Koperasi guru perkenal Ar-Rahn
30 Disember 2012
KOTA BHARU – Sistem gadaian Ar-Rahn kini boleh digunakan melalui Koperasi Guru Melayu Berhad di sini.
Pengerusi Koperasi Guru Melayu Berhad, Abdul Ghani Mat berkata, perkhidmatan terbaru dari koperasi guru tersebut kini sudah beroperasi di Bangunan Koperasi Jalan Kebun Sultan di sini.
“Sistem gadaian ini mempunyai pelbagai faedah yang menarik kepada guru-guru dan juga orang ramai yang menggunakan perkhidmatan ini,” katanya di sidang media produk tersebut, baru-baru ini.
Menurutnya, operasi gadaian itu bermula sejak 16 Disember lepas dan sehingga kini sambutan yang diberikan sungguh memberangsangkan.
Beliau berkata, perkhidmatan tersebut juga bukan sahaja untuk guru-guru tetapi orang ramai yang ingin mengetahui tentang nilai harga emas milik mereka ataupun nilai emas harga pasaran.
“Sistem ini juga menyediakan pembiayaan tunai sehingga 70 peratus daripada nilai emas (marhun) serta kaedah pembayaran tunai yang segera, telus dan mudah dengan kadar upah simpan yang rendah.
“Jumlah had pembiayaan maksima kami adalah sebanyak RM10,000 manakala jumlah gadaian terkumpul adalah sebanyak RM25,000,” katanya.
Abdul Ghani berkata, produk ini juga merupakan rangkaian francais bersama Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan ianya juga membantu peningkatan kekuatan koperasi dalam ekonomi yang sentiasa berdaya saing dan fokus kepada sektor kewangan.
Pengurus Ar-Rahn, Nor Hafizah Hanum berkata, gadaian Islam ini membantu orang ramai untuk membuat gadaian dengan betul kerana ia turut diberi jaminan perlindungan takaful terhadap barang cagaran.
“Pemprosesannya juga sangat cepat, mudah dan tempoh gadaiannya adalah selama enam bulan dan boleh dilanjutkan sehingga selama dua bulan lagi dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan,” katanya.
Menurut Hafizah, kaedah penebusan juga boleh dilakukan secara ansuran, sebahagian bayaran berkala dan sekali gus atau pada bila-bila masa sebelum atau pada tarikh matang tersebut.