Pengurus resort didakwa rogol gadis bawah umur
KUALA LUMPUR 23 Jan. – Seorang pengurus sebuah pusat peranginan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 12 tahun, tahun lalu.
Mohd. Zaini Zainal Abidin, 31, didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bilik No. 405, Hotel Petaling, Jalan Petaling di sini kira-kira pukul 4 petang, 2 April 2012.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika ditanya Hakim Emilia Kaswati Mohd. Khalid tentang perkenalan antara tertuduh dengan mangsa, dia memberitahu mangsa merupakan kawannya.
“Bagaimana kamu yang telah berusia 31 tahun boleh berkawan dengan budak perempuan umur 12 tahun?” tanya Emilia.
Menurut lelaki yang mempunyai dua anak itu, dia mengenali mangsa melalui telefon dan ketika itu mangsa telah melarikan diri dari rumahnya.
“Saya ambil dia dan bawa dia kepada keluarganya namun saya hanya hantar dia ke rumahnya di Bandar Baru Ampang,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurmadiana Mamat yang mengendalikan pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kerana dia menyara kedua-dua anaknya setelah bercerai dengan isterinya selain turut menanggung ibunya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh serta keluarga dilarang berhubung dan mendekati mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.
Selain itu, tertuduh diperintah menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah dan melapor diri ke balai polis berhampiran tempat tinggalnya setiap bulan.
Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 28 Februari ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130124/ma_03/Pengurus-resort-didakwa-rogol-gadis-bawah-umur#ixzz2J85Urvyb
© Utusan Melayu (M) Bhd