Remaja mengaku curi barang kemas kakak
1 Januari 2013

Remaja ini mengaku di Mahkamah Majistret di sini semalam, mencuri barang kemas milik kakaknya.
KUALA TERENGGANU – Seorang remaja yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengaku bersalah mencuri barang kemas dan wang tunai milik kakaknya.
Remaja berkenaan mengaku bersalah mencuri sebuah beg galas warna hitam mengandungi tiga urat rantai leher emas kanak-kanak; seutas rantai leher emas kasar dan wang tunai RM130 milik kakaknya, 33, di sebuah rumah di Kampung Tok Jiring, Gong Badak, di sini, 20 November lalu.
Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan itu kira-kira jam 11 pagi.
Susulan pengakuan bersalahnya, dia boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, disebabkan dia merupakan kategori pesalah juvana, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Rozianti turut membenarkan remaja terbabit diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin.
Terdahulu, remaja itu mengaku menjual barang kemas yang dicuri di sebuah kedai emas berhampiran Pasar Pekan Batu Enam, di sini, dengan nilai keseluruhan lebih RM12,000.