Ayah tembak mati perompak selamatkan anak jadi tebusan di TaipingAyah tembak mati perompak selamatkan anak jadi tebusan di Taiping – Bernama


Ayah tembak mati perompak selamatkan anak jadi tebusan di Taiping

MOHD. Yusof Mat Diah meninjau kawasan mayat penjenayah ditemui setelah mati ditembak pada kejadian cubaan merompak rumah seorang bekas pegawai polis di Taman Pegawai Kerajaan, Asam Kumbang, Taiping hari ini. – UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

TAIPING 8 Feb. – Seorang ayah nekad melepaskan tembakan ke arah kumpulan empat penjenayah yang memecah masuk kediaman mereka untuk menyelamatkan anak perempuannya yang hampir menjadi tebusan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Taman Pegawai Kanan Kerajaan, Assam Kumbang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, dalam kejadian 3 pagi tadi, suspek ditembak Abdul Jalil Abdul Wahab yang merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar sebaik membuka pintu bilik yang dihuni bersama isterinya di tingkat bawah rumah banglo berkenaan.

“Sebelum itu tiga daripada empat penjenayah yang bertopeng dan bersenjatakan parang memasuki bahagian tingkat atas rumah yang dihuni anak perempuan, menantu serta dua cucu Abdul Jalil selepas memecah masuk rumah itu melalui pintu berjeriji besi di bahagian tepi rumah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Kumpulan itu kemudian membawa turun anak perempuan dan menantu tersebut serta mengugut akan mencederakan mereka, katanya.

Beliau berkata, dua das tembakan dilepaskan ke arah kumpulan penjenayah itu menyebabkan kesemua mereka melarikan diri.

Susulan itu, seorang warganegara Indonesia berusia 40-an dipercayai seorang daripada anggota kumpulan tersebut ditemui mati di kawasan semak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, katanya.

Yusof berkata, kesemua penghuni rumah berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, polis kini melancarkan gerakan memburu baki tiga lagi perompak dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Abdul Jalil, 63, berkata, apabila mendengar anak perempuannya, Jazlina, 28, meminta tolong sambil mengetuk pintu biliknya, beliau segera mengambil pistol dan melihat paparan kamera litar tertutup yang ditempatkan di dalam biliknya.

“Saya terperanjat apabila melihat beberapa kelibat yang berdiri di hadapan pintu bilik saya. Saya membuka pintu perlahan-lahan dan memberanikan diri melepaskan tembakan ke arah mereka,” katanya.

Katanya, beliau terus keluar dari biliknya serta melepaskan satu lagi tembakan ke arah kumpulan perompak itu yang kemudian melarikan diri dan beliau tidak mengejar penjenayah itu bagi memastikan keselamatan anggota keluarganya.

Sementara itu, Jazlina berkata semasa kejadian, beliau bersama suaminya, Adi Hafiz Yusop, 34, tidur di ruang atas rumah sebelum ditawan penjenayah yang kemudian menggunakan wayar seterika dan kain untuk mengikat tangan serta menyumbat mulut suaminya.

Katanya, penjenayah terbabit turut menawan anak saudaranya Arif Syazwan Mohd Shariff, 12, yang nyenyak tidur di sebuah bilik lain sebelum mengarahkan beliau menunjukkan bilik ayahnya.

“Dalam keadaan itu saya cuba berfikir untuk melakukan sesuatu sebelum mengetuk pintu bilik ayah supaya ayah dapat perasan sesuatu yang tidak baik berlaku. Saya memanggil ayah dengan nada perlahan memintanya membuka pintu dan kemudian menukar nada suara supaya ayah perasan,” katanya.

Beliau melahirkan rasa syukur kerana ayah dan anggota keluarganya selamat dalam kejadian itu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130208/je_16/Ayah-tembak-mati-perompak-selamatkan-anak-jadi-tebusan-di-Taiping#ixzz2KJbgdn9Z
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru Besar didakwa minta pengusaha kantin RM3,000 – Bernama


Guru Besar didakwa minta pengusaha kantin RM3,000

SHAH ALAM 8 Feb. – Seorang guru besar sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang pengusaha kantin, dua tahun lalu.

Abdul Samad Abdul Ghani, 49, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Kajang Utama itu didakwa meminta untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun Hussain sebagai dorongan untuk menyambung kontrak kantin sekolah bagi tahun 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis sekolah di Kajang, Hulu Langat dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 8 November 2011.

Abdul Samad juga didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama kira-kira pukul 11 pagi, 14 November 2011 di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mat Ghani membenarkan Abdul Samad dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk perbicaraan.

Beliau juga menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130208/ma_09/Guru-Besar-didakwa-minta-pengusaha-kantin-RM3000#ixzz2KJZk3Anx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kes luar tabii: Rayuan warga emas ditolak, hukuman penjara ditambah – Bernama


Kes luar tabii: Rayuan warga emas ditolak, hukuman penjara ditambah

8 Februari 2013

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang warga emas berusia 62 tahun menjalani hukuman penjara berjumlah 20 tahun secara berasingan bagi kesalahan melakukan seks di luar tabii terhadap dua beradik berumur lima dan tujuh tahun, yang berada di bawah jagaan isterinya.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Radzi Ahmad terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Februari 2011.

Dalam penghakimannya, Nurchaya berkata keputusan itu berasaskan kepada sabitan yang dicapai Mahkamah Sesyen, yang tidak sama sekali terkhilaf di sisi undang-undang.

“Setelah mengambil kira fakta, kepentingan awam dan jenis kesalahan, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan pertama dan 10 tahun penjara bagi kesalahan kedua. Kedua-dua kesalahan itu hendaklah berjalan secara berasingan,” katanya.

Mohd Radzi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa tanpa kerelaan mereka di sebuah rumah di Kampung Nakhoda Kanan, Batu Caves, Gombak antara 6.30 pagi dan 6.30 petang, antara 14 April 2008 hingga 26 Mei 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, Mohd Radzi merupakan suami pengasuh kanak-kanak malang itu.

Pemeriksaan doktor pada 27 Mei 2008 mendapati ada kesan koyakan lama pada selaput dara kedua-dua mangsa dan tertuduh kemudian ditahan sehari kemudian.

Hakim Mahkamah Sesyen Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan pertama yang dilakukan ke atas mangsa berumur tujuh tahun, dan 10 tahun penjara bagi kesalahan kedua yang membabitkan kanak-kanak berusia lima
tahun.

Bagaimanapun, Hasbi memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak.

Mohd Radzi diwakili peguam P.Sutheswary manakala Timbalan Pendakwa Raya Fazilah Begum Abdul Ghani hadir bagi pihak pendakwaan. – Bernama

 Rogol: Mahkamah Kekalkan Hukuman Penjara 16 Tahun, 10 Sebatan Terhadap Buruh – Bernama


 

Rogol: Mahkamah Kekalkan Hukuman Penjara 16 Tahun, 10 Sebatan Terhadap Buruh

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan rotan terhadap seorang buruh yang merogol adik ipar bawah umur di ladang getah pada 2008.

Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 34 tahun itu terhadap sabitan, hukuman penjara dan sebatan.

Tan berkata selepas meneliti keterangan mangsa, mahkamah yakin terdapat bukti jelas berlaku penembusan.

Beliau berkata mahkamah tidak ditunjukkan sebarang alasan mengapa ia harus mengubah keputusan Mahkamah Sesyen justeru mahkamah tidak dapat mencari sebarang sebab untuk mengganggu keputusan itu.

Ketika menolak rayuan lelaki itu terhadap hukumannya, Tan berkata hukuman penjara dan sebatan yang diputuskan Mahkamah Sesyen tidak keterlaluan.

“Kami tidak boleh mengambil peranan mahkamah yang menjatuhkan hukuman. Selagi hukuman itu tidak keterlaluan, ia bukanlah fungsi Mahkamah Rayuan untuk mengganggu hukuman yang diputuskan mahkamah rendah,” kata Tan yang mengetuai panel itu bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohtarudin Baki dan Datuk Mah Weng Kwai.

Pada 27 Januari 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani mendapati tertuduh bersalah merogol mangsa, yang ketika itu berusia 15 tahun satu bulan, di ladang getah di daerah Kuala Muda, Kedah antara 1.30 tengah hari dan 4 petang pada 7 November 2008.

Mahkamah Sesyen mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan rotan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 November 2008.

Pada 3 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman.

Berdasarkan fakta kes mangsa membonceng motosikal yang ditunggang tertuduh selepas gadis itu diminta mengikutnya ke pusat membeli-belah tetapi sebaliknya tertuduh membawa mangsa ke ladang getah sebaik hujan mulai turun.

Peguam K.T.Jayaraj yang dilantik Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan cawangan Kedah mewakili tertuduh, dalam hujahannya mempertikaikan sama ada berlaku hubungan seks kerana beliau berkata tiada bukti jelas menunjukkan ia berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya Munahyza Mustapha berkata mangsa yang memberi keterangan bahawa terdapat penembusan, adalah seorang saksi yang boleh dipercayai.BERNAMA

Dua remaja hilang ditemui bersama tiga lelaki – Sinar Harian


Dua remaja hilang ditemui bersama tiga lelaki

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Februari 2013
Remaja hilang Noor Nadilah dan Nor Azizah.
Remaja hilang Noor Nadilah dan Nor Azizah.

SELAYANG – Dua remaja Noor Nadilah Kamarudin dan Nor Azizah Jamaludin yang dilaporkan hilang sejak 31 Januari lalu ditemui semalam di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Batu Caves sekitar jam 3.30 petang bersama tiga lelaki.

Ayah Noor Nadilah, Zainudin Che Pa, 38, berkata, Noor Nadilah dan sahabat karibnya itu dipercayai cuba melarikan diri dan ingin keluar dari Selayang selepas kehilangan mereka dilaporkan dalam akhbar.

“Mereka membawa beg pakaian dan dua daripada tiga lelaki bersama mereka berjaya ditahan untuk membantu siasatan.

“Saya bersyukur kerana Noor Nadilah dan Nor Azizah ditemui dalam keadaan baik dan sihat,” katanya.

Zainudin berkata, dia berasa lega dan gembira anak perempuannya itu ditemui dan mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat.

Difahamkan, kelibat dua remaja perempuan terbabit dikesan selepas mereka bertembung dengan rakan sekolah di stesen komuter itu.

Rakan mereka itu kemudiannya bertindak memaklumkan pertemuan tersebut kepada keluarga Noor Nadilah dan Nor Azizah.

Semalam Sinar Harian melaporkan kehilangan dua remaja itu selepas gagal dikesan keluarga sejak 31 Januari lalu apabila didapati tidak pulang ke rumah sebaik tamat persekolahan.

Pelbagai cara dilakukan keluarga untuk menjejaki remaja berkenaan termasuk menampal poster mereka di beberapa negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang selain menggunakan laman sosial facebook.

Kerisauan Zainudin memuncak apabila anaknya Noor Nadilah mempunyai masalah kesihatan dan bakal menjalani pembedahan usus 27 Februari ini.

Usaha menjejaki remaja berkenaan juga turut dipergiat oleh anggota polis yang menjalankan siasatan sejak kehilangan mereka dilaporkan.

Kanak-kanak 12 tahun dirogol selama 2 bulan – Sinar Harian


Kanak-kanak 12 tahun dirogol selama 2 bulan

ROSDALILAH ZAHARI
8 Februari 2013
Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif
Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif

BATU GAJAH – Selepas dua bulan menyimpan rahsia menjadi mangsa nafsu serakah kerakusan seks bapa saudara sendiri, akhirnya kanak- kanak perempuan berusia 12 tahun membuka rahsia kepada ibunya.

Ketua Polis Daerah Baru Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, perbuatan keji suspek terbongkar apabila ibu mangsa yang kini dirawat di Hospital Batu Gajah (HBG) akibat barah usus menceritakan perkara tersebut kepada Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, selepas mendengar cerita tersebut, Pegawai JKM terbabit bertindak membuat laporan di Balai Polis Tronoh mengenai kejadian itu.

“Kanak-kanak malang itu tinggal bersama ibunya dan lima adik-beradik lain serta suspek di Rumah Murah, Tronoh, di sini.

“Suspek berusia 52 tahun itu tinggal di rumah tersebut sejak tiga tahun lalu dan bekerja sebagai pengait kelapa sawit bagi menampung kehidupan mereka.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi, Januari lalu ketika mangsa mengadu sakit perut dan suspek tidak membenarkannya ke sekolah.

Menurutnya, suspek kemudiannya membeli makanan untuk mangsa, namun mangsa tiba-tiba pening serta tidak sedarkan diri selepas menjamahnya.

“Apabila mangsa sedar, dia melihat suspek sedang memakai seluar dalam, manakala bajunya terangkat sehingga ke dada dan seluarnya pula diturunkan sehingga paras lutut.

“Mangsa berasa sakit pada bahagian alat sulitnya dan menceritakan insiden tersebut kepada ibunya. Ibu mangsa tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah kakak sulung mangsa bertengkar dengan suspek berkaitan kejadian rogol itu semalam (kelmarin),” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa turut mendakwa dirogol lebih kurang tiga kali sejak dua bulan lalu dan berikutan itu, percakapan saksi dirakam, manakala suspek ditahan pada jam 5 petang kelmarin di rumah sama.

“Suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta sebatan,” katanya.

Pesara guru kena samun – Sinar Harian


Pesara guru kena samun

MOHD AZLIM ZAINURY
8 Februari 2013
Rahmah
Rahmah menunjukkan bagaimana seorang lelaki muncul dengan memegang objek tajam ketika dia hendak menutup pintu rumahnya yang disyaki dibuka seseorang.

MARANG – Seorang pesara guru wanita kerugian hampir RM10,000 selepas menjadi mangsa samun seorang lelaki bersenjatakan pisau di rumahnya di Taman Mega di Kampung Sungai Kerak di sini, malam kelmarin.

Ramlah Che Abdullah, 54, berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki yang menutup sebahagian mukanya sambil memegang senjata tajam, muncul di muka pintu kira-kira jam 8.10 malam.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku dia perasan pintu dan jeriji rumahnya sedikit terbuka dan syak dibuka seseorang.

Untuk mendapatkan kepastian dia menuju ke arah pintu itu untuk memeriksa dan menutupnya.

“Namun suspek itu tiba-tiba muncul dan mengarahkan saya agar masuk semula ke dalam rumah dan jangan berbuat bising. Saya merasakan akan dirompak, jadi saya ikut sahaja arahannya kerana bimbang akan dicederakan.

“Dia kemudiannya meragut seutas rantai leher sebelum saya sendiri menyerahkan seutas lagi rantai leher dan gelang tangan.

Selepas mendapat barang kemas itu, dia mengambil pula sebuah telefon bimbit sebelum keluar,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu, bagaimanapun, tidak cedera, namun rasa gugup dengan kejadian tersebut.

Ramlah yang ditemui Sinar Harian di rumahnya malam kelmarin berkata, dia menghubungi suaminya, juga seorang guru, dan meminta pertolongan jiran terdekat selepas penjenayah tersebut menghilangkan diri.

Ketika insiden itu, suaminya sedang mengajar di kelas tambahan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan telah menahan beberapa individu untuk membantu siasatan.

Ahmad Mazlan mengingatkan orang ramai, terutamanya kaum wanita yang tinggal berseorangan di rumah, supaya berwaspada dan sentiasa memastikan pintu rumah dikunci bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berlaku.

Guru Besar Didakwa Minta & Peroleh Suapan RM3,000 – Bernama


Guru Besar Didakwa Minta & Peroleh Suapan RM3,000

SHAH ALAM: Seorang guru besar sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang pengusaha kantin, dua tahun lepas.

Abdul Samad Abdul Ghani, 49, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Kajang Utama itu didakwa meminta untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun Hussain sebagai dorongan untuk menyambung kontrak kantin sekolah bagi tahun 2013.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis sekolah di Kajang, Hulu Langat dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi pada 8 November 2011.

Abdul Samad juga didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai RM3,000 daripada Zainun sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama kira-kira pukul 11 pagi, 14 November 2011 di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.Mat Ghani membenarkan Abdul Samad dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk perbicaraan.

Beliau juga menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes. –BERNAMA

Wanita Ditahan Bersama Yazid Di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan Seorang Guru Agama – mStar


Wanita Ditahan Bersama Yazid Di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan Seorang Guru Agama

Oleh SHAUN HO

KUALA LUMPUR: Wanita yang ditahan bersama dengan bekas tahanan Akta Kesalamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat di bawah Akta Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 merupakan seorang guru agama, kata isteri Yazid, Chomel Mohamad.

Beliau berkata peguam salah seorang yang ditahan itu memberitahunya bahawa wanita yang belum berkahwin itu dikenali sebagai Halimah Hussein merupakan guru agama.

“Dia mengajar saya ilmu agama. Kali terakhir saya melihat dia dirumah saya tiga minggu lalu,” kata Chomel.

Chomel,48, berkata Yazid telah menafikan dia mengenali Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, rakyat Malaysia yang ditembak mati oleh polis Filipina Disember lalu.

Beliau berkata sebaik sahaja mendengar nama Fikrie disebut oleh polis ketika mereka mencarinya di rumah selepas penahanan Yazid pada Khamis.

Chomel berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas suaminya di bawa ke Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat.

Yazid, 49, ditahan bersama Mohd Hilmi Hasim dan Halimah.

Mereka antara individu pertama yang ditahan di bawah akta baru berkenaan.

Janji pendidikan negara lebih baik – Metro


Janji pendidikan negara lebih baik

 1  0 Google +0  0  0

Putrajaya: Kerajaan terus memajukan bidang pendidikan negara serta memperjuangkan kebajikan golongan pendidik dan guru sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata, perkara itu antara komitmen dan iltizam yang bakal dilaksanakan kerajaan pimpinannya sekiranya BN terus diberikan mandat untuk memerintah Malaysia.
“Kita mempunyai komitmen dan iltizam politik melaksanakan, namun kesudahannya bergantung kepada satu peristiwa yang berlangsung dalam sedikit masa lagi.

 

“Jika peristiwa itu berakhir dengan sesuatu menggembirakan maka saya yakin dan percaya bidang pendidikan negara melalui zaman yang jauh lebih maju daripada masa lalu. Jadi saya fikir mesej utama saya sudah disampaikan,” katanya ketika berucap dihadapan lebih 2,000 tetamu yang menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena sambutan Jubli Emas, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di sini, malam tadi.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.
Pada majlis itu, Perdana Menteri juga turut mengumumkan pemberian peruntukan khas RM1 juta kepada SAS.

 

Sebelum itu, Najib berkata, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai pembaharuan dan proses transformasi bagi memajukan bidang pendidikan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.
“Satu perkara yang saya bincang dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri) dan perlu diberi perhatian apabila PPPM dilaksanakan dan diberikan perhatian segera ialah mengurang beban dan tugas guru,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08