Kuarters guru jadi kelas – Sinar Harian


Kuarters guru jadi kelas

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Kuarters guru jadi kelas
Bangunan SK Taman Intan Perdana.

TELOK KEMANG – Gara-gara lambakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kemang yang terlalu ramai, beberapa kuarters guru terpaksa dijadikan bilik darjah Kelas Agama Petang (KAP) sejak setahun lalu.

Rata-rata ibu bapa dan penjaga murid berharap agar SK Taman Intan Perdana yang dibina kira-kira lima kilometer dari sekolah berkenaan akan segera beroperasi bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

Tinjauan mendapati, seramai 1,569 murid SK Telok Kemang yang memulakan sesi persekolahan semalam terpaksa menjalani dua sesi pembelajaran iaitu pagi dan petang.

Inisiatif ini dilaksanakan untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada murid bagi sesi pembelajaran dan pengajaran mereka, malah guru juga mengambil pendekatan menggilirkan kelas tambahan pada waktu petang kepada murid tahun enam bagi menangani kekurangan kelas.

Bapa, Abd Rahman Rais, 35, berkata, dia sedia maklum dengan masalah yang berlaku dan berharap agar SK Taman Intan Perdana boleh segera beroperasi.

Menurutnya, sekolah itu dibina atas janji Pilihanraya Kecil Dun Bagan Pinang lalu dan sepatutnya ia beroperasi pada sesi persekolahan 2011, namun atas beberapa masalah yang berlaku ia tertangguh sehingga kini.

“Saya amat berharap sekolah itu dapat dibuka dalam masa terdekat ini kerana apa yang saya lihat bangunan sekolah semuanya sudah siap dan hanya menunggu jalan diturap,” katanya.

Manakala Zuril Arif, 33, berkata, anaknya baru mendaftar di tahun satu dan dia mahukan anaknya mendapatkan kemudahan pendidikan saya selesa.

“Murid di sekolah ini terlalu ramai tetapi kemudahan infrastrukturnya kurang menyebabkan pengurusan terpaksa melaksanakan dua sesi persekolahan sedangkan konsep itu sudah tidak dilaksanakan di negara kita,” katanya.

Sementara Maimunah Hashim, 33, berkata, walaupun mempunyai murid yang padat, namun rekod pencapaian kecemerlangan SK Telok Kemang ini sangat baik terutamanya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menurutnya, disebabkan itu ramai ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke sekolah itu.

TPM lawat SK Alam Megah 2 Shah Alam – Bernama


TPM lawat SK Alam Megah 2 Shah Alam

3 Januari 2013

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melakukan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Alam Megah Dua di Seksyen 27 di sini.

Muhyiddin yang tiba di sekolah berkenaan pada pukul 9 pagi meluangkan masa melawat guru dan murid tahun satu di sekolah itu yang memulakan sesi persekolahan 2013 mereka semalam.

Beliau turut melawat Pusat Sumber dan kelas prasekolah selain meluangkan masa minum pagi dan bergambar dengan para guru sebelum meninggalkan sekolah itu sejam kemudian.

Guru Besar sekolah Ros Aini Che Man yang ditemui pemberita kemudian, berkata lawatan kerja itu antaranya bertujuan meninjau susana pembelajaran murid tahun satu dan kesan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang dimulakan pada 2011.

Sekolah itu yang melaksanakan persekolahan satu sesi mempunyai 54 guru dan 960 murid dengan 168 daripadanya murid tahun satu.  – Bernama

Kes kecurian dua sekolah – Sinar Harian


Kes kecurian dua sekolah

NORMAWATI ADNAN
3 Januari 2013
Kes kecurian dua sekolah
Sekolah yang dipecah masuk menjelang permulaan sesi pembelajaran 2013.
Kes kecurian dua sekolah
Sekolah yang dipecah masuk menjelang permulaan sesi pembelajaran 2013.

IPOH – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan menunggu laporan siasatan penuh daripada polis sebelum tindakan lanjut diambil berhubung kes kecurian peralatan sekolah di negeri ini menjelang sesi pembelajaran 2013.

Pemangku Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli berkata, langkah itu perlu bagi memastikan gerak kerja di sekolah berkenaan tidak terganggu.

Menurutnya, daripada laporan yang diterima, dua sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yussuf (Batu Gajah) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Lope Nor Rashid (Tanjung Piandang) dipecah masuk, 29 dan 31 Disember lalu mengakibatkan kehilangan beberapa perkakas.

“Bagaimanapun, kedua-dua kes ini tidak mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran murid. Sesi persekolahan dibuka dan berjalan sama seperti sekolah lain.

“Kehilangan yang dilaporkan adalah membabitkan peralatan komputer dan beberapa perkakas lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Idris berkata, buat masa ini, JPN belum menerima laporan lanjut berhubung siasatan kedua-dua kes berkenaan.

“Kita akan tunggu hingga siasatan selesai,” katanya.

Dalam laporan semalam, SK Sultan Yussuf mengalami kerugian lebih RM57,000 apabila 12 komputer riba dilarikan.

Siasatan awal mendapati, suspek masuk ke kawasan sekolah melalui pagar belakang.

Dalam kejadian 31 Disember pula, sebuah komputer dan beberapa projektor milik SMK Raja Lope Nor Rashid dilarikan.

Misi bersih bilik darjah – Sinar Harian


Misi bersih bilik darjah

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Misi bersih bilik darjah
Suasana gotong-royong di SMA Mahmudiah, Kuala Berang.

KUALA BERANG – Banjir gelombang kedua yang kini surut membolehkan pihak sekolah di beberapa sekolah terlibat di sekitar Bandar Kuala Berang, di sini, memulakan misi membersihkan kawasan serta bilik darjah, semalam, bagi memulakan sesi persekolahan hari ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, suasana di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan meriah dengan penglibatan 150 individu termasuk Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Dun Kuala Berang, Rela serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Sementara itu, di Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah, pihak sekolah tekun bergotong-royong dan semalam akhbar ini menyiarkan kira-kira 950 pelajar diarahkan pulang kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin setelah paras air di kawasan sekolah itu semakin naik.

Bilik darjah dipenuhi lumpur

Guru Besar SK Tengku Ampuan Intan, Mat Hassan Draman berkata, seramai 548 murid termasuk 93 murid darjah satu dijadualkan memulakan persekolahan sesi baru serta ‘hari pertama’ mereka hari ini, setelah tidak dapat berbuat demikian akibat banjir gelombang kedua.

“Sekolah ini sering dilanda banjir pada musim tengkujuh, tetapi sebelum ini ia tidak jejaskan persekolahan kerana berlaku dalam tempoh cuti sekolah. Kali ini, bencana berlaku ketika persekolahan bermula. Semua ini di luar kekuasaan kita semua.

“Banjir gelombang kedua semalam (kelmarin) tidak begitu teruk jika dibandingkan gelombang pertama minggu lalu kerana paras air naik sekitar satu meter sahaja berbanding baru-baru ini iaitu melebihi dua meter,” katanya.

Menurut beliau, kali ini, banyak peralatan seperti meja dan kerusi khususnya dalam bilik darjah terpalit lumpur.

“Memandangkan banjir surut, hari ini (semalam) pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dengan dibantu pelbagai agensi sama-sama bergotong-royong membersihkan sekolah bagi memulakan seisi persekolahan dijadualkan esok (hari ini),” katanya.

Sentiasa siap sedia

Mat Hassan berkata, air mula naik sekitar kawasan sekolah berkenaan sejak awal pagi kelmarin, tetapi kembali surut lewat petang hari sama, sekali gus membolehkan pihak sekolah melaksanakan kerja membersihkan kawasan termasuk kantin serta bilik darjah.

Dalam perkembangan sama, Mat Hassan berkata, memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir, pihaknya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana dikhuatiri bencana banjir berulang kembali dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu, Shafruddin Ali Husin berkata, hanya tiga sekolah masih lagi ditutup semalam akibat banjir iaitu SK Tengku Ampuan Intan, SMA Mahmudiah dan SM Imtiaz Kuala Berang berbanding 13 sekolah pada hari pertama persekolahan.

“Berikutan keadaan banjir yang semakin pulih membolehkan 10 sekolah kembali memulakan persekolahan masing-masing sebagaimana biasa semalam, termasuk SK Lubuk Periuk yang dinaiki air.

Puad: Dua sekolah masih ditutup akibat banjir – Bernama


Puad: Dua sekolah masih ditutup akibat banjir

3 Januari 2013
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

HULU TERENGGANU – Dua sekolah, masing-masing satu di Kelantan dan Terengganu masih ditutup akibat banjir, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Dua sekolah yang masih ditenggelami air itu ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah di Rantau Panjang, Kelantan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut, Setiu di Terengganu.

Beliau berkata sehingga kini hanya sebuah sekolah di Kelantan yang masih dijadikan pusat pemindahan banjir iaitu SK Bukit Awang.

“Bagaimanapun, SK Bukit Awang tetap meneruskan sesi persekolahan seperti biasa kerana hanya terdapat 15 mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah itu,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan hari pertama sesi persekolahan 2013 di SK Tengku Ampuan Intan di sini hari ini.

SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama Mahmudiah dan SK Bukit Tadok di Hulu Terengganu adalah antara sekolah yang baru memulakan penggal persekolahan baru hari ini setelah ditutup dua hari akibat banjir.- Bernama

Kerajaan rugi RM3.2 juta akibat banjir landa sekolah pantai timur – Bernama


Kerajaan rugi RM3.2 juta akibat banjir landa sekolah pantai timur

3 Januari 2013
Dr Mohd Puad Zarkashi
$entry.content.caption.value

HULU TERENGGANU – Kerajaan menanggung kerugian kira-kira RM2.63 juta akibat bencana banjir yang melanda beberapa sekolah di pantai timur, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata Terengganu mencatat kerugian tertinggi iaitu RM1.9 juta membabitkan 39 sekolah, diikuti Kelantan (RM424,900 dengan 34 sekolah) dan Pahang (RM309,650 membabitkan sebuah sekolah).

Beliau ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di sini, yang memulakan hari pertama sesi persekolahan 2013 hari ini. Kelewatan itu disebabkan sekolah berkenaan terbabit banjir.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata kerugian disebabkan kerosakan peralatan sekolah  seperti kerusi, meja dan komputer yang sebahagiannya ditenggelami air walaupun sudah diletak di tempat tinggi.

“Selain itu, kerugian juga disebabkan kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jeneris di sini dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) di Kuantan, Pahang yang berlaku pada 31 Disember lalu.

“Di SMK Kuala Jeneris kita melihat aliran air masih berlaku dan runtuhan itu telah menimpa bangunan asrama… walaupun penghuni belum masuk ke asrama, kita dah buat arahan kepada pihak konsultan untuk ambil tindakan untuk membaiki keadaan cerun tersebut,” katanya.

Bagi SBPI Kuantan itu, Jabatan Kerja Raya mengesahkan tiga blok yang menempatkan asrama puteri, dewan makan dan rumah pengetua sebagai tidak selamat, katanya.

Sehubungan itu, kementerian menangguhkan pendaftaran pelajar tingkatan dua, tiga dan empat kepada 6 Jan, manakala pelajar tingkatan satu pula akan mendaftar pada 13 Januari dan pelajar tingkatan empat  akan mendaftar pada 29 Januari, katanya.

Mohd Puad berkata kementerian juga telah memutuskan untuk memindahkan 271 pelajar yang menghuni asrama puteri itu ke bangunan rumah kedai yang disewa untuk tempoh tiga bulan bagi membolehkan runtuhan di bangunan terbabit dibaiki.

“Kita jangka proses membaiki runtuhan itu akan mengambil tempoh tiga bulan jadi kita akan sewa rumah kedai sejauh 1.5 kilometer untuk sementara waktu.

“Kita juga telah mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang menyediakan pengangkutan iaitu bas JPN dan sekolah lain utk mengangkut pelajar ini ke sekolah,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan kementerian dalam menangani masalah banjir yang sering berlaku di beberapa sekolah di Hulu Terengganu, Mohd Puad berkata pihaknya memohon kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran untuk melihat beberapa aspek, terutama perparitan di kawasan berkenaan.

“Oleh kerana Hulu Terengganu ini kawasan rendah, ia membabitkan juga pihak-pihak yang lain…kita tahu bahawa kos untuk kita buat sistem saliran yang komprehensif itu melibatkan kos yang agak tinggi.

“Sebab itu dalam menghadapi banjir ini, kita ada prosedur ‘payung’ iaitu peralatan dan dokumen penting perlu diletakkan di tempat atas, namun mungkin banjir melanda ketika musim cuti sekolah, jadi perkara ini tidak dapat dielakkan dan berlaku kerosakan yang mengakibatkan kerugian,” katanya.  – Bernama

Murid mogok depan sekolah – Sinar Harian


Murid mogok depan sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Januari 2013
Murid mogok depan sekolah
Ibu bapa dan penjaga yang sedia menunggu di hadapan sekolah kerana tidak berpuas hati dengan pertukaran guru berkenaan.
Murid mogok depan sekolah
Komathy (kiri) bersama Poopathy menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

JEMPOL – Hampir 60 ibu bapa dan penjaga sebuah sekolah  rendah di sini membuat bantahan secara aman di hadapan sekolah terbabit semalam.

Bantahan itu dilakukan akibat tidak berpuas hati dengan tindakan pihak bertanggungjawab menukarkan dua guru sekolah itu ke sekolah lain dengan alasan tidak munasabah.

Berikutan itu, murid, ibu bapa dan penjaga mogok lebih kurang sejam dan tidak mahu masuk ke dalam kelas pada hari pertama persekolahan sebelum dinasihatkan pihak bertanggungjawab untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Mereka mendakwa tindakan itu diambil kerana dua guru berkenaan dikatakan mengadu kepada pihak atasan berhubung dua pekerja am sekolah yang sebelum ini menerima kata-kata lucah daripada guru besar selain mengugut akan memberhentikan mereka.

Kejadian berlaku pada 25 September tahun lalu, apabila dua pekerja am berkenaan, R Komathy, 19 dan kakak iparnya, K Poopathy, 24, yang sedang membersihkan kawasan sekolah didatangi guru besar lalu menegur mereka.

Komathy mendakwa, guru besar itu menegur kakak iparnya, kenapa nampak letih dan guru besar itu memberitahu dia pandai mengurut kemudian mempelawa masuk ke biliknya.

“Dia juga memanggil kami untuk melihat dua ekor anjing yang sedang mengawan di luar pagar sekolah. Kemudian mengugut kami supaya tidak memberitahu perkara itu kepada orang lain.

“Jika kami maklumkan juga, kami akan diberhentikan kerja selain (guru besar) tidak akan menandatangani slip gaji kami. Jadi kami jadi takut, dan mengadu pada cikgu sekolah,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 27 September tahun lalu kerana bimbang akan keselamatan mereka berdua.

Nenek kepada seorang murid, C Parvathy, 46 berkata, dia kecewa dengan pertukaran dua guru terbabit kerana  mereka hanya mempertahankan maruah dua pekerja am itu.

“ Saya difahamkan, dua guru ini memaklumkan insiden berkenaan kepada pihak atasan berhubung tingkah laku guru besar itu,” katanya.

Bapa seorang murid, M Manivanan, 40 berkata, dia terkejut dengan pertukaran guru terbabit yang disifatkan sebagai tindakan mengejut.

“Kami tidak mahu guru besar yang seperti ini, iaitu mengeluarkan kata-kata tidak senonoh kepada orang lain, sepatutnya guru besar ini yang ditukarkan,” katanya.

Suami kepada salah seorang guru yang ditukarkan berkata, isterinya hanya diberitahu mengenai pertukaran itu seminggu sebelum sekolah dibuka.

“Saya juga begitu kecewa apabila mendapat tahu berita berkenaan. Isteri saya hanya mempertahankan maruah dua pekerja am ini sahaja. Bagaimanapun, saya mahu kes ini disiasat pihak atasan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli ketika dihubungi berkata, beliau akan menyemak insiden berkenaan dengan pihak berkenaan.

Remaja Diserang Sawan Ketika Menunggang Motosikal Ditemui Lemas – Bernama


Remaja Diserang Sawan Ketika Menunggang Motosikal Ditemui Lemas

SETIU: Seorang remaja lelaki ditemui lemas di kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Kampung Bukit-Kampung Las, Sungai Tong di sini semalam dikatakan akibat diserang sawan ketika menunggang motosikal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu Muhamad Shahrin Shafie, 16, terbabas ke dalam sebuah lopak setelah diserang penyakit itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abd Rahman Raja Mohamad berkata beberapa penduduk kampung yang melalui kawasan itu tidak lama kemudian ternampak motosikal mangsa terbenam dalam lopak yang terbentuk selepas hujan lebat.

Berdasarkan nombor plet motosikal, penduduk kampung memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa.

Penduduk kampung kemudian menjalankan operasi mencari di lokasi kejadian sebelum menemui mangsa terbenam di dasar lopak berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa diserang sawan ketika menunggang motosikal menyebabkan dia terbabas lalu terjatuh ke dalam lopak air,” kata Abd Rahman kepada pemberita di sini, Rabu.

Hasil laporan bedah siasat di Hospital Setiu menunjukkan mangsa mati akibat lemas. -BERNAMA

Pelajar ditemui mati tergantung – Kosmo


Pelajar ditemui mati tergantung

 

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my

 

ANGGOTA polis mengusung mayat Alexander yang ditemui mati tergantung di sebuah rumah di Desa Pujut, Miri semalam.

 

MIRI – Seorang pelajar lelaki tingkatan dua ditemui mati tergantung pada jeriji tingkap bilik tidur di sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Pujut dekat sini semalam.

Mayat Alexander Ajang Wan (gambar kecil), 14, ditemui pada pukul 12 tengah hari oleh bapanya dalam keadaan tergantung menggunakan tuala dan baju milik mangsa yang diikat pada jeriji tingkap bilik.

Ketika kejadian, remaja tersebut tinggal di rumah bersama bapa dan datuknya manakala ibu serta adik-beradik yang lain keluar bekerja dan ke sekolah.

Ibu saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, anak kedua daripada empat beradik itu langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini malah mereka sempat berborak ringkas.

Sejam sebelum kejadian, wanita itu memberitahu, bapa mangsa menyuruh Alexander yang bersekolah sesi petang bersiap untuk dihantar ke sekolah.

“Kira-kira setengah jam kemudian bapanya memanggil Alexander beberapa kali tetapi tiada jawapan,” katanya ketika ditemui di rumah tersebut.

Kata ahli keluarga itu lagi, si bapa yang curiga kemudian naik ke tingkat atas sebelum terkejut melihat anaknya dalam keadaan tergantung sebaik membuka pintu bilik tidur remaja itu.

Jelasnya lagi, sebelum ini, mangsa pernah meluahkan perasaan bahawa dia tidak suka bersekolah pada sesi petang kerana abang dan adik-beradiknya yang lain bersekolah pada sesi pagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi menolak kejadian itu mempunyai unsur jenayah.

Kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Mayat remaja itu dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.kap bilik tidur di sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Pujut dekat sini semalam.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm#ixzz2GsYusNiu
Hakcipta terpelihara

Tiga buah sekolah di Terengganu masih ditutup – Kosmo


Tiga buah sekolah di Terengganu masih ditutup

 

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my

 

GURU dan ibu bapa murid bersama-sama membersihkan bilik darjah yang dipenuhi lumpur akibat banjir di SK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu semalam.

 

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 27 daripada 30 buah sekolah yang tidak dapat memulakan hari pertama sesi persekolahan 2013 kelmarin ekoran banjir di negeri ini mula dibuka semula semalam.

Tiga buah sekolah lagi iaitu Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan dan SK Bukit Tadok di Hulu Terengganu belum boleh dibuka kerana sekolah berkenaan masih digenangi air.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman memberitahu, cuaca yang semakin baik membolehkan sebahagian besar sekolah yang terbabit banjir dibenarkan dibuka semalam.

“Cuaca hari ini (semalam) dilihat semakin baik dan saya harap semua sekolah berkenaan dapat dibuka semula esok (hari ini),” katanya ketika membuat lawatan di SK Wakaf Mempelam dekat sini semalam.

Kelmarin, 30 buah sekolah melibatkan 12,000 pelajar di Terengganu tidak dapat memulakan penggal baharu persekolahan ekoran banjir gelombang kedua yang melanda negeri itu.

Menurut Razif, ibu bapa boleh menghubungi sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai sekolah anak-anak mereka.

Sementara itu, Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara memaklumkan sehingga pukul 9 malam tadi hanya 41 mangsa masih ditempatkan di dua pusat pemindahan.

Daripada jumlah itu, 20 mangsa ditempatkan di Dewan Sivik, Batu 24, Hulu Terengganu manakala 21 mangsa lagi ditempatkan di pusat pemindahan di Setiu.

Di Kelantan, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan berkurangan apabila hanya 18 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Gong Keding masih ditempatkan di SK Bukit Awang, Pasir Puteh.

Bagaimanapun, paras air beberapa sungai utama di Kelantan mencatat kenaikan semula dengan Sungai Lebir, Sungai Kelantan di Tangga Krai, Jambatan Guillemard dan Tambatan Diraja serta Sungai Golok di Jenob mencatat bacaan paras berjaga-jaga.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang pula memaklumkan, hanya sebuah sekolah iaitu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah Kampung Bongor, Pasir Mas masih ditutup kerana laluan utama ke sekolah tersebut masih ditenggelami air dan ia berbahaya kepada murid.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2GsYgt7Mt
Hakcipta terpelihara