2 remaja ditahan memandu tanpa lesen – Bernama


2 remaja ditahan memandu tanpa lesen

9 Februari 2013

KUALA TERENGGANU – Dua remaja perempuan ditahan di Jalan Sultan Muhammad di sini malam tadi kerana didapati memandu tanpa lesen.

Mereka yang berumur 16 dan 19 tahun adalah antara 103 pesalah trafik yang ditahan pihak penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi sempena Tahun Baru Cina di sini.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata kedua-dua remaja berkenaan dari Kuala Berang, Hulu Terengganu mendakwa mereka datang ke Kuala Terengganu untuk melihat saudara mereka yang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

“Kita menahan kedua remaja ini kerana gagal menunjukkan lesen memandu. Biarpun tiada lesen, namun mereka tetap berani memandu dalam jarak yang agak jauh.

“Saya agak kesal dengan insiden seperti ini kerana masih ramai pengguna jalan raya yang kurang sedar tentang bahaya dan risiko bakal dihadapi jika memandu tanpa lesen,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi tersebut.

Abdul Rahman berkata dalam operasi itu, sebanyak 103 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 27 pemilik kenderaan diberi notis arah periksa kenderaan mereka.

Enam buah motosikal dan sebuah kereta turut disita dan enam  notis larangan penggunaan kenderaan dikeluarkan oleh JPJ sementara 55 saman dikeluarkan oleh pihak polis, katanya.

Operasi itu melibatkan daerah Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut dengan seramai 87 pegawai JPJ, polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.  – Bernama

Cuepacs mahu kajian semula elaun disegerakan – Sinar Harian


Cuepacs mahu kajian semula elaun disegerakan

JAMILAH HAMZAH
9 Februari 2013
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman

SHAH ALAM – Pengumuman kerajaan untuk mengkaji semula elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup dilihat bertepatan dengan masa sekarang, kata Cuepacs.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, beberapa perkara berkaitan penjawat awam perlu disemak termasuklah skim gaji baru, peluang kenaikan pangkat dan gelaran nama jawatan.

Katanya, “kesemua elaun itu sudah lama tidak dibuat semakan dan tidak begitu relevan diguna pakai sehingga kini terutama sekali skim gaji baru, skim kenaikan pangkat dan insentif-insentif lain perlu dibuat semakan secara menyeluruh dan segera.”

“Lagipun sudah terlalu lama elaun penjawat awam tidak disemak,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penjawat awam bakal menerima berita gembira daripada kerajaan tidak lama lagi.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa turut mengumumkan  lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup akan dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahan.

Dalam masa sama, Omar turut menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh kerajaan kerana pengumuman yang dibuat itu memang dinantikan oleh semua penjawat awam yang telah lama mengharapkan perkara itu berlaku.

Menurutnya, semakan semula secara menyeluruh terhadap elaun perlu dibuat secepat mungkin bagi memastikan hak penjawat awam diterima secara sama rata.

Beliau juga berkata, elaun-elaun insentif ini perlu dibuat semakan secara komprenhensif.

“Sudah lama penjawat awam ini menunggu penambahbaikkan elaun-elaun mereka.

“Memang sudah sampai masa kerajaan membela hak penjawat awam ini, dan saya yakin kerajaan telah pun mengkajinya dan perlu disegerakan,” katanya.

Lebih 150 sekolah Tamil bakal mendapat mafaat tahun ini – Bernama


Lebih 150 sekolah Tamil bakal mendapat mafaat tahun ini

9 Februari 2013
Dr S. Subramaniam
Dr S. Subramaniam

SEREMBAN – Lebih 150 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara bakal mendapat manfaat tahun ini, hasil daripada peruntukan RM100 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013, lalu.

Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam berkata manfaat itu antara lain termasuk menaik taraf bangunan sekolah, membina bangunan baharu, membina sekolah baharu atau menempatkan semula sekolah.

“Kita belum memuktamadkan ia lagi kerana kita mendapat senarai dari negeri tetapi lebih kurang saya sasarkan kira-kira 150 hingga 180 sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu SJKT Ladang Labu Bahagian 1, Labu, di sini hari ini.

Katanya semua proses membaik pulih, membina atau penempatan semula sekolah itu yang bertujuan memberi keselesaan kepada pelajar akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata antara 2009 hingga tahun lepas kerajaan memperuntukkan RM440 juta bagi membiayai program pembangunan dan menaik taraf SJKT seluruh negara.

Katanya pada tahun lepas sahaja peruntukan RM100 juta digunakan untuk membina 21 sekolah baharu dan 19 blok sekolah.

“Kita berharap semua sekolah Tamil akan dapat ditingkatkan dan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sememangnya perihatin terhadap masyarakat India dan ini dapat membantu meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak masyarakat India,” katanya. – Bernama

BN Sentiasa Beri Perhatian Kepada Keperluan Pelajar – Yahya – Bernama


BN Sentiasa Beri Perhatian Kepada Keperluan Pelajar – Yahya

KOTA KINABALU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi perhatian kepada keperluan pelajar khususnya di kawasan luar bandar bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam mendapat kemudahan pendidikan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin berkata segala bantuan yang diberi sejak mula mentadbir negara membuktikan kerajaan BN prihatin dan mengambil berat masalah rakyat.

“BN adalah kerajaan terbaik untuk rakyat. Malah, negara luar juga mengakui BN adalah kerajaan terbaik di negara ini. “Kita memberi pelbagai bantuan untuk kesenangan rakyat dari segi perkhidmatan dan juga bantuan kewangan, termasuk untuk pelajar-pelajar sekolah,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di SJK (C) Hwa Shiong di Putatan dekat sini, Jumaat. –BERNAMA

Pupuk Semangat Hargai & Hormati Kepelbagaian Budaya – Muhyiddin – Bernama


Pupuk Semangat Hargai & Hormati Kepelbagaian Budaya – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Semangat menghargai dan menghormati kepelbagaian budaya dan agama perlu sentiasa dipupuk di kalangan generasi muda khususnya mereka yang masih di bangku sekolah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata semangat itu penting untuk menjamin kestabilan dan keharmonian ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih baik serta mapan.

Beliau berkata menghargai dan menghormati kepelbagaian budaya dan agama adalah aset atau kelebihan penting yang patut dibanggakan dan terus dipertahankan.

“Maka wajarlah, generasi muda kita perlu sentiasa dipupuk dengan semangat menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan, memahami Rukunegara, memahami perbezaan budaya yang wujud, menghayati dan mengamalkan kesepakatan dan muhibah di kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia peringkat sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 3, Bandar Kinrara dekat sini, Jumaat. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif yang diambil dalam usaha memupuk kesefahaman dan perpaduan di kalangan generasi muda juga menampakkan hasil apabila Malaysia kini menjadi sebuah negara contoh hubungan antara kaum dan agama yang sukar ditandingi.

Katanya pihak sekolah dan institusi pendidikan perlu terus berusaha membangunkan persekitaran sosial yang kondusif serta menggalakkan komunikasi dan interaksi antara murid daripada pelbagai kaum, agama dan budaya agar satu identiti nasional Malaysia dapat direalisasikan. Justeru, beliau berkata pemimpin institusi pendidikan terutama guru-guru perlu mewujudkan perancangan strategik untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan dan patriotisme melalui aktiviti kurikulum, ko-kurikulum dan kesukanan di sekolah.

Muhyiddin berkata pembinaan bangsa bermaruah dan berdaulat adalah tanggungjawab seluruh anggota masyarakat, untuk meletakkan bangsa dan negara setanding dengan negara maju.

Sementara itu, beliau berkata program hari ini dapat merapatkan jurang keharmonian dan muhibbah antara rakyat terutama murid-murid sekolah. Katanya sekiranya generasi muda yang dianggap generasi pelapis tidak bersatu padu dan tidak mempunyai visi serta misi yang sehaluan, kestabilan yang sedang dinikmati akan tergugat.

“Kerenggangan antara kaum dan agama dalam kalangan generasi muda akan semakin meluas, jika kecenderungan ke arah perpaduan tidak dipupuk dari peringkat awal terutama di peringkat persekolahan. “Jika dibiarkan berterusan mereka akan terus membawa haluan masing-masing dan menjadi lebih parah lagi apabila nilai keharmonian yang sedia terjalin terungkai dan musnah,” katanya.

Turut sama pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia dimeriahkan lebih 1,000 pelajar sekolah yang mempersembahkan pelbagai permainan integrasi dan persembahan kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia adalah idea Raja Jordan, King Abdullah II yang diketengahkan menjadi resolusi yang diterimapakai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk disambut pada minggu pertama Februari setiap tahun di negara-negara anggota.

Malaysia buat pertama kalinya meraikan sambutan itu pada Februari 2011 seperti dianjur PBB. –BERNAMA

Tiga beradik harap dapat ke sekolah – Kosmo


Tiga beradik harap dapat ke sekolah

BASIR (dua dari kanan) menyerahkan bantuan kepada Sanudin sambil disaksikan oleh Samila dan tiga anak mereka di Taman Kota Puteri, Masai, Pasir Gudang semalam.

 

JOHOR BAHRU – Akibat kesempitan hidup, tiga beradik berusia lima hingga tujuh tahun terpaksa melupakan hasrat untuk bersekolah seperti rakan sebaya lain.

Hanya dengan pendapatan RM300 sebulan, ibu mereka, Samila Hussin, 36, tidak mampu untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah meskipun sedar ketiga-tiga mereka mempunyai minat mendalam untuk belajar.

Lebih menyedihkan, dengan pendapatan sekecil itu jugalah, Samila harus menanggung suaminya, Sanudin Abd. Rahim, 58, yang kini mengalami lumpuh sejak 10 bulan lepas.

“Kerana minat mendalam, anak sulung saya yang berusia tujuh tahun sudah pandai membaca walaupun tanpa bantuan daripada sesiapa. Dia sentiasa menunjukkan minat untuk bersekolah.

“Anak kedua saya pula pernah termimpi-mimpi pergi ke sekolah, manakala anak bongsu yang berusia lima tahun juga menyuarakan hasrat untuk bersekolah,” ceritanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Pengerusi Badan Perhubungan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pasir Gudang, Basir Beran di rumah mereka di Taman Kota Puteri, Masai di sini semalam.

Menurut Samila, sejak suaminya diserang lumpuh, dia hanya memperoleh pendapatan dengan mengambil upah menjaga anak jirannya.

Dia mendakwa, suaminya yang pernah bekerja sebagai ejen pembantu rumah dan kontraktor pernah ditipu beberapa kali hingga terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.

“Sejak suami sakit, anak-anak sentiasa faham dan tidak pernah meminta lebih-lebih, namun saya selalu menasihatkan mereka agar sentiasa bersabar,” katanya.

Sementara itu, Basir berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan berterusan bagi membantu meringankan bebanan keluarga malang tersebut.

Katanya, masalah yang dialami keluarga Samila akan dipanjangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pasir Gudang untuk mendapatkan pelbagai jenis bantuan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2KMGPm8bb
Hakcipta terpelihara

Belasah dalam tandas sekolah – Metro


Belasah dalam tandas sekolah

 0  0 Google +0  0  0

Dipukul, ditumbuk dan ditendang. Itulah ‘hadiah’ yang diterima seorang pelajar sebuah sekolah menengah, hanya kerana menegur jam tangan rakannya itu terkena najis dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Pulau Indah, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan satu dipukul lima rakan sekolahnya yang tidak berpuas hati dengan teguran mangsa yang dianggap sengaja mempersendakannya.
Akibat digusti dalam tandas sekolah berkenaan, mangsa cedera termasuk bengkak di beberapa badan termasuk muka, mulut dan hidung.

 

Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jamilah, 47, berkata, anaknya dipukul lima pelajar selepas ditarik ke dalam tandas.
Dia berkata, anaknya tidak dapat melawan kerana jumlah pelajar yang memukulnya ramai dan bimbang dicederakan lebih teruk lagi sekiranya cuba mempertahankan diri.
“Selepas dipukul, ditumbuk dan disepak bertubi-tubi, anak saya akhirnya tidak dapat menahan kesakitan dan menjerit agar perlakuan lima rakannya itu diketahui pelajar lain.

 

“Jeritan anak menyebabkan pelajar terbabit berhenti memukulnya namun sebelum beredar, seorang daripada mereka mengugut memukulnya semula sekiranya memaklumkan kejadian itu kepada guru dan keluarga,” katanya.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas diberitahu seorang lagi anaknya ketika mengambil adiknya itu pulang dari sekolah pada jam 6.45 petang.

 

Dia yang terkejut dengan kejadian itu tidak menyangka pelajar sekolah berkenaan sudah berani bertindak samseng hanya kerana perselisihan faham.
Menurutnya, bimbang anaknya terus menjadi mangsa, dia membuat laporan di Balai Polis Pandamaran sebelum kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
Selepas keterangan diambil, anaknya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, untuk pemeriksaan lanjut.
“Saya bersyukur kerana laporan dikeluarkan doktor mengesahkan anak saya hanya mengalami bengkak dan lebam pada bahagian badan,” katanya.
Katanya, dia sudah bertemu dengan pihak pengurusan sekolah bagi mengetahui tindakan disiplin yang akan diambil untuk memastikan kejadian sama tidak berulang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, polis akan berjumpa guru disiplin sekolah terbabit untuk membincang mengenai kejadian itu dan meminta semua pihak terbabit menyelesaikan perkara itu secara baik.
“Kami harap ibu bapa pelajar dan pihak sekolah dapat selesaikan masalah secara rasional memandangkan mereka masih bersekolah.
“Saya nasihatkan ibu bapa sentiasa mengawasi tindak tanduk dan pergaulan anak mereka. Guru juga tidak terkecuali untuk memantau setiap pergerakan pelajar di sekolah,” katanya.

80 jenis elaun dikaji – Berita Harian


80 jenis elaun dikaji

2013/02/09 – 05:35:34 AMCetakEmel Kawan
DATUK Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pelancaran Gelombang Biru Wanita Barisan Nasional .NSTP, semalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin DATUK Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pelancaran Gelombang Biru Wanita Barisan Nasional .NSTP, semalam. – Foto Mohd Yusni Ariffin

PM dijangka umum perubahan menggembirakan termasuk gaji statik penjawat awam

Labuan: Lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahannya sebelum diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata kajian itu bagi memastikan kebajikan penjawat awam terus terbela dan menjadi berita gembira kepada mereka.

Sikap prihatin ketua jabatan (dengan pekerja bawahan) akan menimbulkan keseronokan bekerja yang akhirnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam,” Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara

Beliau berkata, pelbagai persoalan dan permintaan daripada penjawat awam diajukan kepada beliau sejak menjawat jawatan itu, termasuk status gred, status perjawatan kontrak, pelbagai elaun termasuk perumahan dan tuntutan perjalanan.

Kesamarataan elaun

“Semua ini termasuk sejumlah lebih daripada 80 jenis elaun yang dikaji semula secara terperinci demi melihat kesamarataan dalam sistem pemberian elaun. Bukan itu saja, gaji yang statik turut juga dikaji dan diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama ketua-ketua kampung dan penduduk Kampung Sungai Labu di sini, semalam.

Terdahulu beliau turut menjawab soalan dan kemusykilan penjawat awam dalam satu sesi dialog pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam. Lebih 1,000 penjawat awam hadir pada majlis itu.
Ali berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi perkhidmatan penjawat awam, namun mengingatkan mereka supaya tidak mudah berpuas hati tetapi sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Pemelihara kepentingan awam

Katanya penjawat awam adalah pemelihara kepentingan awam dan sehubungan itu perlu mematuhi undang-undang, peraturan, arahan atau prosedur dan kegagalan berbuat demikian akan membolehkan tindakan tatatertib diambil mengikut Peraturan Peraturan Awam 1993 ataupun Akta Rahsia Rasmi 1972.

Selain itu, katanya satu daripada elemen penting bagi menjamin kemajuan perkhidmatan awam adalah hubungan baik dan saling memahami antara majikan dan pekerja yang harus terus dipupuk.

“Konsep Masyarakat Penyayang perlu wujud… sikap prihatin ketua jabatan (dengan pekerja bawahan) akan menimbulkan keseronokan bekerja yang akhirnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau yang berkesempatan melawat beberapa projek pembangunan di Labuan turut melahirkan kepuasan hati dengan kemajuan projek yang menurut beliau akan memberi impak positif kepada rakyat.

Perhatian khusus

Katanya penduduk Labuan amat bertuah kerana mendapat perhatian khusus kerajaan dalam Belanjawan 2013 dengan pemberian diskaun 50 peratus bagi tambang penumpang dan kenderaan komersial yang menggunakan perkhidmatan feri.

Selain itu, katanya kerajaan juga akan melaksanakan projek 1,000 unit rumah mampu milik dan empat projek dengan anggaran kos berjumlah RM165.65 juta untuk mengukuhkan kedudukan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hab minyak dan gas. – BERNAMA

MRSM ‘pintu’ penerokaan insan cemerlang – Utusan


MRSM ‘pintu’ penerokaan insan cemerlang

Oleh NOOR HANIS HARUN
pengarang@utusan.com.my

TAMPIN 8 Feb. – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) merupakan ‘pintu’ kepada penerokaan insan cemerlang bukan sahaja di peringkat sekolah menengah tetapi juga dalam arena pendidikan antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Abdul Rahim Abdul Ghani berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan penambahbaikan dalam pendidikan supaya MRSM kekal sebagai institusi yang melahirkan pelajar cemerlang.

”Mara amat terbuka dalam aspek penyediaan kemudahan pembelajaran untuk pelajar, bahkan peluang sentiasa sahaja terbuka,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis penyerahan bantuan khas awal persekolahan RM100 dan pelancaran Program Gemilang Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di MRSM Gemencheh, di sini hari ini.

Katanya, MRSM merupakan gedung pendidikan untuk pelajar sekolah menengah mencipta kecemerlangan dalam SPM.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130209/dn_10/MRSM-pintu-penerokaan-insan-cemerlang#ixzz2KM5WsImd
© Utusan Melayu (M) Bhd

840 pelajar terima bantuan awal persekolahan – Utusan


840 pelajar terima bantuan awal persekolahan

ABDUL Rahim Abdul Ghani (tengah) menyampaikan bantuan khas awal persekolahan RM100 kepada pelajar-pelajar MRSM di MRSM Gemencheh, semalam.

TAMPIN 8 Feb. – Seramai 840 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh dekat sini hari ini menerima bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 seorang.

Majlis penyerahan bantuan khas oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Abdul Rahim Abdul Ghani itu diadakan serentak dengan pelancaran Program Gemilang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah tersebut.

Salah seorang pelajar, Mohd. Faris Mohd. Lokman, 15 mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan berkenaan kerana membantu meringankan beban ibu bapanya.

”Nilainya mungkin nampak kecil, tetapi sebenarnya amat besar kepada kami untuk membeli buku dan keperluan belajar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130209/dn_09/840-pelajar-terima-bantuan-awal-persekolahan#ixzz2KM5RJFl6
© Utusan Melayu (M) Bhd