Ibu, tiga anak ditemui rentung
Mayat S Jayalatchumy, 45, dan anak lelakinya, R Suhan, 17, serta dua anak perempuannya, Puvaneswary, 21, dan Thilagawati, 23, ditemui di ruang dapur rumah berkembar setingkat oleh anggota bomba.
Mayat ditemui berdekatan antara satu sama lain, termasuk dua mayat dalam keadaan berpelukan.
Kebakaran dipercayai berlaku jam 12.10 tengah malam yang diikuti letupan sehingga mengejutkan penduduk taman berkenaan.
Mayat empat beranak itu ditemui di atas lantai ruang dapur selepas pasukan bomba berjaya memadam kebakaran pada jam 12.57 tengah malam.
Mayat dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.
Suami Jayalatchumy, M Rajan, 48, meninggal dunia, Jumaat lalu. Keluarga itu menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu dirancang oleh mangsa kerana mereka dikatakan terlalu sedih selepas kematian Rajan.
Kita tidak menolak kemungkinan mangsa mengambil tindakan sendiri dan melulu kerana terlalu sedih dengan kematian suami dan bapa mereka beberapa hari lalu.
Apapun, itu satu kemungkinan saja dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut, katanya di sini, semalam.
Bedah siasat ke atas mayat empat beranak itu mengesahkan kematian akibat kebakaran teruk dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Difahamkan, sebelum ini Jayalatchumy membantu suaminya di ladang getah milik mereka. Suhan pula masih bersekolah manakala dua kakaknya tidak bekerja.
Azman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan letupan kuat berpunca daripada tong gas tetapi polis dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan.
Sementara itu, Ketua Zon Pusat Perak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Pegawai Kanan Bomba I Rushisha Haris, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.16 tengah malam.