Sebar Akta Kanak-kanak 2001 – Sinar Harian


Sebar Akta Kanak-kanak 2001

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Februari 2013
Sebar Akta Kanak-kanak 2001
Kakitangan klinik kesihatan memberi borang soal selidik HIV dan AIDS kepada pelajar tingkat empat sekolah tersebut.

TANJUNG IPOH – Statistik salah laku kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi 2012 mencecah 38 kes yang kebanyakannya melibatkan kecurian.

Pegawai JKM Bahagian Kanak-kanak, Emelia Kamarulzaman, berkata, Akta Kanak-kanak 2001, menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

“Peringkat usia kanak-kanak di bawah akta ini ialah 18 tahun ke bawah. Akta ini merujuk kepada perlindungan kanak-kanak, melalui aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap mereka.

“Contoh penderaan seksual menurut Akta Kanak-kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam sebarang aktiviti berunsur seks. Perkara seperti ini perlu dicegah sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui selepas Program Remaja HIV dan Sayangi Diri Anda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Samad, dekat sini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, akta tersebut perlu disebarkan kepada generasi muda terutama di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

“Buat masa ini, pihak JKM telah pergi ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Tinggi, SK Tunku Kurshiah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Muhammad dan SMK Tunku Besar Burhanuddin.

“Pihak JKM amat mengalu-alukan pihak klinik kesihatan untuk bekerjasama dengan kami bagi memberi pendedahan maklumat kepada remaja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Terachi, Ahmad Awaludin berkata, program tersebut mensasarkan remaja supaya mereka tidak terjebak kegiatan jenayah yang merosakkan masa depan sendiri.

“Kita khuatir, ramai anak Melayu yang tersasar akibat perbuatan sendiri.

“Tidak bersekolah, mencuri, melakukan perbuatan dilarang dalam Islam. Semua ini perlu dibendung dari peringkat awal supaya ia tidak berleluasa,” katanya.

Ahmad menyatakan, melalui program tersebut, sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran, kefahaman, secara lebih terperinci berhubung HIV dan Aids.

“Melalui ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Klinik Kesihatan Terachi, Dr Farhana Mohd Yusuf, menerangkan kepada remaja cara hidup sihat bebas HIV dan Aids.

“Saya berharap, dengan adanya program ini dapat meningkatkan pengetahuan remaja selain memberi manfaat kepada pelajar tingkatan  empat,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s