Rais: Bantuan awal persekolahan, kesinambungan keprihatinan kerajaan – Bernama


Rais: Bantuan awal persekolahan, kesinambungan keprihatinan kerajaan

18 Januari 2013

JELEBU – Bantuan awal persekolahan RM100 yang diberikan kepada setiap pelajar sekolah pada tahun ini merupakan kesinambungan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban rakyat.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, bantuan itu yang jelas menunjukkan kasih sayang kerajaan, seharusnya diterjemahkan dalam bentuk sokongan oleh rakyat terhadap kerajaan.

“Kita menekankan bahawa kerajaan yang berbudi, kerajaan yang prihatin terhadap masalah rakyat, perlu menjelmakannya menerusi sistem yang boleh diterima oleh masyarakat.

“Justeru dengan adanya program penyampaian bantuan seperti ini, kita dapati bahawa ibu bapa dapat merasai kerapatan antara kerajaan dengan rakyat menerusi tanggungjawab dan juga kebajikan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas awal persekolahan bagi kawasan Parlimen Jelebu di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa Al Haj, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang Datuk Yunus Rahmat dan Adun Chennah Datuk Siow Chen Pin.

Rais berkata, diharapkan dengan bantuan itu juga ibu bapa dapat menjelmakan perasaan kasih sayang yang lebih lagi terhadap anak-anak mereka dalam memastikan anak-anak mencapai tahap pendidikan yang cemerlang.

Katanya, bantuan kerajaan tidak hanya terhenti di situ apabila Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 bagi setiap isi rumah akan disalurkan kepada mereka berkelayakan, bulan depan.

Sementara itu, ibu bapa yang menerima bantuan tersebut bagi pihak anak-anak mereka ketika ditemui berkata, bantuan tersebut dapat meringankan beban dalam menyediakan keperluan pembelajaran anak-anak mereka.

Hashim Rahmat, 43, yang bekerja sendiri berkata, bantuan tersebut sememangnya memberi makna kerana dengan sumber pendapatan yang tidak menentu amat sukar bagi dirinya menyara dua anak yang bersekolah.

“Saya amat bersyukur dengan bantuan ini dan amat berterima kasih kepada kerajaan kerana ia sedikit sebanyak membantu saya menyediakan keperluan pembelajaran anak-anak saya,” katanya.

Peniaga gerai makan, Mahani Abdul Rahman, 30, turut menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan itu yang disifatkannya sebagai tepat pada masanya.

“Selalunya bila mula persekolahan ibu bapa perlukan duit lebih untuk sediakan keperluan anak-anak, jadi bantuan memang sesuailah..,” katanya yang mempunyai seorang anak yang bersekolah.

Sebanyak RM1.04 juta diperuntukkan bagi kawasan Parlimen Jelebu untuk bantuan awal persekolahan itu yang akan dinikmati lebih 10,000 pelajar di kawasan itu.- Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s