Pendidikan Terlalu Berharga Untuk Dipolitikkan – PM – mStar


Pendidikan Terlalu Berharga Untuk Dipolitikkan – PM

Oleh MAZWIN NIK ANIS dan SYED AZHAR

TUMPAT: Kerajaan Persekutuan tidak akan meminggirkan negeri-negeri diterajui Pembangkang dalam hal pendidikan kerana ia terlalu berharga untuk dijadikan sebagai agenda politik.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun Kelantan berada di bawah pemerintahan pembangkang PAS selama lebih 20 tahun, para pelajar di negeri itu menikmati faedah yang sama dengan mereka di tempat lain.

“Kita mungkin mempunyai perbezaan pandangan dan kita boleh berhujah mengenai sesuatu isu.

“Tetapi kita menyedari bahawa pendidikan adalah jauh lebih berharga untuk ia dipolitikkan.”

“Kehadiran saya di sini hari ini adalah untuk mengulangi pendirian kerajaan,” katanya semasa lawatan sehari ke Kelantan pada Ahad.

Najib menegaskan bahawa kerana perhatian yang serupa diberikan kepada negeri itu, Kelantan muncul sebagai kedua terbaik dalam peperiksaan UPSR yang lalu.

Najib berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan sekolah RM100 kepada 3,274 pelajar dari tiga sekolah di sini.

Beliau turut melancarkan program Janji Ditepati dan membuat lawatan di Pasar Siti Khadijah.

Kerajaan Pusat tidak akan politikkan bidang pendidikan: Najib – Berita Harian


Kerajaan Pusat tidak akan politikkan bidang pendidikan: Najib

2013/01/20 – 09:58:55 AMCetakEmel Kawan
gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoDATUK Seri Najib disambut meriah oleh murid-murid SK Seri Wakaf Bharu, di sini, hari ini. – Foto NSTP/Chan Wai Yew
  • FotoDATUK Seri Najib bersama murid-murid SK Seri Wakaf Bharu melaungkan 1Malaysia selepas majlis penyampaian bantuan awal persekolahan di sini, hari ini.
  • FotoPM disambut meriah oleh murid-murid di SK Seri Wakaf Bharu.

TUMPAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Kerajaan Pusat tidak akan mempolitikkan bidang pendidikan demi masa depan anak bangsa meskipun di negeri ditadbir pembangkang.

Beliau berkata, peruntukan tetap diberikan di negeri berkenaan walaupun berbeza fahaman politik.

Najib berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan awal persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu di sini, sebentar tadi.

Sekolah perlu lebih bijak kembangkan budaya sukan – Utusan


Sekolah perlu lebih bijak kembangkan budaya sukan

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama para pegawai Akademi Sukan Amerika Syarikat (AS) selepas majlis penganugerahan Doktor Kehormat Antarabangsa oleh akademi itu di Mobile, Alabama, Amerika Syarikat semalam. – BERNAMA

MOBILE (Alabama) 19 Jan. – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekolah-sekolah di Malaysia perlu lebih bijaksana dan kreatif dalam usaha mengembangkan budaya sukan dalam kalangan pelajar selaras dengan pelaksanaan dasar “1 Murid, 1 Sukan”.

Sambil mengakui ini mungkin mudah dilakukan bagi sekolah yang sudah mempunyai infrastruktur sewajarnya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ia tidak mustahil dilakukan sekolah yang tidak mempunyai kemudahan sedemikian.

“Sekolah yang tidak ada (kemudahan), dia boleh buat, contohnya, rentas desa atau sukan-sukan lain yang sesuai, guna pakai juga dewan yang ada seperti di Majlis Perbandaran atau sekolah berhampiran, universiti dan sebagainya.

“Terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan sekolah itu sendiri untuk mencari ruang dan peluang bagi meluaskan kegiatan sukan,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja dua hari beliau ke Alabama, Amerika Syarikat. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130119/dn_27/Sekolah-perlu-lebih-bijak-kembangkan-budaya-sukan#ixzz2IWiIpapn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sukan: Sekolah kena kreatif – Utusan


Sukan: Sekolah kena kreatif

Oleh Aznan Bakar

Muhyiddin Yassin diberi taklimat oleh Presiden Akademi Sukan Amerika Syarikat (USSA), Dr. Thomas P. Rosandich (dua dari kanan) dan Dr T.J Rosandich (kanan) semasa melawat USSA di Alabama, Amerika Syarikat, semalam.

MOBILE (Alabama) 19 Jan. – Pengurusan sekolah perlu kreatif merangka program sukan untuk pelajar bagi membantu merealiasikan dasar 1Murid 1Sukan yang dilancarkan pada 2010.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, di pihak kerajaan, usaha telah dilakukan untuk mempertingkatkan kemudahan sama ada yang berbentuk dalaman mahu pun luaran selain membaiki prasarana sedia ada.

Bagi sekolah yang tidak mempunyai kemudahan atau kemudahan tidak lengkap, katanya, pihak sekolah perlu bijak merangka program-program yang sesuai supaya setiap pelajar terlibat dalam sukan.

“Mungkin boleh adakan sukan seperti merentas desa atau boleh gunakan dewan-dewan majlis perbandaran, sekolah-sekolah berhampiran, universiti dan sebagainya untuk aktiviti sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia ketika ditemui dalam sesi lawatan kerjanya ke Alabama di sini semalam.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut melawat sekolah di bawah Program Reben Biru Amerika Syarikat iaitu Sekolah Tinggi Daphne dan turut menerima ijazah doktor kehormat antarabangsa daripada Akademi Sukan Amerika Syarikat (USSA).

Menurut Muhyiddin, apa yang penting, budaya sukan mesti dipupuk dari peringkat sekolah.

“Cara macam mana untuk membudayakannya terpulang kepada pihak sekolah. Sekolah yang sudah ada kemudahan memang mudah, tetapi bagi yang tidak ada, pengurusan sekolah kena bijak.

“Terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan sekolah untuk meluaskan pembangunan sukan di sekolah-sekolah,” katanya.

Daripada segi kepakaran pula, Muhyiddin berkata, pihak kementerian berusaha untuk memastikan kesemua 10,000 sekolah di seluruh negara memiliki sekurang-kurang seorang guru terlatih dalam Pendidikan Jasmani.

Untuk itu, katanya, Kementerian Pelajaran telah bekerjasama dengan USSA untuk melatih guru-guru Pendidikan Jasmani dengan peringkat awal membabit 1,018 guru dari seluruh negara.

Katanya, langkah itu penting supaya sekolah mempunyai guru Pendidikan Jasmani yang terlatih kerana pembangunan sukan negara bermula dari sekolah.

“Jika sekolah tidak ada sukan atau sukan mati di sekolah, maka usaha kita melahirkan juara-juara sukan adalah sukar. Usaha memperkemas dan memantapkan Pendidikan Jasmani di semua sekolah itu cukup penting kerana itu merupakan asas kepada pembangunan sukan.

“Ini tidak boleh dilihat secara terasing. Pembangunan sukan negara mesti bermula dengan pembangunan sukan di sekolah-sekolah.

“Cabaran besar kita adalah menyediakan guru-guru terlatih untuk membimbing pelajar. Pada masa ini kita sudah ada guru sukan, tetapi kemahiran mereka terbatas. Guru kena tengok keupayaan murid,” ujarnya.

Beliau berkata, USSA dipilih menjadi rakan dalam program tersebut kerana kurikulum mereka bertaraf antarabangsa dan sijil yang dikeluarkan pula diiktiraf di seluruh dunia.

Sementara itu, Naib Presiden USSA, Dr. T.J. Rosandich berkata, akademi itu yang terlibat dalam program pembangunan sukan di 65 buah negara di seluruh dunia telah terbabit dengan usaha memajukan sukan di Malaysia sejak di zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Sejak itu, katanya, akademi itu banyak terlibat dengan kerja-kerja pembangunan sukan di Malaysia termasuk menyediakan pelan induk pembangunan sukan di Sabah pada tahun 1983.

Malah katanya, USSA turut terlibat dalam program pembangunan untuk Majlis Sukan Kuala Lumpur ketika badan itu di bawah pimpinan Tan Sri Elyas Omar.

Kata Rosandich, USSA juga merupakan satu-satunya universiti di dunia yang menawarkan program sukan sepenuhnya melalui 21 fakulti yang ada di akademi itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130120/dn_06/Sukan-Sekolah-kena-kreatif#ixzz2IWi8nBJ6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Remaja lelaki larikan murid tahun lima direman – Utusan


Remaja lelaki larikan murid tahun lima direman

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Polis menahan seorang remaja lelaki yang dipercayai melarikan seorang murid tahun lima ketika mangsa keluar bersama neneknya di sebuah pasar raya di Bukit Sentosa, Rawang di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi (gambar) berkata, remaja itu ditahan semalam dan direman selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Beliau berkata, selain itu, polis turut menyiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol ekoran pemeriksaan perubatan mendapati kedua-duanya pernah melakukan hubungan seks.

“Hasil pemeriksaan doktor menunjukkan terdapat kesan koyakan lama di kemaluan mangsa. Soal siasat terhadap suspek dan mangsa, mereka mengakui pernah melakukan hubungan seks sebelum ini.

“Mangsa kini mendapatkan rawatan doktor dan psikologi di Hospital Selayang manakala remaja lelaki itu dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Baru untuk menjalani ujian air kencing dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Teratai Kamilia Mohd. Hafiza, 11, yang dipercayai dilarikan teman lelakinya berusia 17 tahun ketika mangsa keluar bersama neneknya di sebuah pasar raya.

Bagaimanapun, setelah hampir seminggu kehilangannya, mangsa dan teman lelakinya itu ditemui selamat oleh bapa saudara murid tersebut di sebuah pusat beli-belah di Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam, sebelum dibawa ke balai polis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130120/je_01/Remaja-lelaki-larikan-murid-tahun-lima-direman#ixzz2IWhZrLvo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hanya 6 guru mohon kebenaran aktif berpolitik – Bernama


Hanya 6 guru mohon kebenaran aktif berpolitik

20 Januari 2013
Dr Mohd Puad Zarkashi
$entry.content.caption.value

JOHOR BAHRU – Kementerian Pelajaran hanya menerima enam permohonan dari pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, permohonan kurang memberangsangkan itu berkemungkinan disebabkan mereka bimbang dikenakan tindakan sekiranya terlibat dengan aktiviti sedemikian.

“Mungkin mereka (guru) takut dedahkan identiti sedangkan mereka tidak perlu ragu-ragu kerana kerajaan tidak akan mengambil tindakan.

“Contohnya, tiada tindakan diambil terhadap pelajar yang aktif berpolitik selepas pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilakukan.

Jadi, sebaik-baiknya, minta kebenaran jika hendak berpolitik dan jangan bawa hal politik ke dalam sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Bual Bicara Strategik Penyatuan Umat Islam Bersama Pesara Guru Negeri Johor, di sini, hari ini.

Mulai 1 Ogos 2010, kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik dengan syarat kebenaran rasmi perlu dibuat terlebih dahulu.

Beliau berkata, kebenaran berpolitik dengan syarat tidak memegang jawatan penting seperti pengetua dan pegawai pelajaran itu bertujuan melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin selain melambangkan tugas guru sebagai pemimpin bukan sekadar di bilik darjah tetapi di peringkat masyarakat.

Sementara itu, Mohd Puad berkata, dialog Kabinet berkenaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan diadakan 30 Januari ini bagi membincangkan mengenai pelaksanaannya.

Dialog itu, katanya, merupakan sesi terakhir perbincangan sebelum pelan tersebut dikemukakan kepada kabinet untuk diluluskan.

September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Antara yang digariskan adalah menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan.

Mengenai perbuatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Taman Ungku Tun Aminah, dekat Skudai, Johor Baharu menawarkan diskaun yuran komputer bagi menggalakkan ibu bapa membayar yuran terbabit menggunakan wang Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100, beliau berkata arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Pelajaran
Johor untuk menyiasat dan mengenakan tindakan sewajarnya terhadap sekolah itu.

Beliau berkata, perbuatan itu melanggar pekeliling yang dikeluarkan dan kementerian tidak mahu perbuatan seumpama itu dijadikan isu oleh ibu bapa para pelajar. – Bernama