Kementerian Pelajaran akan atasi masalah kerosakan bangunan Kolej Matrikulasi – Bernama


Kementerian Pelajaran akan atasi masalah kerosakan bangunan Kolej Matrikulasi

21 Januari 2013
Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

ALOR GAJAH – Kementerian Pelajaran akan menjalankan audit fizikal ke atas 13 Kolej Matrikulasi di seluruh negara untuk mengenal pasti kerosakan dan menaik taraf institusi berkenaan bagi keselesaan pelajar.

Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pihak kementerian akan menghantar pegawai bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kerosakan dan masalah yang dihadapi setiap kolej untuk diambil tindakan lanjut.

“Kebanyakan Kolej Matrikulasi dibina sejak lama dulu dan ada berusia lebih 10 tahun, sudah tentu banyak yang perlu diberikan perhatian untuk penambahbaikan serta dinaik taraf.

“Sebagai contoh bangunannya ada yang sudah rosak seperti berkulat dan ada juga retak,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kolej Matrikulasi Melaka di sini, hari ini.

Malah, katanya terdapat Kolej Matrikulasi yang menghadapi masalah bekalan air dan ia boleh mengganggu pelajar terutama jika masalah berlaku di bangunan asrama.

Mohd Puad berkata setakat ini beliau telah melawat tiga Kolej Matrikulasi iaitu di Melaka, Negeri Sembilan dan Labuan serta mengumumkan peruntukan awal masing-masing berjumlah RM1 juta bagi kerja baik pulih kerosakan di kolej tersebut.- Bernama

Cekal seorang guru – Sinar Harian


Cekal seorang guru

M FEISAL NORAWI
21 Januari 2013
Cekal seorang guru
Mohd Jasmin (tengah) berbual bersama Saifuddin sambil diperhatikan Normah ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Teluk Ira, kelmarin

TEMERLOH – Hanya semangat kental sebagai pendidik banyak membantu seorang guru berulang-alik ke sekolah sejauh 11 kilometer setiap hari walaupun disahkan menghidap penyakit saraf atau lebih dikenali sebagai ‘Prolapse Intervertebral Disc’ (PID).

Mohd Jasmin Jamaluddin, 40, sepatutnya masih dalam tempoh cuti sakit seperti dinasihati pakar, tetapi semangat kuat menyebabkan dia melupakan sementara deritanya untuk terus mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Ira, di sini.

Menceritakan detik awal perubahan hidupnya bermula 1 Julai 2012 apabila tiba-tiba diserang kesakitan amat sangat di bahagian paha kiri dan belakang badan ketika berada di rumahnya, dekat Taman Temerloh Jaya, di sini.

Menurutnya, tanpa sebarang petanda, dia diserang kesakitan amat sangat sehingga tidak mampu bangun, malah disentuh jiran-jiran yang cuba membantunya.

“Saya dibawa ke Hospital Temerloh dengan ambulans. Sampai di wad kecemasan, saya terpaksa disuntik morfin sebanyak empat kali untuk menahan sakit.

“Selepas disahkan menghidap PID, saya menerima rawatan selama 29 hari dalam wad, selain terpaksa pakai lampin pakai buang sebab terlalu sakit hingga tak sedar terkencing,” katanya semasa menerima lawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di SK Teluk Ira.

Walaupun menderita penyakit tidak pernah diketahui sebelum ini, Mohd Jasmin masih mendapat sokongan isteri, Rosliza Mohamed, 31, dan tiga anaknya yang masih kecil.

Menurutnya, jiwa sebagai pendidik menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pergi ke sekolah walaupun tempoh cuti sakitnya masih panjang.

“Saya tukar kereta dengan abang sebab keretanya gear automatik. Jadi senanglah saya memandu untuk berulang-alik ke sekolah walaupun jaraknya 11 kilometer dari rumah.

“Guru besar (Normah Hussein) sangat baik. Beliau tempatkan saya mengajar di makmal dan perpustakaan di tingkat bawah. Setiap kali subjek saya, murid-murid akan turun dari kelas dan belajar di bawah.

“Dulu saya ajar Bahasa Melayu, tetapi guru besar ringankan tugas saya dengan mengajar subjek elektif. Jadi ringanlah sikit beban saya,” katanya.

Walaupun mampu berulang-alik ke sekolah, Mohd Jasmin sedikit terkilan kerana terpaksa menangguhkan pengajian jarak jauh Program Pensiswazahan Guru di Institut Perguruan Lipis.

Menurutnya, hanya tinggal tiga tahun lagi dia akan menamatkan pengajiannya dan disebabkan masalah kesihatan, dia merayu kementerian menukarkan mata pelajaran Muzik diambilnya kepada Bahasa Melayu.

“Permintaan ini berikutan mata pelajaran Muzik memerlukan banyak latihan amali. Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan sekarang, saya rayu kementerian mempertimbangkan pertukaran subjek ini,” katanya.

Dua remaja maut dirempuh kereta – Sinar Harian


Dua remaja maut dirempuh kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Januari 2013
kemalangan
Motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebelum terseret ke dalam semak.

TERAP – Dua remaja lelaki berusia 16 dan 18 tahun terbunuh apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta di Batu 10 kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa terlibat disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Menurutnya, mangsa datang dari arah Serdang menuju ke Kulim manakala kereta terlibat datang dari arah bertentangan.

“Tiba di tempat kejadian, kereta terlibat memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya bagaimanapun gagal mengelak motosikal mangsa yang datang dari arah hadapan lalu merempuhnya.

“Mangsa tercampak kira-kira 50 meter dari kereta yang merempuhnya sebelum diseret ke dalam semak. Dalam masa sama sebuah motosikal lain yang datang dari arah Serdang ke Kulim merempuh kereta berkenaan di bahagian kiri kereta,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, kedua-dua mangsa terbunuh di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Saya ingin menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandu laju sepanjang jalan Kulim ke Terap kerana laluannya bengkang bengkok. Ini boleh mengakibatkan pemandu mudah terbabas dan sukar memberhentikan kenderaan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Tangani masalah bateri e-Book – Sinar Harian


Tangani masalah bateri e-Book

NURUL HUDA HUSAIN
21 Januari 2013
Tangani masalah bateri e-Book
Ahmad Razif (dua, kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang ibu bapa

KUALA NERUS – Kerajaan Negeri akan menangani segera masalah bateri e-Book yang tidak boleh bertahan lama bagi memastikan ia dapat digunakan sepanjang tempoh pembelajaran pelajar di semua sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif berkata, pihaknya akan berunding dengan Top IT mengenai langkah penyelesaian bagi memastikan bateri e-Book itu dapat digunakan dalam tempoh yang lama.

“Kita akan bincang dengan pegawai teknologi yang terlibat tentang bagaimana cara untuk memastikan bateri e-Book dapat bertahan dengan lebih lama kerana, kita ada menerima aduan yang mengatakan ada sebahagian e-Book yang digunakan pelajar mengalami masalah bateri.

“Ini kerana, Kerajaan Negeri memandang serius penggunaan e-Book dan kita juga sedang meneliti untuk turut menggunakan bahan pembelajaran itu dalam Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Dun Seberang Takir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, di sini, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sememangnya fokus serius terhadap penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sejajar dengan usaha untuk merealisasikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.

Sehubungan itu, beliau turut meminta semua ibu bapa agar memainkan peranan untuk memantau penggunaan e-Book oleh anak-anak ketika berada di rumah,  bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk aktiviti yang kurang sihat.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan seramai 888 murid menerima bantuan wang tunai RM100 setiap seorang dan kebanyakan bapa yang ditemui turut menyatakan rasa syukur dan terima kasih dengan bantuan yang diterima.

Kesucian Qeeya diragut sepupu sendiri – Metro


Kesucian Qeeya diragut sepupu sendiri

 0  2 Google +0  1  0

Sabak Bernam: Gadis ini tidak menyangka kesuciannya diragut sepupunya yang dianggapnya alim dan kuat pegangan agama.

Disebabkan percayakan sepupu yang rapat sejak kecil, Qeeya, 16, tiada masalah melepak di bilik lelaki itu sambil menonton filem di komputer riba ketika menumpang di rumah ibu saudaranya, setahun lalu.
“Saya mengenalinya sebagai orang baik dan mempunyai pegangan agama kuat. Mustahil dia melakukan perkara sedemikian terhadap saya, malah dia juga bertunang.

 

“Tepat sekali amaran dalam agama menghalang lelaki dan perempuan bukan mahram berdua-duaan, kerana ‘orang’ ketiga adalah syaitan.
“Dia memperkosa saya ketika ibu bapanya tidur di bilik mereka,” katanya.
Bercerita lanjut, Qeeya berkata, sepupunya pada mulanya mengajak untuk ‘bermain’.

 

Bagaimanapun, dia tidak mengendahkan gurauan itu kerana tidak terfikir sepupunya sanggup melakukan perkara terkutuk berkenaan di rumahnya.
“Terkejut juga dia berkata ingin ‘bermain’, sedangkan ibunya berada berhampiran. Saya mengabaikan dan menyambung menonton video di komputer riba yang berada dalam biliknya.

 

“Tidak lama kemudian dia kunci pintu bilik dan terus merogol saya. Puas saya meronta-ronta melepaskan diri, tapi tenaga lelakinya membuatkan saya gagal.
“Lebih menyakitkan hati, dia memutar belit cerita mendakwa saya menggoda dan memaksa mengadakan hubungan, tambahan pula saya berada dalam biliknya,” katanya.
Malu dengan kejadian itu, Qeeya melarikan diri kerana takut perkara itu sampai ke pengetahuan keluarga sebelum mendapatkan perlindungan di Rumah Perlindungan Baitul Ehsan, Sabak Bernam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

Tengkuk terkehel disepak abang – Berita Harian


Tengkuk terkehel disepak abang

2013/01/21 – 05:16:32 AM Oleh Zaid SalimCetakEmel Kawan
Chukai: Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di daerah ini terkehel tengkuk apabila disepak abang kandungnya dalam kejadian di Kampung Bukit Kuang, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 15 tahun dikatakan enggan mengikut arahan abangnya yang meminta beliau menukar siaran televisyen ketika mereka bersama dua beradik lain menonton di ruang tamu.

Tidak puas hati dengan adik perempuannya yang enggan menukar siaran televisyen, suspek yang berusia 21 tahun dan dipercayai penagih dadah membelasah mangsa sehingga cedera di tengkuk.

Tindakan tidak berperikemanusiaan suspek itu menyebabkan mangsa dikejarkan ke hospital apabila tulang tengkuknya dikatakan terkehel.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam, berkata sebelum kejadian, dua beradik terbabit dikatakan berada di ruang tamu rumah sambil menonton televisyen pada jam 5.30 petang.

Dua beradik terbabit dikatakan bertengkar berebut siaran televisyen.
Suspek naik angin apabila mangsa enggan menukar siaran televisyen, sebelum menyepak lehernya.
Tindakan suspek menyebabkan mangsa cedera pada tulang tengkuk dan dirawat di Hospital Kemaman (HK), katanya.

Beliau berkata, dua adik beradik lain yang berada di tempat kejadian hanya mampu melihat perbuatan abang mereka dan tidak berani masuk campur kerana bimbang dibelasah suspek.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai, pada jam 10.54 malam hari sama dengan ditemani keluarga sebelum dirujuk ke HK untuk rawatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Suspek ditahan di rumah keluarganya dua hari selepas kejadian dan dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman, pagi semalam, katanya.

Tiga pelajar pitam dirotan – Berita Harian


Tiga pelajar pitam dirotan

2013/01/21 – 05:19:38 AMCetakEmel Kawan
Kuantan: Tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di sini terpaksa menjalani rawatan dan ditahan semalaman di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas pitam kena rotan di kepala.

Mereka dirotan seorang guru lelaki sekolah berkenaan dalam kejadian Rabu lalu.

Nor Arina Syakirah Mazuki, Nor Aima Solehah Abdullah dan Nor Hidayah Asni masing-masing mendakwa dirotan guru berusia lingkungan 40 tahun berkenaan kira-kira jam 3 petang di sekolah mereka.

Akibat kejadian itu, mangsa yang pulang ke rumah mengadu pening kepala sebelum pitam seketika akibat kesan sebatan berkenaan sebelum dibawa keluarga ke HTAA untuk rawatan lanjut dan kemudian ditahan semalaman di wad.

Nor Arina berkata, pada hari berkenaan dia dan rakannya itu dipanggil seorang guru wanita ke pejabat untuk menyelesaikan kes perselisihan faham antara mereka dengan seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima yang berlaku sehari sebelumnya (Selasa).

Petang itu ada perhimpunan kokurikukum di dalam dewan. Bagaimanapun kami pergi ke pejabat selepas dipanggil untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Sebaik masalah yang berlaku diselesaikan dan masing-masing sudah meminta maaf, secara tiba-tiba guru lelaki berkenaan muncul dan dengan tanpa usul periksa memukul kepala saya dengan rotan dibawanya sepanjang kira-kira satu meter sebanyak dua kali.
Nor Aima dan Nor Hidayah disebat sekali juga di kepala sebelum kami kemudian menangis kerana menahan kesakitan.

Namun, guru terbabit tidak pula menghukum pelajar perempuan Tingkatan Lima yang berada bersama di situ, katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, selepas dirotan mereka bertiga pulang ke rumah sambil menahan kesakitan sebelum menceritakan kejadian itu kepada ibu bapa.

Saya pening dan muntah manakala Nor Aima pitam serta Nor Hidayah juga mengalami apa yang saya rasa. Kami kemudian dibawa ke HTAA dan ditahan di wad, katanya.

Nor Arina berkata, ketika di wad, guru terbabit datang melawatnya dan dua lagi rakan sebelum menyerahkan wang RM250 kepada kami untuk dikongsi

Dia (guru lelaki) datang dalam waktu tengah hari, sebelum pulang dia beri kami RM250 untuk dikongsi bersama dan cakap itu bukan rasuah tapi untuk bayar bil hospital.
Selebihnya suruh kami buat belanja beli tudung dan makan, katanya.

Pelajar berkenaan berkata, keluarga mereka membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini berhubung tindakan guru terbabit kira-kira jam 6 petang sehari selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Mohd Jasmani Yusof, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Pihak sekolah berkenaan pula bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan kejadian terbabit.