Kaji semula bantuan bulanan anak istimewa – Sinar Harian


Kaji semula bantuan bulanan anak istimewa

NORHASPIDA YATIM
28 Januari 2013
Kaji semula bantuan bulanan anak istimewa
Mohd Nasir (kanan) beramah mesra bersama salah seorang anak istimewa pada Majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra Bersama Keluarga dan Pelajar PDK Kuala Nerus

KUALA TERENGGANU – Kerajaan diminta mengkaji semula bantuan bulanan sebanyak RM150 yang diberikan kepada anak-anak istimewa di bawah kategori golongan kurang upaya (OKU) supaya bersesuaian dengan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung keluarga mereka.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, penambahan bantuan bulanan yang disarankan itu tidak terhad kepada anak istimewa di bawah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) malah termasuk mereka yang berada di rumah dan menerima bantuan bulanan sebanyak RM50.

Menurutnya, bantuan bulanan yang diberikan kepada anak-anak istimewa ini perlu diselaraskan sama ada anak-anak itu terlantar di rumah atau berada di bawah pusat jagaan.

“Berdasarkan kos sara hidup semasa termasuk keperluan perubatan serta keperluan sampingan lain yang terpaksa ditanggung keluarga, saya lihat bantuan bulanan yang diberikan perlu ditambah lagi kepada RM250.

“Ini bagi meringankan beban keluarga anak-anak istimewa ini kerana kita tahu keluarga mereka menanggung perbelanjaan lebih untuk menampung keperluan harian mereka,” katanya pada sidang media ketika hadir di majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra Bersama Keluarga
dan Pelajar PDK Kuala Nerus di restoran A&W, Batu Burok.

PDK Kuala Nerus menempatkan seramai 50 anak-anak istimewa termasuk lapan yang berada di rumah bermula dari usia empat hingga 31 tahun.

Kebanyakan anak istimewa yang ditempatkan di PDK itu mengalami penyakit autisme, sindrom down, hiperaktif, masalah fizikal dan pelbagai.

Pada majlis berkenaan, Mohd Nasir turut mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM6,000 bagi tiga PDK iaitu di Kuala Nerus, Manir dan Batu Rakit bagi membantu pengurusan pentadbiran.

Ketiga-tiga PDK itu mempunyai sekitar 180 anak istimewa yang mana mendapat pengesahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk di dalam kategori OKU.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nasir berkata, penubuhan PDK Wakaf Tembesu perlu disegerakan bagi menampung anak istimewa dari kawasan setempat.

“Dengan adanya PDK Wakaf Tembesu, ibu bapa anak istimewa ini tidak perlu menghantar anak mereka di PDK yang jauh dari kediaman kerana menyukarkan proses penghantaran dan pengambilan anak mereka,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s