SK Sultan Yussuf rugi RM57,000 dipecah masuk – Sinar Harian


SK Sultan Yussuf rugi RM57,000 dipecah masuk

SAIFULLAH AHMAD
2 Januari 2013
Sekolah pecah masuk
Keadaan SK Sultan Yussuf yang dipecah masuk mengakibatkan kerugian lebih RM57,000.

IPOH – Suasana hari pertama sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah, dekat sini bertukar muram selepas 12 komputer riba milik sekolah berkenaan dilarikan penjenayah.

Sekolah itu mengalami kerugian lebih RM57,000 dalam kejadian yang hanya disedari selepas seorang gurunya mendapati bilik guru dan pejabat diceroboh pada jam 7.30 pagi, 29 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kejadian dimaklumkan kepada guru besar sekolah berkenaan yang kemudiannya membuat laporan polis.

“Berdasarkan siasatan awal yang dibuat, suspek dipercayai masuk ke kawasan sekolah melalui pagar yang telah dipotong di bahagian belakang sekolah.

“Kemudian suspek naik ke tingkat satu bangunan tanpa kamera litar tertutup (CCTV) menempatkan kedua-dua bilik terbabit, melalui pintu gril tangga yang dipercayai tidak berkunci berikutan tiadak kesan dipecahkan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Shaharon Anuar, suspek dipercayai lebih dari seorang telah memecah masuk bilik guru dan menyelongkar beberapa meja guru berdasarkan keadaan bilik berselerak.

Katanya, bilik guru besar yang terletak dalam pejabat terbabit diumpil dan peti besi serta almari komputer riba di dalamnya turut dipecahkan.

“Suspek mengambil beberapa komputer riba yang berada di dalam almari itu. Peti besi juga dipecahkan bagaimanapun tiada barang berharga di dalam.

“Selepas mengambil barang-barang yang dikehendaki, suspek keluar melalui jalan yang sama seperti mereka masuk,” jelasnya.

Shaharon Anuar berkata, sebanyak 12 komputer riba yang dicuri dengan nilai keseluruhan berjumlah RM57,264.50.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai didatangi mana-mana individu mencurigakan untuk menjual komputer riba dengan harga yang murah diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Suriyantee Abd Hamid di talian 05-3629222 sambungan 9066 atau telefon bimbit 017-4000950.

“Jika ada mana-mana individu yang menjual komputer riba dengan harga rendah, pastikan nombor sirinya terlebih dahulu. Jika terdapat mana-mana jenis dan nombor siri seperti mana yang dinyatakan, hubungi segera pihak polis di balai polis berhampiran atau nombor yang dinyatakan.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Ahmad Damanhuri Ibrahim ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak mengganggu sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Katanya, pihak sekolah telah diminta membuat laporan mengenai kejadian berkenaan bagi tindakan selanjutnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s