Anak merengek nak sekolah – Sinar Harian


Anak merengek nak sekolah
AZIZAN INCHE HARUN
17 Januari 2013
Anak merengek nak sekolah Rosnani sebak setiap kali anak-anak merengek minta ke sekolah.

JOHOR BAHRU – “Mak, saya nak sekolah… Kenapa kawan-kawan pergi sekolah, tapi saya tak pergi…”
Itu antara rengekan tiga beradik di Kampung Sinaran Baru, di sini, yang tidak pernah berpeluang untuk bersekolah seperti kanak-kanak seusianya.
Ibu mereka, Rosnani Ramli, 29, hanya mampu melontarkan janji yang belum pasti sedangkan usaha untuk menyekolahkan anak-anaknya masih menemui jalan buntu.
Tiga anak Rosnani yang berumur 10, sembilan dan lapan tahun tidak bersekolah kerana tidak memiliki sijil kelahiran selepas dokumen pernikahannya di Thailand hilang dalam kejadian banjir yang berlaku di rumah lamanya di Kampung Pasir, Tampoi.
Menurutnya, usaha untuk mendapatkan salinan sijil nikah turut gagal apabila individu yang menikahkannya di sebuah kampung di Selatan Thailand telah meninggal dunia.
“Saya sudah putus asa kerana usaha saya beberapa kali ke jabatan bertanggungjawab tidak berhasil, sehingga kadang-kala hanya mampu menangis memikirkan masa depan anak-anak.
“Bila mereka merengek nak sekolah, saya hanya mampu berjanji supaya mereka bersabar dengan alasan sedang proses surat beranak mereka, sedangkan saya sudah lama tidak berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Rosnani berkata, meskipun tiga lagi anaknya yang berusia lima, setahun dan 25 hari memiliki sijil kelahiran, namun jauh di lubuk hatinya mahu melihat kesemua anaknya beruniform sekolah.
Menurutnya, pada anak-anak diharapkan untuk merubah nasib keluarga pada masa akan datang kerana pendapatan suaminya, Osman Taib, 53, sebagai pekerja kontrak tidak seberapa.
“Pendapatan suami hanya sekitar RM1,500 sebulan untuk menampung keluarga dengan enam anak yang masih kecil memang tak cukup, tapi kami makan ala kadar dan sentiasa beringat kerana suami kalau tak kerja memang tak ada gaji.
“Tempat tinggal ini pun kami menumpang di kawasan tempat majikan lama suami, kalau disuruh pindah, bila-bila masa saja kami kena pindah kerana suami sudah tak bekerja lagi dengannya.
“Pada anak-anak sahaja kami berharap supaya dapat bersekolah untuk menjamin masa depan yang lebih baik dan membawa kami keluar dari kehidupan susah sebegini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Syahrin Md Jamaluddin berkata, pihaknya simpati dengan nasib yang menimpa kanak-kanak terbabit.
Menurutnya, pihaknya menghormati prosedur jabatan bertanggungjawab, tetapi pihaknya tidak boleh berkompromi sekiranya masalah itu menidakkan peluang belajar kepada kanak-kanak berkenaan.
“Kita difahamkan keluarga ini sudah beberapa kali berurusan dengan pihak bertanggungjawab, tapi tidak berhasil.
“Jadi kita minta perkara ini diselesaikan segera untuk kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak ini,” katanya.

Harap kerajaan beri bantuan sekolah RM100 setiap tahun – Bernama


Harap kerajaan beri bantuan sekolah RM100 setiap tahun
17 Januari 2013

KUANTAN –  Para pendidik dan golongan ibu bapa berharap kerajaan menjadikan Bantuan Persekolahan RM100 sebagai bantuan tahunan dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat dalam bidang pendidikan.
Mereka yang ditemui nyata bersyukur dengan bantuan itu yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mereka terutama yang berpendapatan rendah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan, Hamidah Mansor ketika ditemui Bernama pada majlis penerimaan bantuan itu kepada ibu bapa murid sekolah berkenaan berkata usaha yang dilakukan kerajaan itu amat bermakna sekali kepada semua pihak.
“Harap bantuan khas ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang kerana ia dilihat sangat bermanfaat terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Seramai 798 murid sekolah itu merupakan antara sekolah terawal di Pahang yang  menerima Bantuan Persekolahan RM100 setiap seorang yang mula diagihkan hari ini.
Bantuan tersebut disampaikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Datuk Chang Hong Seong.
Sementara itu, ibu bapa yang ditemui berharap kerajaan dapat mengkaji semula jumlah bantuan itu dengan turut mengambil kira pendapatan keluarga.
Nur Sham Amir Hussin, 44, seorang peguam berkata bantuan tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu rakyat khususnya bidang pendidikan.
“Walaupun cuma RM100, duit itu dapat meringankan beban ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak ramai,” katanya yang mempunyai lima anak yang masih bersekolah, dua daripadanya adalah murid sekolah tersebut.
Seorang pekerja swasta, Maizatul Salwa Mohamad Khudori, 34, pula berkata, dia akan manfaatkan bantuan tersebut untuk persekolahan dua anaknya.
“Duit ini akan saya gunakan untuk membeli kamus elektronik kerana kedua-dua anak saya berhajat memilikinya sejak tahun lalu bagi membantu mereka dalam pembelajaran,” katanya.
Sementara itu seramai 680 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar turut menerima bantuan itu hari ini.
Exco kerajaan negeri yang juga Adun kawasan Inderapura Datuk Shafik Fauzan Sharif ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan itu berkata bantuan persekolahan itu merupakan bukti kerajaan menepati janji yang telah dibuat.
“Kita berharap ibu bapa mengenepikan soal politik dalam usaha kerajaan untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan anak-anak, terdapat mereka yang tidak bersyukur, mengambil bantuan itu dengan menyatakan bahawa itu adalah hak mereka sebagai rakyat.
“Kita bukan untuk menafikan hak berkenaan tetapi mereka juga perlulah berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.
Seramai 265,892 pelajar sekolah di Pahang menerima Bantuan Persekolahan RM100 membabitkan peruntukan RM26.58 juta yang akan diberikan secara berperingkat dan dijangka selesai 15 Februari depan.
Bantuan kali kedua di bawah Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memperuntukkan dana RM540 juta bertujuan membantu perbelanjaan persekolahan pada awal tahun melibatkan 4.98 juta pelajar di seluruh negara. – Bernama

BN Pulau Pinang beri insentif lebih RM475, kepada pelajar cemerlang PMR – Bernama


BN Pulau Pinang beri insentif lebih RM475, kepada pelajar cemerlang PMR
17 Januari 2013

GEORGE TOWN – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan memberikan insentif wang tunai berjumlah RM475,200 kepada 2,376 pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 di seluruh negeri mulai Sabtu ini.     Pengerusi Program Insentif PMR Pulau Pinang, Koh Wan Leong berkata pemberian wang tunai itu sebagai insentif kepada pelajar mengekalkan pencapaian baik pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.     “Majlis penyampaian hadiah insentif akan diadakan pada 19 hingga 31 Jan di lokasi terpilih dan surat jemputan telah diedar kepada pelajar berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini     Beliau berkata daripada jumlah penerima itu, sebanyak 2,335 pelajar adalah mereka yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan selebihnya adalah pelajar kelainan upaya (OKU) dan pelajar sekolah persendirian yang memperoleh 6A dan ke atas.     Koh yang juga Penyelaras Barisan Nasional (BN) Paya Terubong berkata setiap pelajar akan menerima cek RM200 dan sijil penghargaan daripada BN Pulau Pinang.
Koh berkata BN negeri merancang memperluaskan program insentif itu kepada pelajar cemerlang lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada masa depan.     Beliau juga mengingatkan rakyat negeri ini agar tidak terkeliru dengan Skim Pelajar Emas anjuran kerajaan negeri pakatan pembangkang dan Skim Bantuan Persekolahan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.     Program kerajaan negeri itu hanya memberikan RM100 kepada pelajar darjah 1, darjah 4, tingkatan 1 dan tingkatan 4 sahaja manakala Skim Bantuan Persekolahan anjuran kerajaan pusat memberi RM100 setiap seorang kepada semua pelajar sekolah.     “Bila kerajaan pusat mula mengagihkan bantuan persekolahan itu Selasa lepas, kerajaan negeri pula umum akan salurkan wang RM100 itu dalam tempoh terdekat. Mereka cuba kelirukan dan mengalihkan perhatian rakyat, jadi kita minta jangan keliru kerana dua bantuan ini tidak sama,” katanya. – Bernama

Cuepacs harap imbuhan tetap perumahan dinaik – Bernama


Cuepacs harap imbuhan tetap perumahan dinaik
17 Januari 2013
logo cuepacs Cuepacs

MELAKA – Cuepacs berharap cadangan kenaikan imbuhan tetap perumahan (ITP) penjawat awam dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat berikutan lonjakan harga dan sewa rumah.      Presidennya Datuk Omar Osman berkata ITP penjawat awam bagi gred 1 hingga 40 sebanyak RM180 tidak lagi relevan, ketika ini.      “Imbuhan tetap perumahan ini dah lama tidak disemak, hari ini kita (Cuepacs) pergi mana-mana memang ia menjadi rintihan utama kerana tidak ada lagi sewa rumah berharga RM180,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia (Kesatria) di Kem Terendak di sini hari ini.      Beliau berkata Cuepacs telah membuat permohonan mengenai perkara itu sejak lima tahun lepas dengan mencadangkan imbuhan tetap perumahan diselaraskan kepada RM450.      Katanya jumlah tersebut juga sebenarnya tidak mencukupi namun ia boleh disifatkan sebagai subsidi oleh kerajaan dalam meringankan beban penjawat awam.
Dalam pada itu, Omar turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan penjawat awam daripada 4 peratus kepada 1 peratus.      Katanya peningkatan harga rumah menyebabkan ramai penjawat awam tidak mampu memiliki rumah.                “Kalau kos rumah PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) berharga RM300,000 ke bawah, kadar faedah 4 peratus itu tinggi jika kumpulan pelaksana ini nak membuat pinjaman,” katanya. – Bernama

Guru fail saman tuntut RM1 juta – Sinar Harian


Guru fail saman tuntut RM1 juta

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Januari 2013

SHAH ALAM – Seorang guru sekolah menengah di Sepang memfailkan saman fitnah bagi menuntut RM1 juta terhadap empat defendan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Selangor (Mais) berhubung penyebaran kandungan surat yang mendakwa beliau menyebarkan agama bertentangan.

Shahriah Omar, 47, selaku plaintif dalam tuntutan samannya telah menamakan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Daerah Sepang, Ariff Alfian Norazman dan Pegawai Pendaftar Kanan Pejabat Agama Daerah Sepang, Abd Halim Mt Esa masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Beliau turut menamakan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Marzuki Hussin sebagai defendan ketiga dan Mais pula defendan keempat dalam tuntutan tersebut.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan Kesavan menerusi peguam Fadiah Nadwa Fikri di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, semalam jam 11.30 pagi.

Shahriah dalam pernyataan tuntutan mendakwa surat bertarikh 16 Mei 2011 dan Laporan Mengenai Aduan Ajaran Yang Bertentangan Dengan Ajaran Islam bertarikh 26 Mei 2011 telah dikeluarkan dan disebarkan kepada beberapa pihak termasuk sekolah plaintif mengajar.

Dakwanya, ia turut disebar kepada bekas suami plaintif, Dr Nazaruddin Ramli, di mana kedua-dua dokumen itu digunakan sebagai eksibit dalam afidavit yang diikrarkan oleh bekas suaminya dalam permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak.

Guru tersebut berkata, defendan kedua melalui dua surat bertarikh 11 Julai 2011 yang dikeluarkan kepada “sesiapa yang berkenaan” dan kepada plaintif telah mengakui bahawa Pejabat Agama Islam Sepang telah mengeluarkan dan menyebarkan surat dan laporan itu yang berstatus sulit.

Menurutnya, defendan kedua juga memohon maaf kepada plaintif melalui surat bertarikh 11 Julai 2011 kerana mengeluarkan dan gagal memelihara status sulit surat dan laporan berkenaan.

Shahriah berkata, kesemua defendan secara terus menyebarkan perkataan fitnah tersebut yang antara lain di dalam makna asal dimaksudkan sebagai merujuk plaintif sebagai seorang pengikut ajaran sesat, rosak akidah, melanggar ajaran Islam dan tidak layak memegang jawatan sebagai guru.

Beliau mendakwa tindakan kesemua defendan mencerminkan beliau seorang bekas isteri dan ibu yang tidak layak menjaga anak-anak selepas penceraian dengan suami, tidak mempunyai reputasi baik, selain merupakan seorang yang telah melakukan jenayah di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Perkataan fitnah tersebut telah menjejaskan kedudukan plaintif sebagai pihak yang terlibat dalam permohonan mendapatkan hak penjagaan anak difailkan oleh bekas suami di mana plaintif boleh kehilangan hak penjagaan akibat tuduhan itu.

“Perkataan-perkataan sedemikian adalah palsu, tidak berasas dan dikeluarkan atau disebarkan dengan niat jahat dan plaintif telah mengalami kecederaan teruk terhadap karakter, penghormatan, reputasi peribadi dan menjejaskan kedudukannya,” katanya.

Sehubungan itu, plaintif memohon tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta, ganti rugi teruk dan teladan serta faedah 5 peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi yang diberikan dari tarikh penghakiman hingga ke tarikh pembayaran penuh jumlah tersebut.

Shahriah turut memohon satu injunksi untuk menghalang defendan-defendan sama ada melalui mereka atau apa cara pun menyebabkan perkataan fitnah disebarkan terhadap plaintif sama ada secara lisan, bertulis atau media cetak dan internet.

Plaintif juga memohon defendan-defendan mengeluarkan kenyataan memohon maaf secara bertulis untuk diedarkan kepada pihak berkenaan, kos-kos bagi tindakan ini dan relif lanjut yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kerjasama dua kementerian tingkatkan jati diri pelajar – Utusan


Kerjasama dua kementerian tingkatkan jati diri pelajar

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Program ‘Uniformed Policing 2 : Remaja Berwawasan’ anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran mampu membendung masalah sosial yang semakin menular dalam kalangan pelajar.

Panglima Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, menerusi program itu pelajar bukan sahaja berpeluang memperbaiki diri malah mempamerkan potensi dan kelebihan masing-masing.

Jelasnya, pemupukan kesedaran itu penting bagi memastikan pelajar tidak mengulangi kesilapan lalu di samping mengubah paradigma masyarakat supaya mampu menjadi individu berguna kepada agama, bangsa dan negara.

“Kerajaan berpendapat tidak wajar pelajar dibiarkan tanpa sebarang usaha memperbaiki diri serta tindakan susulan yang membolehkan mereka menyedari dan memperbaiki kesalahan mereka.

“Matlamat program ini adalah untuk menerapkan nilai disiplin diri yang tinggi dan memberi kesedaran serta pemahaman kepada pelajar terlibat supaya patuh kepada peraturan sama ada ketika berada di dalam atau di luar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan prapelancaran program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati di sini hari ini.

Program cetusan Perdana Menteri di bawah Strategi Lautan Biru itu dilancarkan secara serentak di sembilan lagi sekolah di ibu negara, Pulau Pinang, Selangor dan Johor melibatkan pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun.

Menurut Syed Zahiruddin, program itu akan dilengkapi dengan aktiviti-aktiviti pembinaan sahsiah yang dikendalikan jurulatih pasukan badan beruniform.

“Program-program yang dirancang pastinya amat menarik serta dapat meningkatkan jati diri pelajar yang juga merupakan aset yang tidak ternilai kepada sekolah, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar, Akma Danial Zainal, 17, berkata, penglibatan dalam program tersebut merupakan landasan terbaik untuknya memperbaiki diri terutama dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Saya berharap kelemahan dan kesilapan lalu dapat diperbaiki menerusi program ini terutama daripada sudut disiplin,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130117/dn_12/Kerjasama-dua-kementerian-tingkatkan-jati-diri-pelajar#ixzz2IBdasyig
© Utusan Melayu (M) Bhd

4,300 murid dari tiga sekolah terima bantuan RM100 – Utusan


4,300 murid dari tiga sekolah terima bantuan RM100

SEBAHAGIAN daripada murid SK Taman Sungai Besi Indah, SK Taman Universiti Indah dan SJKC Kum Man, Serdang melaungkan slogan Satu Malaysia sambil memegang duit RM100 pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan RM100 di SK Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Sebanyak 4,300 murid daripada tiga sekolah rendah di sini, berkongsi kegembiraan bersama ibu bapa masing-masing berikutan menerima sumbangan RM100 setiap seorang menerusi program Bantuan Awal Persekolahan Sesi 2013 hari ini.

Bantuan itu merupakan kali kedua dijalankan di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan membantu perbelanjaan persekolahan pada awal tahun.

Bermula semalam, bantuan itu diagihkan dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM540 juta untuk disalurkan kepada semua pelajar sekolah di seluruh negara.

Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat 1Malaysia Seri Kembangan, Datuk Liew Yuen Keong berkata, bantuan itu diberikan kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah tanpa mengira latar belakang kaum.

“Kerajaan Pusat tidak putus-putus berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang keluarga.

“Bantuan ini diharap dapat mencapai objektif kerajaan meringankan beban ibu bapa yang perlu menampung perbelanjaan anak-anak untuk sesi persekolahan tahun ini,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan RM100 Tahun 2013 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sungai Besi Indah di sini.

Selain sekolah itu, turut menerima bantuan dalam majlis tersebut ialah pelajar SK Taman Universiti dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Min.

Sementara itu, suri rumah, Norazila Mohamad, 42, berkata, bantuan persekolahan tersebut dapat membantu meringankan beban kewangan keluarganya terutama dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.

“Ini merupakan rezeki kepada ibu bapa dan anak-anak terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Nor Hafizah, 38, pula berkata, dia akan menggunakan bantuan itu untuk keperluan persekolahan anak-anaknya.

“Walaupun jumlahnya tidak banyak, namun sumbangan ini amat besar kepada para pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130117/dn_07/4300-murid-dari-tiga-sekolah-terima-bantuan-RM100#ixzz2IBdTH0F1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kerajaan beri perhatian serius subjek Sejarah – Utusan


Kerajaan beri perhatian serius subjek Sejarah

KOTA KINABALU 16 Jan. – Kerajaan memandang serius kepentingan mata pelajaran Sejarah, seterusnya memastikan penghayatan guru dan pelajar dalam mata pelajaran itu bukan sekadar untuk lulus periksa semata-mata.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan keberkesanan pelajaran berkenaan dalam kalangan pelajar.

“Saya setuju dengan beliau (Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim), sebab itulah kenapa Menteri Pelajaran arahkan kita membuat kajian semula tentang mata pelajaran sejarah ini di mana laporan telah dihantar kepada Menteri Pelajaran.

“Walaupun kita mewajibkan lulus Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun hadapan, ini bukan bermakna kita tumpu kepada peperiksaan semata-mata, tetapi kita melihat betapa pentingnya mata pelajaran Sejarah ini,” katanya.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130117/dn_06/Kerajaan-beri-perhatian-serius-subjek-Sejarah#ixzz2IBd8U4iR
© Utusan Melayu (M) Bhd