Satu bangunan, dua sekolah – Sinar Harian


Satu bangunan, dua sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Januari 2013
Satu bangunan, dua sekolah
Murid SAR As-Sidiq terpaksa menumpang di sekolah arus perdana kerana masih tidak memiliki bangunan sekolah agama sendiri.

SERI ISKANDAR – Seramai 235 murid Sekolah Agama Rakyat (SAR)  As-Sidiq, di sini, terpaksa menumpang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Perdana kerana masih tidak mempunyai bangunan sendiri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kafa sekolah, Zon Huri berkata, setakat ini mereka tidak mempunyai bangunan sekolah sendiri kerana masih menunggu kelulusan tapak oleh Pejabat Tanah dan Daerah Seri Iskandar.

Menurutnya, semua murid yang sudah memasuki tahun kedua terpaksa dibenarkan menumpang di sekolah rendah berkenaan kerana tidak ada tempat yang sesuai untuk kegunaan bagi menjalani sesi pembelajaran sementara.

“Tahun lepas juga kita sudah menumpang di sekolah ini dan sekali lagi pada tahun ini kita terpaksa menumpang di sini memandangkan kita masih tidak ada bangunan sekolah sendiri.

“Tapak untuk pembinaan sekolah agama ini sudah ada dan hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkaitan sahaja,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Iskandar Perdana 1.

Katanya, sekolah agama berkenaan baru sahaja dibuka dua tahun lalu memandangkan pertambahan penduduk di kawasan Taman Teknologi itu.

“Kami amat berharap supaya kelulusan tapak tanah itu dipercepatkan memandangkan setiap kali kami mahu menggunakan bangunan sekolah arus perdana pelbagai perkara yang harus dilakukan.

“Apabila tamat sesi persekolahan bagi sesi 2012, kami perlu membuat beberapa permohonan daripada pihak-pihak berkenaan untuk menggunakan bangunan sekolah ini.

“Perkara itu amat kami fahami kerana pastinya pihak berkenaan perlu memastikan sekolah tersebut berada dalam keadaan baik dan tidak berlaku sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata, meskipun agak sedih dengan keadaan itu, pihaknya  menyambut baik respons positif terutama Jabatan Pelajaran Negeri Perak yang membenarkan sesi pembelajaran SAR berlangsung pada setiap petang.

“Jika tanpa bantuan dan kebenaran mereka pastinya anak-anak kami tidak mempunyai tempat untuk mengikuti sekolah agama, memang sekolah lain ada namun disebabkan kawasan ini mempunyai ramai penduduk amat wajar jika ada sebuah sekolah agama di kawasan ini,” katanya.

Zon berkata, apabila kelulusan tanah itu diperoleh mereka akan melakukan langkah seterusnya untuk memastikan bangunan sekolah agama itu dapat dibina.

“Tapak berkenaan juga terletak di kawasan yang strategik kerana berhampiran sekolah rendah dan berhampiran masjid yang memudahkan ibu bapa atau anak-anak untuk datang ke sekolah.

“Sekarang kami amat berharap tapak tanah ini diluluskan dahulu untuk pembinaan bangunan sekolah, seterusnya kami akan melakukan tindakan selanjutnya untuk memastikan perkara tersebut dapat direalisasikan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s