Sentuhan noda – Metro


Sentuhan noda

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Dengan hanya satu sentuhan, seorang lelaki Arab berusia lewat 20-an dikatakan mampu mempengaruhi wanita mengikut segala kehendaknya, menyebabkan mangsa kemudian dibawa ke hotel sebelum disamun dan dirogol.

Menurut sumber, mangsa terbaru lelaki itu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang membuat laporan polis mendakwa dirogol lebih sekali oleh suspek di sebuah hotel di ibu kota.

Menurutnya, sebelum itu mangsa memberitahu dia dihampiri suspek ketika membeli makanan di pusat beli-belah di sini sebelum diajukan beberapa soalan.

“Mangsa yang tidak mengendahkan pertanyaan lelaki terbabit kemudian mendakwa disentuh di bahagian badan, menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar.

 
“Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah bilik hotel di ibu kota sebelum memaksa remaja itu supaya melakukan hubungan seks dengannya,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31

Muntah lihat nasi macam ulat – Berita Harian


Muntah lihat nasi macam ulat

2012/12/31 – 05:51:51 AMCetakEmel Kawan
Mohd Nazrul langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan. - Foto Azmaidi AbidinMohd Nazrul langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan. – Foto Azmaidi Abidin

Pekan: Saya lihat nasi macam ulat yang sungguh menggelikan dan tekak terus mual. Walau ada sebutir nasi terlekat di tangan, saya pasti muntah, kata Mohd Nazrul Nazri, 13.

Nazrul atau lebih mesra dengan panggilan Pak Adik, berkata oleh kerana langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan, dia selalu diusik rakan sekolah.

Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan itu, berkata ada juga yang sanggup memberi duit untuk melihat keberaniannya menelan nasi, tetapi semua ditolak kerana memang dia tidak boleh makan nasi.

Mi jadi pilihan, saya paling suka mi sup atau mi goreng, tak pernah jemu makan. Roti juga jadi pilihan dan kadangkala ibu menggantikan makanan dengan kentang serta ayam, katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Miang, dekat sini.

Ibunya, Normah Abdul Latif, 51, berkata simptom anak bongsu daripada enam beradik itu mula dikesan selepas beberapa bulan dilahirkan.

Ketika berusia lima bulan saya cuba memberinya nasi, namun dia muntah. Sejak itu saya dan suami, Nazri Karim, 55, tahu dia alah nasi. Kami hanya memberinya bijirin dan bila membesar, diberi bubur nasi, tapi tetap muntah, katanya.

Mohd Nazrul juga terpaksa makan berasingan daripada ahli keluarga kerana tidak boleh melihat nasi walaupun sebutir.

Remaja merempit musim cuti sekolah – Utusan


Remaja merempit musim cuti sekolah

JOHOR BAHRU 30 Dis. – Cuti sekolah yang hanya berbaki beberapa hari seharusnya digunakan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi sesi persekolahan 2013.

Namun lain pula dilakukan oleh seorang remaja berusia 16 tahun apabila dia dicekup kerana merempit di sini tengah malam semalam.

Remaja berkenaan merupakan antara empat yang ditahan kerana memandu secara berbahaya dan melulu dalam operasi pencegahan khas membanteras samseng jalanan di Danga Bay di sini bermula pukul 12 tengah malam dan berakhir pukul 5 pagi.

Selain remaja berkenaan, operasi yang disertai 11 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun, seorang pemandu kereta dan penumpangnya yang berusia 30-an.

Menurut jurucakap Unit Khas Trafik Pasukan Bukit Aman, kesemua yang ditahan mempamerkan aksi berbahaya dan memandu laju sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121231/je_09/Remaja-merempit-musim-cuti-sekolah#ixzz2GajKEhQ4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tabika ditutup, ibu bapa resah – Sinar Harian


Tabika ditutup, ibu bapa resah

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
30 Disember 2012
Tabika ditutup, ibu bapa resah
Loke (kiri) mendengar masalah dihadapi ibu pelajar tabika berkenaan.

SEREMBAN – Alasan tidak cukup ruang untuk menampung jumlah pelajar sehingga menyebabkan Tabika Perpaduan Lobak, di sini ditutup, bukan saja mengecewakan ibu bapa, malah dianggap sebagai tidak munasabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Anthony Loke berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri mengeluarkan notis kepada ibu bapa agar mereka mendaftarkan anak mereka ke tabika lain bermula sesi persekolahan Januari ini.

“Menurut mereka, tabika terpaksa ditutup kerana tidak cukup ruang bagi menampung jumlah pelajar sedia ada yang dianggarkan seramai 15 hingga 20 orang.

“Sebagai jalan penyelesaian, jabatan meminta ibu bapa mendaftarkan anak mereka di tabika baru dekat Taman Kobena, Senawang. Alasan diberikan jabatan berkenaan mengecewakan dan tidak munasabah,” katanya pada kepada pemberita ketika membuat lawatan di Tabika Perpaduan Lobak, di sini, semalam.

Loke yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, arahan berpindah ke tabika lain jelas merunsingkan ibu bapa memandangkan lokasi tersebut agak jauh menyebabkan mereka terpaksa berbelanja lebih untuk kos pengangkutan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku terhadap tabika terbabit yang sudah beroperasi lebih 10 tahun tanpa sebarang masalah. Penutupan ini ternyata tidak wajar kepada komuniti di kawasan ini, terutama bagi mereka berpendapatan rendah.

“Kita akan meminta jabatan supaya menarik balik arahan dikeluarkan secepat mungkin dan seterusnya mengekalkan tabika ini seperti sediakala, memandangkan sesi persekolahan baru hampir bermula,” katanya.

Sultan rai pelajar cemerlang – Sinar Harian


Sultan rai pelajar cemerlang

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Disember 2012

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan meraikan pelajar cemerlang Sijil pelajaran Malaysia (SPM) 2011 sebagai bukti keprihatinan baginda terhadap kejayaan rakyat.

Majlis Anugerah Kecemerlangan D’ Raja anjuran Pertubuhan Kerabat D’ Raja Kelantan Al- Muhammadi menjadi saksi betapa baginda menghargai usaha gigih pelajar-pelajar cemerlang ini.

Bendaharinya, Tengku Ibrahim Farihaddin Datuk Feissal berkata, program pertama kali yang bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dicapai pelajar- pelajar di negeri ini adalah penghormatan tertinggi Sultan untuk mereka.

“Majlis julung kali dan akan menjadi aktiviti tahunan ini diadakan khas untuk meraikan bersama kejayaan pelajar di negeri ini tanpa mengira latar belakang dan keturunan.

“Baginda berkenan meraikan kejayaan pelajar ini yang bukan sahaja membanggakan diri dan ibu bapa mereka, malah masyarakat dan negeri ini secara keseluruhannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika menghadiri majlis itu di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Hadir sama, Yang DiPertua pertubuhan, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim dan isteri, Tengku Puan Laksamana Syarifah Azwan Syed Jamalullai; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang serta Koordinator pertubuhan itu, Kapten Mohd Khairul Anuar Ilias.

Menurutnya, majlis dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan, Yayasan Islam Kelantan (YIK), dan Kerajaan Negeri menyaksikan kira-kira 537 pelajar mendapat A  keseluruhan dari seluruh negeri ini.

“Sebagai kenangan daripada pertubuhan, pelajar-pelajar ini kita hadiahkan dengan Sijil Pengiktirafan daripada Sultan, selain jam tangan dan pen sebagai tanda kenangan,” kata Tengku Ibrahim Farihaddin.

Sementara itu, Baginda yang berangkat tiba jam 6 petang meluangkan masa kira- kira setengah jam menyempurnakan penyampaian kepada 40 penerima termasuk pelajar paling cemerlang, anak-anak kerabat dan penaja.

Koperasi guru perkenal Ar-Rahn – Sinar Harian


Koperasi guru perkenal Ar-Rahn

SITI FATIHAH AWANG
30 Disember 2012

KOTA BHARU – Sistem gadaian Ar-Rahn kini boleh digunakan melalui Koperasi Guru Melayu Berhad di sini.

Pengerusi Koperasi Guru Melayu Berhad, Abdul Ghani Mat berkata, perkhidmatan terbaru dari koperasi guru tersebut kini sudah beroperasi di Bangunan Koperasi Jalan Kebun Sultan di sini.

“Sistem gadaian ini mempunyai pelbagai faedah yang menarik kepada guru-guru dan juga orang ramai yang menggunakan perkhidmatan ini,” katanya di sidang media produk tersebut, baru-baru ini.

Menurutnya, operasi gadaian itu bermula sejak 16 Disember lepas dan sehingga kini sambutan yang diberikan sungguh memberangsangkan.

Beliau berkata, perkhidmatan tersebut juga bukan sahaja untuk guru-guru tetapi orang ramai yang ingin mengetahui tentang nilai harga emas milik mereka ataupun nilai emas harga pasaran.

“Sistem ini juga menyediakan pembiayaan tunai sehingga 70 peratus daripada nilai emas (marhun) serta kaedah pembayaran tunai yang segera, telus dan mudah dengan kadar upah simpan yang rendah.

“Jumlah had pembiayaan maksima kami adalah sebanyak RM10,000 manakala jumlah gadaian terkumpul adalah sebanyak RM25,000,” katanya.

Abdul Ghani berkata, produk ini juga merupakan rangkaian francais bersama Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan ianya juga membantu peningkatan kekuatan koperasi dalam ekonomi yang sentiasa berdaya saing dan fokus kepada sektor kewangan.

Pengurus Ar-Rahn, Nor Hafizah Hanum berkata, gadaian Islam ini membantu orang ramai untuk membuat gadaian dengan betul kerana ia turut diberi jaminan perlindungan takaful terhadap barang cagaran.

“Pemprosesannya juga sangat cepat, mudah dan tempoh gadaiannya adalah selama enam bulan dan boleh dilanjutkan sehingga selama dua bulan lagi dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut Hafizah, kaedah penebusan juga boleh dilakukan secara ansuran, sebahagian bayaran berkala dan sekali gus atau pada bila-bila masa sebelum atau pada tarikh matang tersebut.

3 termasuk dua kanak-kanak maut – Sinar Harian


3 termasuk dua kanak-kanak maut

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Disember 2012

KOTA TINGGI – Tiga termasuk dua kanak-kanak maut apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki terbabas lalu bertembung dengan sebuah kereta Mercedes Benz di Kilometer 24 Jalan Johor Baharu-Mersing dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga dari arah Johor Bahru menghala ke Pulada terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Katanya, ekoran itu kereta Proton Saga tersebut telah bertembung dengan kereta Mercedes yang dari arah Kota Tinggi menghala ke Johor Bahru.

Pemandu Proton Saga, Ating Ak Dasa, 25; Brigeson Megong, 10, dan Laire Tifany Ak Gasah, 6, meninggal di tempat kejadian.

“Kereta Proton Iswara yang dipandu Ating dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kereta Mercedes Benz yang dipandu seorang lelaki,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Proton Iswara itu turut dinaiki dua anak lelaki Ating berusia dua dan mereka sekeluarga dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi.

JPN Kelantan putuskan pada Isnin status sekolah terlibat banjir – Bernama


JPN Kelantan putuskan pada Isnin status sekolah terlibat banjir

29 Disember 2012

KOTA BHARU – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan akan memutuskan pada Isnin ini mengenai kedudukan sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir, kata Pengarahnya Hussain Awang.

“Isnin ini akan kita putuskan sama ada sekolah yang terlibat akan dibuka pada Selasa ini atau sebaliknya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini di Tumpat, empat sekolah masih digenangi air manakala tiga sekolah dijadikan pusat pemindahan banjir.

Sekolah yang dinaiki air ialah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong, Sekolah Kebangsaan Telok Jering, dan Sekolah Kebangsaan Beluru, katanya.

Sekolah yang masih dijadikan pusat pemindahan banjir adalah Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1 dan 2 serta Sekolah Kebangsaan Bunohan.    Sehingga petang ini, lebih 1,000 mangsa banjir masih berada di tiga pusat berkenaan.

“Setakat ini, jabatan tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda sekolah yang terjejas itu,” katanya.

Tinjauan Bernama di beberapa sekolah di Rantau Panjang mendapati kakitangan dan guru sibuk membersihkan kelas yang dipenuhi lumpur. Mereka mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menggunakan pam air untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan.

Sementara itu, Zon Bebas Cukai di Pekan Rantau Panjang juga mula dikunjungi orang ramai apabila sebahagian besar premis perniagaan dibuka semula  hari ini

Peniaga kelihatan membersihkan kedai masing-masing setelah pekan itu lumpuh akibat digenangi limpahan air Sungai Golok sejak tiga hari lalu.

Azman Aziz, 47, berkata sebelum ini pekan itu digenangi air sedalam paras lutut namun peniaga bersiap sedia lebih awal untuk mengemas barangan.

“Alhamdulillah, semua barangan saya dan milik peniaga di sini selamat. Kami bersiap lebih awal ketika paras air sungai menghampiri bahaya baru-baru ini,” katanya yang tidak berniaga sejak seminggu lepas.

Orang ramai pula dilihat mengambil kesempatan untuk membeli-belah barangan persekolahan anak-anak mereka.  – Bernama

Pengetua tunai nazar murid – Sinar Harian


Pengetua tunai nazar murid

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Disember 2012
Pengetua tunai nazar murid
Mohammad Zalkornain (kiri) mencukur rambut Meor sambil dibantu pemandu peribadinya, Abd Hadi Idris.

MANJUNG – Permintaan pelik seorang pelajar untuk dibotakkan kepala oleh pengetua sekolahnya selepas memperoleh keputusan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) akhirnya ditunaikan.

Meor Muhammad Emmier Asyraf Rostam Affandi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Shahriman, Beruas, berkata, dia bernazar untuk membotakkan kepalanya itu jika mendapat keputusan A bagi semua subjek dan bersyukur ia dimakbulkan malah dia diumumkan antara pelajar cemerlang sekolah tersebut.

Bagi menunaikan hasrat itu, bekas Pengetuanya, Mohammad Zalkornain Jaafar yang kini menjawat jawatan Pegawai Pelajaran Daerah Perak Tengah dengan rela hati membotakkan rambut anak muridnya itu.

“Dalam sejarah hidup saya, belum pernah lagi menggunting rambut orang apatah lagi membotakkan kepala. Tapi saya buat juga memandang ia nazar anak murid saya.

“Dia (Meor) memang pelajar harapan dan pelajar cemerlang di sekolah. Saya bangga dengan kejayaan anak-anak murid saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Meor berkata, tindakan bernazar itu dibuat kerana menganggap bekas pengetuanya itu sebagai idola dan sumber inspirasi kepada kejayaan.

Menurutnya, kejayaan memperoleh 8A itu adalah hadiah yang paling istimewa daripadanya untuk Mohammad Zalkornain.

Kerajaan Pusat peruntuk RM492,200 hargai pelajar 5A – Bernama


Kerajaan Pusat peruntuk RM492,200 hargai pelajar 5A

29 Disember 2012

BACHOK – Kerajaan pusat memperuntukkan RM492,200 menerusi wang ihsan bagi program anugerah kecemerlangan pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 di semua sekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata seramai 4,922 pelajar masing-masing menerima RM100 menerusi majlis penyampaian yang diadakan di setiap kawasan Parlimen sepanjang bulan ini.

“Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pengagihan kecemerlangan UPSR di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang.

Seramai 665 pelajar cemerlang Tahun Enam dari 34 sekolah rendah di Bachok menerima sumbangan wang ihsan yang diagihkan secara tunai berjumlah RM66,500.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pemberian itu sebagai menghargai kesungguhan pelajar mengharumkan nama Kelantan yang berupaya berada di tangga kedua cemerlang selepas Putrajaya dalam UPSR tahun ini.

Selain itu katanya, pihaknya juga bercadang akan turut memberi sumbangan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan menengah rendah, pelajar tingkatan enam dan bakal penuntut universiti.

Awang Adek menegaskan bahawa perbelanjaan wang ihsan digunakan sebaik mungkin dengan pengagihannya dilaksanakan secara telus dan adil serta lengkap dengan laporan auditnya.

“Ini adalah wang rakyat dan saya bertanggungjawab memegang amanah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mentadbir wang berkenaan bagi keperluan rakyat berasaskan prosedur yang diputuskan di peringkat jawatankuasa pengagihan,” katanya.  – Bernama