SURAT KEPADA PENGARANG – PERMOHONAN BERTUKAR DITOLAK dan 14 November 2012 – GAGAL BERPINDAH SELEPAS 8 TAHUN MENGAJAR


SURAT KEPADA PENGARANG

 

Berita Harian bertarikh 12 November 2012 – PERMOHONAN BERTUKAR DITOLAK dan 14 November 2012 – GAGAL BERPINDAH SELEPAS 8 TAHUN MENGAJAR

02 January 2013

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Guru Dedikasi, Ipoh” dan “j-QAF Senior, Sarawak” dalam ruangan Forum akhbar Berita Harian bertarikh 12 November 2012– Permohonan bertukar ditolak dan 14 November 2012 – Gagal berpindah selepas 8 tahun mengajar.

 

Dasar pertukaran guru adalah seperti perkhidmatan lain iaitu berasaskan kepada keperluan perkhidmatan yang bersandarkan keperluan opsyen ataupun mata pelajaran yang diajar. Pengisian pertukaran juga melihat kepada kekosongan jawatan Anggaran Belanja Mengurus (ABM) semasa di negeri yang dipohon.

 

Selain itu, pemohon juga tertakluk kepada perjanjian semasa menerima tawaran jawatan tersebut. Bagi sekolah rendah, permohonan untuk masuk ke negeri yang tiada kekosongan jawatan dan opsyen tidak dapat diluluskan kerana emolumen (gaji) sesebuah negeri berasaskan kepada ABM yang diluluskan untuk negeri tersebut.

 

KPM perlu menimbangkan kebajikan murid-murid mengatasi guru kerana kekurangan guru sesebuah negeri akan menjejaskan pelan tranformasi KPM dan pembangunan modal insan.

 

Kedudukan guru sehingga 31 Oktober 2012, negeri-negeri berikut tidak dapat diluluskan kerana tiada kekosongan jawatan iaitu:

 

  1. Perlis
  2. Kedah
  3. Pulau Pinang
  4. Perak
  5. Pahang
  6. Kelantan
  7. Terengganu

 

KPM memberi pertimbangan sewajarnya dalam memberi kelulusan permohonan guru khususnya bagi kumpulan guru yang menghadapi masalah kesihatan kritikal seperti kanser dan sakit jantung.

 

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

HIMPUNAN BERITA – ANNUAL REPORT 2012 in review


The WordPress.com stats helper monkeys prepared a 2012 annual report for this blog.

Here’s an excerpt:

About 55,000 tourists visit Liechtenstein every year. This blog was viewed about 240,000 times in 2012. If it were Liechtenstein, it would take about 4 years for that many people to see it. Your blog had more visits than a small country in Europe!

Click here to see the complete report.

Tahun satu: Di sini sabar bermula – Sinar Harian


Tahun satu: Di sini sabar bermula

RUZY ADILA IDRIS
2 Januari 2013
“Sayang… Bangunlah, nak pergi sekolah hari ni. Semua kawan-kawan dah tunggu tu..” Demikian pujuk si ibu kepada anaknya yang masih tidak menunjukkan sebarang petunjuk mahu meninggalkan katilnya.

Sementara mata si ibu melirik ke arah jam, bimbang si anak akan kelewatan pada hari pertama persekolahan.

Mahu dimarah, terbit rasa kasihan melihat anaknya yang masih kecil tetapi mahu dipaksa-paksa bangun. Sedangkan masa masuk sekolah sudah hampir.

Maka terdetik di hati si ibu, “ohhh…sabarlah wahai hati. Jangan dimarah si anak itu. Di sini sabarku harus bermula.”

Hampir 10 minit berlalu, akhirnya si anak membuka mata dan mula mengeliat.

Cabaran seterusnya bermula, mandi!! Bukan mudah mahu melakukannya tanpa meninggikan suara. Si ibu menanam azam, tidak akan meninggikan suara pada si anak, bimbang si anak akan merasakan persekolahan menyusahkan sehingga dia perlu dimarahi ibu selalu.

Juga mengambil masa lebih kurang 10 minit, akhirnya si anak berjaya melangkah kakinya yang longlai ke bilik air. Si ibu memanjat kesyukuran dan terpancar senyuman pada wajah si ibu.

Namun, si ibu tahu, cabaran masih belum berakhir.

“Mummy, air terlalu sejuk! Mummy, ubat gigi terlalu sedikit. Mummy itu, mummy ini..,” ujar si anak. Terlalu banyak alasan. Kali ini si ibu mula mengurut dada.

Selesai mandi, yang hanya mengambil masa tiga minit, si anak mula memakai pakaian seragam sekolahnya. Si ibu mula menyisir rambut dan mengikat rambut. Itu pun tak kurang cabarannya, tetapi semuanya berjalan lancar.

Enggan membiarkan perut si anak kosong, si ibu berhempas pulas memastikan si anak memakan sarapannya. Mujur, si nenek sudi bangun awal menyediakan cekodok kegemaran cucunya.

Mujur si anak memberikan kerjasama dan makan sarapan yang dibuat khas neneknya. Tetapi kerjasama itu akan berterusan? Hanya Tuhan yang tahu.

Si ayahnya pula sudah berada dalam kereta memanaskan enjin, bersiap sedia mahu membawa si anak ke sekolah.

Akhinya, si anak tadi ditemani ibu dan bapanya menuju ke sekolah. Tidak mahu ketinggalan, si atuk turut menyertai ‘rombongan’ itu, demi beri semangat pada si cucu.

Mungkin bunyinya agak keterlaluan, tetapi alasan si atuk, dia ingin mengimbau kembali kenangan ketika menghantar anaknya ke sekolah.

Tiba di sekolah, si ibu memerhatikan si anaknya, matanya bersinar-sinar melihat begitu ramai kawan. Sedikit kelegaan kepada si ibu, anaknya akan baik-baik saja di sekolah dan dia akan membuat kawan dengan segera.

Nampaknya, sabar ibu bapa hanya benar-benar teruji pada hari pertama si anak melangkah kaki ke sekolah.

Bukan setakat memastikan persediaan anak ke sekolah siap rapi, malah dugaan-dugaan lain. Ibu bapa harus juga menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi pembiyaan yuran persekolahan anan-anak mereka.

Belum lagi bab-bab lain seperti pakaian dan kelengkapan persekolahan yang lain.

Kalau anak kembar, anak seorang, lebih dari seorang anak, pastinya setiap ibu bapa menghadapi beberapa cabaran lain.

Tetapi, demi sebuah kehidupan dan masa depan anak, semua cabaran ini perlu dihadapi dengan tabah, tanpa keluhan. Semoga anak-anak di sekolah menikmati alam persekolahan dengan gembira.

Selamat menikmati hari pertama persekolahan.

Remaja diserang sawan ditemui lemas – Bernama


Remaja diserang sawan ditemui lemas

2 Januari 2013

SETIU – Seorang remaja lelaki ditemui lemas di kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Kampung Bukit-Kampung Las, Sungai Tong di sini semalam dikatakan akibat diserang sawan ketika menunggang motosikal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu Muhamad Shahrin Shafie, 16, terbabas ke dalam sebuah lopak setelah diserang penyakit itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abd Rahman Raja Mohamad berkata beberapa penduduk kampung yang melalui kawasan itu tidak lama kemudian ternampak motosikal mangsa terbenam dalam lopak yang terbentuk selepas hujan lebat.

Berdasarkan nombor plet motosikal, penduduk kampung memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa.

Penduduk kampung kemudian menjalankan operasi mencari di lokasi kejadian sebelum menemui mangsa terbenam di dasar lopak berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa diserang sawan ketika menunggang motosikal…menyebabkan dia terbabas lalu terjatuh ke dalam lopak air,” kata Abd Rahman kepada pemberita di sini hari ini.

Hasil laporan bedah siasat di Hospital Setiu menunjukkan mangsa mati akibat lemas.  – Bernama

Puad: Bantuan sekolah RM100 dibayar 15 Jan – Bernama


Puad: Bantuan sekolah RM100 dibayar 15 Jan

2 Januari 2013
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

NILAI – Bantuan persekolahan sebanyak RM100 akan disalur kepada pelajar bermula 15 Jan ini, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Duit RM100 ini mesti diserahkan kepada ibu bapa pelajar berkenaan. Sama ada ibu  bapa nak guna duit ini nak bayar yuran PIBG (persatuan ibu bapa dan guru), itu hak mereka…tapi pihak sekolah tidak ada hak untuk potong lebih awal,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, kementerian itu telah mengeluarkan surat pekeliling  mengenai perkara tersebut kepada semua sekolah.

“Jadi, kita tidak mahu lagi dengar aduan daripada ibu bapa di mana pihak sekolah mengenakan bayaran terhadap ibu bapa yang menerima bantuan ini,” katanya yang ditemui selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Benar, SK  Sendayang dan Kolej Tunku Kurshiah (TKC) dekat sini, sempena hari pertama sesi
persekolahan 2013.

Selain sekolah kerajaan yang mempunyai lima juta pelajar, bantuan tersebut turut diagih kepada  pelajar sekolah lain seperti sekolah jenis kebangsaan, persendirian dan agama.

Bantuan itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2013. Ini adalah kali kedua pembayaran tersebut dilakukan yang meliputi semua pelajar sekolah rendah dan menengah tanpa mengira pendapatan keluarga.

Bagi ibu bapa yang tidak mahu mengambil bayaran tersebut, mereka boleh memulangkannya kepada sekolah yang mesti mengembalikannya kepada Kementerian Pelajaram.

Sementara itu, Puad berkata sebanyak 428,493 murid memasuki tahun satu di sekolah kerajaan kali ini, sementara sebanyak 15 sekolah baharu (rendah dan menengah) dibuka.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata kementerian akan membina enam kabin sebagai bilik darjah sementara bagi menampung keperluan murid tahun satu di Sk Batang Benar.

“Saya harap dalam tempoh dua minggu ini akan dapat dimulakan kerja pembinaan enam bilik darjah kabin ini. Bilik darjah kabin ini bukan kontena tapi ia adalah bangunan biasa model kabin. Pembinaan kabin ini saya harap dapat disiapkan dalam tempoh tiga minggu,” katanya.

Kesesakan di bilik darjah menyebabkan sebahagian murid tahun satu di sekolah berkenaan terpaksa ditempatkan di surau dan makmal sains.

“Untuk jangka panjang, pihak sekolah ada memohon pembinaan lapan bilik darjah yang baru untuk menampung pertambahan murid sekolah itu. Kita juga akan mempertimbangkan pembinaan sekolah baru di Pajam,” katanya.

Mengenai TKC, beliau berkata kolej itu berpindah dan memulakan sesi persekolahan secara rasmi di kompleks baharu di Bandar Enstek di sini hari ini.

Kompleks baru TKC terletak di kawasan seluas 17.4 hektar membabitkan kos kira-kira RM75 juta dan boleh menampung sehingga 900 pelajar.

Sebelum ini kolej itu terletak di Jalan Tunku Kurshiah, Seremban.

Katanya, kementerian itu sedia mempertimbangkan permohonan untuk mengekalkan TKC lama di Jalan Tunku Kurshiah sebagai sekolah berasrama penuh untuk pelajar perempuan.

Perkara ini kita bawa dalam mesyuarat di peringkat kementerian. Bagaimanapun kita tunggu keputusan menteri pelajaran,” katanya.  – Bernama

Tiga sekolah masih ditutup di Hulu Terengganu – Bernama


Tiga sekolah masih ditutup di Hulu Terengganu

2013/01/02 – 16:24:07 PMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Tiga sekolah masih ditutup di negeri ini ekoran ditenggelami air sementara 28 lagi yang ditangguhkan penggal persekolahan baharu semalam telah dibuka hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tiga sekolah berkenaan terletak di Hulu Terengganu iaitu Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok.

“Jika keadaan beransur pulih, kesemua sekolah berkenaan akan memulakan sesi persekolahan esok. Cuaca dilihat semakin baik hari ini dan saya harap semua sekolah berkenaan dapat dibuka kembali esok,” katanya kepada pemberita semasa melawat seorang murid Tahun 1 yang menghidapi masalah jantung, di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua sekolah yang ditutup semasa permulaan sesi persekolahan, perlu menggantikannya pada Sabtu ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, didapati para guru, anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat dan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah pada jam 8.30 pagi tadi.

Guru Besarnya, Mohd Hassan Deraman berharap ekoran cuaca baik yang dialami sekarang, sekolah itu dapat dibuka semula esok. – BERNAMA

PERMOHONAN JAWATAN DI BAWAH PERKHIDMATAN PELAJARAN – SPP


PERMOHONAN JAWATAN DI BAWAH PERKHIDMATAN PELAJARAN

Warganegara Malaysia yang berkelayakan adalah dipelawa untuk memohon jawatan tetap secara atas talian (online) melalui portal Jobsmalaysia di http://www.jobsmalaysia.gov.my. Untuk maklumat lanjut sila klik di sini

Muat naik pada 31 Disemberr 2012

Isu Cuti Berganti pada 26 Jan 2013 (Sabtu) – NUTP


Isu Cuti Berganti pada 26 Jan 2013 (Sabtu)

 

Untuk Makluman Saudara/Saudari,

Kementerian Pelajaran Malaysia telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan dalam proses membuat pindaan.

Sekian, harap maklum.

Pn Lok Yim Pheng

Setiausaha Agung KPPK

Tarikh Berita/News Date:
26/12/2012

Musim Hujan Landa Minggu Pertama Persekolahan – mStar


Musim Hujan Landa Minggu Pertama Persekolahan

Oleh ISABELLE LAI

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia sudah boleh menjangkakan cuaca mendung dan hujan renyai-renyai pada minggu pertama sesi persekolahan tahun ini manakala Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat akan berlaku di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang.

Jabatan Meteorologi yang mengeluarkan nasihat hujan dari peringkat kuning ke amaran hujan peringkat jingga pada Isnin berkata, hujan lebat dan sekejap-sekejap akan berlaku di Dunggun dan Kemaman, Terengganu manakala Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

“Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan rendah,” katanya dalam laman web jabatan itu.

Kawasan yang turut akan terjejas akibat hujan lebat (peringkat kuning) adalah Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Baru, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang); Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu); Perlis (Padang Besar, Kangar and Arau); Kedah (Baling, Sik, Kubang Pasu dan Padang Terap); dan Johor (Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).

“Malaysia mengalami monsun timur laut sejak Oktober dan ia dijangka berterusan sehingga awal Mac,” katanya.

Ribut petir dijangka berlaku sepanjang minggu di Selangor dan Kuala Lumpur manakala hujan renyai-renyai turut berlaku di negeri lain.

Sementara itu, jumlah manga banjir di pusat pemindahan di Terengganu, Kelantan dan Pahang menurun kepada 192 pada pukul 6 petang, Selasa berbanding 3,171 pada Isinin.

Laman web Majlis Keselamatan Negara (portalbanjir.mkn.gov.my) melaporkan kesemua mangsa ditempatkan di sembilan pusat pemindahan banjir di Pasir Puteh, Kelantan, Besut dan Hulu Terengganu.

16 batang jalan di Terengganu masih ditutup ekoran banjir dan dua jalan di Hulu Langat, Selangor ditutup ekoran tanah runtuh.

Bencana banjir sehingga kini meragut enam nyawa di Terengganu manakala satu di Negeri Sembilan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi mengumumkan sekurang-kurangnya 20,000 askar berada dalam keadaan sedia untuk menawarkan bantuan jika gelombang banjir kedua berlaku.