2 remaja perempuan bawah umur antara ditahan di JB – Bernama


2 remaja perempuan bawah umur antara ditahan di JB

1 Januari 2013

JOHOR BAHRU – Dua remaja perempuan bawah umur bersama pasangan masing-masing antara yang ditahan menerusi ‘Operasi Samseng Jalanan’ semasa sambutan Tahun Baru di Jalan Skudai di sini awal pagi tadi.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,  DSP Roslan Ali berkata, keterangan diambil daripada mereka sementara ibu mereka  akan turut dipanggil.

Beliau berkata remaja berumur 14 dan 16 tahun itu antara lebih 100 penunggang motosikal dan beberapa pemandu kereta yang diperiksa menerusi operasi bersepadu tersebut.

Operasi berhampiran Danga Bay itu dilakukan antara pasukan IPK, Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Rela dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang diperiksa itu didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar sementara pemandu kereta didapati mengubah suai kenderaan mereka. – Bernama

Tukang kebun terkejut temui mayat di sekolah


Tukang kebun terkejut temui mayat di sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013

KOTA TINGGI – Seorang tukang kebun Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Dr Syed Nasir di Felda Pasak di sini  terkejut apabila kehadirannya untuk memotong rumput di belakang bangunan sekolah itu pagi tadi membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki.

Lelaki terbabit dipercayai berada di sekolah itu untuk mencuri wayar tembaga.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian tersebut berkata, siasatan awal mendapati usaha lelaki terbabit gagal apabila terjatuh dari bangunan sekolah setinggi tiga tingkat sebelum mati di tempat kejadian.

“Turut dijumpai di tempat kejadian pemotong wayar, tiga gulung wayar tembaga serta motosikal dipercayai milik mangsa yang ditinggalkan tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk urusan bedah siasat.

Askar didakwa cabul kanak-kanak – Sinar Harian


Askar didakwa cabul kanak-kanak

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013

AYER KEROH – Seorang anggota tentera berhadapan hukuman penjara sehingga 10 tahun beserta sebatan dan denda atas dakwaan mencabul seorang kanak-kanak berusia 12 tahun September lalu.

Norazhar Nazar, 30, yang berdepan dua pertuduhan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan meminta untuk dibicarakan.

Tertuduh dari Jalan Bakti, Kem Terendak yang berpakaian kemas semasa prosiding membuat pengakuan demikian di hadapan Majistret Syajaratudur Abdul Rahman, semalam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak berkenaan dengan mencium pipi kiri dan lehernya dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 1 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa meraba buah dada mangsa serta menyuruh mangsa memegang kemaluan tertuduh dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa, kira-kira 5 pagi pada 5 September lalu.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zaini A Aziz, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pihak pendakwaan kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Syajaratudur kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 selain menetapkan 4 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Gadis dakwa dilacur – Sinar Harian


Gadis dakwa dilacur

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013

ALOR GAJAH – Seorang lelaki  tergamak melacurkan adik ipar kakaknya sendiri dengan menawarkan harga RM200 kepada beberapa lelaki yang ingin memuaskan nafsu serakah mereka.

Mangsa, seorang gadis berusia 17 tahun mendakwa dirinya dipaksa memuaskan nafsu beberapa lelaki separuh umur dengan bayaran tertentu sejak awal Disember tahun ini.

Lebih malang lagi, mangsa yang dilacurkan suspek berusia awal 30-an itu bukanlah orang asing malah amat dikenalinya.

Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama kakak iparnya di sekitar Pulau Sebang, di sini, dipercayai pergi ke rumah seorang saudaranya di luar Melaka dan bermalam di sana.

Jurucakap polis berkata,  mangsa dipercayai dijemput oleh suspek sebelum mangsa dibawa bersiar-siar di sekitar bandar raya Melaka sebelum menyewa sebuah hotel bajet berhampiran sungai.

“Suspek terbabit yang turut tinggal bersama kakak ipar mangsa di sekitar Pulau Sebang dipercayai memperdaya mangsa yang masih tidak tahu tujuan sebenar suspek membawanya ke sini.

“Mangsa yang tidak berkunjung ke bandar raya ini hanya mengikut sahaja ke mana suspek pergi sebelum mereka menginap di sebuah hotel bajet tepi sungai di sekitar bandar raya Melaka, ” katanya.

Menurutnya, setibanya di hotel berkenaan, mangsa mendakwa diperkenalkan kepada seorang lelaki separuh umur dan dipaksa melayan nafsu lelaki berkenaan dengan bayaran RM200.

“Mangsa yang menyedari niat jahat lelaki berkenaan meronta sambil merayu supaya dirinya tidak dinodai orang lain namun, rintihannya langsung tidak diendahkan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa dipercayai turut dibawa ke beberapa daerah yang tidak dikenal pasti tempatnya untuk diniagakan kepada pelanggan yang sedia menunggu di tempat dijanjikan.

“Mangsa yang tinggal serumah dengan suspek di sini, turut mendakwa dipaksa melakukan enam persetubuhan dengan beberapa lelaki di beberapa tempat tanpa kerelaannya.

“Bimbang kejadian sama berulang, mangsa nekad meloloskan diri daripada kawalan suspek dan membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah, di sini, kelmarin” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Menurutnya, kes dirujuk ke Jabatan Keganasan Rumah tangga, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang untuk tindakan selanjutnya.

Dirogol remaja baru dikenali – Sinar Harian


Dirogol remaja baru dikenali

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013
Dirogol remaja baru dikenali
Suspek dibawa ke IPD Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

ALOR GAJAH – Berbekalkan wajah kacak dan sikap warak, bekas pelajar sebuah sekolah agama pondok tergamak merogol kenalan perempuan yang dikenali beberapa minggu lalu di laman sembang sosial.

Difahamkan, tindakan licik yang dilakukan di sebuah rumah teres, di sekitar Masjid Tanah, di sini kelmarin bagaimanapun terbongkar setelah mangsa, seorang remaja berusia 14 tahun bertindak mendedahkan kegiatan jijiknya itu kepada seorang kenalan.

Selepas pekungnya terdedah, kenalan mangsa berusaha mencari suspek yang berusia 18 tahun itu di sekitar pekan berkenaan sebelum suspek bersama mangsa ditemui kira-kira jam 10 malam.

Jurucakap polis, berkata,  ketika ditemui suspek berpura-pura tidak tahu dan cuba memujuk mangsa supaya perlakuannya itu tidak terdedah sebelum mangsa menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.

“Bimbang kegiatannya terbongkar, suspek melarikan diri dengan melintas jalan raya namun gagal apabila suspek dikepung orang awam yang melihat kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan dirinya terkepung, suspek yang juga anak seorang pensyarah sebuah kolej sempat berdalih mendakwa dia tidak melakukan aktiviti terkutuk itu dan berani bersumpah.

“Melihatkan mangsa juga berada di tempat berkenaan, suspek menyatakan sudah meniduri mangsa sebanyak lapan kali di sebuah hotel bajet di sekitar Melaka dan terbaru di sebuah rumah teres.

“Berikutan kenyataan suspek terbabit, orang awam yang kemudian membawa suspek terbabit masuk ke dalam kereta sebelum suspek diserahkan ke balai polis berdekatan,” katanya.

Mangsa yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini, mendakwa, kira-kira jam 6 petang Jumaat lalu, suspek masuk ke dalam bilik dan memaksanya melakukan hubungan seks.

Menurutnya, kejadian berlaku di rumah seorang kenalannya  di taman perumahan di sekitar Masjid Tanah, di sini.

“Saya cuba menghalangnya dengan memberi alasan takut perbuatannya itu nanti diketahui rakan saya namun suspek tetap berkeras dan terus perkosa saya,” katanya.

Selepas kejadian itu, mangsa mendakwa, suspek tergesa-gesa keluar dan menghilangkan diri, disebabkan takut mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru mengenai kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan laporan dan  penahanan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan oleh orang awam dan diserahkan ke balai polis berdekatan sebelum suspek ditahan untuk sesi soal siasat mengenai dakwaan merogol seorang gadis bawah umur.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Keganasan Rumahtangga, Wanita dan kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.

Banjir: 31 sekolah di Terengganu ditutup – Bernama


Banjir: 31 sekolah di Terengganu ditutup

1 Januari 2013

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 31 buah sekolah di Terengganu tidak dapat memulakan penggal baharu sesi persekolahan yang bermula hari ini yang menjejaskan 12,000 pelajar akibat banjir gelombang kedua yang melanda negeri ini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata daripada 31 buah sekolah yang terlibat, 23 buah adalah sekolah rendah dan lapan sekolah menengah.

Beliau berkata, daerah Hulu Terengganu mencatatkan jumlah terbanyak membabitkan 13 buah sekolah diikuti daerah Besut sebanyak 12 buah dan masing-masing tiga buah sekolah di Kemaman dan Setiu.

Katanya sebab sekolah berkenaan ditutup ialah sama ada dinaiki air, menjadi pusat pemindahan sementara, masih dalam proses pembersihan selepas dijadikan pusat pemindahan dan terputus hubungan.

Beliau berkata sekolah yang dinaiki air ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periok, SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang, kesemuanya di Hulu Terengganu.

“Lain-lain sekolah iaitu SK Pasir Akar, SK Tok Raja, SK Bukit Jerok, SK Alor Keladi, SK Kampung Nangka, SK Tok Dor dan SK Keruak di daerah Besut,” katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar baharu di SK Tok Jembal di sini sempena pembukaan penggal persekolahan 2013 hari ini. Turut hadir Timbalan Pengarah Pelajaran Hashim Mohd Zin.

Katanya sekolah yang masih menjadi pusat pemindahan sementara ialah SK Anak Ikan di Setiu, SK Seri Payong dan SK Tenang di Besut.

Beliau berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok di Kemaman ditutup bagi proses pembersihan setelah menjadi pusat pemindahan banjir sebelum ini.

Sekolah yang terputus hubungan di Hulu Terengganu ialah SK Kuar, SK Felda Tersat, SK Bukit Taduk, SK Matang, SK Tengkawang, SMK Menerong, SMK Matang dan SMK Jenerih, di Kemaman ialah SK Padang Kubu, SK RKT Seberang Tayor, di Setiu ialah SK Pak Ba dan SK Sungai Las manakala di Besut ialah SMK Bukit Payong dan SMK Putera.

“Sehingga ini kita tidak tahu sampai bila sekolah-sekolah berkenaan akan dibuka kerana ia bergantung keadaan banjir yang melanda. Kita harap banjir gelombang kedua ini cepat surut.

“Mana-mana sekolah yang ditutup itu, ia akan buat penggantian pada hari Sabtu,” katanya.

Katanya ibu bapa boleh menghubungi sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai sekolah anak-anak mereka.

Sementara itu, Hashim berkata, seramai 19,878 murid telah mendaftar bagi memulakan Tahun Satu bagi 2013 di 350 buah sekolah di seluruh negeri. – Bernama

STATISTIK BILANGAN SEKOLAH, BILANGAN MURID (ENROLMEN), BILANGAN GURU DI MALAYSIA SETAKAT 26 DISEMBER 2012


STATISTIK BILANGAN SEKOLAH, BILANGAN MURID (ENROLMEN), BILANGAN GURU DI MALAYSIA SETAKAT 26 DISEMBER 2012.

STATISTIK

Bilangan Sekolah

Rendah Menengah Jumlah
7,733 2,333 10,066

Bilangan Murid (Enrolmen)

Prasekolah 188,192
Rendah 2,814,681
Menengah 2,301,328
Jumlah 5,304,201

Bilangan Guru

Lelaki Perempuan
Rendah 72,266 164,047
Menengah 55,155 121,252
Jumlah 127,421 285,299
Data dikemaskini pada 26 Dec 2012
Sumber: Laman web KPM

Cuti akhir persekolahan – Sinar Harian


Cuti akhir persekolahan

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013
Cuti akhir persekolahan
Keadaan mangsa yang maut selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah kenderaan.

RAWANG – Kegembiraan seorang pelajar menghabiskan cuti akhir persekolahan bersama rakannya berakhir tragedi apabila motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan di kilometer 14 Jalan KL-Ipoh, pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.56 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125z dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mandi di sebuah kolam air panas dekat sini.

Jurucakap Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berkata, mangsa Izat Muadzam Junaidi, 16, beralamat di Jalan Klang Lama disahkan maut akibat kecederaan dalaman.

Menurutnya, siasatan awal kemalangan mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah Rawang menghala ke Kuala Lumpur dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan.

Pemandu kenderaan yang masih belum dapat dikenalpasti itu dikatakan melarikan diri selepas kejadian berlaku.

“Mangsa yang hilang kawalan akibat geselan dengan kenderaan lain terpelanting dan tercampak di lorong kiri jalan.

“Kenderaan yang bergesel dengan motosikal mangsa dipercayai melarikan diri dan masih dikesan sehingga kini,” katanya.

Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mangsa didapati tiada lesen memandu.

Sehubungan itu, saksi kemalangan atau mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,  Inspektor Muhamad Izam Ibrahim di talian 03-61262273, 03-61262257 atau 013-2006111 untuk membantu siasatan.

Sesi pembelajaran lima sekolah ditangguh akibat banjir – Sinar Harian


Sesi pembelajaran lima sekolah ditangguh akibat banjir

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013

KOTA BHARU – Lima sekolah  di dua jajahan iaitu Tumpat dan Pasir Mas terpaksa ditangguhkan pembukaan kerana masalah banjir yang menutupi kawasan-kawasan berhampiran sekolah tersebut.

Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Che Hussain Awang berkata, lima buah sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bendang Pa’Yong, Sekolah Kebangsaan Telok Jering, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurulhuda dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah Kampung Bonggor.

“Pembukaan kelima-lima buah sekolah tersebut ditangguhkan buat sementara waktu kerana kawasan persekitaran sekolah masih dibanjiri air, ini akan menyukarkan murid untuk ke sekolah,” katanya semalam.

Menurutnya, jumlah pelajar tingkatan satu yang berdaftar untuk tahun 2013 ialah seramai 4,740 orang manakala murid tahun satu pula seramai 28,757 orang.

Beliau berkata, sebanyak 7,448 buah sekolah rendah dan 834 buah sekolah menengah akan dibuka untuk persekolahan 2013.

“Kami menempatkan sejumlah 12,893 orang guru untuk sekolah menengah dan 16,034 orang guru untuk sekolah rendah di sini.

“Jumlah guru tersebut adalah untuk memberi didikan kepada 361,143 orang pelajar sekolah rendah dan menegah di seluruh negeri Kelantan,” katanya.

Sesi persekolahan tahun 2013 dijadualkan bermula pada 1 Januari ini untuk negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu manakala 2 Januari di negeri-negeri lain.

Remaja mengaku curi barang kemas kakak – Sinar Harian


Remaja mengaku curi barang kemas kakak

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Januari 2013
Remaja mengaku curi barang kemas kakak
Remaja ini mengaku di Mahkamah Majistret di sini semalam, mencuri barang kemas milik kakaknya.

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengaku bersalah mencuri barang kemas dan wang tunai milik kakaknya.

Remaja berkenaan mengaku bersalah mencuri sebuah beg galas warna hitam mengandungi tiga urat rantai leher emas kanak-kanak; seutas rantai leher emas kasar dan wang tunai RM130 milik kakaknya, 33, di sebuah rumah di Kampung Tok Jiring, Gong Badak, di sini, 20 November lalu.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan itu kira-kira jam 11 pagi.

Susulan pengakuan bersalahnya, dia boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, disebabkan dia merupakan kategori pesalah juvana, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rozianti turut membenarkan remaja terbabit diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, remaja itu mengaku menjual barang kemas yang dicuri di sebuah kedai emas berhampiran Pasar Pekan Batu Enam, di sini, dengan nilai keseluruhan lebih RM12,000.