nisiatif Doktor Muda SK Perpaduan – Kosmo


nisiatif Doktor Muda SK Perpaduan

PROGRAM anjuran Lifebuoy ini mampu menggalakkan kanak-kanak dalam menjaga kebersihan diri.

 

PENDEKATAN serampang dua mata yang dipraktikkan oleh ‘doktor muda’ Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan, Ulu Kinta, Perak untuk menarik dan menggalakkan rakan pelajar mengamalkan tabiat menjaga kebersihan ternyata membuahkan hasil.

Ia juga membolehkan sekolah itu diisytihar sebagai pemenang Program Doktor Muda bersama Lifebuoy 2012.

SK Perpaduan menduduki tempat teratas di antara 32 buah sekolah rendah yang bersaing dalam cabaran antara sekolah seluruh negara yang diterajui oleh Lifebuoy, salah satu jenama sabun perlindungan daripada kuman.

Pertandingan selama 21 hari yang dianjurkan di bawah naungan Program Doktor Muda Kementerian Kesihatan dan disokong oleh Kementerian Pelajaran itu bertujuan menggalakkan kanak-kanak sekolah mengamalkan tabiat menjaga kebersihan, khususnya membasuh tangan mereka dengan sabun.

Aktiviti inovatif

Seorang guru dan lima pelajar yang memainkan peranan sebagai penggerak perubahan positif, dicalonkan oleh setiap sekolah yang mengambil bahagian.

Doktor muda ini digalakkan untuk merancang dan menjalankan aktiviti inovatif dan interaktif yang dapat menarik rakan pelajar lain untuk mengamalkan tabiat menjaga kebersihan sepanjang program itu berlangsung.

PELBAGAI aktiviti perlu dilakukan seperti ceramah kebersihan dalam tempoh 21 hari.

 

Pencapaian sekolah-sekolah ini dinilai berdasarkan sejauh manakah para pelajar dapat mengamalkan tabiat menjaga kebersihan atas inisiatif doktor muda mereka.

Pengarah Pemasaran Unilever Malaysia dan Singapura, Hugo Verkuil berkata, semangat dan kreativiti yang ditunjukkan oleh doktor muda SK Perpaduan benar-benar menakjubkan.

“Dalam masa 21 hari, mereka berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk mengadakan ceramah kebersihan, demonstrasi membasuh tangan dan mendapatkan ikrar daripada rakan mereka untuk mengamalkan tabiat yang baik dengan menjaga kebersihan.

“Malah, mereka juga mengambil inisiatif untuk menasihatkan pelajar dari sekolah lain dan anggota masyarakat. Melalui pelbagai usaha yang berterusan ini, tidak hairanlah jika sekolah mereka mencatat peningkatan paling tinggi dari segi kesedaran kebersihan dan amalan penjagaan kebersihan dalam kalangan mereka,” jelas Hugo.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kokurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Nor Haslan Nor Zaman di sekolah tersebut.

Sebagai pemenang tempat pertama, SK Perpaduan menerima wang tunai bernilai RM5,000. Tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik SK Raja Chulan, Perak dan SK Marian Convent, Perak dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan RM2,000.

SK Perpaduan menduduki tempat teratas antara 32 buah sekolah rendah di seluruh Malaysia yang bersaing dalam cabaran yang dianjurkan oleh Lifebuoy.

 

Dalam pada itu, tiga buah sekolah, iaitu SK Puchong Indah, Selangor; SK Daya 3, Johor; dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Foon Yew 4, Johor, menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai RM1,000 setiap satu. Semua pemenang turut menerima bekalan sabun cecair Lifebuoy percuma selama satu tahun berserta 10 unit dispenser dengan jumlah keseluruhan bernilai RM5,000.

“Program Doktor Muda Lifebuoy tahun ini berjaya menyentuh kehidupan hampir 40,000 pelajar. Memandangkan usaha membentuk tabiat yang baik mengambil masa 21 hari, kami yakin ia akan menjadi amalan yang akan kekal sepanjang hayat,” ungkap Hugo lagi.

Mula diperkenalkan sejak tahun 1894, sabun Lifebuoy dipasarkan secara meluas pada harga yang berpatutan. Setakat ini, ia telah membantu lebih 1.6 bilion orang di seluruh dunia untuk hidup bebas daripada masalah kesihatan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2Iwm37OUk
Hakcipta terpelihara

‘Messi Malaysia’ mahu bersekolah – Metro


‘Messi Malaysia’ mahu bersekolah

 1  1 Google +1  0  1

Rantau Panjang: Seorang remaja yang pernah digelar ‘Messi Malaysia’, kini tercicir dalam pelajaran selain buntu mencari jalan penyelesaian untuk kembali bersekolah.

Nama Sufian Mat, 17, pernah muncul di dada akhbar ketika menjadi peserta rancangan realiti anjuran TV3, Soccer Kids, malah pernah menjadi pemain harapan kebangsaan pada masa depan.
Episod duka Sufian bermula apabila bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera itu kecewa selepas namanya tidak tersenarai untuk ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Johor pada 2007.

 

Sufian berkata, keadaan lebih teruk apabila anak kedua daripada empat beradik itu dibuang asrama kerana dikaitkan dengan insiden pergaduhan di sekolah berkenaan.
“Saya tertekan ketika itu kerana tidak dapat ke SSBP, malah keadaan lebih teruk kerana terpaksa berulang-alik sejauh 50 kilometer (km) ke sekolah.
“Sekarang saya mahu kembali bersekolah dan ingin bermain bola sepak, namun buntu untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Rantau Panjang, di sini, semalam.

 

Sufian yang pernah berada di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee ketika menyertai program Soccer Kids itu juga mengakui tidak mahu berpisah dengan minatnya terhadap bola sepak.
Katanya, dia berharap ada pihak prihatin dengan nasibnya, malah berhasrat menamatkan pelajaran sekurang kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

“Saya berharap ada pihak membantu kerana saya cuma mahu dapatkan sijil SPM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Menangis ditahan berjudi – Metro


Menangis ditahan berjudi

 1  0 Google +0  0  0

Petaling Jaya: Seorang remaja berusia 16 tahun yang baru memulakan permainan judi menangis teresak-esak sebaik ditahan polis dalam serbuan pusat judi di Kampung Sungai Kayu Ara, kelmarin.

Remaja berkenaan merayu dilepaskan dan berjanji tidak akan melakukan perkara itu selain mengaku wang RM2 yang digunakan itu diminta daripada ibunya dengan alasan mahu membeli barang.
Ketika ditanya alasan dia bermain judi, remaja yang sudah tidak bersekolah dan bekerja sebagai buruh binaan itu mengaku pernah melihat bapanya berbuat demikian sebelum timbul rasa ingin mencuba.

 

Dalam serbuan jam 9.45 malam oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu, polis menahan 19 kaki judi termasuk seorang penjaga premis warga Indonesia berusia awal 20-an.
Semua yang ditahan berusia 16 hingga 40 tahun.
Serbuan dikenali sebagai Ops Dadu itu diketuai Asisten Superintendan Mohd Nazri Daut bersama empat pegawai dan 19 anggota dari IPD Petaling Jaya dan Balai Polis Damansara Utama.

 

Menurut Mohd Nazri, pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki yang ditahan adalah warga tempatan, dua lagi bertaraf penduduk tetap (PR), 10 daripadanya memiliki pasport dan lima lagi tiada dokumen sah.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis yang dibuka 24 jam berkenaan baru beroperasi seminggu lalu dan sebilangan besar pelanggan mereka warga asing di kawasan berkenaan.

 

“Dalam serbuan itu, polis merampas 11 unit pemprosesan komputer (CPU) digunakan untuk aktiviti judi dalam talian dan dua mesin judi menggunakan syiling serta wang RM500.
“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Damansara Utama untuk pemeriksaan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25

Akibat kemiskinan tiga beradik mungkin berhenti sekolah – Utusan


Akibat kemiskinan tiga beradik mungkin berhenti sekolah

Nor Baini Zakaria (dua dari kanan) bersama empat daripada tujuh anaknya di rumah mereka di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan semalam.

PASIR PUTEH 24 Jan. – Harapan seorang ibu tunggal, Nor Baini Zakaria, 40, dari Kampung Bukit Abal di sini untuk melihat anak sulungnya menamatkan pengajian seterusnya bekerja bagi membantu keluarga yang hidup dalam kemiskinan, tidak kesampaian apabila anak lelakinya itu memutuskan untuk menangguhkan sementara pengajiannya.

Mohd. Muzzamal Md. Sayuti, 20, anak sulung daripada tujuh beradik, menuntut di peringkat Diploma Ukur Bangunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

Menurut Nor Baini, anaknya itu terpaksa menangguhkan pengajiannya untuk bekerja bagi mencari duit membantu keluarga, berikutan kematian arwah suaminya, Md. Sayuti Majid, 52, sebulan lalu, akibat lelah.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130125/dn_17/Akibat-kemiskinan-tiga-beradik-mungkin-berhenti-sekolah#ixzz2Iwj1GoRf
© Utusan Melayu (M) Bhd

CUEPACS akan serah cadangan kenaikan gaji – Utusan


CUEPACS akan serah cadangan kenaikan gaji

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan menyerahkan cadangan kepada kerajaan berhubung pemberian kenaikan gaji penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksimum bagi memastikan ketelusannya.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, disebabkan kenaikan itu melibatkan semua peringkat, keadilan diperlukan khususnya dalam merungkai persoalan pihak mana yang layak mendapat kenaikan tinggi atau sebaliknya.

“Dijangkakan kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus tetapi jangan pula nanti pegawai atasan sahaja dapat lima peratus sedangkan pekerja bawahan hanya dua peratus. Kalau sudah berkhidmat 10 tahun, berilah lima peratus.

“Ahli Majlis Kongres CUEPACS akan membincangkan mekanisme bagi menentukan kriteria dalam menentukan jumlah kenaikan gaji pada 29 hingga 31 Januari ini dan cadangan hasil perbincangan itu bakal diserahkan kepada kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130125/dn_16/CUEPACS-akan-serah-cadangan-kenaikan-gaji#ixzz2IwipShzz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Budak redah rumah terbakar selamatkan adik – Utusan


Budak redah rumah terbakar selamatkan adik

Mohd. Naim Che Khairul bersama ibunya, Siti Mariam Hamad selepas berjaya diselamatkan dalam kebakaran di Taman Bukit Pasir, Batu Pahat, malam semalam.

BATU PAHAT 24 Jan. – Meskipun masih kecil, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun sanggup mempertaruhkan nyawa meredah asap tebal semata-mata untuk menyelamatkan adiknya yang terperangkap dalam kebakaran di rumah sewa mereka di Taman Bukit Pasir, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.50 malam di tingkat tiga rumah kedai berkenaan, Nazrul Affal Che Khairul sedang bermain basikal seorang diri di bawah rumah berhampiran warung yang diusahakan ibu bapanya.

Namun, sebaik sahaja melihat asap dan api, dia meluru naik ke rumah yang disewa keluarganya sejak 10 tahun lalu untuk menyelamatkan adiknya, Mohd. Naim Che Khairul, 8, yang sedang tidur.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130125/dn_14/Budak-redah-rumah-terbakar-selamatkan-adik#ixzz2IwihP6ju
© Utusan Melayu (M) Bhd