JPN Kelantan putuskan pada Isnin status sekolah terlibat banjir – Bernama


JPN Kelantan putuskan pada Isnin status sekolah terlibat banjir

29 Disember 2012

KOTA BHARU – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan akan memutuskan pada Isnin ini mengenai kedudukan sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir, kata Pengarahnya Hussain Awang.

“Isnin ini akan kita putuskan sama ada sekolah yang terlibat akan dibuka pada Selasa ini atau sebaliknya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini di Tumpat, empat sekolah masih digenangi air manakala tiga sekolah dijadikan pusat pemindahan banjir.

Sekolah yang dinaiki air ialah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong, Sekolah Kebangsaan Telok Jering, dan Sekolah Kebangsaan Beluru, katanya.

Sekolah yang masih dijadikan pusat pemindahan banjir adalah Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1 dan 2 serta Sekolah Kebangsaan Bunohan.    Sehingga petang ini, lebih 1,000 mangsa banjir masih berada di tiga pusat berkenaan.

“Setakat ini, jabatan tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda sekolah yang terjejas itu,” katanya.

Tinjauan Bernama di beberapa sekolah di Rantau Panjang mendapati kakitangan dan guru sibuk membersihkan kelas yang dipenuhi lumpur. Mereka mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menggunakan pam air untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan.

Sementara itu, Zon Bebas Cukai di Pekan Rantau Panjang juga mula dikunjungi orang ramai apabila sebahagian besar premis perniagaan dibuka semula  hari ini

Peniaga kelihatan membersihkan kedai masing-masing setelah pekan itu lumpuh akibat digenangi limpahan air Sungai Golok sejak tiga hari lalu.

Azman Aziz, 47, berkata sebelum ini pekan itu digenangi air sedalam paras lutut namun peniaga bersiap sedia lebih awal untuk mengemas barangan.

“Alhamdulillah, semua barangan saya dan milik peniaga di sini selamat. Kami bersiap lebih awal ketika paras air sungai menghampiri bahaya baru-baru ini,” katanya yang tidak berniaga sejak seminggu lepas.

Orang ramai pula dilihat mengambil kesempatan untuk membeli-belah barangan persekolahan anak-anak mereka.  – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s