‘Hadiah’ untuk tiga beradik – Sinar Harian


‘Hadiah’ untuk tiga beradik

M JEFFRI RAZALI
4 Januari 2013
'Hadiah' untuk tiga beradik
Yahya membaca surat tawaran asrama bersama (dari kiri) Muhammad Harris, Halimatul Saadiah dan Rabiatul Adawiyah, semalam.

UMBAI – Meskipun rakan mereka sudah memulakan sesi baru persekolahan kelmarin, namun bagi tiga beradik dari Kampung Bukit Tembakau di sini, minat untuk menimba ilmu terpaksa dikorbankan kerana kesempitan hidup.

Ketiga-tiga mereka, Muhammad Harris Yahya, 15, Rabiatul Adawiyah Yahya, 13, dan Halimatul Saadiah, 10, hanya mampu memerhati dengan sayu rakan-rakan lain setelah ayah mereka, Yahya Dol, 47, hilang punca pencarian akibat sejenis penyakit, lebih sebulan lalu.

Tambah memeritkan apabila ibu mereka, Wati @ Syafawati Md Isa, 36, hanya bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah agama dan berpendapatan sekitar RM5 sehari.

Akibat kekangan kewangan yang kian meruncing, ketiga beradik ini tiada pilihan lain kecuali menangguhkan persekolahan mereka meskipun hati mereka melonjak ingin kembali bersama rakan persekolahan.

Menurut Syafawati, dia dan suami tidak mempunyai pilihan melainkan menangguhkan persekolahan anak mereka akibat kekangan kewangan ini.

Menurutnya, kesusa-han mereka bermula apabila suaminya mengalami kemalangan jalan raya dua tahun lalu sehingga menyebabkan lima tulang rusuknya patah serta tulang bahu beralih.

Berikutan kemalangan itu, dia yang sebelum itu bekerja sebagai buruh binaan, sudah tidak mampu membuat kerja berat dan terpaksa mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari.

“Bagaimanapun, segalanya berubah apabila suami mengalami sejenis ketumbuhan di bahagian belakangnya sebulan lalu sehingga terpaksa dibedah. Akibatnya, suami sudah tidak mampu lagi kerja selepas itu.

“Dengan pendapatan kecil saya sebagai pembantu kantin, manalah saya mampu hendak menyekolahkan anak saya.

“Kalau makan, mungkin tidak ada masalah sangat sebab apa yang ada saja boleh dimakan, tapi bukan menyekolahkan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Bagaimanapun, penderitaan keluarga itu tidak berpanjangan apabila mendapat perhatian Pusat Perkhidmatan Pembela Barisan Nasional (Pembela BN).

Hasil bantuan Kerajaan Negeri, ketiga-tiga beradik itu kini bukan sahaja boleh bersekolah kembali, malah Rabiatul Adawiyah turut ditawarkan kemudahan asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau.

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Serkam, Ramlan Ali selaku wakil kepada Adun Serkam, Datuk Ghazale Mohamad berkata, selain bantuan kecemasan RM500, bantuan pakaian sekolah untuk Muhammad Harris dan
Rabiatul Adawiyah turut disalurkan menerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

Hadir sama ketika kunjungan semalam, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Abdul Aziz.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s