Kerajaan Peruntuk RM498 Juta Bagi Bantuan Persekolahan RM100 – Bernama


Kerajaan Peruntuk RM498 Juta Bagi Bantuan Persekolahan RM100

BATU PAHAT: Kerajaan memperuntukkan RM498 juta sebagai bantuan persekolahan RM100 seorang kepada 4.98 juta pelajar di seluruh negara tahun ini yang akan disalurkan bermula 15 Januari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kos berkenaan tidak termasuk peruntukan bantuan persekolahan bagi pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat.

“Bantuan itu akan mula diagihkan pada 15 Jan ini dan dijangka selesai pada Feb depan. Kerajaan sebenarnya menyediakan peruntukan RM540 juta bagi bantuan persekolahan tahun ini tetapi kita masih belum menerima data jumlah sebenar pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penduduk, di Parit Gantung, di sini, Ahad.

Bantuan persekolahan RM100 itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013.

Ini adalah kali kedua pembayaran tersebut dilakukan yang meliputi semua pelajar sekolah rendah dan menengah tanpa mengira pendapatan keluarga. Sementara itu, Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran membelanjakan RM3.8 bilion tahun lepas untuk pelbagai subsidi dan bantuan kepada pelajar di seluruh negara.

Jumlah itu, katanya, membabitkan perbelanjaan bagi biasiswa pendidikan, rancangan makanan tambahan, susu 1Malaysia, bantuan buku teks serta bantuan tuisyen.

“Kerajaan turut memberi subsidi hampir 100 peratus untuk makanan di asrama harian dan asrama penuh manakala tidak mengenakan sebarang bayaran untuk asrama desa,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai himpunan anjuran pakatan pembangkang semalam, Mohd Puad berkata perhimpunan itu membuktikan kerajaan berpegang pada janji yang dibuat sebelum ini.

“Kerajaan tunai janji dengan meminda Akta Perhimpunan Aman dan beri kebenaran kepada pembangkang untuk mengadakan perhimpunan semalam.

“Bagi saya Perdana Menteri perlu diberi pujian kerana berjaya membawa perubahan dan menjanjikan amalan demokrasi yang lebih murni,” katanya. -BERNAMA

Tahap keselamatan pelajar terjamin – Sinar Harian


Tahap keselamatan pelajar terjamin

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN DAN NURUL ZAILA MOHD TAHIR
13 Januari 2013
Tahap keselamatan pelajar terjamin
Pemandu perlu memandu perlahan jika terdapat pelajar sedang melintas jalan.

KUANTAN – Kebimbangan sesetengah pihak berhubung aspek keselamatan  pelajar  ketika berulang alik ke sekolah di sini dilihat bukan satu isu yang perlu diperbesarkan kerana situasinya masih selamat dan sentiasa diberi perhatian oleh pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkuasa.

Keyakinan itu berdasarkan  situasi semasa yang terkawal dan tiada laporan berhubung kejadian yang boleh dikaitkan dengan isu tersebut kecuali kes-kes terpencil yang tidak begitu serius.

Bagaimana pun, isu itu perlu diberi perhatian kerana pengabaian aspek keselamatan  boleh mengundang pelbagai risiko termasuk kemalangan, jenayah dan sebagainya.

Kesedaran berhubung aspek keselamatan ini perlu diterapkan  kepada murid atau pelajar secara berterusan supaya mereka peka dan mengambil langkah selamat  khususnya semasa  dalam perjalanan pergi balik  sekolah.

Usaha itu perlu digembleng bersama oleh pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat secara amnya.

Adun Teruntum,  Datuk Chang Hong Seong ketika ditanya berhubung isu itu,  beliau jarang menerima aduan atau laporan berhubung  kebimbangan ibu bapa atau pihak sekolah berhubung tahap keselamatan anak-anak mereka ketika pergi dan balik sekolah.

Menurutnya, sebagai ibu bapa, mereka memang mengambil berat aspek ini dan tidak akan sesekali mengabaikan keselamatan anak-anak.

“Bagaimana pun dalam sesetengah kes yang berlaku terutama kejadian kemalangan melibatkan pelajar, ibu bapa mungkin terlepas pandang beberapa aspek yang akhirnya membawa musibah kepada anak-anak mereka.

“Pada saya, ibu bapa perlu mengutamakan aspek keselamatan anak-anak mereka ketika pergi dan balik sekolah sama ada  yang menggunakan  perkhidmatan bas atau van sekolah, kenderaan sendiri, bermotosikal, berbasikal atau berjalan kaki,” katanya.

Menurutnya, paling baik, ibu bapa menghantar sendiri anak-anak ke sekolah atau menggunakan perkhidmatan bas atau van sekolah berdaftar.

“Secara peribadinya saya tidak menggalakkan ibu bapa membenarkan anak-anak menunggang motosikal atau berbasikal ke sekolah kerana dalam kes-kes kemalangan yang dilaporkan, kebanyakan mangsa adalah penunggang atau pembonceng motosikal.

“Selain melibatkan isu keselamatan, ia juga satu bentuk pelanggaran peraturan jalan raya jika anak-anak yang dibenarkan menunggang itu tiada lesen memandu yang sah,” katanya.

Beliau berkata, bagaimana pun ibu bapa mungkin ada jawapan tersendiri namun pada masa yang sama mereka perlu memantau supaya anak-anak mereka tidak menyalah guna kemudahan yang diberikan.

Keselamatan pelajar sekolah: Jangan ambil mudah – Sinar Harian


Keselamatan pelajar sekolah: Jangan ambil mudah

NORFARAHAH OTHMAN
13 Januari 2013
bas sekolah
Selain menggunakan perkhidmatan bas, ibu bapa juga kini lebih suka menghantar dan menjemput anak mereka sendiri dari sekolah.

BENTONG – Bas sekolah merupakan salah satu dari pengangkutan yang digunakan murid dan pelajar sekolah sejak dahulu hingga kini.

Ia merupakan salah satu pilihan alternatif selain dihantar ahli keluarga atau menaiki kenderaan sendiri. Namun begitu, sejak kebelakangan ini bas sekolah seakan menjadi pilihan terakhir para ibu bapa berdasarkan pelbagai faktor.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Pahang Barat, K Vijayakumar berkata, jumlah pelajar yang menggunakan bas sekolah saban tahun merosot.

Menurutnya, jika dahulu kebergantungan terhadap penggunaan bas sekolah adalah tinggi namun kini tidak lagi.

“Selain menaiki kenderaan sendiri atau dihantar ibu bapa sendiri, ada juga yang membuat pilihan membenarkan anak mereka menaiki van sekolah haram.

“Ia menyebabkan kemerosotan jumlah murid atau pelajar menaiki bas sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Soal keselamatan penting

Vijayakumar berkata, pihaknya berkata ibu bapa seharusnya mengambil berat soal keselamatan anak-anak ke sekolah.

Menurutnya, sekiranya ibu bapa ‘melepaskan’ anak-anak mereka menaiki van sekolah haram, soal keselamatan tiada jaminan.

“Jika menaiki bas sekolah, murid atau pelajar dilindungi insurans sekiranya apa-apa terjadi terutama kemalangan.

“Tetapi jika mereka menaiki van haram, sudah pasti tiada perlindungan diperoleh,” katanya.

Vijayakumar berkata, pihaknya terkilan dengan sikap sesetengah ibu bapa yang tidak mahu menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang disediakan.

Menurutnya, sikap sebegini secara tidak langsung menjejaskan mata pencarian pemandu bas sekolah yang sememangnya menjadikan pekerjaan mengambil pelajar pergi dan balik sekolah sebagai punca pendapatan.

Jangan gadai nyawa anak-anak

Vijayakumar berkata, ibu bapa tidak seharusnya menggadaikan nyawa anak-anak dengan membenarkan mereka menaiki van sekolah haram.

Menurutnya, walaupun bayaran bulanan yang ditawarkan van sekolah haram murah sedikit berbanding bas sekolah namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membahayakan nyawa anak-anak.

“Dari segi tambang bas sekolah, setakat ini masih belum ada cadangan untuk menaikkannya.

“Bagi jarak 12 kilometer pergi dan balik dari sekolah hanya RM30 sahaja, katanya.

Vijayakumar berkata, pihaknya mahu ibu bapa memikirkan keselamatan anak-anak mereka dengan mengambil berat soal pengangkutan yang digunakan ke sekolah dan meyakini perkhidmatan bas sekolah yang sudah tersedia sejak sekian lama.

Pelajar hafaz 30 juzuk perlu diberi biasiswa – Sinar Harian


Pelajar hafaz 30 juzuk perlu diberi biasiswa

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Januari 2013

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri disaran memberikan peruntukan biasiswa kepada pelajar lepasan Sekolah Menengah Imtiaz yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran sebagai galakan dan penghargaan kepada mereka untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, langkah itu bagi memastikan pelajar yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ini tidak terikat dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Sebagaimana yang kita tahu, Sekolah Menengah Imtiaz adalah produk Kerajaan Negeri Terengganu yang kita perlu pelihara. Jadi, Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan terhadap pelajar ini.

“Sebab itulah kita cadangkan supaya lepasan Imtiaz yang berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran menyambung pelajaran di bawah sokongan biasiswa Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurutnya, selain menerima insentif yang diberikan kepada pelajar tahfiz, pelajar lepasan Imtiaz juga disarankan diberi elaun sebanyak RM200 setiap bulan sebagai sagu hati dan penghargaan kepada mereka.

Muhammad Ramli turut mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa atau persatuan lepasan Imtiaz ditubuhkan bagi mengumpul kesemua pelajar lepasan Imtiaz bagi menjaga kebajikan mereka.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat empat buah Sekolah Menegah Imtiaz di negeri ini iaitu di daerah Kuala Terengganu, Dungun, Besut, Kuala Berang sementara Sekolah Menengah  Imtiaz di Kemaman masih dalam proses pembinaan.

“Sekarang, lepasan Imtiaz berada di mana-mana, ada yang sambung pengajian ke peringkat  tinggi sama ada di dalam mahupun luar negara. Cuma, timbul persoalan, adakah kita mahu biarkan mereka bertebaran di merata tempat begini?

“Jadi, kita bangkitkan isu ini supaya perlu ada satu usaha bagi memastikan mereka yang hafal 30 juzuk al-Quran ini diletakkan dibawah satu pertubuhan atau alumni yang dapat menjaga kebajikan termasuklah persatuan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Ramli turut menyarankan supaya kerajaan negeri memberi keutamaan kepada mereka yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran untuk diambil sebagai Pegawai Tadbir Negeri (TCS).

“Seharusnya, kita mengutamakan mereka untuk menjadi pegawai tadbir kerana di samping menjadi pegawai tadbir, dalam masa yang sama mereka turut kuasai serta menghafaz 30 juzuk al-Quran,” katanya.

RM65,000 untuk 30 sekolah cemerlang – Sinar Harian


RM65,000 untuk 30 sekolah cemerlang

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Januari 2013

MERSING – Sebanyak RM65,000 diperuntukkan kepada 30 sekolah cemerlang di bawah Pejabat Pelajaran (PPD) Daerah Mersing kerana berjaya memperoleh pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), 2012.

Penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian, Mohd Youzaimi Yusof mewakili Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Mohd Youzaimi berkata, peruntukan itu sebagai penghargaan Parlimen Mersing kepada pihak sekolah yang bertungkus-lumus mendidik murid sehingga daerah ini berjaya menjadi antara daerah terbaik dalam pencapaian UPSR, tahun lalu.

“Setiap sekolah yang terpilih akan menerima sumbangan tunai sebanyak RM2,000 dan selebihnya diberikan kepada PPD Mersing.

“Kami harap sumbangan diterima sekolah-sekolah ini dapat menjadi pendorong untuk terus mengekalkan kejayaan yang diraih ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Mersing, Md Jais Samat berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana Parlimen Mersing begitu mengambil berat sistem pendidikan di daerah ini.

“Saya harap guru besar memanfaatkan sumbangan yang diperoleh dengan sebaik mungkin bagi menjamin kebajikan pelajar masing-masing,” katanya.

Pelajar tidak hirau keselamatan – Sinar Harian


Pelajar tidak hirau keselamatan
ZAIRUL AFIZA HAMZAH
13 Januari 2013
Pelajar sanggup melintas jalan walaupun ketika kenderaan banyak di jalan raya.
Pelajar sanggup melintas jalan walaupun ketika kenderaan banyak di jalan raya.

TEMERLOH- Keselamatan pelajar sekolah ketika pergi atau pulang dari sekolah perlu dipandang serius sama ada pihak sekolah, ibu bapa dan orang awam.

Hal ini kerana terdapat segelintir daripada mereka tidak memikirkan aspek keselamatan diri sendiri kerana mahu cepat pergi atau pulang dari sekolah.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa buah sekolah mendapati pelajar ini keluar dari pintu pagar sekolah untuk pulang ke rumah bertaburan dan pelbagai keletah dapat dilihat.

Ada antara mereka melintas jalan utama ketika kenderaan banyak, menunggang motosikal tanpa topi keledar, berbasikal, berlari, memanjat pembahagi jalan dan sebagainya.

Jika masalah ini dibiarkan pastinya ada korban jiwa berlaku dan jika itu berlaku siapa yang harus dipersalahkan.

Terap aspek keselamatan

Seorang penjaga, Mohd Jaliludin Mohamad Sani, 40, berkata, pihak sekolah seharusnya menerapkan selalu aspek keselamatan dalam kalangan pelajar dan memastikan mereka pulang dari sekolah mengikut laluan yang lebih selamat.

Menurutnya, pembinaan beberapa buah jejantas di jalan utama Temerloh-Mentakab dekat Kampung Batu Satu semata-mata demi menjaga keselamatan pelajar supaya mereka tidak melintas jalan yang sibuk dengan kenderaan itu.

“Kita lihat apabila pelajar ini pulang sekolah mereka berlari atau melulu ke jalan utama tanpa memikirkan bahaya atau kenderaan yang sedang dipandu laju.

“Mereka sanggup menggadai nyawa sendiri daripada melintas dengan mengikut jejantas yang dibina. Hanya segelintir sahaja yang bersikap ‘degil’ itu dan ramai yang mengikut laluan jejantas kerana mereka sedar bahaya yang menanti jika melintas jalan tersebut,” katanya.

Ada yang degil

Seorang lagi peniaga, Harun Ali Safie, 34, berkata, ada segelintir pelajar ini sengaja memanjat pembahagi jalan itu dan mengikut laluan pembahagi jalan yang berlubang akibat dilanggar kenderaan.

Menurutnya, setiap hari pelajar ini pulang ke sekolah mereka berhadapan maut dan dia sendiri berasa sangat takut melihat gelagat pelajar ini yang sedang melintas jalan.

“Masalah ini perlu dipantau dan mana-mana pelajar yang degil ini harus diberikan hukuman atau pengajaran. Ibu bapa mereka perlu dipanggil supaya dapat menasihati anak mereka supaya mematuhi keselamatan jalan raya dan berjalan pulang dengan melalui jejantas yang disediakan.

“Janganlah kerana sikap mahu cepat pulang sanggup menggadai nyawa sendiri. Malang itu tidak berbau dan pastinya pemandu yang akan dipersalahkan kerana melanggar pelajar,” katanya.

Guna jejantas disediakan

Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Shafiq, 16, berkata, dia lebih gemar melintas jalan daripada mengikut jejantas yang lebih jauh dan penat memanjat tangga.

Menurutnya, tambahan pula dengan melintas jalan itu dia cepat dapat menahan bas atau teksi yang melalui jalan itu untuk pulang ke rumah.

“Saya tahu bahaya melintas jalan tetapi saya sudah biasa dan saya akan memastikan semasa melintas tiada kenderaan melalui jalan itu.

“Saya juga tahu sikap saya ini boleh mengundang bahaya tetapi ramai kawan-kawan turut melintas jalan jadi saya juga turut serta melintas jalan,” katanya.

 

Pelajar ambil risiko setiap hari – Sinar Harian


Pelajar ambil risiko setiap hari

MOHD RIDZUAN ABU HASSAN
13 Januari 2013
Zulkepli
Zulkepli terpaksa membasuh bas sekolah setiap hari untuk keselesaan pelajar.

MARAN – Ibu bapa di penempatan tiga estet dekat Pekan Sri Jaya resah memikirkan keselamatan anak mereka yang terpaksa menempuh perjalanan berbahaya bersama ratusan lori muatan berat pada setiap hari untuk ke sekolah berdekatan sama ada dengan menunggang motosikal atau menaiki bas sekolah.

Pelajar berbilang kaum dari estet  Asia Farm Oil, Asia Pahang dan Ladang Maran itu tiada pilihan lain memandangkan laluan tanah merah tersebut merupakan satu-satunya jalan keluar masuk ke penempatan mereka sejauh 25 kilometer untuk bandar terdekat iaitu Pekan Sri Jaya.

Walaupun ada dalam kalangan pelajar terbabit yang mengambil keputusan untuk tinggal di asrama terutama bagi pelajar bakal menduduki peperiksaan utama.

Sebahagian lain berulang-alik dari setiap hari ke Sekolah Kebangsaan (SK) New Zealand dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran.

Kongsi jalan dengan kenderaan berat

Seorang bapa, Abd Rashid Mat Nor, 46, berkata, jalan tanah merah itu digunakan penduduk sejak sekitar tahun 70an namun malangnya kini,

mereka terpaksa berkongsi dengan lori membawa muatan tanah, balak, dan bijih besi.

Menurutnya, keadaan jalan bertambah teruk sejak empat tahun lalu selepas beberapa lombong bijih besi beroperasi di kawasan tersebut dengan permukaan berbonggol, lubang, lopak dan berbatu sehingga menyebabkan kerana tempoh perjalanan bertambah panjang.

“Anak saya akan keluar seawal jam 5.30 pagi dengan menunggang motosikal agar tidak lewat sampai di sekolah.

“Jika musim hujan, jalan berlumpur dan licin manakala bila musim panas, pelajar terpaksa menempuh laluan berdebu terutama ketika berselisih dengan deretan lori.

“Tayar motosikal pancit sudah banyak kali berlaku selain pakaian sekolah yang kotor teruk kerana debu,” katanya.

Pengusaha bas sekolah, Zulkepli Abdullah, 62, berkata, kerosakan jalan menyebabkan pelajar sekolah terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi kerana bas sekolah bertolak sebelum jam 5.30 pagi.

Bas gerak awal pagi

Menurutnya, bas bergerak keluar awal bagi mengelak kemungkinan masalah timbul berdasarkan kejadian sebelumnya seperti bas tersangkut atau mengalami kerosakan lain.

“Bas tidak mempunyai penghawa dingin maka pelajar terdedah kepada habuk dan debu sekali gus menjejaskan kesihatan mereka.

“Saya mengambil masa satu jam setengah untuk keluar ke Sri Jaya dan pelajar sampai rumah selewat jam 7 malam.

“Keadaan ini membuatkan pelajar tidak selesa dan malas hendak ke sekolah akibat letih sekali gus mengganggu prestasi pelajaran mereka,” katanya.

Zulkepli berkata, kenderaan berat yang mengangkut tanah ke kilang memproses bijih dipandu warga asing secara merbahaya tanpa memikirkan pengguna kenderaan ringan lain.

Menurutnya, lori membawa tanah merah ke kawasan lombong memandu laju dan memotong sesuka hati tanpa memberi isyarat serta bergerak melawan arus.

“Mereka sering beriringan seakan berlumba sehingga memaksa kami memberhentikan kenderaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Walaupun berisiko bahaya dan mengancam keselamatan pelajar tapi kami terutama ibu bapa tiada pilihan,” katanya.

Ibu bapa sanggup hantar dan ambil anak demi keselamatan – Sinar Harian


Ibu bapa sanggup hantar dan ambil anak demi keselamatan

AZIZAH SHAFIE
13 Januari 2013
Perkhidmatan van sekolah
Perkhidmatan van sekolah turut disediakan namun tidak ramai pelajar yang menggunakan kemudahan itu.

BERA – Biarpun sibuk dengan tugas di pejabat atau terpaksa memberhentikan perniagaan sementara waktu mahupun keluar dari bilik mesyuarat, kebanyakan ibu bapa sanggup berbuat demikian demi anak-anak mereka.

Tidak sanggup melihat anak-anak berjemur di panas terik selepas waktu sekolah atau berasak-asak di dalam bas sekolah, mereka rela berkorban masa kerja.

Kebanyakannya tidak mahu anak-anak mereka mengalami kesusahan sebagaimana yang pernah mereka alami pada zaman kanak-kanak.

Keselamatan terjamin

Bagi Wan Norma Wan Dolah, 33, untuk memastikan anaknya menerima pendidikan yang sempurna dan selesa, dia dan suami perlu berkorban masa menghantar dan mengambil anaknya dari sekolah.

Katanya, dengan cara ini, bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dengan anak tetapi dapat mengetahui perkembangan pembelajaran anak setiap hari.

“Setiap hari kita akan berpeluang bertanya mengenai apa yang dipelajari di sekolah dan ini akan memberikan tanggapan baik anak-anakterhadap ibu bapa mereka,” katanya.

Selain itu, menurutnya, dengan cara ini dapat memastikan keselamatan anak-anak tanpa sebarang kemungkinan.

Wan Norma berkata, pada zaman sekarang, pelbagai kes yang berlaku melibatkan kanak-kanak atau pelajar sekolah menyebabkannya kerap bimbang mengenai tahap keselamatan anaknya itu.

“Lagipun, ada masanya saya kurang percaya dengan sikap pengguna kerana mereka masih sanggup memandu laju walaupun di hadapan sekolah.

“Walaupun di hadapan sekolah terdapat lampu isyarat sekali pun, mereka sanggup melanggar lampu merah kerana tidak sabar menunggu,” katanya.

Tidak ramai guna bas, van

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kerayong Jaya, Roslin Mohd berkata, bagi pelajar di sekolah ini, tidak ramai yang menggunakan khidmat bas atau van sekolah.

Menurutnya, kebanyakannya dihantar dan dijemput ibu bapa kerana bagi mereka itu adalah terbaik untuk anak-anak mereka.

Katanya, bagi pelajar yang berbasikal pula, laluan khas disediakan pihak sekolah melalui jalan ladang yang jarak lebih kurang 100 meter ke kawasan perumahan berdekatan.

Ini adalah hasil perbincangan PIBG dengan pihak sekolah supaya membuka laluan di pintu belakang sekolah bagi memudahkan laluan pelajar berbasikal.

“Namun, sebenarnya walaupun berbasikal, ibu bapa masih mengiringi anak-anak mereka bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Roslin berkata, ada juga ibu bapa yang tidak sempat mengiringi anak mereka tetapi yakin dengan keselamatan anak apabila jiran boleh memantau.

Katanya, setakat ini, tiada kes yang dikaitkan mengenai keselamatan pelajar di sekolah ini malah berharap, keadaan ini terus kekal pada masa hadapan.

Pelajar cemerlang Imtiaz Melaka ke universiti luar negara – Utusan


Pelajar cemerlang Imtiaz Melaka ke universiti luar negara

ALOR GAJAH 12 Jan. – Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka (Imtiaz Melaka) yang lulus beberapa ujian khas termasuk ujian IQ berpeluang melanjutkan pelajaran ke salah daripada 20 universiti terkenal dunia.

Penasihatnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang berkelayakan iaitu mendapat kesemua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain markah 400 ke atas bagi ujian IQ akan terus diserapkan ke salah sebuah universiti terkenal dunia termasuk Oxford dan Havard.

“Ini berikutan Pusat Kecemerlangan Y2G yang bertanggungjawab menguruskan Imtiaz Melaka mempunyai hubungan secara terus dengan 20 universiti terkenal dunia bagi mewujudkan program berkembar.

“Selain memastikan mereka yang cemerlang ini dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam aliran tertentu, ia sekali gus menjadikan mereka bukan hanya berpengetahuan dalam bidang agama, tetapi juga bidang lain.

“Melalui kerjasama program berkembar ini, mereka akan terus ke peringkat ijazah pertama dalam kursus profesional yang dikenalpasti dan semua ini akan dilakukan untuk tempoh tiga tahun daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Ramah Mesra Sambutan Pelajar Baru Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis meraikan seramai 80 orang pelajar baru itu ialah Panglima Markas 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad dan Pengerusi Y2G, Datuk Hisham Abd. Majid.

Kata Ahmad Zahid, pelajar-pelajar Imtiaz Melaka diharapkan boleh menjadi contoh yang cemerlang kepada pelajar lain memandangkan mereka yang berkemampuan menghafal al-Quran tidak akan mengalami kesukaran dalam mata pelajaran lain.

Dalam pada itu, kata Ahmad Zahid, Imtiaz Melaka yang kini mempunyai seramai 170 pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan dua itu menyasarkan kesemua pelajar memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan SPM.

Kata beliau, Imtiaz Melaka yang kini dilengkapi beberapa makmal termasuk makmal Bahasa Inggeris, Kimia, Fizik, kaji hayat dan Matematik membolehkan kesemua lepasan Imtiaz Melaka mempunyai cukup persediaan ke universiti.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama daripada pelbagai agensi yang mengeluarkan biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) amat diperlukan bagi urusan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Imtiaz Melaka yang melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130113/dn_07/Pelajar-cemerlang-Imtiaz-Melaka-ke-universiti-luar-negara#ixzz2Hqm2jIGB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Himpun: Bertegas ke atas peserta bawa kanak-kanak – Utusan


Himpun: Bertegas ke atas peserta bawa kanak-kanak

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas ke atas peserta yang melanggar syarat pihak polis dengan membawa kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah menyertai Himpunan Shamsidar di Stadium Merdeka semalam.

Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM), Tan Sri Zaleha Ismail berkata, langkah itu akan memberi mesej kepada para ibu bapa sekali gus menjadi pencegahan yang berkesan untuk mengelakkan perkara itu berulang.

“Ini bukan perkara yang mudah dan boleh dipermainkan, adakah ibu bapa tidak sedar bahaya apabila terjadi pertelagahan semasa perhimpunan itu. Kita harus bertanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada perkara yang boleh membahayakan nyawa mereka,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pula berkata, sudah tiba masa bagi kerajaan mengetatkan lagi undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan memperuntukkan hukuman lebih keras ke atas peserta demonstrasi yang membawa kanak-kanak.

Katanya, tindakan tegas itu perlu diambil terhadap peserta himpunan pembangkang di ibu negara semalam yang jelas menyalahgunakan kebebasan diberikan kerajaan apabila membawa anak-anak menyertainya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noriah Kasnon berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu menunggu hasil laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil terhadap para peserta himpunan itu yang ingkar dengan membawa kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah.

Menurut beliau, meskipun tiada perkara buruk berlaku semalam tetapi keingkaran ibu bapa mengheret anak-anak mereka ke perhimpunan itu adalah satu perkara serius. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130113/dn_18/Himpun-Bertegas-ke-atas-peserta-bawa-kanak-kanak#ixzz2HqlDl23c
© Utusan Melayu (M) Bhd