KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun dikesan merekrut rakan sekolah dan adik kandungnya untuk menyertai kumpulan samun diketuainya sebagai cara mudah mendapat wang belanja harian.
Difahamkan, kumpulan samun yang diketuai remaja bawah umur terbabit bergerak dengan motosikal sebelum menyamun mangsa secara rambang di kawasan gelap sekitar Bandar Tasik Sri Permaisuri.
Lebih mengejutkan, ketua kumpulan samun cilik yang dianggotai tujuh remaja berusia 15 hingga 19 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau membabitkan samun kedai runcit setahun lalu dan masih berada di bawah perintah pengawasan mahkamah yang tamat Julai depan.
Mendedahkan mengenai kumpulan samun cilik terbabit, Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kegiatan kumpulan samun remaja itu terbongkar selepas pihaknya menerima maklumat daripada seorang mangsa mereka, awal pagi semalam.
Menurutnya, ketika sepasukan anggota bertugas di kawasan berkenaan, mereka didatangi seorang remaja berumur 14 tahun yang mendakwa disamun tujuh remaja bermotosikal.
“Sebaik menerima aduan, anggota berkenaan membawa mangsa ke kawasan perumahan berhampiran dan ternampak sekumpulan remaja berkumpul dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota itu mendekati kumpulan remaja terbabit dan selepas memperkenalkan diri sebagai polis, mereka cuba melarikan diri namun lima daripada mereka ditahan,” katanya, semalam.
Beliau berkata, sebaik ditahan mangsa membuat pengecaman dan menyatakan kumpulan itu yang menyamunnya sejam sebelum itu dan lima remaja terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.
Katanya, pemeriksaan dalam poket seluar remaja berusia 16 tahun yang dipercayai ketua kumpulan samun itu membawa kepada penemuan sebuah telefon bimbit milik mangsa.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ketua kumpulan samun itu pernah ditahan atas kesalahan samun kedai runcit di kawasan sama tahun lalu dan dia dikenakan tindakan perintah pengawasan mahkamah selama dua tahun yang tamat pada 18 Julai depan.
“Meskipun, masih berada di bawah perintah pengawasan mahkamah, remaja ini masih meneruskan kegiatan jenayah, malah merekrut ahli baru untuk kumpulan samunnya dari kalangan rakan sekolah dan adik kandungnya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02