Pelajar mati lemas di Sri Tujuh – Kosmo


Pelajar mati lemas di Sri Tujuh

 

Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my

 

ANGGOTA bomba dan penyelamat mencari Hazril yang hilang selepas ditarik ombak besar di pantai Sri Tujuh, Tumpat semalam.

 

TUMPAT – Kegembiraan sepuluh sahabat berkelah di pantai Sri Tujuh di sini kelmarin berakhir dengan kesedihan apabila seorang daripada mereka yang hilang ditemui mati lemas terdampar di pantai semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, mangsa, Mohamad Hazril Ab. Rahman, 17, hilang manakala dua rakannya, Mohd. Haizat Farhan Che Aziz, 17, dan Syed Mohd. Sharul Syed Omar, 17, berjaya menyelamatkan diri.

Hazril pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut dihanyutkan ombak sejauh kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa mandi sebelum dia hilang. Jarak tempat Hazril mandi dan pantai pula kira-kira 50 meter.

Cerita Haizat, sebelum kejadian, Hazril merupakan orang pertama turun ke laut manakala dia dan rakan-rakan lain masih makan makanan yang dibawa untuk berkelah di pantai Sri Tujuh.

“Beberapa minit selepas itu, saya dan lima lagi rakan ikut terjun ke laut dan kami seronok mandi laut beramai-ramai.

“Tiba-tiba ombak besar datang dan tarik kami bertiga ke kawasan dalam sehingga kaki sudah tidak berpijak pada dasar laut lagi,” kata remaja itu ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2LFH5iDDT
Hakcipta terpelihara

Perangai syaitan – Metro


Perangai syaitan

 25  0 Google +0  1  1

Dua pelajar lelaki yang baru berusia 15 tahun bagaikan syaitan apabila meliwat seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang tinggal sekampung di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, kelmarin.

Kedua-dua pelajar tingkatan tiga itu ditahan di rumah masing-masing di kampung berkenaan selepas bapa mangsa membuat laporan polis pada hari sama anaknya diliwat.
Sumber berkata, kejadian berlaku pada jam 1.30 tengah hari ketika mangsa yang bersendirian di rumah, dipelawa seorang suspek ke rumahnya.

 

“Budak perempuan itu ke rumah seorang suspek yang jaraknya 80 meter dari rumah mangsa. Ketika berada dalam bilik di rumah suspek, dia diliwat.
“Selepas pulang ke rumah, mangsa mengadu sakit pada bahagian dubur sebelum memberitahu kejadian sebenar kepada ibu bapanya yang berusia 40-an,” katanya.
Menurutnya, bapa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dan anaknya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan lanjut.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Terperangkap dalam lumpur – Berita Harian


Terperangkap dalam lumpur

Anggota bomba cuba mengeluarkan kaki kanak-kanak yang terperangkap dalam lubang lumpur di Salak Tinggi, kelmarin.Anggota bomba cuba mengeluarkan kaki kanak-kanak yang terperangkap dalam lubang lumpur di Salak Tinggi, kelmarin.

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menanggung kesakitan selama 30 minit selepas kaki kanannya terperangkap dalam lubang lumpur di Taman Mawar, Salak Tinggi, Sepang, petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang itu berlaku apabila mangsa berusia 10 tahun itu sedang bermain bersama beberapa rakannya sebelum terperangkap ke dalam lubang terbabit.

Panggilan jam 5.55 petang

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan jam 5.55 petang sebelum tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kaki kanan budak lelaki itu terperangkap dalam lubang lumpur hingga paras lutut menyebabkan pihak bomba terpaksa mengorek lubang itu.

“Kita terpaksa mengambil lebih kurang 30 minit mengorek lubang berikutan keadaan hujan lebat sebelum mengeluarkan kanak-kanak itu.

“Pada masa sama, anggota terpaksa menenangkan mangsa yang menangis akibat kesakitan.
“Kanak-kanak itu yang mengalami cedera ringan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Sani, lokasi terbabit semakin berlopak kerana hujan lebat sejak kebelakangan ini menyebabkan kanak-kanak terbabit tidak menyedari keadaan lumpur itu mempunyai lubang besar.

Tiga sahabat mengaku tidak bersalah culik Nayati – Berita Harian


Tiga sahabat mengaku tidak bersalah culik Nayati

2013/02/18 – 13:20:45 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan menculik kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Mood Liar, 12, pada April tahun lalu.

Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri berserta rakannya Foong Khar Fai, 20, yang juga seorang penjual telefon bimbit dan penganggur, Lee Phak Seng, 24, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Kamardin menetapkan dua minggu bermula 15 hingga 19 April dan 13 hingga 17 Mei untuk perbicaraan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Jean Sharmila Jesudeson memberitahu mahkamah seramai 15 saksi pihak pendakwaan dan pembelaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Ketika ditemui media selepas prosiding kes itu, Jean berkata, antara saksi yang akan dipanggil termasuklah mangsa culik, Nayati.

Pada 22 Mei tahun lalu, ketiga-tiga mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menculik Nayati, dan tiada pengakuan direkodkan.

Ketiga-tiga lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa menculik kanak-kanak berkenaan di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, 7.30 pagi pada 27 April 2012 mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Nayati dibebaskan penculiknya di kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS pada 7.55 pagi 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, di sini.

Chong diwakili peguam Rejinder Singh, manakala Foong diwakili peguam Zamri Ibrahim dan Lee diwakili peguam KT Wong. – BERNAMA

Bahasa Siam diperkenal semula di sekolah – Utusan


Bahasa Siam diperkenal semula di sekolah

PADANG TERAP 16 Feb. – Subjek bahasa Siam akan diperkenalkan semula di sekolah kebangsaan tidak lama lagi dalam usaha memartabatkan bahasa itu dalam kalangan pelajar berketurunan Siam dan memberi peluang kepada pelajar lain mempelajarinya sebagai subjek tambahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan subjek itu melibatkan sekolah-sekolah yang mempunyai 15 atau lebih pelajar berketurunan Siam terutama di negeri seperti Kedah, Perlis dan Kelantan.

“Satu bentuk kokurikulum akan dirangka bagi mengenal pasti silibus pembelajaran bahasa Siam yang bersesuaian selain melatih tenaga guru yang pakar dalam bahasa itu,” katanya dalam majlis perjumpaan bersama kira-kira 15,000 masyarakat Siam di Wat Siam Naka, dekat sini hari ini.

Cadangan berhubung subjek tersebut diutarakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Boon Som Inong yang mewakili masyarakat Siam negara ini ketika berucap dalam majlis itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130217/dn_08/Bahasa-Siam-diperkenal-semula-di-sekolah#ixzz2LFEO8xVj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Guru muda perlu bersungguh jayakan pelan pendidikan – Utusan


Guru muda perlu bersungguh jayakan pelan pendidikan

ALOR SETAR 16 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih 200,000 guru muda di seluruh negara perlu meningkatkan kesungguhan dan komitmen sebagai ejen pelaksana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Tegas beliau, mereka yang berusia 23 hingga 40 tahun itu juga perlu menjadi ikon kepada para pelajar bagi menghasilkan insan kamil yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi memiliki sahsiah dan budi pekerti mulia.

“Semangat profesionalisme patriotisme, kejujuran, keikhlasan dan iltizam yang tinggi dalam kalangan guru muda perlu ditingkatkan sampai ke tahap persaraan wajib,” katanya ketika merasmikan Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat zon utara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, peningkatan itu boleh dicapai berlandaskan ketekunan, keikhlasan dan bersedia mengubah cara bekerja supaya menjadi lebih efektif serta tersusun, selain menimba pengalaman daripada guru yang lebih senior.

“Isu yang biasa kita dengar seperti keluh-kesah dan rungutan dalam kalangan guru muda sewaktu menghadapi profesion ini harus dielakkan dan menjadi harapan agar warga pendidik dilihat sentiasa sempurna di depan anak didik walaupun mereka adalah manusia biasa yang mempunyai kekuatan dan kelemahan,” katanya.

Menurut beliau, ini penting untuk membimbing anak bangsa menjadi manusia yang berakhlak dan beretika tinggi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130217/dn_07/Guru-muda-perlu-bersungguh-jayakan-pelan-pendidikan#ixzz2LFE4cFOc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Remaja lemas ketika mandi-manda – Utusan


Remaja lemas ketika mandi-manda

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mencari Mohamad Hazril Abd. Rahim (gambar kecil) yang lemas ketika mandi di Pantai Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan, semalam.

TUMPAT 17 Feb. – Kegembiraan 10 orang sahabat berkelah dan mandi-manda di Pantai Sri Tujoh di sini semalam, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas.

Mayat mangsa, Mohamad Hazril Abd. Rahim, 17, hanya ditemui orang ramai pukul 1.05 petang ini di Pantai Geting, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Mohamad Hazril sebelum itu dilaporkan hilang selepas dibawa oleh arus ketika 6mandi di pantai berkenaan pukul 12.30 tengah hari.

Dia yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, dekat sini, tidak sempat diselamatkan oleh rakan-rakannya selepas tiba-tiba dihanyutkan ombak.

Berikutan itu, satu laporan dibuat dan operasi mencari mangsa oleh anggota bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah dijalankan tetapi gagal sehinggalah mayatnya ditemui hari ini.

Ibu mangsa, Che Zaharah Will, 56, ketika ditemui berkata, dia reda dan menerima ketentuan Ilahi di atas pemergian mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik.

“Ini kali pertama arwah datang ke Pantai Sri Tujoh tanpa memberitahu saya terlebih dahulu. Sebelum ini kalau pergi berkelah dia (Mohamad Hazril) akan beritahu saya. Kira-kira pukul 1 petang semalam tiba-tiba saya dimaklumkan oleh rakan dia bahawa arwah lemas di Pantai Sri Tujoh,” katanya.

Tambah Che Zaharah, arwah ada berkelakuan pelik pada malam kejadian apabila tidur di atas sofa di ruang tamu berhampirannya kerana alasan panas.

“Saya bagaimanapun tidak syak apa-apa. Pagi itu juga, Mohamad Hazril sempat bergurau dengan kakaknya, Rozana Abdul Rahim, 27, yang bertanya sama ada dia kacak atau tidak,” katanya sebak.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd. Haizat Farhan, 17, berkata, dia terdengar Mohamad Hazril meminta tolong dengan tangan terkapai-kapai dan tenggelam timbul dipukul ombak tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia juga ketika itu hampir lemas.

Kata Mohd. Haizat, dia bersyukur sempat ditarik oleh seorang lagi rakan mereka, Mohd. Aidil Fitri Zamani, 15.

“Tetapi saya amat terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan Mohamad Hazril kerana dia jauh berada di belakang saya,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130218/dn_10/Remaja-lemas-ketika-mandi-manda#ixzz2LFDvuVwV
© Utusan Melayu (M) Bhd

CALON ANUGERAH TOKOH GURU KEBANGSAAN SEMPENA PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-42 TAHUN 2013


CALON ANUGERAH TOKOH GURU KEBANGSAAN SEMPENA PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-42 TAHUN 2013

18 February 2013

CALON ANUGERAH TOKOH GURU KEBANGSAAN SEMPENA PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-42 TAHUN 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti telah diberi mandat untuk menjadi Urus Setia Pencalonan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-42 tahun 2013. Sehubungan itu, pihak kami ingin mengalu-alukan pencalonan bagi Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan daripada warga pendidik yang  bernaung di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

.         Bersama-sama ini dilampirkan surat edaran dan maklumat berikut untuk tindakan:

1  Lampiran A: Panduan Pencalonan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan; dan

2  Lampiran B: Borang Cadangan Pencalonan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan.

.         Cadangan Tokoh Guru Kebangsaan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Urus Setia Panel Pemilihan Tokoh Guru Kebangsaan, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti untuk perhatian Pn Hjh. Normah bt. Hj Ismail melalui e-mel: normyismy.jnjk@gmail.com atau melalui talian faks: 03-88844192. Sekiranya terdapat  sebarang kemusykilan berkaitan perkara  ini, sila  hubungi  Pn. Rosliza binti Rosli di talian 03-88844128/ 012-2200518 untuk keterangan lanjut.

Terima Kasih

 

Muat Turun
Surat edaran Calon Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2013
Lampiran A dan B Calon Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2013