Muhyiddin Lawat Sekolah Berprestasi Tinggi Terkemuka Alabama – Bernama


Muhyiddin Lawat Sekolah Berprestasi Tinggi Terkemuka Alabama

 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) berkongsi pengalaman berharga dengan sekumpulan pelajar semasa lawatan beliau ke Daphne High School, Alabama, Khamis. Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, diiringi isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Lawatan itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja dua hari ke negeri Alabama di Amerika Syarikat. -fotoBERNAMA

 

MOBILE (Alabama): Lawatan ke sekolah berprestasi tinggi terkemuka dekat sini oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pengalaman berharga yang menyaksikan beberapa inisiatif dilaksanakan di sekolah itu dipertimbangkan untuk sekolah di Malaysia.

Ini termasuk penggunaan teknologi secara komprehensif seperti komputer riba berbanding kaedah tradisional penggunaan buku teks dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Mempunyai kira-kira 1,200 pelajar, Daphne High School ialah penerima anugerah berprestij ‘National Blue Ribbon Schools 2012’ di bawah program Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat yang mengiktiraf sekolah rendah awam dan bukan awam, sekolah menengah dan sekolah menengah tinggi yang pelajar mencatat prestasi tahap amat tinggi atau pelajar mencatat kemajuan signifikan dalam pencapaian akademik.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran jelas amat kagum dengan apa yang dilihatnya, termasuk kemahiran berfikir dan kreativiti pelajar serta pendekatan holistik proses pengajaran oleh sekolah itu, menumpukan pada akademik serta aktiviti kokurikulum dan aspek lain berkaitan dalam melahirkan individu serba boleh.

“Nampak mereka (pelajar) lebih berdikari, cara mereka berkomunikasi juga agak baik. Ini menunjukkan tahap kecemerlangan sekolah ini, sesuatu yang kita boleh jadikan contoh,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja dua hari beliau ke Alabama pada Khamis.

Menyentuh mengenai keyakinan pelajar menjawab soalan dan sikap matang mereka semasa beliau berinteraksi dengan mereka semasa lawatan itu, Muhyiddin berkata: “Sikap dan keupayaan beginilah yang kita harus bangunkan dalam kalangan pelajar Malaysia.”

Satu daripada elemen sekolah itu yang menarik perhatian rombongan Malaysia diketuai Muhyiddin ialah setiap pelajar dibekalkan komputer riba terbaik untuk digunakan dalam kelas.

“Itu satu cara yang baik bermakna dari segi jangka panjang kerana tidak semestinya setiap pelajar memiliki (komputer riba) tetapi dibekalkan oleh pihak sekolah dan lepas habis pembelajaran di sekolah, dia pulangkan balik dan pelajar lain boleh gunakan.

“Kalau ada kerosakan atau hilang, ia diinsuranskan. Ini satu perkara yang baik…kita tengok macam mana (kemungkinan pelaksanaan) di Malaysia,” kata Muhyiddin.

Dalam lawatan ke sekolah yang menyamai Sekolah Berprestasi Tinggi di Malaysia itu, Timbalan Perdana Menteri diiringi isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Othman Hashim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof.

Menyentuh inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi Malaysia sendiri dalam pendidikan, beliau berkata: “Sebenarnya macam kita lihat mereka menggunakan komputer, kita sudah mulakan program kita menerusi 4G yang mana sebahagian sekolah telah dilengkapi kemudahan itu.

“Dan saya fikir dalam tempoh setahun ini semua sekolah akan lengkap disediakan dengan 4G wifi dan Internet selain alat teknologi maklumat dan komunikasi yang memang sudah kita gunakan, akan diperluaskan,” jelas Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh mengenai satu daripada teras sekolah itu berhubung agenda mengantarabangsakan iaitu pelajar diberikan peluang untuk belajar lebih banyak mengenai negara-negara lain.

Dalam konteks itu, beliau membayangkan kemungkinan satu atau dua buah sekolah di Malaysia menjalin hubungan dengan Daphne High School menerusi penggunaan teknologi.

Kepada satu soalan, Muhyiddin berkata masih tiada keputusan dibuat mengenai penggunaan telefon bimbit di sekolah Malaysia.

Muhyiddin dan rombongan beliau turut dibawa melawat sekolah itu dan berpeluang melawat beberapa kelas yang sedang dalam sesi pembelajaran, sambil diberikan taklimat oleh pentadbir sekolah, mengadakan sesi soal jawab dengan pelajar dan kemudiannya menikmati hidangan tempatan.

Muhyiddin dan pengetua sekolah Dr Meredith Foster turut saling bertukar cenderamata pada akhir lawatan itu.

Beliau berlepas dari Alabama sejurus selepas menghadiri satu lagi majlis dianjurkan sempena lawatan singkat beliau ke negeri ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s