Sesi pembelajaran lima sekolah ditangguh akibat banjir
1 Januari 2013
KOTA BHARU – Lima sekolah di dua jajahan iaitu Tumpat dan Pasir Mas terpaksa ditangguhkan pembukaan kerana masalah banjir yang menutupi kawasan-kawasan berhampiran sekolah tersebut.
Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Che Hussain Awang berkata, lima buah sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Simpangan, Sekolah Kebangsaan Bendang Pa’Yong, Sekolah Kebangsaan Telok Jering, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurulhuda dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah Kampung Bonggor.
“Pembukaan kelima-lima buah sekolah tersebut ditangguhkan buat sementara waktu kerana kawasan persekitaran sekolah masih dibanjiri air, ini akan menyukarkan murid untuk ke sekolah,” katanya semalam.
Menurutnya, jumlah pelajar tingkatan satu yang berdaftar untuk tahun 2013 ialah seramai 4,740 orang manakala murid tahun satu pula seramai 28,757 orang.
Beliau berkata, sebanyak 7,448 buah sekolah rendah dan 834 buah sekolah menengah akan dibuka untuk persekolahan 2013.
“Kami menempatkan sejumlah 12,893 orang guru untuk sekolah menengah dan 16,034 orang guru untuk sekolah rendah di sini.
“Jumlah guru tersebut adalah untuk memberi didikan kepada 361,143 orang pelajar sekolah rendah dan menegah di seluruh negeri Kelantan,” katanya.
Sesi persekolahan tahun 2013 dijadualkan bermula pada 1 Januari ini untuk negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu manakala 2 Januari di negeri-negeri lain.