Mulai esok, harga barangan asas seragam di Semenanjung, Sarawak, Sabah – Bernama


Mulai esok, harga barangan asas seragam di Semenanjung, Sarawak, Sabah

 

KUCHING 28 Feb. – Bermula esok, harga barangan keperluan asas di Sarawak, Sabah dan Labuan diseragamkan dengan Semenanjung di bawah program 1Malaysia 1Harga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara barangan keperluan asas yang akan diseragamkan harganya ialah gula, minyak masak dan tepung gandum kegunaan am.

“Selain itu penyeragaman ini akan turut melibatkan 304 produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM), 89 produk COOP 1Malaysia, dan 69 produk keluaran Fama.

“Penyeragaman ini berjaya kita lakukan apabila kerajaan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung ke Sarawak, Sarawak, dan Labuan termasuk penghantaran barangan keperluan ke kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi peruntukan sebanyak RM386 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program 1Malaysia 1Harga dan perasmian KR1M di Medan Hamidah di sini, hari ini.

Mengulas perkara itu, Ismail Sabri berkata, program 1Malaysia 1Harga merupakan satu lagi inisiatif kerajaan bagi meringankan kos sara hidup rakyat khususnya di Sarawak, Sabah dan Labuan bagi mendapatkan barangan keperluan asas.

“Melalui penyeragaman ini juga, peniaga tiada alasan lagi untuk menaikkan harga barangan keperluan kerana kos penghantaran yang menjadi antara sebab kenaikan harga barang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Untuk memastikan penyeragaman ini berjaya, kita akan buat pemantauan, dan dalam masa sama kita minta orang ramai (pengguna) turut membuat laporan berkaitan harga barangan yang telah diseragamkan itu. Pengguna perlu mainkan peranan dengan beritahu kita, pengguna perlu lindungi diri dan jangan terima saja apa yang berlaku,” katanya.

Menjawab soalan berhubung tindakan yang bakal diambil ke atas peniaga yang gagal menurunkan harga barang keperluan itu, Ismail Sabri berkata tiada akta khusus yang membolehkan tindakan diambil sebaliknya tindakan menyenarai hitam peniaga dan menghentikan pengedaran barang kepada peniaga boleh dilakukan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan meneruskan cadangan membina 57 KR1M di Sarawak, Sabah dan Labuan.

“Tahun ini, kerajaan bercadang membina 57 buah KR1M lagi di Sarawak, Sabah dan Labuan. Ketika ini di Sarawak ada empat buah KR1M, tiga buah di Sabah, baki 54 KR1M lagi sedang dalam proses perancangan dan pembangunan,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130228/dn_60/Mulai-esok-harga-barangan-asas-seragam-di-Semenanjung-Sarawak-Sabah#ixzz2MBisANwX
© Utusan Melayu (M) Bhd

MAKLUMAN PERPINDAHAN ENGLISH LANGUAGE TEACHING CENTRE, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


MAKLUMAN PERPINDAHAN ENGLISH LANGUAGE TEACHING CENTRE, KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

28 February 2013

Tuan/Puan,

Dengan hormatnya saya merujuk perkara di atas.

2.         Sukacita dimaklumkan bahawa English Language Teaching Centre, Kementerian Pelajaran Malaysia (ELTC) yang sedang beroperasi di Blok Menara IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur dengan rasminya akan berpindah ke kampus barunya di Kompleks Pendidikan Nilai, Bandar Enstek, Negeri Sembilan bermula 4 Mac 2013 (Isnin).

3.         Sehubungan itu, sebarang surat-menyurat serta perhubungan dengan pegawai ELTC boleh dibuat dengan menghubungi alamat serta nombor telefon seperti ketetapan berikut:

Alamat baru               : English Language Teaching Centre

Kementerian Pelajaran Malaysia

Lebuh Enstek

Kompleks Pendidikan Nilai

71890 LABU, NEGERI SEMBILAN

Talian Telefon           : 06-7979000

Talian Faks                : 06-7979113/06-7979114

 

Sekian, terima kasih.

KSN: Kajian Gaji Penjawat Awam Capai Had Maksimum Dikemuka Kepada K’jaan – Bernama


KSN: Kajian Gaji Penjawat Awam Capai Had Maksimum Dikemuka Kepada K’jaan

SANDAKAN: Kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara itu merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam di negara ini.

Katanya, penilaian telah dibuat terhadap kalangan penjawat awam yang sudah mencapai had atau tangga gaji maksimum dengan kebanyakan mereka ini mempunyai skor 80 hingga 85 ke atas dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan.

“Ia menunjukkan penjawat awam itu telah melaksanakan tugas dengan cemerlang tetapi jika dilihat skim gaji, kita dapati ada yang terhenti dan sampai ke tahap maksimum,” katanya dalam Program Temubual Bersama Radio Sandakan FM yang bersiaran pada Khamis.

Temu bual secara rakaman melalui telefon disiarkan pada 9.50 pagi bertajuk Perkhidmatan Awam Teras Kecemerlangan Sesebuah Negara.

Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.

Katanya, kertas cadangan itu turut meliputi cadangan kenaikan dua hingga lima peratus untuk penjawat awam yang sudah capai had gaji maksimum.

Menurutnya, perkara itu sedang dibincangkan di peringkat Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman secepat yang boleh.

Beliau yakin kerajaan akan mengambil perhatian perkara itu selepas meluluskan kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun bermula tahun ini kepada pesara kerajaan.

Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam pada11 Mac ini di Putrajaya, Perdana Menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

“Kita tunggu sahaja Perdana Menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif kita sama-sama tunggu.

“Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam,” katanya.

Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.

“Kami sedang melihat dan mungkin ia akan mengambil masa lebih sikit kerana kena perlu melihat balik semua elaun dan juga akan ada implikasi kewangan yang lebih,” katanya.

Pada akhir program itu, beliau meminta penjawat awam di seluruh negara meneruskan perjuangan mereka untuk membaiki perkhidmatan diberikan kepada rakyatdan hala tuju negara ke arah pencapaian negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, penjawat awam mesti bersikap kreatif dan inovatif secara lebih proaktif dengan disertai sikap positif, peribadi yang mulia dan berintegriti.

Katanya, tugas sebagai penjawat awam adalah untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat. – BERNAMA

Kerajaan buka 8 sekolah agama di KL, Putrajaya – Utusan


Kerajaan buka 8 sekolah agama di KL, Putrajaya

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Kerajaan telah mengenal pasti dan akan membuka lapan buah Sekolah Agama di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya melalui fasa pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu sebagai memenuhi permintaan tinggi golongan ibu bapa yang mahukan anak mereka memiliki asas agama yang kukuh. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130228/dn_46/Kerajaan-buka-8-sekolah-agama-di-KL-Putrajaya#ixzz2MBC4MRGc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tidak mampu bayar yuran, anak terpaksa berhenti sekolah – Sinar Harian


Tidak mampu bayar yuran, anak terpaksa berhenti sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013

KUANTAN  –  Kemiskinan hidup menyebabkan anak sulung daripada lima beradik terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan pelajaran setelah gagal menjelaskan yuran peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sejak tahun lalu.

Ibunya, Norlaila Alias, 39, berkata biarpun yuran berkenaan hanya RM300, mereka tidak mampu untuk menjelaskannya.

Malah katanya, sewa rumah sebanyak RM260 sebulan pun tertunggak RM6,000 kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membayarnya sejak dua tahun lalu.

“Saya tahu dia kecewa dan sedih apabila terpaksa berhenti sekolah malah dia juga malu kerana tidak dapat membayar yuran peperiksaan.

“Hati saya bagi dihiris setiap kali memikirkan masa depannya, namun apakan daya kami tak mampu, anak saya itu kini mengambil keputusan untuk bekerja bagi meringankan beban kami,” katanya.

Anak sulung keluarga ini Mohd Abu Khir Abu Bakar, 19, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, di sini.

Menurutnya, biarpun suaminya, Abu Bakar Mamat, 43, melakukan kerja kampung namun pendapatan yang diperoleh tidak mampu untuk menampung perbelanjaan mereka tujuh beranak.

“Pendapatan suami bukan sahaja tidak cukup untuk biaya lima anak yang masih bersekolah tetapi untuk bayar bil air dan elektrik juga tidak mampu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rumbia, Beserah, di sini.

Lebih menyedihkan kata Norlaila, akibat kemiskinan, dua anak lelakinya yang bersekolah di darjah enam dan empat sering tidak ke sekolah kerana malu apabila kawan bertanya mengenai pekerjaan ayah mereka.

Namun dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 yang diterima baru-baru ini dapatlah dia menjelaskan bil tertunggak.

Remaja dituduh miliki dadah – Sinar Harian


Remaja dituduh miliki dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013
Remaja dituduh miliki dadah
Anggota polis mengiringi remaja perempuan terbabit (tengah).

BALING – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dihadapkan Mahkamah Majistret Baling atas kesalahan memiliki dadah jenis Heroin seberat 0.90 gram.

Dia berasal dari sebuah kampung di sini melakukan kesalahan itu di stesen minyak Shell Baling kira-kira jam 12.30 tengah malam, 18 Januari lalu.

Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akma Mohd Razi memohon mahkamah melanjutkan tempoh pertuduhan bagi menunggu laporan kimia.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 April untuk sebutan semula kes dan pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta sama.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dikenakan Bon Jaminan Berkelakuan Baik (BJBB) selama setahun dengan seorang penjamin, selain membayar cagaran RM1,000 dan membayar kos pendakwaan RM2,000.

Mohamad Shazwan Afzal Mohd Rizuan dari Desa Keda Kemangi dijatuhi hukuman itu selepas melakukan kesalahan mengikut Sekyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (akta 333) kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

Dia melakukan kesalahan itu di kawasan lampu isyarat biliion, batu 42, Baling antara jam 1.30 pagi hingga 3.30 pagi pada 1 Januari lalu.

Dia mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan Jurubahasa Mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizzudin Ramli.

Tertuduh ditahan semasa Operasi Ambang Tahun Baru 2013 oleh Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.

Asrama Maahad Darul Quran nyaris terbakar lagi – Sinar Harian


Asrama Maahad Darul Quran nyaris terbakar lagi

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013
Asrama Maahad Darul Quran nyaris terbakar lagi
Pegawai dan anggota bomba membuat pemeriksaan selepas menerima laporan mengenai kebakaran blok D asrama Maahad Darul Quran, kelmarin.

RUSILA, Marang – Tindakan pantas sekumpulan pelajar Maahad Darul Quran di Rusila di sini, berjaya memadam kebakaran yang mampu mengakibatkan bangunan asrama pusat pengajian itu musnah buat kali kedua dalam tempoh sebulan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, suasana menjadi kelam-kabut apabila sekumpulan pelajar terlihat kepulan asap di bahagian bumbung salah sebuah blok asrama sebelum mereka membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, kebakaran kecil di blok D asrama akhirnya berjaya dipadamkan sekumpulan pelajar terbabit yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke asrama selepas sesi kuliah mereka berakhir.

“Saya nampak asap di bahagian atas blok asrama lalu memaklumkan kepada yang lain. Kami kemudiannya membuat pemeriksaan dan mendapati, ada kebakaran di blok D lalu segera memadamkannya,” kata Ahmad Khalis Ahmad Zubaidi, 17.

Ahmad Khalis berkata, blok asrama yang nyaris terbakar itu menempatkan kira-kira 50 pelajar, namun ketika kejadian tiada penghuni berada di dalam bilik.

Sementara itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang yang menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.21 petang tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian dan mendapati kebakaran itu sudah dipadamkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Mohd Zamri Awang Long mengesahkan menerima laporan.

Pihaknya masih belum mengetahui punca sebenar kebakaran dan kini masih menjalankan siasatan.

Terdahulu, dalam kejadian pada 5 Februari lalu, salah sebuah blok asrama pusat pengajian Maahad Darul Quran yang dihuni 90 pelajar berusia 13 dan 14 tahun itu musnah sama sekali akibat kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi.

Guru wanita naik minyak belasah murid – Sinar Harian


Guru wanita naik minyak belasah murid

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013

KETENGAH JAYA, Dungun – Perselisihan faham antara anak lelaki dengan rakan sebaya menyebabkan seorang ibu yang juga guru sekolah hilang pertimbangan apabila sanggup bertindak membelasah seorang murid tahun tiga.

Akibatnya, mangsa yang juga seorang cucu peneroka cedera akibat dipukul oleh guru berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku di salah sebuah sekolah di Felda Ketengah Jaya beberapa hari lalu ketika hari persekolahan.

Sumber memaklumkan, guru terbabit dikatakan naik minyak selepas anak lelakinya mengadu berlakunya pertelingkahan antara dia dan mangsa ketika berada di sekolah pada 18 Februari lalu.

Beberapa hari kemudian, suspek dikatakan memanggil mangsa masuk ke bilik guru sebelum memukulnya dengan kasut, selain menumbuk di bahagian perut.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan perut.

Difahamkan, ketika guru wanita itu memukul mangsa, beberapa guru ada di lokasi terbabit dan hanya menyaksikan kejadian.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Ketengah Jaya berkaitan kejadian terbabit, selain turut mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya atas kecederaan dialami.