Remaja lemas ketika mandi-manda – Utusan


Remaja lemas ketika mandi-manda

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mencari Mohamad Hazril Abd. Rahim (gambar kecil) yang lemas ketika mandi di Pantai Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan, semalam.

TUMPAT 17 Feb. – Kegembiraan 10 orang sahabat berkelah dan mandi-manda di Pantai Sri Tujoh di sini semalam, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas.

Mayat mangsa, Mohamad Hazril Abd. Rahim, 17, hanya ditemui orang ramai pukul 1.05 petang ini di Pantai Geting, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Mohamad Hazril sebelum itu dilaporkan hilang selepas dibawa oleh arus ketika 6mandi di pantai berkenaan pukul 12.30 tengah hari.

Dia yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, dekat sini, tidak sempat diselamatkan oleh rakan-rakannya selepas tiba-tiba dihanyutkan ombak.

Berikutan itu, satu laporan dibuat dan operasi mencari mangsa oleh anggota bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah dijalankan tetapi gagal sehinggalah mayatnya ditemui hari ini.

Ibu mangsa, Che Zaharah Will, 56, ketika ditemui berkata, dia reda dan menerima ketentuan Ilahi di atas pemergian mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik.

“Ini kali pertama arwah datang ke Pantai Sri Tujoh tanpa memberitahu saya terlebih dahulu. Sebelum ini kalau pergi berkelah dia (Mohamad Hazril) akan beritahu saya. Kira-kira pukul 1 petang semalam tiba-tiba saya dimaklumkan oleh rakan dia bahawa arwah lemas di Pantai Sri Tujoh,” katanya.

Tambah Che Zaharah, arwah ada berkelakuan pelik pada malam kejadian apabila tidur di atas sofa di ruang tamu berhampirannya kerana alasan panas.

“Saya bagaimanapun tidak syak apa-apa. Pagi itu juga, Mohamad Hazril sempat bergurau dengan kakaknya, Rozana Abdul Rahim, 27, yang bertanya sama ada dia kacak atau tidak,” katanya sebak.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd. Haizat Farhan, 17, berkata, dia terdengar Mohamad Hazril meminta tolong dengan tangan terkapai-kapai dan tenggelam timbul dipukul ombak tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia juga ketika itu hampir lemas.

Kata Mohd. Haizat, dia bersyukur sempat ditarik oleh seorang lagi rakan mereka, Mohd. Aidil Fitri Zamani, 15.

“Tetapi saya amat terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan Mohamad Hazril kerana dia jauh berada di belakang saya,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130218/dn_10/Remaja-lemas-ketika-mandi-manda#ixzz2LFDvuVwV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s