Derita kanser prostat – Sinar Harian


Derita kanser prostat

RAZIF ROSLI
3 Februari 2013
Derita kanser prostat
Abang Mohd Shahidan, Norazahairil, 15, (kiri) yang memangku Muhammad Rayyan Kazim, 10 bulan, sayu melihat adiknya yang terlantar di katil bersama dua lagi adiknya.

BATU GAJAH – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dapat digambarkan penderitaan seorang remaja, Mohd Shahidan Norazlin, 14, yang kini disahkan menghidap kanser prostat selepas sebelum ini menderita melawan kanser testis pada April 2012 lalu.

Mohd Shahidan yang juga murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf Batu Gajah (Pendidikan Khas) sedang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak disahkan menghidap sakit berkenaan sehingga Mac ini.

Mohd Shahidan yang mengalami kecacatan perkembangan tegal melibatkan fungsi otak (autisme) sejak dilahirkan sudah menjalani beberapa siri pembedahan demi yang melibatkan perut dan testis beliau.

Lebih meruntun hati keluarganya, remaja itu kini dinasihatkan doktor untuk menjalani pula rawatan radioterapi sebagai langkah terakhir memandangkan kanser yang berada di perut beliau cepat merebak dan kimoterapi tidak memberikan apa-apa kesan.

Ibu beliau, Siti Azar Che Noor, 31, berkata, pihaknya merayu sumbangan orang ramai bagi membolehkan beliau membawa anaknya menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan radioterapi selepas sesi rawatan kimoterapi selesai Mac ini.

“Kami akan ke Kuala Lumpur 13 Februari ini untuk pengesahan rawatan radioterapi dan apabila beliau mendapatkan rawatan ke sana, kami perlu berulang alik ke Kuala Lumpur malah ini akan melibatkan belanja yang besar.

“Dahulu saya berniaga goreng pisang dan selepas suami dibuang kerja daripada menjadi pemandu lori sejak anak sakit, suamilah yang berniaga dan saya duduk di rumah menjaga Mohd Shahidan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di No 14, Persiaran 5, Taman Seri Cahaya di sini, semalam.

Siti Azar menambah, pendapatan keluarganya kini hanya bergantung pada berniaga dan ia tidak mencukupi untuk menampung kos untuk membawa anaknya ke Kuala Lumpur nanti.

“Setakat ini pendapatan kami hanya sekitar RM600 sebulan, bantuan daripada Baitulmal RM200 termasuk bantuan yang disalurkan melalui sekolah. Kami ada mohon bantuan daripada Majlis Kanser Nasional (Makna) cuma belum ada keputusan lagi.

“Bantuan daripada adik-beradik, sanak saudara, kawan serta jiran ada juga yang menghulurkan bantuan termasuk Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang turut prihatin,” katanya.

Bagi bapa Mohd Shahidan, Norazlin Dahari, 42, melahirkan rasa sedih apabila mendakwa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) tidak mengendahkan permohonannya mendapatkan bantuan selaku bekas anggota tentera.

“Saya dan isteri sebelum itu panjat pejabat Jabatan Hal Ehwal Vateran (JHEV) dan mereka menyatakan hanya boleh membantu dari segi barangan keperluan seperti lampin, kerusi roda dan lain-lain barangan.

“Jadi bila kami ke PBTM di Silibin, kami diminta membuat surat dan kami telah serahkan semua dokumen yang diperlukan termasuk surat doktor seperti yang diminta Mei lalu.

“Apa yang menyedihkan awal Januari lalu kami telefon lepas kami tanyakan status permohonan, mereka terus meletakkan telefon dan tidak mahu bercakap malah boleh pula mencabar kami membawa perkara ini kepada media jika tidak berpuas hati,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka akaun bank Bank Simpanan Nasional (BSN) Siti Azar: 03203-29-81268387-1 atau menghubungi beliau di talian 017-4688377.

Lengkap kanak-kanak dengan teknik seni pertahan diri – Bernama


Lengkap kanak-kanak dengan teknik seni pertahan diri

3 Februari 2013

KUALA LUMPUR – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menasihatkan ibu bapa supaya mempertimbang menghantar anak-anak mereka ke kelas seni mempertahankan diri bagi melindungi diri sendiri apabila berdepan situasi berbahaya.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata kanak-kanak mungkin berdepan risiko dicederakan atau dianiaya, jadi adalah satu keperluan bagi mereka untuk mempelajari teknik mempertahankan diri.

Beliau percaya dengan mengetahui seni mempertahankan diri ia menyediakan ketangkasan mental dan fizikal di kalangan kanak-kanak memandangkan mereka adalah lemah dari segi kekuatan fizikal berbanding orang dewasa.

“Dengan mempelajari teknik mempertahankan diri, kanak-kanak dapat menguruskan diri sendiri walaupun apabila ibu bapa mereka tidak ada berdekatan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, kanak-kanak akan mempunyai kepintaran yang diperlukan untuk terus hidup dalam persekitaran bandar jika mereka mengetahui untuk menjaga keselamatan diri daripada orang asing apabila mereka bersendirian sama ada semasa ke sekolah atau bersantai di taman permainan.

Bekas tenaga pengajar taekwondo, N. Gaury, 27, berkata seni mempertahankan diri perlu dipupuk di kalangan kanak-kanak pada usia lima tahun bagi membantu membangunkan keyakinan dan keperibadian mereka.

Beliau menjelaskan, semua kanak-kanak diajar mengikut kemampuan mereka dan tidak pernah didesak untuk melaksanakan sesuatu di luar kemampuan mereka.

Katanya, dengan mempelajari seni mempertahankan diri ia sudah pasti akan meningkatkan keyakinan dan harga diri di kalangan pelatih.

“Apabila mereka yakin mempertahankan diri sendiri, mereka akan berasa selamat apabila melakukan aktiviti harian,” katanya.

Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berpendapat sesetengah ibu bapa kerap mengabaikan seni mempertahankan diri sambil berkata mempertahankan diri bukan hanya mempelajari cara berlawan.

Beliau menjelaskan sesetengah ibu bapa mungkin berpendapat mempertahankan diri menggalakkan keganasan tetapi ia sebenarnya membantu untuk mendidik kemahiran untuk bergaul dengan orang lain dan mendisiplinkan diri sendiri.

Malah beliau mengingatkan ibu bapa jika jurus seni mempertahankan diri yang sebenar dipelajari dalam kelas tidak boleh digunakan dalam senario kehidupan sebenar, kemahiran itu boleh memupuk keyakinan di kalangan kanak-kanak.

“Ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada sepanjang masa dan perkara pertama mereka perlu lakukan adalah untuk mendidik anak-anak mereka untuk membezakan antara orang yang baik dan yang jahat bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini,” katanya. – Bernama

Dua Remaja Perempuan Hilang Lebih Empat Hari – mStar


Dua Remaja Perempuan Hilang Lebih Empat Hari

Oleh TEH ENG HOCK

KLANG: Dua remaja perempuan hilang lebih empat hari dan menyebabkan ibu bapa mereka bimbang sekiranya kedua-dua anak mereka mungkin diculik.

Chen Poh Choo, 15, dan adiknya Chen Poh Fong, 13, kali terakhir dilihat ibu mereka Lee Lay Ching pada tengah hari Rabu sebelum pergi ke sekolah.

Namun, guru memberitahu ibu bapa remaja terbabit bahawa mereka tidak hadir ke sekolah.

“Saya bimbang kerana kebiasaannya mereka akan sampai di rumah pada pukul 7 malam.

“Apabila suami saya tiba di ruma kira-kira pukul 8 malam, kami mencari mereka di sekitar kawasan sekolah dan juga di rumah kawan-kawan mereka,” kata Lee, seorang suri rumah berusia 35 tahun.

Lee berkata, kedua-dua anaknya itu akan berjalan kaki ke sekolah yang hanya mengambil masa selama 10 minit.

Lee dan suaminya, Chen Fook Chai membuat laporan polis pada pukul 12.30 tengah malam pada Khamis selepas gagal mengesan kedua-dua anak mereka itu.

Chen, seorang pemandu lori memberitahu pemberita pada Ahad bahawa adalah mustahil kedua-dua anaknya itu melarikan diri kerana baru-baru ini mereka meminta untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina di kampung halaman Lee di Labis, Johor.

Kedua-dua remaja terbabit tidak membawa bersama pakaian tambahan dan hanya mempunyai wang saku sebanyak RM1 setiap seorang.

Poh Choo dilihat kali terakhir memakai pakaian seragam sekolah manakala Poh Foong menggunakan baju-T dan seluar trek.

Chen berkata, tiada perselisihan faham berlaku di antara mereka baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua remaja terbabit tidak mungkin melarikan diri bersama-sama kerana mereka tidak rapat dan sering bertengkar.

“Poh Choo memiliki telefon bimbit tetapi ia telah dipadamkan,” katanya.

Poh Fong tidak mempunyai masalah disiplin tetapi Poh Choo pernah diberi amaran akan digantung sekolah selama seminggu kerana ponteng kelas.

“Seorang guru memberitahu saya bahawa Poh Choo mungkin digantung sekolah tetapi sehingga hari ini notis tersebut belum dikeluarkan,” kata Chen.

Chen dan Lee ditemui pemberita pada sidang media anjuran Ketua Pemuda MCA Klang, Datuk Dr Ching Eu Boon yang berkata ahli MCA akan diminta untuk membantu mencari kedua-dua remaja terbabit.

“Jika pada Isnin mereka masih gagal dikesan, kami akan mencetak poster dan mengedarkan kepada orang ramai pada Selasa.

“Saya bimbang sekiranya mereka diculik dan dihantar ke Thailand,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan remaja terbabit supaya menghubungi polis, pejabat MCA Klang di talian 03-31679897 atau Setiausaha Pemuda MCA Klang, David Foo 017-3659897.