Dua beradik tumpang teduh di surau – Sinar Harian


Dua beradik tumpang teduh di surau

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Januari 2013
Dua beradik tumpang teduh di surau
Dua beradik ini diserahkan kepada JKM setelah seminggu tinggal di Surau Taman Gunung Mas, Repah.

TAMPIN – Dua beradik yang menumpang teduh kira-kira seminggu lalu di Surau Taman Gunung Mas, Repah, dekat sini diserahkan kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pagi semalam.

Difahamkan dua beradik yang berusia 12 dan 13 tahun itu ditinggalkan bapanya di salah sebuah rumah saudaranya di Tampin kerana mahu mencari kerja serta berjanji akan mengambil mereka pada petang 9 Januari lalu.

Afif (bukan nama sebenar), 13, berkata, selepas ayahnya tidak pulang, dia bersama adiknya Alif (bukan nama sebenar), 12, sepakat untuk tinggal di surau berkenaan.

Menurutnya, bagi menampung perbelanjaan harian, dia bersama adiknya mengambil upah mengemas halaman rumah penduduk kampung.

“Dengan upah sebanyak RM10 hingga RM15 sehari, kami guna sebaik mungkin untuk beli makanan dan bernasib baik apabila ada rakan-rakan yang turut menghulurkan bantuan,” katanya.

Afif berkata, dia sudah lebih tiga tahun tidak berjumpa dengan ibunya selepas bercerai dengan ayahnya.

“Sejak kecil kami dijaga oleh nenek yang berada di Jelebu dan selepas nenek meninggal, kami tinggal bersama ayah di Melaka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Taman (JKKT), Azhar Muhammad berkata, sebelum ini, dua beradik berkenaan tidak begitu ketara menumpang tidur di surau berkenaan.

“Selepas mengesahkan mereka tinggal di surau, kami berbincang dengan jawatankuasa surau untuk menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) susulan bimbang dengan keselamatan mereka,” katanya.

Pengarah JKM, Abdulah Hanapi berkata, terima kasih diucapkan kepada kepimpinan setempat kerana prihatin dengan masalah dua beradik berkenaan.

“Diharap usaha pihak JKKT akan dijadikan contoh kepada pihak lain untuk melaporkan terus kepada JKM sekiranya berhadapan dengan kes serupa,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s