PUTRAJAYA: “Saya tidak sabar untuk belajar dan berjumpa ramai kawan baru,” kata murid orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Irfan Fakhri Rosazman yang mendaftar masuk ke tahun satu di Sekolah Kebangsaan Presint 14, semalam.
Fakhri yang terpaksa menggunakan papan luncur rekaan bapanya untuk bergerak kerana mengalami kecacatan bahagian pinggul yang digelar ‘Sacral Agenesis’ menyebabkan bahagian kaki tidak membesar dengan sempurna kelihatan seronok apabila kali pertama masuk ke kelas.
Di sekolah itu, dia ditempatkan di dalam kelas Pendidikan Khas Integrasi bersama 43 murid lain yang mempunyai masalah pembelajaran.
Bapanya, Rosazman Abd Manan, 46, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu mengalami kecacatan pada kedua-dua belah kaki sejak dilahirkan, namun dia tetap ceria dan bersemangat mahu belajar.
“Sejak memasuki prasekolah, Fakhri menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelajaran dan bercita-cita menjadi seorang akauntan serta mahu membeli sebuah rumah untuk dihadiahkan kepada saya dan ibunya,” katanya yang ditemui semalam.
Menurutnya, dia dan isteri sentiasa memberi semangat kepada Fakhri supaya tidak berasa rendah diri dan cekal berdepan dengan pelbagai cabaran walaupun mengalami kekurangan fizikal.
“Saya dan isteri akan memberi tumpuan membantu Fakhri ke sekolah kerana pergerakannya terbatas terutama ketika menaiki tangga,” katanya. Harian Metro sebelum ini melaporkan kecacatan bahagian pinggul menyebabkan Fakhri hanya boleh menggunakan tangan untuk bergerak malah terpaksa mengengsot untuk bergerak dan bermain bersama kakak dan adiknya.
Keadaan anaknya memberi ilham kepada Rosazman untuk membuat rekaan papan luncur sendiri selepas melihat Fakhri duduk di atas permainan kereta kawalan jauh ketika berusia setahun.
Sejak itu, Fakhri yang kini berusia enam tahun tidak pernah berenggang dengan papan luncur kesayangannya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya, Jamaluddin Yusoff berkata, seramai 2,103 murid tahun satu mendaftar bagi sesi 2013 berbanding tahun lalu seramai1,738 murid.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03