Anak merengek nak sekolah – Sinar Harian


Anak merengek nak sekolah
AZIZAN INCHE HARUN
17 Januari 2013
Anak merengek nak sekolah Rosnani sebak setiap kali anak-anak merengek minta ke sekolah.

JOHOR BAHRU – “Mak, saya nak sekolah… Kenapa kawan-kawan pergi sekolah, tapi saya tak pergi…”
Itu antara rengekan tiga beradik di Kampung Sinaran Baru, di sini, yang tidak pernah berpeluang untuk bersekolah seperti kanak-kanak seusianya.
Ibu mereka, Rosnani Ramli, 29, hanya mampu melontarkan janji yang belum pasti sedangkan usaha untuk menyekolahkan anak-anaknya masih menemui jalan buntu.
Tiga anak Rosnani yang berumur 10, sembilan dan lapan tahun tidak bersekolah kerana tidak memiliki sijil kelahiran selepas dokumen pernikahannya di Thailand hilang dalam kejadian banjir yang berlaku di rumah lamanya di Kampung Pasir, Tampoi.
Menurutnya, usaha untuk mendapatkan salinan sijil nikah turut gagal apabila individu yang menikahkannya di sebuah kampung di Selatan Thailand telah meninggal dunia.
“Saya sudah putus asa kerana usaha saya beberapa kali ke jabatan bertanggungjawab tidak berhasil, sehingga kadang-kala hanya mampu menangis memikirkan masa depan anak-anak.
“Bila mereka merengek nak sekolah, saya hanya mampu berjanji supaya mereka bersabar dengan alasan sedang proses surat beranak mereka, sedangkan saya sudah lama tidak berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Rosnani berkata, meskipun tiga lagi anaknya yang berusia lima, setahun dan 25 hari memiliki sijil kelahiran, namun jauh di lubuk hatinya mahu melihat kesemua anaknya beruniform sekolah.
Menurutnya, pada anak-anak diharapkan untuk merubah nasib keluarga pada masa akan datang kerana pendapatan suaminya, Osman Taib, 53, sebagai pekerja kontrak tidak seberapa.
“Pendapatan suami hanya sekitar RM1,500 sebulan untuk menampung keluarga dengan enam anak yang masih kecil memang tak cukup, tapi kami makan ala kadar dan sentiasa beringat kerana suami kalau tak kerja memang tak ada gaji.
“Tempat tinggal ini pun kami menumpang di kawasan tempat majikan lama suami, kalau disuruh pindah, bila-bila masa saja kami kena pindah kerana suami sudah tak bekerja lagi dengannya.
“Pada anak-anak sahaja kami berharap supaya dapat bersekolah untuk menjamin masa depan yang lebih baik dan membawa kami keluar dari kehidupan susah sebegini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Syahrin Md Jamaluddin berkata, pihaknya simpati dengan nasib yang menimpa kanak-kanak terbabit.
Menurutnya, pihaknya menghormati prosedur jabatan bertanggungjawab, tetapi pihaknya tidak boleh berkompromi sekiranya masalah itu menidakkan peluang belajar kepada kanak-kanak berkenaan.
“Kita difahamkan keluarga ini sudah beberapa kali berurusan dengan pihak bertanggungjawab, tapi tidak berhasil.
“Jadi kita minta perkara ini diselesaikan segera untuk kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak ini,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s