Penetapan gaji maksimum diumum Februari – KSN – Bernama


Penetapan gaji maksimum diumum Februari – KSN

PUTRAJAYA 22 Jan. – Kerajaan dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga lima peratus bagi penjawat awam yang sudah mencapai tahap gaji maksimum atau ‘gaji mati’ pada Februari ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian teliti bagi menangani masalah penjawat awam yang berprestasi baik dan cemerlang dengan markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.

“Saya tidak mahu melihat penjawat awam yang menjalankan tugas dengan cemerlang tetapi mendapat gaji statik. Ini yang saya mahu atasi.

“JPA sedang memuktamadkan senarai yang ada. Mereka sedang meneliti rekod perkhidmatan. Selalunya akan ada kenaikan biasa gaji, tetapi dalam kes ini kita mahu selesaikan kes mereka yang sudah mencapai tahap statik.

“Kami perlu berbincang dengan Perbendaharaan mengenai implikasi kewangan. Kerajaan amat positif mengenainya. Mereka faham gaji statik bukannya jawapan kepada penjawat awam yang berprestasi cemerlang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum itu, Ali menyampaikan Amanat 2013 kepada kira-kira 4,000 penjawat awam pelbagai kementerian dan jabatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Majlis yang dilaksanakan menerusi ‘live-streaming’ itu turut boleh disaksikan penjawat awam di seluruh negara.

Dalam amanatnya, Ali menyarankan penjawat awam memainkan peranan dalam sektor luar negeri khususnya untuk memahat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Beliau berkata sektor domestik dan luar negeri adalah sama penting untuk memacu agenda transformasi negara ke arah merealisasikan Wawasan 2020.

“Semua penjawat awam, baik di dalam mahupun di luar negara, perlu terus bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan kecekapan penyampaian, keberkesanan pengurusan dan amalan diplomasi yang proaktif demi mempertahan dan mempromosi kepentingan Malaysia.

“Kita juga perlu sentiasa mengintai atau mencari peluang-peluang baharu dalam mempromosi imej negara, selain juga menerokai pasaran atau pelaburan baharu untuk negara,” katanya.

Selain itu, Ali juga menyarankan penjawat awam agar lebih peka dan responsif dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan kerajaan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 telah mengumumkan 111 perkara melalui penjanaan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama di semua peringkat, tidak mengira sama ada ketua jabatan, pegawai pengurusan mahupun kumpulan pelaksana, diharapkan dalam memastikan kelangsungan serta kelancaran pelaksanaan keputusan-keputusan tersebut agar matlamatnya tercapai dengan jayanya.

“Sebagai penjawat awam yang prihatin dengan wawasan kerajaan, hendaklah bertindak lebih proaktif untuk memudahkan dan bukan menyusahkan,” katanya.

Pada majlis yang sama, Ali melancarkan buku bertajuk “Pengamalan Budaya Ketepatan Dalam Gagasan 1Malaysia: Transformasi Ke Arah Pembentukan Negara Maju” dan buku kecil Gagasan 1Malaysia dalam lima bahasa. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130122/dn_30/Penetapan-gaji-maksimum-diumum-Februari—KSN#ixzz2IiP7QptM
© Utusan Melayu (M) Bhd

LGBT Penyakit Boleh Dirawat – Dr Puad – mStar


LGBT Penyakit Boleh Dirawat – Dr Puad

Oleh TEH ENG HOCK

SHAH ALAM: Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi menyifatkan kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai penyakit yang boleh dirawat.

Beliau menggesa ibu bapa untuk mengenal pasti simptom awal bagi menghalang anak-anak mereka daripada mengamalkan gaya hidup golongan tersebut.

Bagi mereka yang sudah mengamalkan gaya hidup golongan tersebut, Dr Puad berkata “campur tangan oleh guru dan ibu bapa disusuli sesi kaunseling, boleh membantu mereka kembali ke pangkal jalan”.

Dr Puad berkata demikian pada seminar kekeluargaan tentang bagaimana untuk menangani kegiatan LGBT yang dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad.

“LBGT adalah penyakit sosial. Kita harus meningkatkan kesedaran mengenainya. Sama seperti dadah, kurang kesedaran mengenainya akan menyebarkan kegiatan LGBT,” katanya.

Beliau turut menggesa ibu bapa untuk memberikan perhatian penuh kepada anak-anak mereka dan mengenal pasti tingkah laku mereka.

“Jika anak lelaki anda sentiasa meminta kebenaran untuk bermalam di rumah kawan lelaki, anda perlu melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada apa yang berlaku,” katanya.

SPRM Beri Pendedahan Bakal Guru Perangi Rasuah – mStar


SPRM Beri Pendedahan Bakal Guru Perangi Rasuah

Oleh KEMALIA OTHMAN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memberi pendedahan mengenai jenayah rasuah kepada bakal guru menerusi program Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai langkah awal memerangi rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abu Kassim Mohamed berkata, sekretariat ini merupakan model percubaan SPRM sebelum dikembangkan ke seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS).

“Ia merupakan langkah SPRM membendung amalan ini dari peringkat awal. Kerjasama dengan IPG akan menjadi perintis dalam usaha awal penubuhan sekretariat ini.

“Kita akan adakan program-program di setiap IPG di seluruh negara yang akan dikendalikan oleh SPRM peringkat negeri,” katanya selepas Majlis Pelancaran Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pendidikan Guru, di sini, Selasa.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Puad Zarkhashi.

Tambah beliau, SPRM sudah merangka pelbagai program kesedaran untuk dilaksanakan oleh sekretariat tersebut dan bagi tujuan itu SPRM turut memperuntukkan sebanyak RM51,000 sebagai dana permulaan bagi mengerakkan sekretariat ini.

“Kita sudah merancang program-program bersama komuniti masyarakat setempat, penghayatan dan kesedaran tentang budaya rasuah sebagai satu jenayah yang harus diperangi di Malaysia.

“Sebagai dana awal untuk menggerakkan sekretariat ini, SPRM telah menyumbang sebanyak RM3,500 kepada 27 buah IPG di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, program ini merupakan latihan asas kepada semua bakal guru untuk disampaikan kepada pelajar mereka kelak.

“Kita mahu guru-guru terlebih dahulu diberi pendedahan tentang gejala rasuah ini. Ini kerana di sekolah kita tidak ada silibus atau mata pelajaran berkaitan rasuah, jadi adalah penting untuk semua bakal guru disiapkan dengan ilmu berkaitan bahaya rasuah agar mudah untuk diaplikasikan kepada anak murid nanti,” katanya.

BERITA HARIAN BERTARIKH 21 DISEMBER 2012 – ANAK DINAFI HAK BELAJAR SEKOLAH BARU DI RAWANG


BERITA HARIAN BERTARIKH 21 DISEMBER 2012 – ANAK DINAFI HAK BELAJAR SEKOLAH BARU DI RAWANG

21 January 2013

 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Insan Teraniaya, Rawang” dalam ruangan Forum akhbar Berita Harian bertarikh 21 Disember 2012 – Anak dinafi hak belajar sekolah baru di Rawang.

 

Merujuk kepada aduan dan penjelasan pengadu, terdapat salah faham pengadu terhadap proses pertukaran Sekolah anak beliau. Dimaklumkan, pertukaran sekolah bagi sesi persekolahan 2013 dibuka pada 15 Disember 2012 bagi menyelaraskan enrolmen murid semasa di sekolah-sekolah Daerah Gombak.

Bagi penempatan Tingkatan 4 ke SMK Tun Perak, mesyuarat akan diadakan pada 26 Disember 2012 untuk menempatkan murid daripada SEMEKAR ke SMK Tun Perak. Penempatan ini merupakan perpindahan secara berkelompok mengikut kriteria perpindahan yang akan diputuskan oleh panel mesyuarat terdiri daripada wakil SEMEKAR dan SMK Tun Perak bersama dengan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gombak.

 

Pertukaran anak pengadu dari SEMEKAR ke SMK Tun Perak tidak diluluskan pada masa pengadu membuat permohonan kerana anak pengadu masih di aliran sains pertanian manakala SMK Tun Perak hanya mempunyai dua aliran iaitu aliran Kemahiran Teknikal dan aliran Perdagangan. Pertukaran aliran akan memberi impak yang besar dalam penilaian PBS. Walau bagaimanapun, murid masih boleh menukar aliran. Pihak PPD menasihati pengadu untuk membuat permohonan pertukaran aliran di sekolah yang asal. Setelah selesai pertukaran aliran, barulah pengadu boleh menukar sekolah tanpa sebarang masalah.

 

Pihak PPD tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa sekolah akan kosong disebabkan murid berpindah ke SMK Tun Perak dan tidak timbul isu perlu belajar sekurang-kurangnya enam bulan sebelum boleh memohon pertukaran.

 

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Empat remaja gaduh diarah berkelakuan baik – Sinar Harian


Empat remaja gaduh diarah berkelakuan baik

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Januari 2013

GEORGETOWN – Empat remaja lelaki dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik tanpa cagaran oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan bergaduh di tempat awam.

Majistret, Norhayati Ibrahim membuat keputusan itu terhadap Choo Jia Hsian, 19; Mohd Fadzly Kutty, 19, dan dua remaja berusia 17 tahun, masing-masing mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Selepas membaca keputusan itu, Norhayati memberi amaran kepada kesemua remaja supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama, masa akan datang.

Keempat remaja itu didakwa bergaduh sesama sendiri di tepi jalan, hadapan sebuah pusat hiburan  dekat Upper Town, Jalan Penang, di sini, kira-kira jam 3.30  pagi, 16 Disember lalu.

Untuk kesalahan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairul Fairuz Rahman mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum bawah seksyen sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-dua sekali.

Hampir 47,000 pelajar mula terima bantuan khas – Bernama


Hampir 47,000 pelajar mula terima bantuan khas

22 Januari 2013

KANGAR – Sebanyak 46,968 pelajar di seluruh Perlis menikmati bantuan khas awal persekolahan berjumlah RM4,696,800 sumbangan kerajaan pusat secara berperingkat bermula semalam.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berharap simbangan itu akan dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima.

Bagi memastikan keselesaan ini dinikmati secara berterusan, rakyat perlu menterjemahkan penghargaan menerusi sokongan kepada semua usaha murni kerajaan yang bertujuan meningkatkan keselesaan dan taraf hidup rakyat, katanya ketika melancarkan bantuan itu, di sini hari ini.

Menurutnya selagi kerajaan sama mentadbir negara, rakyat akan terus menikmati pelbagai kemudahan.

Menerusi bantuan awal persekolahan yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 itu, pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara layak menerima RM100 tanpa mengira latar belakang keluarga. – Bernama

Guru, ibu bapa mahu cara lebih sistematik agih bantuan RM100 – Bernama


Guru, ibu bapa mahu cara lebih sistematik agih bantuan RM100

22 Januari 2013

MIRI – Kementerian Pelajaran disaran menimbang kemungkinan memasukkan wang bantuan RM100 secara terus ke dalam akaun pelajar atau ibu bapa mereka sebagai suatu cara pengagihan yang lebih cepat dan sistematik.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina mencadangkan agar pelajar membuka akaun bank bagi membolehkan bantuan berkenaan disalurkan sebelum sesi baru persekolahan bermula.

“Ini akan memastikan pelajar dan ibu bapa menerima bantuan itu pada November atau Disember untuk membolehkan mereka menggunakannya untuk membeli barangan keperluan seperti pensil dan buku,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ghani berkata cadangan pembukaan akaun bank perlu diberi pertimbangan memandangkan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman terpaksa ke bandar hanya untuk mendapatkan RM100.

“Kadang-kadang, kos pengangkutan lebih daripada RM100 yang mereka terima, jadi lebih baiklah mereka buka akaun bank,” katanya sambil berharap jumlah bantuan itu ditambah beransur-ansur dengan kenaikan minimum RM50, tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Berkongsi pendapat yang sama, pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Columba Miri Karambir Singh berkata wang bantuan itu boleh dikreditkan ke dalam akaun bank pelajar, ibu bapa atau penjaga.

“Cara itu lebih cepat dan guru boleh meminta nombor akaun daripada ibu bapa dan penjaga pada hari pendaftaran,” katanya selepas majlis penyampaian wang bantuan RM100 oleh Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, setiausaha politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, di sini hari ini.

Christina Bundak, 37, antara penerima wang bantuan itu, berkata adalah lebih baik sekiranya bantuan itu dikreditkan ke dalam akaun bank memandangkan sistem yang diguna sekarang agak membebankan sesetengah ibu bapa kerana mereka perlu berbaris panjang, merempuh kesesakan lalu lintas dan memohon cuti.

Ketika mengalu-alukan inisiatif yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, pesara Logie Krian, 60, meminta kerajaan mencari alternatif agar bantuan berkenaan boleh diagihkan dengan lebih cekap.

Sementara itu, Ting, yang juga setiausaha publisiti dan penerangan parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berkata sehingga 18 Jan, 45,991 pelajar di Miri telah menerima bantuan kewangan itu.  – Bernama

Satu bangunan, dua sekolah – Sinar Harian


Satu bangunan, dua sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Januari 2013
Satu bangunan, dua sekolah
Murid SAR As-Sidiq terpaksa menumpang di sekolah arus perdana kerana masih tidak memiliki bangunan sekolah agama sendiri.

SERI ISKANDAR – Seramai 235 murid Sekolah Agama Rakyat (SAR)  As-Sidiq, di sini, terpaksa menumpang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Perdana kerana masih tidak mempunyai bangunan sendiri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kafa sekolah, Zon Huri berkata, setakat ini mereka tidak mempunyai bangunan sekolah sendiri kerana masih menunggu kelulusan tapak oleh Pejabat Tanah dan Daerah Seri Iskandar.

Menurutnya, semua murid yang sudah memasuki tahun kedua terpaksa dibenarkan menumpang di sekolah rendah berkenaan kerana tidak ada tempat yang sesuai untuk kegunaan bagi menjalani sesi pembelajaran sementara.

“Tahun lepas juga kita sudah menumpang di sekolah ini dan sekali lagi pada tahun ini kita terpaksa menumpang di sini memandangkan kita masih tidak ada bangunan sekolah sendiri.

“Tapak untuk pembinaan sekolah agama ini sudah ada dan hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkaitan sahaja,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Iskandar Perdana 1.

Katanya, sekolah agama berkenaan baru sahaja dibuka dua tahun lalu memandangkan pertambahan penduduk di kawasan Taman Teknologi itu.

“Kami amat berharap supaya kelulusan tapak tanah itu dipercepatkan memandangkan setiap kali kami mahu menggunakan bangunan sekolah arus perdana pelbagai perkara yang harus dilakukan.

“Apabila tamat sesi persekolahan bagi sesi 2012, kami perlu membuat beberapa permohonan daripada pihak-pihak berkenaan untuk menggunakan bangunan sekolah ini.

“Perkara itu amat kami fahami kerana pastinya pihak berkenaan perlu memastikan sekolah tersebut berada dalam keadaan baik dan tidak berlaku sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata, meskipun agak sedih dengan keadaan itu, pihaknya  menyambut baik respons positif terutama Jabatan Pelajaran Negeri Perak yang membenarkan sesi pembelajaran SAR berlangsung pada setiap petang.

“Jika tanpa bantuan dan kebenaran mereka pastinya anak-anak kami tidak mempunyai tempat untuk mengikuti sekolah agama, memang sekolah lain ada namun disebabkan kawasan ini mempunyai ramai penduduk amat wajar jika ada sebuah sekolah agama di kawasan ini,” katanya.

Zon berkata, apabila kelulusan tanah itu diperoleh mereka akan melakukan langkah seterusnya untuk memastikan bangunan sekolah agama itu dapat dibina.

“Tapak berkenaan juga terletak di kawasan yang strategik kerana berhampiran sekolah rendah dan berhampiran masjid yang memudahkan ibu bapa atau anak-anak untuk datang ke sekolah.

“Sekarang kami amat berharap tapak tanah ini diluluskan dahulu untuk pembinaan bangunan sekolah, seterusnya kami akan melakukan tindakan selanjutnya untuk memastikan perkara tersebut dapat direalisasikan,” katanya.

BORANG PERMOHONAN DAN PANDUAN HADIAH BIASISWA SUKAN KPM 2013


BORANG PERMOHONAN DAN PANDUAN HADIAH BIASISWA SUKAN KPM 2013

22 January 2013

Dimaklumkan bahawa Permohonan Biasiswa Sukan (BS) 2013 kini telah dibuka.
Sila muat turun borang dan panduan permohonan yang dilampirkan untuk edaran.

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar ke Unit HEM/Unit Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing setelah mendapat pengesahan pengetua pada atau sebelum 31 Mac 2013 untuk tindakan selanjutnya.

Terima Kasih.

 

Muat Turun
Borang Permohonan BIASISWA SUKAN KPM 2013
Panduan Kod Borang

PELUASAN PUSAT PANGGILAN 1 MALAYSIA (1MOCC) KE SELURUH KEMENTERIAN


PELUASAN PUSAT PANGGILAN 1 MALAYSIA (1MOCC) KE SELURUH KEMENTERIAN

22 January 2013

Pusat Panggilan 1 Malaysia atau 1 Malaysia One Call Centre (1MOCC) kini memasuki fasa dua dengan penglibatan kesemua 25 kementerian mulai 15 Januari 2013. Fasa satu 1MOCC telah dilaksanakan secara perintis sejak November 2012 merangkumi Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Perbadanan Putrajaya serta 21 agensi lain di bawah Jabatan Perdana Menteri. Pelancaran 1MOCC telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 12 November 2012. 1MOCC merupakan satu projek National Flagship di bawah National Blue Ocean Strategy (NBOS) bertujuan untuk memudah cara komunikasi orang awam dengan agensi Kerajaan melalui konsep pusat panggilan setempat. 1MOCC membolehkan orang awam untuk mengemukakan sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan kepada pelbagai agensi Kerajaan menggunakan satu nombor perhubungan tunggal, 03 8000 8000.