
Mohd Razi mendukung Normadihah untuk ke sekolah sambil diperhatikan ibunya, Fauziah Omar di halaman rumahnya yang masih digenangi air banjir di Kampung Bendang Pak Yong.
TUMPAT – Hari pertama persekolahan Normadihah Mohd Razi, 11, tidak seperti murid lain apabila dia terpaksa didukung bapanya meredah air banjir sejauh lebih lima meter untuk ke rumah jiran sebelum menaiki motosikal ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong.
Walaupun sesi persekolahan sudah bermula dua minggu lalu, tetapi bagi Normadihah baru dapat hadir mendaftarkan diri di sekolah tersebut berikutan rumahnya masih digenangi air sedalam hampir satu meter.
Bapanya, Mohd Razi Awang, 51, berkata, dia terpaksa mendukung anaknya meredah air banjir kerana khuatir baju dan kasut sekolah yang dipakai anaknya basah.
“Persekitaran rumah saya masih digenangi air, terpaksalah mendukung anak ke tempat motosikal yang ditinggalkan di kawasan tinggi di rumah jiran.
“Dengan menunggang motosikal, terpaksa pula meredah air deras kerana masih ada jalan yang ditenggelami air untuk ke SK Bendang Pak Yong ini,” katanya yang mempunyai tiga anak.
Mohd Razi berkata, sepatutnya dia perlu mendaftarkan persekolahan anaknya pada hari Selasa minggu lalu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana dia terperangkap dalam banjir.
“Bahaya untuk saya keluar dari rumah membawa anak ke sekolah dengan perahu kerana air sangat dalam serta deras.
“Lagipun untuk ke sekolah jaraknya hampir satu kilometer, tidak selamat untuk mereka meredah arus deras menaiki perahu.
“Hari ini, walaupun terpaksa mendukung anak, saya nekad kerana khuatir dia tercicir pelajaran,” katanya yang tinggal di Kampung Bendang Pak Yong.
SK Bendang Pak Yong antara tiga sekolah di daerah ini iaitu SK Simpangan, SK Teluk Jering dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda ditangguhkan sesi persekolahannya yang sepatutnya dibuka 1 Januari, tetapi ditunda pada 3 Januari berikutan banjir.
Bagaimanapun sesi persekolahan pada 3 Januari, murid di empat sekolah terbabit dikerahkan balik awal apabila paras air sungai meningkat berikutan banjir gelombang kedua melanda.
Sesi persekolahan pada 6 dan 7 Januari terpaksa ditangguhkan kerana banjir gelombang kedua masih belum surut dan hari ini (semalam) sesi persekolahan dibuka seperti biasa.
Sementara itu Guru Besar SK Bendang Pak Yong, Mohd Arifin Samad berkata, hanya 199 murid hadir ke sekolah semalam, bagi sesi persekolahan minggu ke dua selepas sekolah ini ditutup dua hari lalu berikutan banjir gelombang kedua.
“277 murid lagi tidak hadir kerana keadaan banjir di sini masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.