadian itu selepas pulang dari tempat kerja jam 11 malam.

 

 

“Saya dibawa ayah ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Katanya, akibat kejadian itu, dia kini trauma untuk pergi ke surau atau masjid sendirian.

 

“Namun, jika ditemani ahli keluarga atau ayah, saya akan pergi,” katanya. Katanya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20

PMR: Calon OKU catat kejutan – Berita Harian


PMR: Calon OKU catat kejutan

2012/12/20 – 06:41:19 AMCetakEmel Kawan
gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoSeramai 80 orang pelajar SMK Perempuan St George, Pulau Pinang mendapat 8A dalam keputusan PMR yang diumumkan semalam.
  • FotoMira Amyra Bobby Asmidi menunjukkan keputusan PMR 4A, 4B yang diperolehinya kepada ibunya Haryani Hassan, di Bukit Baru, Melaka.
  • FotoSebahagian 93 pelajar Sekolah Menengah Sains Selangor meraikan keputusan PMR yang diperoleh semalam.

14 calon keperluan khas raih keputusan cemerlang, bukti kekurangan tak jadi halangan

Kuala Lumpur: Empat belas calon keperluan khas mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan semalam.

Antara mereka ialah pasangan kembar, Ainul Yaqin Lokman dan Ainul Asyraf, yang menderita akibat Thalasemia.

Pasangan itu bukan saja meraih keputusan 9A, malah turut dinobat pelajar terbaik SMK Dato Syed Ahmad di Kuala Nerang, Kedah.

Mereka menghidap Thalasemia sejak kecil kerana ibu bapa mereka adalah pembawa penyakit itu.

Di Kota Bharu, keadaan lumpuh dari pinggang hingga ke kaki sejak berumur setahun tidak menghalang Anis Adilah Amlaki, pelajar SMK Zainab I memperoleh 7A dan 1E.

Kesusahan berbaloi

Dia mendapat E dalam subjek Kemahiran Hidup (Perdagangan) kerana gagal mengambil kerja khusus atas faktor kesihatan.
“Kesusahan ibu bapa yang terpaksa mendukung saya setiap hari ke sekolah akhirnya berbaloi,” katanya yang menggunakan kerusi roda di sekolah.

Ketua Penolong Kanan (Pentadbir) sekolahnya, Wan Marina Wan Omar, berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan Kementerian Pelajaran mengenai status pelajar itu kerana Anis Adilah sepatutnya dikecualikan daripada menduduki kerja khusus bagi pelajar OKU.

Terima anugerah khas

Di Johor Bahru, Khairunnisaq Khairuddin dari SMK Bandar Mas, Kota Tinggi, yang mengalami penyakit genetik otot saraf (SMA) menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Calon Berkeperluan Khas (CBK) bagi kategori calon berkeperluan khas (fizikal).

Khairunnisaq yang menghidap SMA sejak lahir dan terpaksa berkerusi roda akibat lemah anggota badan mencatat keputusan 8A.

Teh Yong Shing, 17, pelajar cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak di sini, adalah calon tunggal daripada 23 calon sekolah itu yang mendapat A dalam semua mata pelajaran.

“Pagi tadi (semalam), cikgu telefon dan saya agak terkejut. Tapi saya tidak boleh ke Kuala Lumpur untuk mengambil keputusan kerana ayah bekerja,” katanya yang tinggal di Seremban.

Di Georgetown, Chew Sui Teng, 15, yang juga pelajar cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan St George mendapat 6A 1B.

Dua lagi calon keperluan khas (CBK) di Pulau Pinang iaitu Neoh Xin Ee dari Sekolah St George dan Khor Wei Quan yang rabun, masing-masing memperoleh 7A dan 7A 1B.

Di Kuala Terengganu, Alia Syuhada Aziz, pelajar yang cacat pendengaran sejak lahir dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan mencapai keputusan 8A.

Di Besut, pelajar cacat fizikal Nurfarah Hanim Mohamad dari SMK Tengku Mahmud memperoleh keputusan 7A 1B. Nurfarah yang cacat kedua belah kaki akibat kereputan tulang, didukung ke sekolah sejak Tahun 1.

Di Ipoh, Oui Yuen Shie, yang terpaksa menggunakan kanta khas untuk membaca turut memperoleh A bagi semua mata pelajaran.

30,474 calon PMR lulus semua A – Berita Harian


30,474 calon PMR lulus semua A

2012/12/20 – 06:48:19 AMCetakEmel Kawan
AHLI perniagaan, Datuk Dr Zulkepli Mohamad, bersama tiga dari empat isterinya dan empat anaknya yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR (dari kiri) Juliana Azieera, 8A, Rafizah Senawi, Zul Azrul, 8A, Hasnah Mat Ya, Zul Azril, 7A, Noreeha Abdul Rahman dan Ayu Syaheera, 8A di Kubang Kerian semalam.AHLI perniagaan, Datuk Dr Zulkepli Mohamad, bersama tiga dari empat isterinya dan empat anaknya yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR (dari kiri) Juliana Azieera, 8A, Rafizah Senawi, Zul Azrul, 8A, Hasnah Mat Ya, Zul Azril, 7A, Noreeha Abdul Rahman dan Ayu Syaheera, 8A di Kubang Kerian semalam.

Putrajaya: Seramai 30,474 atau 6.92 peratus daripada 481,424 calon yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat Gred A bagi semua mata pelajaran. Ia bagaimanapun mencatatkan penurunan 3,797 calon atau 0.85 peratus berbanding 34,271 calon pada 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Dr Amin Senin, berkata bilangan calon yang mendapat E dalam semua mata pelajaran turut berkurangan daripada 346 calon (0.08 peratus) pada 2011 kepada 241 (0.05 peratus) tahun ini.

Katanya, berdasarkan indeks Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), tujuh mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup Bersepadu, Pendidikan Kesenian, Bahasa Tamil dan Bahasa Punjabi menunjukkan peningkatan.

Sebanyak 10 subjek lain, termasuk Bahasa Inggeris (BI), Pendidikan Islam, Sains dan Matematik mencatatkan penurunan.

“Kita belum boleh bagi tahu (punca penurunan), kita kena lihat secara terperinci dengan melakukan kajian membabitkan semua calon dan subjek berkenaan.

“Penurunan prestasi dalam mata pelajaran BI memang dijangka sebab tahun lalu kita mula perkenalkan teks baru komponen Sastera Bahasa Inggeris,” katanya pada sidang media mengumumkan analisis keputusan PMR di Kementerian Pelajaran, di sini semalam.

Amin berkata, keputusan PMR kali ini diumum berdasarkan empat perkara, iaitu pencapaian calon secara keseluruhan, calon bandar berbanding luar bandar, calon keperluan khas dan prestasi setiap mata pelajaran.
Katanya, secara keseluruhan, pencapaian calon dalam 17 mata pelajaran tahun ini stabil dengan indeks Gred Purata Nasional (GPN) kekal pada 2.71 mata seperti tahun lalu.

Sementara itu, pencapaian calon bandar lebih baik berbanding calon luar bandar, namun jurangnya berjaya dirapatkan sebanyak 0.03 mata GPN iaitu daripada 0.29 mata kepada 0.26 mata.

“Bagi calon keperluan khas pula, pencapaian mereka meningkat 0.03 mata GPN, iaitu daripada GPN 4.10 mata tahun lalu kepada 4.07 mata tahun ini.

“Tahun ini, ada 14 calon keperluan khas mendapat keputusan cemerlang (semua A) iaitu pertambahan dua calon. Malah, keputusan tahun ini juga menunjukkan bilangan calon yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum dalam semua mata pelajaran berkurangan 1.14 peratus,” katanya.

Dari segi mata pelajaran, prestasi Bahasa Melayu meningkat 0.04 mata, di mana calon mendapat keputusan cemerlang (Gred A) meningkat 1.2 peratus daripada 26.3 peratus (2011) kepada 27.5 peratus tahun ini.

Bagaimanapun, prestasi BI turun 0.12 mata daripada 3.11 mata tahun lalu kepada 3.23 mata tahun ini.

“Peratusan calon yang mendapat gred cemerlang dalam BI juga berkurangan 1.6 peratus daripada 18.4 peratus (2011) kepada 16.8 peratus tahun ini.

“Bagi mata pelajaran Sains, prestasinya menurun 0.01 mata daripada 2.77 mata tahun lalu kepada 2.78 mata tahun ini dengan peratusan calon mendapat A juga turun 1.4 peratus daripada 30.2 peratus tahun lalu kepada 28.8 peratus tahun ini,” katanya.

Hidup susah jadi pendorong – Utusan


Hidup susah jadi pendorong

MUAR 19 Dis. – Kesusahan hidup mendorong seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad di sini memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan hari ini.

Riyadh Hussein, 15, dari Taman Perdana Bakri, dekat sini, keadaan itu menjadikannya tabah dan cekal apatah lagi selepas kematian ayahnya lebih 10 tahun lalu membuatkannya berazam untuk cemerlang dalam pelajaran.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Riyadh berkata, selain memberikan tumpuan yang penuh terhadap pembelajaran dalam kelas, dia akan terus merujuk kepada guru jika ada subjek atau pengajaran yang kurang faham.

“Saya juga mengamalkan makanan tambahan seperti kismis dan kurma kerana khasiatnya dapat membantu untuk menguatkan daya ingatan. Menjelang peperiksaan, saya juga mengamalkan solat hajat agar dimudahkan ketika menjawab soalan dalam dewan peperiksaan,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut di sini hari ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121220/dn_09/Hidup-susah-jadi-pendorong#ixzz2FZ0KD1Zl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sering tonton filem Mandarin antara faktor kejayaan – Utusan


Sering tonton filem Mandarin antara faktor kejayaan

Muhammad Daniel Idrus meraikan kejayaan bersama Suhani Maarof dan Idrus Md. Zin di Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, Bukit Baru, semalam.

MELAKA 19 Dis. – Berkat tidak mengabaikan ulang kaji serta sering membuat latihan komunikasi dan pemahaman dengan menonton filem mandarin membolehkan Muhammad Daniel Idrus, 15, memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 iaitu 9A termasuk bahasa Cina.

Pencapaian cemerlang itu membolehkan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tinggi Cina Melaka itu diumumkan sebagai pelajar cemerlang pada pengumuman PMR 2012 Melaka di Jabatan Pelajaran negeri, Bukit Baru di sini hari ini.

Lebih manis Muhammad Daniel menerima anugerah khas daripada Jabatan Pelajaran negeri atas keputusan cemerlang yang dicapai pada PMR tahun ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121220/dn_08/Sering-tonton-filem-Mandarin-antara-faktor-kejayaan#ixzz2FZ06vel8
© Utusan Melayu (M) Bhd

‘Tiada siapa mahu hantar saya ambil keputusan PMR’ – Utusan


‘Tiada siapa mahu hantar saya ambil keputusan PMR’

RASAH 19 Dis. – Seorang pelajar cacat penglihatan Teh Yong Shing (gambar), 17 hanya mampu mendengar keputusan cemerlang 7A yang diperoleh dalam Penilailan Menengah Rendah (PMR) menerusi panggilan telefon daripada gurunya di Kuala Lumpur.

Malah, kegembiraan anak pemandu lori itu terhenti setakat itu sahaja apabila tiada siapa yang boleh menghantarnya ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak, Kuala Lumpur untuk mengambil slip keputusan peperiksaannya kerana berada di Taman Harapan Baru, dekat sini.

Apa pun, dia masih dapat meraikan kejayaan itu bersama ibunya, Lee Fut Fah, 54 di rumah tanpa pengetahuan bapanya, Teh Leong Eng, 59 yang sedang bekerja.

”Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh guru selepas mendapat 7A dalam PMR. Yang sedihnya, saya tidak dapat bersama rakan dan guru meraikan kejayaan itu di sekolah.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121220/dn_07/Tiada-siapa-mahu-hantar-saya-ambil-keputusan-PMR#ixzz2FYzsHfL0
© Utusan Melayu (M) Bhd