12 Sekeluarga Nyaris Maut Van Terbalik, Tayar Belakang Meletup – Bernama


12 Sekeluarga Nyaris Maut Van Terbalik, Tayar Belakang Meletup

ALOR SETAR: Seramai 12 anggota satu keluarga nyaris maut apabila van yang mereka naiki terbabas dan terbalik selepas tayar belakang kenderaan itu tiba-tiba meletup di Km50.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan petang Sabtu.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Sungai Mas Hujung, Kota Kuala Muda dari Jitra selepas menghadiri satu majlis perkahwinan.

Ismail Mohd Shukri, 26, berkata van yang mereka sewa itu dipandu sepupunya, Mohd Zambri Fikri, 24, terbalik dua kali dan merempuh penghadang jalan selepas hilang kawalan apabila tayar belakang sebelah kanan pecah.

Bapanya Osman Nordin, 57, yang duduk di kerusi penumpang hadapan cedera di tangan dan kepala terkena serpihan kaca, dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, katanya ketika ditemui, Ahad.

Sementara dia, ibunya Sulifah Mohd Yusof, 60, dan lapan adik beradiknya yang lain berusia antara 14 hingga 28 tahun menerima rawatan pesakit luar di hospital sama, kata Ismail. – BERNAMA

Kerajaan salur RM1 juta setahun bantu pendidikan Orang Asli di Kelantan – Bernama


Kerajaan salur RM1 juta setahun bantu pendidikan Orang Asli di Kelantan

27 Januari 2013

GUA MUSANG – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membelanjakan RM1 juta setahun bagi program kemajuan pendidikan pelajar Orang Asli di Kelantan.

Adun Galas, Ab Aziz Yusof berkata, perbelanjaan itu tidak termasuk bantuan lain berjumlah puluhan juta ringgit setahun yang turut meliputi penyediaan peralatan sekolah dan makanan.

“Kerajaan berbuat demikian kerana mahu melihat pelajar kaum itu lebih maju dan berjaya dalam peperiksaan,” katanya pada majis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2013 kepada Pelajar Sekolah Kebangsaan Pos Hendrop di sini, hari ini.

Ab Aziz yang juga Setiausaha Umno Gua Musang berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi kelas dewasa Orang Asli yang dilaksana di beberapa sekolah berhampiran perkampungan masyarakat itu.

Beliau berkata, kerajaan sanggup berbuat demikian kerana tidak mahu kaum itu terus ketinggalan dalam arus pemodenan negara.

Katanya, bantuan juga sebagai penghargaan kerajaan persekutuan terhadap sokongan kuat mereka kepada Barisan Nasional (BN) pada setiap pilihan raya umum.

“Kita yakin Orang Asli di kawasan pedalaman daerah ini tidak mudah keliru dengan janji pemimpin pembangkang yang ingin melakukan perubahan jika menang kerusi Dun Galas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Mereka harus ingat, selama Pas memerintah Kelantan lebih 20 tahun lalu, tidak ada kemajuan yang dilakukan untuk kaum terbabit, sebaliknya lebih banyak tanah yang dimajukan Orang Asli dirampas sebelum diserahkan kepada syarikat swasta bagi pembangunan ladang sawit,” katanya. – Bernama

Imej sekolah tercemar – Sinar Harian


Imej sekolah tercemar

NORAFIZA JAAFAR
26 Januari 2013
Imej sekolah tercemar
Beberapa pelajar mengelak dari terpijak najis lembu di hadapan pintu sekolah.

RAWANG – Rutin harian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini, terganggu apabila setiap hari terpaksa berdepan najis lembu di hadapan pintu pagar sekolah.

Masalah itu berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab pemilik lembu yang melepaskan haiwan peliharaannya saban malam di kawasan itu.

Tindakan itu menimbulkan kurang selesa guru, pelajar dan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah berkenaan.

Bapa pelajar, Tarmizi Lutfi, 43, berkata, dia menggesa pihak berkaitan, terutama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyiasat pemilik lembu dan mengambil tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan terhadap lesen menjalankan operasi secara sah atau tidak kepada pemilik ternakan yang menggunakan kawasan lapang berhampiran sekolah.

“Pemilik lembu itu perlu dikenakan tindakan kerana membiarkan ternakan berkeliaran di kawasan sekolah dan taman perumahan sehingga mengganggu ketenteraman awam.

“Kita juga bimbang kesihatan pelajar terjejas sekiranya ada jangkitan pelbagai wabak penyakit” katanya kepada Sinar Harian.

Tarmizi turut tidak berpuas hati apabila saban hari perlu hidu busuk dan berdepan najis haiwan tersebut di merata jalan.

Penduduk, Mohd Shafie Taslim, 46, berkata, inisiatif membina jalan pintasan berhampiran dilakukan bagi memudahkan pelajar supaya mereka tidak perlu melalui jalan jauh untuk pergi dan pulang ke sekolah.

“Peringkat awal jalan pintasan itu adalah untuk memudahkan pelajar tetapi tidak menyangka kini ia menjadi tempat haiwan berkenaan berkeliaran.

“Meskipun tapak sekolah tersebut yang baru dibuka tahun lepas adalah hutan, namun itu tidak boleh dijadikan alasan oleh pemilik untuk melepaskan haiwan tersebut ke kawasan berkenaan,” katanya.

Difahamkan, nasihat dan teguran ada diberikan kepada pemilik lembu terbabit supaya tidak melepaskan ternakannya di kawasan itu, bagaimanapun ia tidak diendahkan malah haiwan berkenaan masih terus berkeliaran seperti biasa.

Oleh itu, Mohd Shafie menggesa campur tangan pihak berkaitan bagi menyelesaikan permasalahan itu untuk keselesaan bersama.

Muhyiddin: Bajet khas SJKT, SJKC mulai tahun depan – Bernama


Muhyiddin: Bajet khas SJKT, SJKC mulai tahun depan

27 Januari 2013
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin menerima kalungan bunga sempena sambutan Thaipusam di perkarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam, Batu Caves malam tadi – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian belanjawan khas untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan Cina (SJKC) mulai tahun depan.

“Komitmen kerajaan adalah untuk melihat dengan segala bantuan yang diberikan, kualiti pendidikan di SJKT akan meningkat, sekali gus melonjak mutu pendidikan negara kita,” katanya semasa berucap pada sambutan perayaan Thaipusam 2013 di Batu Caves malam tadi.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dijangka dibentang kepada kabinet hujung bulan ini, dirancang untuk menjamin kualiti pendidikan kepada semua sekolah, termasuk SJKT.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran telah menyalur peruntukan belanja mengurus kepada SJKT sebanyak RM584,382,340 pada 2011 dan meningkat kepada RM660,346,311 pada 2012.

Selain itu, SJKT mendapat peruntukan RM100 juta dalam Bajet 2012 dan 2013 untuk pembangunan, katanya.

Muhyiddin berkata, masyarakat India sentiasa mendapat pembelaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ini dapat dilihat melalui penubuhan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (JKKMI) bagi mengkaji, merancang dan melaksanakan program untuk mempertingkat kualiti hidup mereka.

Merujuk Program MyDaftar sebagai contoh, beliau berkata ia membantu masyarakat India menyelesaikan banyak permasalahan dokumen.

Sehingga Mei 2012, sejumlah 4,155 permohonan kewarnegaraan, 222 permohonan perkahwinan, 682 permohonan kad pengenalan, 71 permohonan pindaan maklumat sijil kelahiran diluluskan, katanya.

Selain itu, peruntukan tempat matrikulasi untuk pelajar kaum India juga bertambah daripada 500 tempat pada 2011 kepada 1,000 pada 2012.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM1 bilion saham dalam Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India selain pelbagai bantuan kewangan lain seperti bantuan persekolahan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata, tidak banyak negara di dunia yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama dapat mengekal keamanan yang dikecapi sejak merdeka hingga ke hari ini seperti Malaysia.

“Tetapi di Malaysia, perbezaan kaum dan kepercayaan agama tidak menjadi penghalang kepada kita untuk mengecapi nikmat kehidupan yang aman dan damai,” katanya.

Beliau turut berkata, ketika negara Eropah mengalami kemelesetan ekonomi, Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga 2012.

“Kejayaan negara kita tidak berhenti di sini. Dalam tempoh tujuh tahun akan datang, rakyat akan dapat melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga yakin masyarakat India akan terus menyokong BN untuk memastikan segala perancangan dapat dilaksana dengan baik dan cita-cita bagi mengecapi nikmat kehidupan dalam sebuah negara maju, aman dan makmur akan tercapai.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau akan membawa permohonan masyarakat India untuk menjadikan Thaipusam sebagai cuti umum di seluruh negara ke kabinet.

Beliau turut berkata, SJKT bercuti sempena perayaan Ponggal namun sesi persekolahan pada hari itu akan diganti. – Bernama

Bangunan SK Kelangsat , Sipitang Musnah Dalam Kebakaran – Bernama


Bangunan SK Kelangsat , Sipitang Musnah Dalam Kebakaran

KOTA KINABALU: Sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan Kelangsat, di Jalan Tenom-Sipitang, kira-kira 55 kilometer dari pekan Sipitang dekat sini musnah dalam kebakaran tengah hari Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendi K.Ramin berkata kebakaran itu melibatkan bangunan yang menempatkan pejabat guru besar dan guru, pantri serta pusat sumber sekolah.

Beliau berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.23 pagi dan sepasukan anggota dengan dua jentera tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian.

“Ketika pasukan bomba tiba, kebakaran yang melibatkan sebuah bangunan sekolah telah terbakar 100 peratus,” katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Mohd Affendi berkata pihaknya turut mengalami kesukaran mendapat maklumat berhubung kejadian itu berikutan tiada liputan komunikasi di lokasi terbabit.

Katanya operasi memadam kebakaran tamat pada 6.22 petang ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA

MRSM Tun Mustapha Di Tawau Tawar A-Level Pada 2014 – Shafie – Bernama


MRSM Tun Mustapha Di Tawau Tawar A-Level Pada 2014 – Shafie

TAWAU: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mustapha yang sebelum ini dikenali dengan nama MRSM Tawau akan menjadi MRSM pertama di negara ini menawarkan pengajian peringkat A-Level yang dijangka dilaksanakan pada awal 2014.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dengan adanya pengajian peringkat A-Level berkenaan, pelajar MRSM dari Sabah berpeluang melanjutkan pengajian prauniversiti mereka di negeri ini tanpa perlu ke Semenanjung.

“Ini akan membolehkan ibu bapa dari persekitaran seperti Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna menghantar anak-anak mereka belajar di MRSM dan selepas mengambil A-Level, pelajar-pelajar ini boleh melanjutkan pelajaran bukan sahaja dalam negara tetapi di luar negara.

“Taraf sijil yang dikeluarkan ini memungkinkan mereka memasuki universiti seperti Universiti Oxford dan Cambridge. A-Level bukan sahaja diiktiraf dalam negara tetapi juga di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MRSM Tun Mustapha di sini Sabtu.

Menurut Shafie pengambilan pertama untuk A-Level ialah 150 pelajar dan kriteria pemilihan ialah mencapai piawaian ditetapkan serta memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

MRSM Tun Mustapha juga dipilih sebagai MRSM kedua di negara ini menawarkan Program Pendidikan Dwisijil iaitu Sijil Pelajaran Malaysia-International General Certificates For Secondary Education (SPM -IGCSE) selepas MRSM Tun Razak, Pekan, pada tahun 2011.

Shafie berkata pada tahun ini seramai 61 pelajar sudah mendaftar untuk IGCSE yang merupakan kelayakan peperiksaan berprofil tinggi dan mempunyai reputasi cemerlang serta diiktiraf di kebanyakan universiti peringkat antarabangsa. – BERNAMA

Tuntut RM59.8 juta elaun prasekolah – Kosmo


Tuntut RM59.8 juta elaun prasekolah

 

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

 

SAID ANUAR (barisan depan, tiga dari kanan) bersama ahli BTR Selangor dan orang-ramai mengadakan demonstrasi aman menuntut elaun RM50 sebulan kepada murid prasekolah di Petaling Jaya semalam.

 

PETALING JAYA – Selangor didakwa gagal memenuhi janji semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) untuk menyediakan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada 115,000 kanak-kanak yang memasuki prasekolah melibatkan tuntutan RM59.8 juta sejak tahun 2008.

Pengerusi Badan Bertindak Rakyat (BTR) Selangor, Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata, jumlah itu termasuk seramai 23,945 kanak-kanak yang memasuki prasekolah sepanjang tahun lepas.

“Kita akan buat tuntutan secara berperingkat bagi memudahkan kes ini dibicarakan di mahkamah pada kadar segera,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyertai demonstrasi aman melibatkan lebih 40 penduduk pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini yang menuntut elaun murid prasekolah seperti yang dijanjikan kerajaan negeri pada 2008.

Menurut Said Anuar, satu memorandum akan dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada minggu depan meminta penjelasan kenapa kerajaan negeri gagal menepati janji.

Sebelum itu, kerajaan negeri berjanji akan memberikan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada setiap kanak-kanak prasekolah di Selangor sekiranya berjaya mentadbir negeri tersebut pada tahun 2008.

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Kamil Ahmad Nazri, 33, berkata, tuntutan yang diminta rakyat adalah wajar kerana selama ini mereka diperdaya demi meraih undi.

“Kami menuntut hak kami seperti apa yang telah dijanjikan sebelum ini dan tidak salah kami meminta dengan cara baik,” katanya.

Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Datuk Abdul Halim Samad.

Selain itu, BTR Selangor juga pernah menuntut elaun ibu tunggal RM100 sebulan, caj air percuma bagi penggunaan RM20 ke bawah bagi perumahan bertingkat, menuntut kerajaan negeri Selangor ambil alih hutang rumah PKNS dan pengecualian cukai terhadap mana-mana premis yang tidak didiami atau disewa.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2J86uzkYP
Hakcipta terpelihara

Pengurus resort didakwa rogol gadis bawah umur – Utusan


Pengurus resort didakwa rogol gadis bawah umur

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Seorang pengurus sebuah pusat peranginan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 12 tahun, tahun lalu.

Mohd. Zaini Zainal Abidin, 31, didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bilik No. 405, Hotel Petaling, Jalan Petaling di sini kira-kira pukul 4 petang, 2 April 2012.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Hakim Emilia Kaswati Mohd. Khalid tentang perkenalan antara tertuduh dengan mangsa, dia memberitahu mangsa merupakan kawannya.

“Bagaimana kamu yang telah berusia 31 tahun boleh berkawan dengan budak perempuan umur 12 tahun?” tanya Emilia.

Menurut lelaki yang mempunyai dua anak itu, dia mengenali mangsa melalui telefon dan ketika itu mangsa telah melarikan diri dari rumahnya.

“Saya ambil dia dan bawa dia kepada keluarganya namun saya hanya hantar dia ke rumahnya di Bandar Baru Ampang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurmadiana Mamat yang mengendalikan pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kerana dia menyara kedua-dua anaknya setelah bercerai dengan isterinya selain turut menanggung ibunya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh serta keluarga dilarang berhubung dan mendekati mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.

Selain itu, tertuduh diperintah menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah dan melapor diri ke balai polis berhampiran tempat tinggalnya setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 28 Februari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130124/ma_03/Pengurus-resort-didakwa-rogol-gadis-bawah-umur#ixzz2J85Urvyb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rogol: Bicara bekas anggota Ruffedge 1 Mac – Utusan


Rogol: Bicara bekas anggota Ruffedge 1 Mac

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Mahkamah Sesyen Ampang di sini menetapkan 1 Mac ini, perbicaraan kes bekas anggota kumpulan Ruffedge yang didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun.

Hakim Roszianayati Ahmad menetapkan tarikh itu setelah Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd. Zawawi hari ini menyerahkan beberapa dokumen antaranya laporan kimia.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, Muhamad Burok hadir dengan ditemani beberapa lelaki dipercayai rakan dan saudaranya.

Lelaki berusia 37 tahun itu didakwa merogol mangsa di sebuah rumah, Taman Gombak Jaya dekat sini kira-kira pukul 9 pagi, 9 Februari 2012.

Tertuduh telah didakwa pertama kali pada Disember tahun lalu dan mohon dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan sebatan. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130125/ma_03/Rogol-Bicara-bekas-anggota-Ruffedge-1-Mac#ixzz2J85KmsXb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru muda lonjak kualiti transformasi pendidikan – TPM – Utusan


Guru muda lonjak kualiti transformasi pendidikan – TPM

Sebahagian guru muda berikrar di hadapan Muhyiddin Yassin pada majlis Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Selangor semalam.

SABAK BERNAM 26 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih 200,000 guru muda di seluruh negara mempunyai peranan untuk melonjakkan kualiti dan transformasi pendidikan negara yang akan dilaksanakan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru muda adalah sebahagian daripada bilangan keseluruhan guru yang terdapat di negara ini yang akan terus berada dalam sistem pendidikan negara bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

”Ini bermakna anda berperanan bukan sahaja melonjakkan kualiti pendidikan tetapi juga menentukan di mana sistem pendidikan kita akan berada dalam tempoh tiga dekad yang akan datang.

”Dalam erti kata lain, masa depan sistem pendidikan negara kita terletak di tangan anda,” katanya ketika merasmikan Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat zon tengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kementerian turut menekankan kepentingan ‘High Order Thinking Skill’ (HOTS) iaitu mahu guru-guru mempunyai keupayaan baru, penguasaan ilmu yang lebih tinggi, bijak berbicara dan dapat menganalisis serta menterjemah ilmu pengetahuan yang bukan setakat dalam bidang biasa.

Sehubungan itu katanya, program bimbingan guru akan ditingkatkan pada masa depan selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta mulai tahun ini bagi melatih semula kemahiran guru dalam bidang sains, matematik, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris supaya bidang utama dalam kurikulum dapat dikuasai oleh semua guru.

”Ini dianggap sebagai langkah awalan dan pelbagai langkah lain akan dilaksanakan,” katanya.

Seperti yang diketahui katanya, dalam pelan tersebut terdapat 11 anjakan besar dan salah satu yang akan diberi tumpuan ialah menjadikan perguruan sebagai kerjaya pilihan dan bukan memilih guru setakat untuk mendapatkan pekerjaan.

”Guru bukan satu pekerjaan tetapi satu profesion. Guru adalah orang yang bijak dan mahir yang berperanan untuk memajukan masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam majlis itu, Muhyiddin turut melancarkan Buletin Maya GM1M.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130127/dn_03/Guru-muda-lonjak-kualiti-transformasi-pendidikan—-TPM#ixzz2J83lGcX8
© Utusan Melayu (M) Bhd