Tingkat kemahiran pelajar
amir.azam@kosmo.com.my
KUALA TERENGGANU – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir (Komstar), Jalan Hulu Takir di sini menyifatkan Peraduan Inspirasi P. Ramlee sebagai serampang dua mata yang mampu meningkatkan kemahiran pelajar.
Pengetuanya, Samsudin Ismail berkata, peraduan anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu bukan sahaja dapat mendedahkan pelajar kepada Seniman Agung negara, Tan Sri P. Ramlee tetapi juga dapat mencungkil bakat mereka dalam bidang seni serta penulisan.
“Sebagai contoh, apabila para pelajar menyertai kategori melakar potret secara tidak langsung kita dapat mengenal pasti kreativiti dan bakat terpendam mereka.
“Selain itu, pelajar juga dapat mengenali dengan lebih dekat seniman yang cukup terkenal di pentas antarabangsa ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Samsudin menambah, kategori karangan yang diketengahkan dalam peraduan ini pula dapat membantu pelajar memperbaiki penulisan masing-masing.
Katanya, dalam mencari bahan penulisan pelajar, sudah pasti perlu melakukan kaji selidik terlebih dahulu mengenai seniman tersohor negara itu, sekali gus memberi pendedahan kepada mereka agar mengenang jasa orang terdahulu yang banyak berjasa kepada negara.
“Pelajar juga dapat melakukan latihan penulisan dalam menghadapi peperiksaan dengan menyertai peraduan seumpama ini apabila mampu memantapkan lagi kemahiran penulisan mereka.
“Kita sedia maklum, P. Ramlee merupakan seniman yang dikenali segenap lapisan masyarakat termasuk orang dewasa dan kanak-kanak. Saya melihat peraduan yang dianjurkan ini amat baik kerana dapat memberi pendedahan kepada umum mengenai perjalanan kehidupan P. Ramlee,” ujarnya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2Juqs3eyh
Hakcipta terpelihara