30 guru Terengganu terima Anugerah Guru Unggul ExxonMobil 2012 – Bernama


30 guru Terengganu terima Anugerah Guru Unggul ExxonMobil 2012

23 Januari 2013

 

KUALA TERENGGANU – Seramai 30 guru cemerlang dipilih sebagai penerima Anugerah Guru Unggul ExxonMobil 2012 di Terengganu sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi mereka.

Pada majlis penghargaan yang diadakan di Primula Beach Hotel di sini malam tadi, Pengerusi ExxonMobil Subsidiaries Malaysia, J Hunter Farris berkata pihaknya akan sentiasa memberi sokongan dari pelbagai aspek bagi memastikan sektor pendidikan di Terengganu terus unggul dan cemerlang untuk masa depan yang lebih gemilang.

“Insan penting yang menjadi tonggak utama kecemerlangan pendidikan di Terengganu ialah guru dan kami memperuntukkan RM45,000 pada program ini sebagai mengiktiraf peranan guru yang sangat berdedikasi selama ini,” katanya pada majlis itu yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Kesemua guru terbabit menerima wang tunai RM1,050, sijil penghargaan dan plak setiap seorang.

Bagi Kamariah Jusoh, 52 seorang guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, beliau menganggap anugerah itu sebagai pembakar semangat untuk terus mencurah bakti kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya

“Saya memohon kepada Kementerian Pelajaran untuk mengajar di kelas khas ini kerana mahu memastikan kanak-kanak istimewa ini mampu menguruskan keperluan diri sendiri dan menerima hak pendidikan yang sama seperti insan normal lain.

“Kenangan manis saya ialah apabila seorang murid yang pada mulanya langsung tidak tahu menulis, membaca dan mengira akhirnya dapat menguasai kemahiran itu selepas setahun belajar di kelas saya,” katanya yang pertama kali menerima anugerah itu.

Bagi Hong Ching Teck pula, pengalaman beliau mengajar Bahasa Inggeris selama 34 tahun akan dimanfaatkan untuk terus memberi khidmat terbaik kepada anak Terengganu menguasai bahasa utama dunia itu.

“Saya akan gandakan usaha dan fokus diberi kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini supaya mereka mampu menguasai BI dengan baik,” katanya yang kini mengajar di SK Seri Geliga, Kemaman.  – Bernama

Warga Bangladesh tidak mengaku salah liwat kanak-kanak lelaki – Bernama


Warga Bangladesh tidak mengaku salah liwat kanak-kanak lelaki

23 Januari 2013

BUTTERWORTH – Seorang jurukimpal warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap tuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun pada Oktober tahun lepas.

Tertuduh Md Rezaul, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi setelah memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Md Rezaul dituduh melakukan kesalahan itu pada Oktober 2012 di sebuah rumah di Blok B, Lorong Merak 57, Taman Merak Jaya, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, pada 12 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pada Disember lepas tertuduh telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan memandangkan tertuduh yang kurang memahami bahasa Melayu tidak mempunyai jurubahasa.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Md Daud.  – Bernama

Siasat sekolah potong bantuan khas – Berita Harian


Siasat sekolah potong bantuan khas

2013/01/23 – 05:14:08 AMCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) diarah menjalankan segera siasatan jika menerima aduan berhubung mana-mana sekolah yang dikesan membuat potongan wang Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan memotong bantuan itu jelas melanggar pekeliling asal dikeluarkan kepada semua sekolah supaya tidak membuat sebarang pemotongan bantuan yang diagihkan dalam apa cara sekalipun.

“Surat pekeliling adalah jelas, tidak boleh buat pemotongan. Sekolah kena bertanggungjawab walaupun yang buat itu PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), kerana Guru Besar adalah penasihat PIBG,” katanya kepada BH, semalam.

Terima aduan

Sebelum ini, kementerian pernah menerima aduan daripada ibu bapa di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Selangor mengadu mereka dipaksa menjelaskan yuran komputer RM100 ketika datang ke sekolah untuk mengambil bantuan berkenaan.

Semalam, BH turut menerima aduan sama daripada seorang ibu menyatakan bantuan RM100 diterima anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan, Sungai Ramal, Kajang, dipotong RM60 atas alasan gagal melunaskan yuran PIBG.

Dalam majlis berasingan, Puad berkata tiada cadangan menjadikan integriti dan pencegahan rasuah sebagai subjek teras, sebaliknya ia kekal sebagai modul dalam tiga mata pelajaran iaitu Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
Katanya, untuk menjadikan sesuatu mata pelajaran sebagai subjek teras memerlukan perbelanjaan dan tambahan masa.

Pelan pendidikan dibentang hujung bulan ini – Utusan


Pelan pendidikan dibentang hujung bulan ini

MELAKA 22 Jan. – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi ke arah memperkasakan sistem pendidikan negara akan dibentang kepada Jemaah Menteri hujung bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin pelan itu dapat disiapkan sepenuhnya pada masa ditetapkan memandangkan pelan tersebut ketika ini sudah mencapai 99.9 peratus.

“Kita akan bentangkan dalam sesi Jemaah Menteri khas pada 30 haribulan ini dan selepas diluluskan, kita akan segera laksanakan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Bersama Pemimpin dan penyampaian Bantuan Awal Persekolahan RM100 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek, Cheng, dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, terdapat perubahan sangat besar dalam PPPM melibatkan semua pihak merangkumi golongan pendidik, pihak sekolah, masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, perubahan itu bertujuan meningkatkan kedudukan negara dari sudut pendidikan ketika ini kepada antara tahap terbaik di dunia.

“Dalam tempoh masa 13 tahun ini, akan ada anjakan besar melibatkan semua peringkat bukan sahaja warga pendidik tetapi masyarakat, pemimpin, PIBG, serta komuniti dan kita rangkumkan dalam pelan yang saya rasa inklusif ini.

“Tiada yang diasingkan, semua akan terlibat,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130123/dn_10/Pelan-pendidikan-dibentang-hujung-bulan-ini#ixzz2IlqrfNjw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ibu panik kereta lesap bersama anak di dalamnya – Utusan


Ibu panik kereta lesap bersama anak di dalamnya

Christinah Madan memeluk anaknya, Cheyanne Michcal yang masih trauma selepas dilarikan oleh perompak di Stesen Minyak Jalan Matang, Kuching, semalam.

KUCHING 22 Jan. – Hanya tiga hari selepas sebuah kenderaan dilarikan penjenayah bersama mangsa di bandar raya ini, satu lagi kejadian serupa berlaku dan kali ini membabitkan anak seorang guru dilarikan bersama kenderaannya ketika ditinggalkan di sebuah stesen minyak, pagi ini.

Kes itu juga merupakan kejadian ketiga seumpamanya dalam tempoh sebulan di bandar raya ini.

Dalam kejadian terbaru itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish tersebut ditinggalkan Christinah Madan, 42, di Stesen Minyak Jalan Matang di sini dengan anaknya, Cheyanne Michcal, 8, berada di dalam MPV berkenaan kira-kira pukul 6.15 pagi.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130123/je_01/Ibu-panik-kereta-lesap-bersama-anak-di-dalamnya#ixzz2IlqDo3Bm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Peluang kenaikan 2-5% penjawat awam gaji statik – Utusan


Peluang kenaikan 2-5% penjawat awam gaji statik

PUTRAJAYA 22 Jan. – Penjawat awam yang mengalami gaji statik sebelum ini, dijangka menikmati kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus selepas kerajaan mengumumkan maklumat terperinci mengenai perkara itu bulan depan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa (gambar) berkata, unjuran kenaikan sebanyak dua hingga lima peratus itu bagaimanapun masih bergantung kepada kajian teliti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selain mengambil kira beban kewangan yang perlu dipikul kerajaan.

‘‘Saya telah meminta JPA untuk melihat keadaan penjawat yang sampai gaji maksimum. Jika prestasi mereka cemerlang iaitu mencapai 80 peratus ke atas, saya tidak mahu mereka mengalami keadaan gaji statik walaupun bekerja dengan cemerlang.

‘‘Mereka mungkin mengalami kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus bergantung kepada kajian JPA yang akan diumum menjelang Februari ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat Tahun Baru kepada penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130123/dn_03/Peluang-kenaikan-2-5-penjawat-awam-gaji-statik#ixzz2Ilq6MvxA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Polis terima tujuh laporan kes edar Bible kepada pelajar Islam – Bernama


Polis terima tujuh laporan kes edar Bible kepada pelajar Islam

 

GEORGETOWN 23 Jan. – Polis menerima tujuh laporan mengenai pengedaran Bible kepada pelajar Islam di hadapan sebuah sekolah di Jelutong di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata empat daripada laporan itu dibuat pelajar sekolah berkenaan manakala selebihnya oleh orang awam.

Beliau berkata mereka turut menyerahkan Bible itu kepada polis sebagai bahan bukti.

“Setakat ini siasatan polis mendapati kesemua Bible itu dicetak dalam bahasa Inggeris dan tidak mempunyai sebarang kalimah Allah serta tiada sebarang terjemahan dalam bahasa Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130123/je_09/Polis-terima-tujuh-laporan-kes-edar-Bible-kepada-pelajar-Islam#ixzz2Ilos23vM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Salam Maulidur Rasul bagi tahun 1434 Hijrah


Salam Maulidur Rasul bagi tahun 1434 Hijrah

Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1434 Hijrah atau tahun 2013 Masihi yang jatuh pada 12 Rabiulawal 1434 bersamaan 24 Januari 2013 (hari Khamis).

“WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH”
(Tema peringkat kebangsaan)

Ringkasan Kisah Muhammad SAW Sejak Kelahiran Hingga Dilantik Nabi

Alhamdulillah, solawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam yang dengan nikmat utusan ALLAH melalui Baginda, dapat kita nikmati nikmat Iman dan Islam pada hari ini.

InsyaALLAH, di sini saya cuba ringkaskan beberapa maklumat berkenaan kelahiran dan kehidupan insan mulia yang kita semua sama-sama sayangi dan kasihi sepenuh hati kita.  Saya petik dari kitab al-Rahiq al-Makhtum, tulisan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri.

Mudah-mudah2an bermanfaat buat kita semua, insyaALLAH.

Abdullah dan Aminah

  • ‘Abd al-Muttalib telah memilih Aminah binti Wahb bin ‘Abd manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri anaknya, ‘Abdullah.
  • Aminah dianggap wanita yang paling mulia ketika itu dari sudut keturunan dan kedudukan.  Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah.
  • ‘Abd al-Muttalib telah mengutus ‘Abdullah ke Yathrib untuk mengambil bekalan dagangan untuk didagangkan di Syam.
  • ‘Abdullah telah meninggal dunia di Yathrib dan dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Ja’di.  Ketika itu, ‘Abdullah berusia 25 tahun.

Kelahiran Bayi Mulia, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam

  • Dilahirkan di penempatan Bani Hashim di Mekah sebagai anak yatim.
  • Dilahirkan pada hari Isnin, 9 Rabi’ul Awwal tahun pertama peristiwa gajah, bersamaan 20 atau 22 April 571 Masehi.
  • Peristiwa luar biasa (irhas) yang berlaku ketika dilahirkan:
    • 14 lengkungan gerbang Istana Kisra gugur
    • Api sembahan orang Majusi terpadam
    • Gereja-gereja di sekitar Bahirah Sawah telah runtuh
  • Apabila Abd al-Muttalib mendapat tahu berita kelahiran cucunya itu, dia terus ke Ka’bah lalu berdo’a dan bersyukur.  Lantas diberi namaMUHAMMAD, nama yang cukup asing bagi masyarakat Arab ketika itu.
  • Orang yang pertama menyusukan Nabi, selepas ibunya ialah Thuwaybah, iaitu seorang hamba kepada Abu Lahab.

Hidup Dalam Keluarga Bani Sa’ad (sehingga umur 4-5 tahun)

  • Menurut adat masyarakat Arab setempat, bayi yang baru lahir akan disusukan oleh perempuan yang berada di luar dari masyarakat setempat, supaya bebas dari dijangkiti penyakit masyarakat setempat, menguatkan fizikal kanak-kanak, mengukuhkan urat saraf serta memahirkan anak terebut dengan bahasa Arab jati sejak kecil lagi.
  • ‘Abd al-Muttalib telah menyerahkan bayi bernama Muhammad untuk dipelihara oleh Bani Sa’ad dan disusukan oleh Halimah al-Sa’diyyah.
  • Selepas 4 atau 5 tahun kelahiran, telah berlaku peristiwa pembelahan dada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam oleh Jibril.

Ke Pangkuan Ibu Yang Pengasih (sehingga umur 6 tahun)

  • Selepas peristiwa pembelahan dada itu, Halimah risau akan keselamatan Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, lalu memulangkan Baginda kepada ibunya, Aminah.
  • Aminah dan anak yatimnya itu telah membuat keputusan untuk menziarahi kubur suaminya di Yathrib, dengan ditemani oleh Abd al-Muttalib dan Ummu Ayman (pembantu wanita).
  • Mereka menetap di Yathrib (Madinah) selama sebulan.
  • Dalam perjalanan pulan ke Makkah, Aminah jatuh sakit lalu meninggal dunia di Abwa’, iaitu kawasan di antara Makkah dan Yathrib (Madinah).
  • Anak kecil bernama Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam itu terpaksa menjadi anak yatim piatu pada umur 6 tahun.

Ke Pangkuan Datuk Yang Penyayang (sehingga 8 tahun)

  • Abd al-Muttalib sayu dan sedih dengan kejadian yang berlaku.  Peristiwa lama iaitu kematian anaknya Abdullah kembali datang menerjah ke dalam memorinya.
  • Beliau membawa pulang anak kecil itu ke Makkah dan menjaganya dengan penuh kasih sayang.
  • Apabila umur Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam mencecah 8 tahun, 2 bulan dan 10 hari, datuknya Abd al-Muttalib pula meninggal dunia di Makkah.
  • Abd al-Muttalib sempat berwasiat agar Muhammad sallAllahu ‘alaihi wassalam dijaga oleh Abu Talib, bapa saudaranya iaitu saudara kandung bapanya.

Ke Pangkuan Bapa Saudara (sehingga 40 tahun)

  • Abu Talib telah menjalankan amanah menjaga Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dengan sesempurna mungkin.
  • Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah mendapat perlindungan dan penjagaan dari Abu Talib sehingga akhir hayat Abu Talib.
  • Antara peristiwa penting yang berlaku sepanjang bersama Abu Talib ialah:
    • Hujan turun dengan berkat peribadi anak kecil bernama Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Yang mana ketika itu Makkah dilanda kemarau.
    • Pada umur Baginda 12 tahun, Abu Talib yang ketika itu membawa Baginda berdagang ke Syam telah ditegur oleh seorang Rahib bernama Jarjis, atau lebih dikenali sebagai Bahira.  Seetlah melihat ciri-ciri yang ada pada Baginda, Bahira telah memberitahu kepada Abu Talib, “Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh ALLAH sebagai rahmat untuk sekalian alam.”  Bahira menasihatkan agar budak tersebut tidak dibawa ke Syam, kerana ditakuti akan dilakukan sesuatu yang buruk kepadanya.  Lalu Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dibawa pulang ke Makkah semula.
    • Pada umur 15 tahun, Baginda telah ikut membantu dalam peperangan yang dipanggil Peperangan Fijar.  Peperangan tersebut adalah di antara orang Quraisy dan sekutu2 mereka dari Bani Kinanah dengan Qays bin ‘Aylan.
    • Pada zaman remaja, Baginda tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.  Banyak riwayat mengatakan Baginda mengembala kambing.  Pada usia 25 tahun, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah dikenali sebagai seorang yang amanah.  Atas sifat amanahnya itu, Khadijah binti Khuwaylid iaitu pedagang dan hartawan telah memilih Baginda untuk membawa dagangannya ke Syam.  Baginda dibantu oleh hamba Khadijah yang bernama Maysarah untuk berniaga di Syam.
    • Kembali dari urusan perdagangan, Khadijah tertarik dengan kebolehan Baginda yang telah meraih keuntungan yang banyak dari perniagaan tersebut.  Malah yang lebih penting ialah perwatakan Baginda yang berakhlaq mulia, berfikiran tajam, tutur kata yang benar dan bersifat amanah.  Maklumat ini diperolehi dari Maysarah.  Khadijah yang sebelum ini selalu gagal dilamar oleh para pembesar Quraisy, telah tertarik dengan Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Khadijah ketika itu berumur 40 telah menyatakan hasrat untuk mengahwini Baginda, dan Baginda setuju.  Lamaran telah dibuat oleh bapa-bapa saudara Baginda.
    • Pada usia 35 tahun, Baginda membawa peranan yang besar dalam pembinaan semula Ka’bah dan Isu Tahkim.
    • Pada usia 40 tahun, Baginda telah menerima wahyu dari ALLAH.  Pada saat inilah, kehidupan Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam mula menerima pelbagai tentangan dan halangan yang besar.  Dan Abu Talib telah banyak bertindak melindungi Baginda sehinggalah Abu Talib meninggal dunia…

 

WAllahu Ta’ala A’lam.

Saya sarankan tuan/puan untuk mendapatkan kitab al-Rahiq al-Makhtum karangan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri untuk bacaan lanjut dan lebih terperinci.  Mudah2an rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, insan yang telah banyak berjasa kepada kita akan semakin subur dan diikuti dengan semangat untuk menyambung perjuangan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam dan mengamalkan segala sunnah2nya.

Sumber: http://muzir.wordpress.com/2010/02/18/ringkasan-kisah-muhammad-sebelum-jadi-nabi/