Aksi si cilik di gelanggang bola – Kosmo


Aksi si cilik di gelanggang bola

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

 

SEBELUM memulakan aksi, kumpulan kanak-kanak ini sempat merakam gambar bersama barisan jurulatih dan pihak penganjur, Samsung diwakili Elaine (tengah depan).

 

PENUH bersemangat. Itu yang dapat dilihat pada aksi sekumpulan kanak-kanak yang berpeluang mengikuti Kem Bola Sepak Remaja Samsung-Chelsea baru-baru ini.

Seramai 180 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 13 tahun terpilih menyertai program tersebut yang berlangsung di Pusat Sukan NPNG di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Ini termasuklah anak-anak kurang bernasib baik dari Rumah Sayangan, ahli Little League Malaysia dan Kelab Bola Sepak Remaja Kuala Lumpur.

Ketua Penjenamaan dan Komunikasi Korporat Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd., Elaine Soh berkata, aktiviti tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan mereka dalam usaha memupuk semangat kanak-kanak serta belia melalui sukan dan gaya hidup sihat.

“Sebagai pemimpin global dalam media digital dan teknologi penumpuan digital, program ini adalah sebahagian daripada kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Samsung yang telah dilaksanakan buat kali ketiga.

“Apabila melihat keceriaan yang terpamer pada wajah kanak-kanak yang menyertai program ini, kami rasa puas dan berharap ia mampu memberi pengalaman berguna kepada mereka,” ujar Elaine ketika ditemui Kosmo! di Pusat Sukan NPNG.

KEMAHIRAN taktikal bermain bola sepak turut dipelajari para peserta dalam program kali ini.

 

Kesemua kanak-kanak tersebut menerima tunjuk ajar daripada empat jurulatih remaja kelab bola sepak terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea atau The Blues.

Walaupun tidak pernah mengikuti latihan formal dalam sukan bola sepak, tetapi masing-masing berjaya menampilkan aksi menarik dan tersendiri ketika berada di gelanggang.

Perkara itu diakui oleh ketua jurulatih, Steven Allan Winnet, 31, yang datang ke Malaysia buat kali ketiga bagi mengikuti program anjuran Samsung itu.

“Semua peserta cilik kem bola sepak ini sentiasa bersemangat menjalani latihan sama ada dalam aspek teknikal mahupun taktikal. Saya sendiri teruja melihat kesungguhan mereka.

“Mereka ada bakat, cuma ia perlu diasah secara berterusan jika mahu menjadi pemain bola sepak yang berjaya apabila dewasa kelak,” luah Allan Winnet yang berpengalaman sebagai jurulatih selama 12 tahun.

Selain Allan Winnet, tiga lagi jurulatih yang terlibat dalam kem bola sepak itu ialah Jack Colin West, Steven Leonard Shipp dan David Michael Stewart. Walaupun daripada latar belakang berbeza, kesemua jurulatih tersebut tidak lokek berkongsi keghairahan tentang sukan yang diminati di seluruh dunia itu.

Pengalaman bermakna

GOL belon gergasi turut dibina di tepi padang untuk memberi peluang kepada para peserta membuat sepakan.

 

Seorang peserta, Looi Kok Chin, 11, memberitahu, dia seronok kerana dapat menimba ilmu daripada jurulatih profesional yang telah melatih pasukan remaja Chelsea.

“Saya rasa sangat bangga kerana bukan semua orang berpeluang melakukan perkara ini. Justeru, saya tidak akan melupakan pengalaman hingga saya dewasa kelak.

“Kalau boleh, saya mahu menjadi pemain bola sepak terkenal seperti Didier Drogba,” tutur Kok Chin yang merupakan pelajar tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Naam Kheung, Cheras.

Bagi rakannya, Jordan Johnson, 10, pula mengakui banyak taktik dan teknik bermain bola sepak yang diketahui apabila mengikuti kem tersebut.

“Sebelum ini, saya hanya bermain mengikut diri sendiri. Kalau rasa nak sepak, saya akan sepak tanpa memikirkan apa-apa. Namun, selepas menerima tunjuk ajar daripada barisan jurulatih yang berkaliber, saya rasa semakin seronok untuk bermain bola sepak,” jelas Jordan sambil tersenyum lebar.

Sempena kem itu juga, Samsung turut menjemput chef selebriti, Anis Nabilah untuk melakukan demonstrasi memasak makanan sihat.

Program CSR Samsung untuk belia itu telah dimulakan sejak tahun 2007. Sejak itu, lebih 1,650 kanak-kanak dari seluruh dunia telah merasai pengalaman bermain bola sepak bersama kelab Chelsea.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm#ixzz2Kx68LsKV
Hakcipta terpelihara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s