Usah usik duit RM100 – Metro


Usah usik duit RM100

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

NILAI: Kementerian Pelajaran memberi amaran supaya pihak sekolah tidak membuat pemotongan Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100 yang bakal diagihkan kepada murid tahun satu hingga tingkatan lima bermula 15 Januari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, surat pekeliling mengenai amaran pemotongan wang itu sudah dihantar ke semua sekolah di seluruh negara.
“Pihak sekolah tidak dibenarkan melakukan pemotongan wang untuk apa tujuan sekalipun termasuk tunggakan yuran sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

 

“Wang ini bertujuan meringankan beban ibu bapa murid dan kami tidak mahu mendengar aduan ibu bapa mengenai hal ini (pemotongan) bagi membolehkan bantuan sampai kepada penerima,” katanya pada sidang media selepas melawat Kolej Tunku Kurshiah (TKC) yang berpindah ke bangunan baru di Bandar Enstek, di sini, semalam.
Katanya, 5.4 juta pelajar daripada lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah seluruh negara menerima bantuan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2013.
“Tetapi, kami juga tidak mahu mendengar aduan sekolah membuka kaunter khas untuk bayaran tunggakan ketika pengagihan wang bantuan berkenaan.

 

 

“Bagaimanapun, terpulang kepada ibu bapa sama ada mahu membayar yuran PIBG atau tunggakan, tetapi bukan pemotongan dilakukan oleh sekolah,” tegasnya. Dalam perkembangan lain, Mohd Puad berkata, TKC menjadi satu-satunya sekolah berasrama penuh perempuan menawarkan program ‘International Baccalaureate’ (IB) kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Melalui program dua tahun itu, pelajar diberi biasiswa dengan kelas diasingkan daripada kelas pelajar lain dan tenaga pengajar pula terdiri daripada guru TKC dan guru khas,” katanya.

 

Beliau berkata, TKC memulakan pengambilan 100 pelajar IB bermula tahun depan dan ketika ini, hanya Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menawarkan program berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

Budak jantung di luar ikuti Program Pendidikan Khas – Metro


Budak jantung di luar ikuti Program Pendidikan Khas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang daripada empat kanak-kanak di negara ini yang jantungnya berada di luar kedudukan iaitu di tengah dada, kini mengikuti sesi persekolahan melalui Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Mempelam.

Ibu saudara pelajar itu, Rosiati Awang, 39, dari Kampung Wakaf Jala, Pengadang Baru di sini, berkata Muhammad Faiz Muntasir Muzil, 7, dikesan menghidap penyakit itu sejak dilahirkan.
Menurutnya, doktor memberitahu penyakit berkenaan tidak boleh dirawat kerana ruang asal jantung dipenuhi organ lain.

 

“Jantung Muhammad Faiz Muntasir berada di tengah-tengah, antara kedua-dua paru-parunya. Degupan jantungnya juga dapat dilihat dengan jelas,” katanya yang menjaga anak saudaranya itu sejak kecil, berikutan ibu bapa Muhammad Faiz bekerja di ibu negara.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

Murid kerdil perlu kerusi khas – Metro


Murid kerdil perlu kerusi khas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PEKAN: Ketiadaan kerusi khas memberi masalah kepada pelajar kerdil, Mohd Zulhanif Abdul Halim, 13, yang memulakan sesi persekolahan tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan di sini, semalam.

Mohd Zulhanif setinggi 72 sentimeter, menggunakan kerusi elektrik sumbangan Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 2007 ketika belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara, Sungai Miang, di sini, namun kerusi berkenaan kini rosak.
Bapanya, Abdul Halim Sulaiman, 37, berkata bagi meneruskan pelajaran di SMK Pekan, anaknya itu terpaksa menggunakan tiga kerusi plastik yang disusun bertingkat untuk mendapatkan ketinggian sesuai dengan meja dalam kelas.

 

Katanya, masalah lain dihadapi Mohd Zulhanif ialah tandas dan tempat membasuh tangan yang tidak sesuai dengan ketinggiannya.
“Saya merayu pihak sekolah menyediakan kemudahan sesuai kepada anak saya yang belajar dalam Kelas Pendidikan Khas (KPK) serta berharap UMP dapat mempertimbangkan untuk sekali lagi menyumbang kerusi elektrik kepada Mohd Zulhanif,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Miang, dekat sini.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

Sekolah 5 guru empat pelajar – Metro


Sekolah 5 guru empat pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HUTAN MELINTANG: Musim persekolahan baru 2013 bermula semalam menjadi detik paling ‘eksklusif’ buat empat murid Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak (SKTR) mukim Teluk Baharu, di sini, kerana hanya mereka yang belajar di sekolah itu tahun ini dibantu lima guru.

SKTR memulakan persekolahan baru dengan hanya empat murid masing-masing seorang murid tahun satu; tahun tiga; tahun lima dan tahun enam.
Kekurangan itu bagaimanapun langsung tidak melemahkan semangat Mohd Zulkifle lkmal Mohd Fauzie, 9; Mohd Azrol Termizi, 11, dan Mohd Azrol Amri Salim, 12, untuk menggapai cita-cita malah, murid tunggal tahun satu yang mendaftar semalam, Mohd Nor Sarwani Ahmad Kamal, 7, kelihatan ceria dan gembira.

 

Fenomena itu sudah lazim buat tenaga pengajar di sekolah berkenaan sejak 11 tahun lalu, namun ia tidak merencatkan fungsi pembelajaran dan persekolahan di sekolah itu.
Lebih membanggakan, calon tunggal Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu iaitu Muhammad Amirnur Hadi Ahmad Kamal berjaya mendapat keputusan cemerlang 5A.
Amirnur Hadi yang juga anak kepada Pengerusi Persatuan lbu bapa dan Guru (PIBG) SKTR, Hajar Abdul Samad, 44, mendapat 5A kini melanjutkan pelajaran dalam tingkatan satu ke Sekolah Menengah Sains Teluk lntan dekat sini.

 

 

Sekolah di kawasan tengah ladang sawit bersempadan dengan Sungai Perak itu terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang dan Parlimen Bagan Datoh itu diketuai oleh Muhaini lbrahim, 56, sebagai Guru Besar dibantu lima guru.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

‘Saya tak sabar belajar’ – Metro


‘Saya tak sabar belajar’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: “Saya tidak sabar untuk belajar dan berjumpa ramai kawan baru,” kata murid orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Irfan Fakhri Rosazman yang mendaftar masuk ke tahun satu di Sekolah Kebangsaan Presint 14, semalam.

Fakhri yang terpaksa menggunakan papan luncur rekaan bapanya untuk bergerak kerana mengalami kecacatan bahagian pinggul yang digelar ‘Sacral Agenesis’ menyebabkan bahagian kaki tidak membesar dengan sempurna kelihatan seronok apabila kali pertama masuk ke kelas.
Di sekolah itu, dia ditempatkan di dalam kelas Pendidikan Khas Integrasi bersama 43 murid lain yang mempunyai masalah pembelajaran.

 

Bapanya, Rosazman Abd Manan, 46, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu mengalami kecacatan pada kedua-dua belah kaki sejak dilahirkan, namun dia tetap ceria dan bersemangat mahu belajar.
“Sejak memasuki prasekolah, Fakhri menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelajaran dan bercita-cita menjadi seorang akauntan serta mahu membeli sebuah rumah untuk dihadiahkan kepada saya dan ibunya,” katanya yang ditemui semalam.
Menurutnya, dia dan isteri sentiasa memberi semangat kepada Fakhri supaya tidak berasa rendah diri dan cekal berdepan dengan pelbagai cabaran walaupun mengalami kekurangan fizikal.

 

 

“Saya dan isteri akan memberi tumpuan membantu Fakhri ke sekolah kerana pergerakannya terbatas terutama ketika menaiki tangga,” katanya. Harian Metro sebelum ini melaporkan kecacatan bahagian pinggul menyebabkan Fakhri hanya boleh menggunakan tangan untuk bergerak malah terpaksa mengengsot untuk bergerak dan bermain bersama kakak dan adiknya.
Keadaan anaknya memberi ilham kepada Rosazman untuk membuat rekaan papan luncur sendiri selepas melihat Fakhri duduk di atas permainan kereta kawalan jauh ketika berusia setahun.

 

Sejak itu, Fakhri yang kini berusia enam tahun tidak pernah berenggang dengan papan luncur kesayangannya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya, Jamaluddin Yusoff berkata, seramai 2,103 murid tahun satu mendaftar bagi sesi 2013 berbanding tahun lalu seramai1,738 murid.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

Mati enggan sekolah petang – Metro


Mati enggan sekolah petang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MIRI: Seorang pelajar tingkatan dua yang sebelum ini menyuarakan keengganannya ke sekolah pada sesi petang kerana adik-beradiknya yang lain bersekolah pagi, ditemui mati tergantung di tingkap bilik di rumahnya di Desa Pujut, di sini, semalam.

Alexander Ajang, 14, yang juga anak kedua daripada empat beradik itu ditemui tergantung dengan leher dijerut tuala dan baju yang diikat pada jeriji tingkap oleh bapanya, jam 12 tengah hari.
Ibu saudara mangsa, Roselind, 32, berkata, kematian mangsa amat mengejutkan kerana sejam sebelum kejadian, dia bersikap seperti biasa ketika membuka pintu rumah untuk bapanya berusia 40-an yang pulang untuk menghantarnya ke sekolah.

 

“Sebaik bapanya yang juga abang saya tiba di rumah, dia berehat di rumah tamu dan menyuruh anaknya itu mandi serta memakai seragam untuk ke sekolah.
“Tapi, selepas setengah jam dia masih tidak keluar dari bilik biarpun ayahnya memanggil namanya beberapa kali. Sebaik pintu bilik dibuka, ayahnya terkejut melihat dia tergantung di tingkap bilik dan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut wanita itu, sehari sebelum kejadian, mangsa memberitahu tidak mahu ke sekolah kerana abang serta adik-beradiknya yang lain bersekolah sesi pagi dan hanya dia pada sesi petang.

 

 

“Bagaimanapun, semua ahli keluarga lain tidak mengendahkan kata-katanya kerana menganggap itu perkara biasa saja. Kami tidak menyangka dia akan mengambil tindakan drastik seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

Guru warga Malaysia ditangkap menipu peniaga berlian di India – Utusan


Guru warga Malaysia ditangkap menipu peniaga berlian di India

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Polis India memberkas seorang guru lelaki warga Malaysia di Chinniampalayam, Coimbatore, India kelmarin kerana menipu seorang peniaga berlian di negara tersebut.

Mangsa berasal dari Chennai, India mendakwa mengalami kerugian lebih 10 lakh (RM55,796) setelah menyerahkan cincin dan rantai leher bertatahkan berlian kepada suspek yang mendakwa berminat membeli barang kemas tersebut pada 13 Oktober lalu.

Sumber berkata, suspek dikenali sebagai M.Ravi, 44, yang bekerja sebagai guru di negara itu, ditahan oleh polis selepas mangsa yang gagal mengesannya tampil membuat laporan polis.

Menurutnya, Ravi yang bekerja sebagai guru di Chinniampalayam telah menghubungi peniaga dari Chennai itu melalui telefon memaklumkan ada ramai usahawan berminat membeli berlian daripadanya jika pergi ke bandar tersebut.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130103/je_05/Guru-warga-Malaysia-ditangkap-menipu-peniaga-berlian-di-India#ixzz2GsR7sc4m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ragut:2 remaja ditahan – Utusan


Ragut:2 remaja ditahan

KEPALA BATAS 2 Jan. – Polis menahan dua remaja lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan satu kes ragut yang menyebabkan kematian seorang warga emas di Jalan Butterworth-Kepala Batas di Permatang Manggis, 28 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, kedua-dua remaja tersebut ditahan di rumah mereka semalam.

Dalam insiden pukul 7.30 itu, A. Josop, 65, mati di tempat kejadian apabila seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal meragut rantai emas yang dipakai isteri mangsa, A. Laies, 52.

Mangsa gagal mengawal motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangnya menyebabkan dia terjatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Dalam kes berasingan, Mazlan berkata, polis memburu seorang lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan kes bunuh seorang mekanik berketurunan Siam di Kampung Benggali, Teluk Air Tawar, Butterworth semalam.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130103/je_04/Ragut2-remaja-ditahan#ixzz2GsQthWAS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jangan sebar maklumat suspek bawah umur – Utusan


Jangan sebar maklumat suspek bawah umur

MELAKA 2 Jan. – Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat peribadi serta gambar suspek berumur 13 tahun yang ditahan berhubung kes cabul seorang wanita di sebuah stesen minyak di Jalan Munshi Abdullah di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, para pengguna internet tidak boleh sewenang-wenangnya menyiarkan sebarang bentuk gambar serta butir peribadi suspek kerana melanggar peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

“Polis harus melindungi sebarang butir peribadi serta gambar suspek dan tidak boleh disiarkan dalam mana-mana media kerana boleh menjejaskan siasatan yang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Menurut beliau, kertas siasatan kes tersebut masih dalam tindakan polis dan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130103/dn_16/Jangan-sebar-maklumat-suspek-bawah-umur#ixzz2GsQgGF9g
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kanak-kanak, warga emas mohon pasport meningkat – Utusan


Kanak-kanak, warga emas mohon pasport meningkat

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Langkah kerajaan memberi diskaun 50 peratus kepada warga emas dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun untuk membuat pasport mendapat sambutan menggalakkan golongan itu pada hari pertama dilaksanakan di seluruh negara hari ini.

Pemberian diskaun yang melibatkan bayaran pemprosesan pembaharuan dan pendaftaran baharu pasport itu adalah seperti diumumkan oleh kerajaan dalam Bajet 2013 baru-baru ini.

Menurut Timbalan Penolong Pengarah (Bahagian Pasport) Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Faridah Johan, sebanyak 300 permohonan baharu daripada golongan itu telah diterima pihaknya di ibu negara sehingga petang ini.

Katanya, kaunter permohonan pasport dibuka bermula pukul 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.

“Setakat ini, pelanggan memberi maklum balas yang positif dan berpuas hati kerana boleh membuat permohonan dengan mudah selepas waktu pejabat.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130103/dn_14/Kanak-kanak-warga-emas-mohon-pasport-meningkat#ixzz2GsQRHUa4
© Utusan Melayu (M) Bhd