Arwah tercampak keluar kereta – Sinar Harian


Arwah tercampak keluar kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Februari 2013
kemalangan
Keadaan kereta Mercedes Benz dipandu mangsa remuk teruk selepas merempuh tebing sebelum terbalik menyebabkan Khamsani, Guru Besar SK Durian Mas 1 maut di tempat kejadian.

DUNGUN– Hasrat seorang guru untuk sampai awal di tempat kerja tidak kesampaian apabila dia menemui ajal selepas terbabit dalam satu kemalangan di satu selekoh, dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 7.20 pagi itu berlaku ketika mangsa, Kamsaini Ismail, 58, dalam perjalanan dari rumahnya di Ketengah Jaya ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan Durian Mas 1, Al Muktafi Billah Shah.

Sebaik tiba di satu selekoh, kereta Mercedes Benz dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan lalu merempuh tebing sebelum terbalik.

Mangsa difahamkan tercampak keluar dari kenderaan sebelum terjatuh atas batu-batan di kaki bukit itu.

Ketika kejadian, difahamkan keadaan jalan agak licin ekoran hujan renyai.

Menurut suami mangsa, Kamarudin Hamad, 57, pagi sebelum kejadian, arwah menyediakan juadah sahur untuk mereka berpuasa.

Bagaimanapun, dia tidak sempat menjamah hidangan disediakan arwah kerana terlewat untuk ke tempat kerja.

Kamarudin berkata, mereka berdua masing-masing meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja dan arwah dikatakan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Saya keluar dahulu, dia mengekori di belakang, namun sebaik sampai di tempat kerja, saya menerima panggilan telefon isteri terbabit kemalangan. Sampai di tempat kejadian dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil bedah siasat, kematian mangsa disebabkan kecederaan parah pada kepala.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ketengah Jaya petang semalam.

Hadir menziarahi keluarga mangsa termasuk Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor  yang mengesahkan kejadian  berkata, polis masih menyiasat kejadian itu.

Tujuh beranak terpaksa ikat perut, tumpang teduh di rumah ibu – Sinar Harian


Tujuh beranak terpaksa ikat perut, tumpang teduh di rumah ibu

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Februari 2013
Tujuh beranak terpaksa ikat perut, tumpang teduh di rumah ibu
Shahbani dan Norhasyimah (kiri) bersama anak mereka terpaksa tinggal di dalam rumah usang milik Azizah (belakang dua kanan).

ROMPIN– “Biarpun hidup saya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, anak-anak tidak pernah saya biarkan kelaparan,” demikian luahan Shahbani Zain, 50, yang dihimpit kemiskinan berikutan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Shahbani bergantung harap kepada upah meracun, menebas rumput dan kerja-kerja kampung yang lain bagi menyara isterinya, Narhasyimah Ismail, 44, dan lima daripada sembilan anaknya.

Bagaimanapun Shahbani berkata, tiga daripada anaknya iaitu, Mohd Aminuddin, 15, Mohd Izaidi, 13 dan Alia Maisarah, 10, terpaksa melupakan alam persekolahan berikutan tidak mampu menanggung kos persekolahan anaknya itu.

“Pernah juga kami sekeluarga terpaksa makan nasi tanpa lauk, malah ada masa terpaksa mengikat perut hingga ke petang disebabkan kemiskinan yang dialami,” katanya kepada Sinar Harian.

Shahbani yang berpendapatan purata antara RM250 hingga RM300 sebulan berkata, ketika ini, seorang sahaja anaknya yang bersekolah iaitu, Norarisha yang berusia enam tahun.

“Itupun saya tak tahu sama ada dia dapat meneruskan persekolahan atau pun tidak memandangkan dia masih di peringkat Pra Sekolah lagi. Jika sudah masuk sekolah rendah atau menengah mungkin perbelanjaannya pun makin tinggi,” katanya.

Sebagai bapa menurutnya, dia mengakui mahu melihat anaknya berjaya dalam pelajaran, namun disebabkan kemampuannya yang terbatas menyebabkan dia tidak dapat memenuhi impian anaknya itu.

“Kalau boleh, saya tak mahu anak mewarisi kemiskinan yang dialami, tambahan pula kami sudah serik dengan kehidupan serba kekurangan ini dan saya sedar hanya pelajaran dapat mengubah nasib mereka.

“Bukan menyalahkan takdir, tetapi saya memang tidak mampu berbuat demikian,” katanya.

Shahbani berkata, mereka sekeluarga juga terpaksa menumpang di rumah ibunya, Azizah Ismail, 70, selepas rumah mereka tidak lagi boleh diduduki selepas rosak dimakan anai-anai.

Malah katanya, rumah yang ditumpanginya sejak setahun lalu itu pula bukan saja sempit, malah mengalami kebocoran pada zink dan atap rumah yang menyebabkan rumah itu sering digenangi air apabila hujan.

“Hanya rumah pusaka inilah menjadi tempat kami sekeluarga berteduh daripada panas dan hujan. Walaupun keadaan rumah ini daif, kami tetap bersyukur kerana masih tidak hidup bergelandangan,” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah membuat permohonan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun masih menunggu status permohonan tersebut daripada pihak berwajib.

Sementara itu Norhasyimah berkata, dia tidak dapat menahan sebak jika mengenangkan hidup yang terpaksa dilalui mereka sekeluarga, namun pasrah dengan apa yang berlaku selain mengharapkan anaknya kuat dalam menempuh dugaan tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Setajam, Muhamad Aw Kechik berkata, pihaknya membuat permohonan PPRT untuk kemudahan keluarga tersebut dan perkara itu diluluskan Unit Pembangunan Luar Bandar (PLB) Pejabat Daerah dan Tanah Rompin.

Aksi si cilik di gelanggang bola – Kosmo


Aksi si cilik di gelanggang bola

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

 

SEBELUM memulakan aksi, kumpulan kanak-kanak ini sempat merakam gambar bersama barisan jurulatih dan pihak penganjur, Samsung diwakili Elaine (tengah depan).

 

PENUH bersemangat. Itu yang dapat dilihat pada aksi sekumpulan kanak-kanak yang berpeluang mengikuti Kem Bola Sepak Remaja Samsung-Chelsea baru-baru ini.

Seramai 180 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 13 tahun terpilih menyertai program tersebut yang berlangsung di Pusat Sukan NPNG di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Ini termasuklah anak-anak kurang bernasib baik dari Rumah Sayangan, ahli Little League Malaysia dan Kelab Bola Sepak Remaja Kuala Lumpur.

Ketua Penjenamaan dan Komunikasi Korporat Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd., Elaine Soh berkata, aktiviti tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan mereka dalam usaha memupuk semangat kanak-kanak serta belia melalui sukan dan gaya hidup sihat.

“Sebagai pemimpin global dalam media digital dan teknologi penumpuan digital, program ini adalah sebahagian daripada kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Samsung yang telah dilaksanakan buat kali ketiga.

“Apabila melihat keceriaan yang terpamer pada wajah kanak-kanak yang menyertai program ini, kami rasa puas dan berharap ia mampu memberi pengalaman berguna kepada mereka,” ujar Elaine ketika ditemui Kosmo! di Pusat Sukan NPNG.

KEMAHIRAN taktikal bermain bola sepak turut dipelajari para peserta dalam program kali ini.

 

Kesemua kanak-kanak tersebut menerima tunjuk ajar daripada empat jurulatih remaja kelab bola sepak terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea atau The Blues.

Walaupun tidak pernah mengikuti latihan formal dalam sukan bola sepak, tetapi masing-masing berjaya menampilkan aksi menarik dan tersendiri ketika berada di gelanggang.

Perkara itu diakui oleh ketua jurulatih, Steven Allan Winnet, 31, yang datang ke Malaysia buat kali ketiga bagi mengikuti program anjuran Samsung itu.

“Semua peserta cilik kem bola sepak ini sentiasa bersemangat menjalani latihan sama ada dalam aspek teknikal mahupun taktikal. Saya sendiri teruja melihat kesungguhan mereka.

“Mereka ada bakat, cuma ia perlu diasah secara berterusan jika mahu menjadi pemain bola sepak yang berjaya apabila dewasa kelak,” luah Allan Winnet yang berpengalaman sebagai jurulatih selama 12 tahun.

Selain Allan Winnet, tiga lagi jurulatih yang terlibat dalam kem bola sepak itu ialah Jack Colin West, Steven Leonard Shipp dan David Michael Stewart. Walaupun daripada latar belakang berbeza, kesemua jurulatih tersebut tidak lokek berkongsi keghairahan tentang sukan yang diminati di seluruh dunia itu.

Pengalaman bermakna

GOL belon gergasi turut dibina di tepi padang untuk memberi peluang kepada para peserta membuat sepakan.

 

Seorang peserta, Looi Kok Chin, 11, memberitahu, dia seronok kerana dapat menimba ilmu daripada jurulatih profesional yang telah melatih pasukan remaja Chelsea.

“Saya rasa sangat bangga kerana bukan semua orang berpeluang melakukan perkara ini. Justeru, saya tidak akan melupakan pengalaman hingga saya dewasa kelak.

“Kalau boleh, saya mahu menjadi pemain bola sepak terkenal seperti Didier Drogba,” tutur Kok Chin yang merupakan pelajar tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Naam Kheung, Cheras.

Bagi rakannya, Jordan Johnson, 10, pula mengakui banyak taktik dan teknik bermain bola sepak yang diketahui apabila mengikuti kem tersebut.

“Sebelum ini, saya hanya bermain mengikut diri sendiri. Kalau rasa nak sepak, saya akan sepak tanpa memikirkan apa-apa. Namun, selepas menerima tunjuk ajar daripada barisan jurulatih yang berkaliber, saya rasa semakin seronok untuk bermain bola sepak,” jelas Jordan sambil tersenyum lebar.

Sempena kem itu juga, Samsung turut menjemput chef selebriti, Anis Nabilah untuk melakukan demonstrasi memasak makanan sihat.

Program CSR Samsung untuk belia itu telah dimulakan sejak tahun 2007. Sejak itu, lebih 1,650 kanak-kanak dari seluruh dunia telah merasai pengalaman bermain bola sepak bersama kelab Chelsea.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm#ixzz2Kx68LsKV
Hakcipta terpelihara

Lihat anak melambung dirempuh – Kosmo


Lihat anak melambung dirempuh

 

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL
faiz.abu@kosmo.com.my

 

MOHD. DAUD menunjukkan tempat Nur Izati maut selepas dirempuh oleh sebuah kereta di Jalan Semenyih, Kajang semalam.

 

KAJANG – Seorang bapa menjadi insan yang paling dukacita semalam apabila bukan sahaja kehilangan anak ketiganya yang maut dalam kemalangan, malah dia menyaksikan bagaimana tubuh zuriatnya itu melambung dan tercampak sejauh tiga meter selepas dirempuh sebuah kereta.

Kejadian malang itu berlaku di depan mata Mokhtar Hamzah, 51, apabila menyaksikan anak perempuannya, Nur Izati, 16, maut dalam kemalangan pada pukul 7.10 pagi di Jalan Semenyih di sini.

Lebih memilukan apabila Mokhtar yang sering membantu penduduk kawasan perumahannya menguruskan jenazah terpaksa melihat jasad anak ketiga daripada lima beradik itu dimandi dan disemadikan di dalam liang lahad.

Mengimbau semula kejadian itu, Mokhtar memberitahu, kejadian berlaku ketika anaknya berjalan kaki ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

Katanya, selalunya dia yang akan menghantar anaknya itu dengan kereta ke sekolah tetapi pada pagi itu, dia sedikit terlewat kerana perlu menghantar kuih ke gerai isterinya berhampiran rumah.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2Kx5y2lVT
Hakcipta terpelihara

Terkejut lelaki telanjang dalam bilik tidur anak – Metro


Terkejut lelaki telanjang dalam bilik tidur anak

 164  0 Google +2  1  2

Pelabuhan Klang: Luluh hati seorang ibu apabila mendapati seorang lelaki tanpa seurat benang tidur sekatil dengan anak gadisnya berusia 14 tahun ketika dia mahu mengejutkan anaknya itu untuk solat Subuh, pagi kelmarin.

Kejadian berlaku jam 6 pagi di Bandar Armada Putra, dekat sini menyebabkan wanita berusia 30-an itu menjerit ketakutan lalu memaklumkan kepada ahli keluarga lain sebelum melaporkan kejadian kepada polis.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis yang tiba di rumah berkenaan berjaya menahan lelaki terbabit yang tidak dapat melarikan diri selepas dikepung ahli keluarga wanita berkenaan.

 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisoner Mohamad Mat Yusop mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan masih dilakukan.
“Memang ada laporan mengenai kejadian itu diterima, tetapi saya tidak dapat mengulas lanjut perkara itu kerana siasatan masih dilakukan yang pasti kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.
Harian Metro difahamkan, ibu mangsa tidak mengetahui bagaimana lelaki itu menyelinap masuk ke bilik anak gadisnya dan hanya menyedari kehadiran lelaki itu sejurus membuka pintu bilik yang tidak berkunci.

 

Sejurus ditahan, suspek dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan dan kes itu kini dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan manakala mangsa turut menjalani rawatan di hospital.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

‘Awek abang saya’ – Metro


‘Awek abang saya’

 2  0 Google +0  1  1

Oleh Mohd Fadly Samsudin, Gaddafi Musli dan Yusuf Ghani

Kuala Lumpur: “Tak ada duit nak balik rumah malam ini, sebab itu saya terpaksa bermalam dengan kakak di sini, “kata seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dicekup ketika berdua-duaan bersama seorang gadis yang didakwa saudara kandungnya di dalam bilik hotel bajet di ibu negara, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, ketika ditanya penguat kuasa, remaja itu menukar kenyataannya mengatakan gadis berusia 20 tahun itu teman wanita abangnya dan mereka terpaksa tidur bersama kerana tidak dapat menghubungi keluarga.

Pasangan berkenaan antara 10 pasangan yang ditahan dalam operasi cegah maksiat sempena Hari Kekasih yang dijalankan penguat kuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) di sekitar ibu kota bermula jam 12 tengah malam semalam dan berakhir kira-kira jam 4 pagi.

Semua yang ditahan berusia 13 hingga 50 tahun disiasat mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.
Selain pemeriksaan hotel bajet di sekitar ibu kota, penguat kuasa JAWI yang bergerak dalam dua kumpulan seramai 60 itu turut melakukan rondaan di sekitar Taman Tasik Titiwangsa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

‘Ini amat melampau’ – Metro


‘Ini amat melampau’

 124  4 Google +0  0  0

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: “Saya minta pihak tidak bertanggungjawab menyiarkan gambar anak saya dalam laman sosial Facebook yang kini tersebar luas kononnya tangan kirinya dipotong kerana didera supaya menarik balik gambar terbabit kerana itu satu pembohongan dan kami tiada kaitan,” kata Mohamad Yazwin Mohamad Yasin, 37, yang menyedari gambar anaknya perempuannya, Ameera Danii berusia lapan tahun disalah gunakan sehingga mengaibkan keluarganya.

Dia yang menyedari penyebaran gambar anaknya itu selepas diberitahu adiknya semalam berkata, kisah yang dipaparkan dengan tajuk ‘Ayah bagilah tangan Ita balik’ dengan memuat naik gambar Ameera perbuatan melampau sedangkan anaknya itu tidak pernah mengalami nasib seperti tajuk dipaparkan.
“Dalam Facebook itu, digambarkan kononnya seorang kanak-kanak dikenali sebagai Ita dipotong tangan oleh bapanya kerana tidak minat melukis.

 

“Dalam kes anak saya ini, tangannya terluka ketika bergayut pada sinki rumah kami pada Ogos tahun lalu selepas sinki itu pecah menyebabkan urat tangan anak saya putus. Kami menghantarnya ke Hospital Ampang Putri untuk menerima rawatan dan Alhamdulillah anak saya terselamat, malah tangan kirinya juga tidak dipotong seperti didakwa dalam cerita yang tersebar itu,” katanya ketika hadir membuat aduan di pejabat Harian Metro, semalam.
Mohamad Yazwin berkata, kemungkinan gambar anaknya itu diambil tanpa kebenaran melalui blog milik isterinya yang memuat naik gambar anak mereka ketika menerima rawatan di hospital.
“Saya rasa mereka mengambil gambar itu dan membuat cerita seolah-olah kejadian menimpa kanak-kanak terbabit adalah anak saya sedangkan nama kanak-kanak itu Ita.

 

FotoMOHAMAD Yazwin menunjukan gambar anaknya yang dimuat turun dalam Facebook.

“Kemungkinan apa yang dipaparkan dalam laman sosial terbabit yang mendapat komen ratusan orang memang berlaku namun perbuatan menggunakan gambar anak saya adalah tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang untuk tindakan lanjut.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15

Jadikan 2013 sebagai tahun senyum: CUEPACS – Bernama


Jadikan 2013 sebagai tahun senyum: CUEPACS

2013/02/15 – 11:13:05 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan penjawat awam menjadikan tahun 2013 sebagai tahun yang penuh dengan senyuman.

Presidennya, Datuk Omar Osman membuat saranan itu kerana mendapati budaya senyum masih kurang diamalkan dalam kalangan penjawat awam terutama semasa melayani pelanggan.

“Sudah banyak kempen senyum ini diadakan di mana-mana tempat namun kesedaran menerapkan budaya senyum ini masih rendah terutamanya semasa dalam situasi melayan pelanggan.

“Kalau boleh pagi-pagi datang kerja jangan bawa masalah peribadi datang ke pejabat. Sebagai pekerja berkaliber kita mesti tunjukkan semangat dengan penuh keceriaan. Kita kena fikir semua orang ada masalah dan kalau kita bawa ‘mood’ ceria ke tempat kerja, produktiviti kerja pun meningkat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ketua-ketua jabatan harus memberikan penekanan kepada isu berkenaan dalam setiap mesyuarat supaya budaya itu dirasakan menjadi satu tanggungjawab kepada setiap kakitangan.

“Memang kita akui setiap jabatan mempunyai piagamnya tersendiri dan kandungan piagamnya ada yang menyatakan budaya ini namun pelaksanaannya tidak begitu rancak di kalangan kakitangan.

“Malah ada sesetengah kakitangan diwajibkan memakai tag lambang senyum di uniform mereka tetapi apabila lambang senyum itu sekadar dijadikan hiasan ia dilihat sebagai simbol semata-mata,” katanya.
Omar berkata, beliau pernah menerima beberapa aduan berkenaan sikap atau layanan sesetengah kakitangan kerajaan yang tidak memuaskan semasa mendapatkan perkhidmatan.

“Apabila mendapat aduan seperti itu saya rasa tindakan seperti itu tidak wajar dilakukan dan pada pendapat saya kalau pekerjaan yang memerlukan kakitangan untuk berada di kaunter perlu diberikan kepada orang muda atau yang belum berkahwin kerana mereka mungkin tidak banyak masalah kekeluargaan lagi,” katanya.

Beliau berkata, ketua-ketua jabatan juga boleh mengundang CUEPACS untuk memberi taklimat berkenaan budaya berkenaan kepada kakitangan masing-masing.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati orang ramai mempunyai pendapat tersendiri berhubung budaya senyum.

Seorang pelajar, Razlina Ahmat, 24, berkata beliau amat kecewa kerana masih ramai memandang remeh budaya senyum.

“Banyak saya lihat iklan mengamalkan budaya senyum di merata-rata tempat tetapi kebanyakan iklan hanya menjadi bahan bacaan semata-mata. Tidak salah jika kita senyum pada orang lain kerana bukan sahaja nampak manis malah akan mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain,” katanya.

Pekerja swasta, Ismadi Adnan, 26, berpendapat seseorang profesional seharusnya tidak membawa masalah di rumah ke tempat kerja.

“Saya akui semua orang mempunyai masalah tersendiri namun sebagai seorang yang profesional mereka mestilah pandai membezakan antara masalah peribadi dan tempat kerja,” katanya. – BERNAMA

‘Nani satu anugerah’ – Metro


‘Nani satu anugerah’

 53  79 Google +2  1  0

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi dan Yusmizal Dolah Aling

Petaling Jaya: “Nani satu anugerah Allah kepada saya dan keluarga. Kehadirannya sejak tujuh tahun lalu bukan saja membawa bahagia, malah menerbitkan sinar Islam dalam diri saya.

“Semua ini berlaku tanpa dijangka dan hidup saya benar-benar berubah selepas ibu kandung Nani datang dan menyerahkan Nani yang ketika itu berusia 15 hari kepada saya,” kata Rimi Abdullah, 35.

Mengimbas peristiwa pada 2006 itu, Rimi yang memeluk Islam pada Mac 2011 berkata, Nani atau nama sebenarnya, Umi Zauyah diserahkan kepadanya oleh ibu kandung kanak-kanak itu yang berdepan kesulitan dan tekanan hidup.

Menurutnya, atas dasar tanggungjawab serta prihatin, dia setuju menerima Nani dan soal perbezaan agama langsung tidak difikirkannya ketika itu.

FotoNANI bersama bapa angkatnya.

“Yang pasti, sebaik saja melihat wajah Nani timbul rasa sayang mendalam terhadapnya. Saya masih ingat apabila membawa Nani pulang ke rumah, ibu saya terkejut dan sedih melihat keadaan Nani.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/15