Ibu masih harap bantuan rawat anak – Sinar Harian


Ibu masih harap bantuan rawat anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Februari 2013
Ibu masih harap bantuan rawat anak
Siti Azar (kanan) dan suami, Mohd Shahidan, Norazlin Dahari, 42, (kiri) mengemas katil Mohd Shahidan (terbaring) selepas anak mereka mengadu letih.

IPOH – Seorang ibu masih mengharapkan bantuan orang ramai bagi membiayai keperluan mendapatkan rawatan radioterapi untuk anak mereka yang menghidap kanser prostat sejak April tahun lalu.

Mohd Shahidan Norazlin, 14, yang sedang menjalani kimoterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dinasihatkan untuk mendapat rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah kanser di bahagian perut merebak dan kimoterapi tidak memberi kesan.

Pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf Batu Gajah itu mengalami kecacatan perkembangan melibatkan fungsi otak (autism) sejak dilahirkan dan sudah menjalani beberapa siri pembedahan melibatkan perut dan testis.

Ibunya, Siti Azar Che Noor, 31, berkata, doktor telah menetapkan temujanji pada 27 Februari ini bagi menentukan jumlah radioterapi yang perlu dijalani pada anak kesayangannya itu.

“Untuk mendapat rawatan di Kuala Lumpur itulah yang menjadi kebimbangan kerana kami memerlukan lebih RM500 setiap kali ke sana. Lebih membebankan adalah jumlah rawatan yang bakal diterimanya.

“Ia agak membebankan dengan pendapatan kami hanya berjumlah RM600 sebulan sedangkan kami tidak mempunyai wang yang sebanyak itu. Setakat ini kami telah terima RM400, hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Siti Azar, 03203-29-81268387-1 atau menghubunginya di talian 017-4688377.

Dakwa doktor lengah bedah anak – Sinar Harian


Dakwa doktor lengah bedah anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Februari 2013
Dakwa doktor lengah bedah anak
Keadaan Nurnatasya yang lemah ketika mendapatkan rawatan.
Dakwa doktor lengah bedah anak
Nazihan menunjukkan imbasan keadaan apendiks anaknya bersama laporan polis yang dibuat.

KANGAR – Seorang bapa membuat laporan polis selepas mendakwa tindakan doktor Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dekat sini melengahkan proses pembedahan hampir menyebabkan keadaan anaknya bertambah kritikal.

Nazihan Rohani, 36, berkata, pada mulanya, dia membawa anaknya, Nurnatasya, 11, ke unit kecemasan di hospital berkenaan untuk menerima rawatan selepas dipercayai menghidapi apendiks pada 28 Januari lalu.

Menurutnya, selepas dimasukkan ke dalam wad, anaknya diminta berpuasa bagi menjalani ujian imbasan X yang memerlukan pembedahan namun dilengahkan dengan alasan bilik penuh.

“Saya difahamkan oleh doktor yang merawat mendakwa apendiks anak hanya di peringkat permulaan.

“Saya kemudiannya dapati anak saya tidak bermaya tetapi masih tidak mendapat rawatan sepatutnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Nazihan berkata, melihatkan keadaan begitu, dia meminta surat kebenaran keluar untuk membawa anaknya dirawat di hospital lain kira-kira jam 11.30 pagi.

Katanya, apabila pembedahan dijalankan, anaknya kembali stabil dan dia membuat laporan polis pada 16 Februari lalu.

“Laporan terbabit dibuat disebabkan tidak puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan itu oleh hospital berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HTF, Datuk Dr Ahmad Nordin Mohd Jais berkata, pihaknya akan mengenal pasti perkara berkaitan sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Sebelum tindakan diambil, pihak hospital akan menyiasat perkara berkenaan supaya langkah yang diambil bertepatan dengan keadaan,” katanya.

Dua Parah Van Bawa Murid Sekolah Terbalik Dirempuh Kereta – Bernama


Dua Parah Van Bawa Murid Sekolah Terbalik Dirempuh Kereta

PETALING JAYA: Dua murid berumur 10 dan 11 tahun cedera parah masing-masing di kepala dan kaki, apabila van persendirian yang membawa mereka ke sekolah terbalik selepas dirempuh kereta di Bandar Utama di sini, Selasa.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, van yang membawa 10 murid berumur antara tujuh dan 12 tahun itu dalam perjalanan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Effingham, Bandar Utama.

Susulan kemalangan, sembilan murid termasuk dua yang parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala seorang lagi dirawat di Hospital Sungai Buluh.

Saksi kejadian berkata van yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an itu dirempuh dari belakang ketika melepasi persimpangan lampu isyarat menuruni jalan berbukit.

Ketika ditemui pemberita di PPUM, Penyelaras MIC Parlimen Subang A.Prakash Rao berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak sekolah sebelum bergegas ke PPUM.

“Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku, namun dua murid cedera parah dan yang lain cedera ringan…dua yang parah menjalani pembedahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed yang mengesahkan kejadian itu, memberitahu Bernama pemandu kereta terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara.

Menceritakan detik cemas itu, B. Lavanya, 11, yang cedera di lutut, berkata dia berada di bahagian tengah tempat duduk penumpang apabila van milik jirannya itu dirempuh di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Seorang guru lelaki yang enggan dikenali menamakan sembilan murid yang dibawa ke PPUM itu sebagai P.Kavilashini, D.Sineka, R.Suriaraja, K.Susan, A. Danushwaran, K.Melvin, A.Varsha, S.Sathia dan Lavanya.

Nama murid yang dibawa ke Hospital Sungai Buluh bagaimanapun belum dapat dikenal pasti.-BERNAMA

Lelaki dituduh perkosa gadis sunti – Metro


Lelaki dituduh perkosa gadis sunti

 3  1 Google +0  0  0

Seremban: Seorang lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur di tepi pantai di Port Dickson, dekat sini, pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Hizamuddin Fathorrazi, 21, dari Taman Setia, Balakong, Seri Kembangan, Selangor, mengaku tidak bersalah sebaik mendengar pertuduhan berkenaan dibaca dan diterangkan jurubahasa mahkamah kepadanya.
Berikutan itu, Hakim Datin M Kunasundary menetapkan kes untuk sebutan pada 18 Mac depan.

 

Bagi pertuduhan pertama, Hizamuddin dituduh merogol mangsa berusia 15 tahun di tepi pantai Batu 10, Jalan Pantai, Telok Kemang, Port Dickson pada 1 Mei 2012, jam 4 pagi.
Dia didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap mangsa di tempat sama pada 3 Mei 2012, kira-kira jam 10 pagi.
Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

 

Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad menawarkan jaminan RM10,000 namun mahkamah mengurangkan kepada RM6,000 selepas tertuduh merayu.
Kes ini ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Mac depan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

CUEPACS gesa kerajaan kaji semula faedah pinjaman perumahan – Berita Harian


CUEPACS gesa kerajaan kaji semula faedah pinjaman perumahan

 

2013/02/19 – 15:55:23 PM Cetak Emel Kawan

GEORGETOWN: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mengkaji semula faedah pinjaman perumahan kakitangan awam sebanyak empat peratus dengan menurunkan ia kepada satu peratus.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata kajian semula perlu dilakukan kerana ia sudah lebih 30 tahun tidak dikaji dan harga rumah sekarang yang mahal berbanding dulu.

Seramai 2,791 graduan pendidikan dilantik terus ke DG41 – Bernama


Seramai 2,791 graduan pendidikan dilantik terus ke DG41

2013/02/19 – 17:29:09 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Seramai 2,791 daripada 7,824 graduan pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) tahun lepas akan dilantik terus ke Gred DG41.

Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dalam satu kenyataan di sini, hari ini memaklumkan mereka tidak perlu menghadiri temu duga kerana mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.5 dan ke atas, serta mendapat sekurang-kurangnya keputusan A- dalam latihan praktikal.

“Bagaimanapun, graduan tersebut perlu menjalani sesi penilaian khas yang akan dilaksanakan oleh SPP, dan diperakui oleh IPTA dan IPGM,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPP, sementara itu, baki 5,033 graduan pendidikan pula perlu menduduki temu duga yang akan diadakan di seluruh negara mulai hari ini sehingga 27 Mac depan.

Layari http://www.spp.gov.my untuk maklumat lanjut. – BERNAMA

RM500 juta baiki 1,608 sekolah rosak teruk – Utusan


RM500 juta baiki 1,608 sekolah rosak teruk

BATU PAHAT 18 Feb. – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta sepanjang tahun ini bagi membaik pulih 1,608 sekolah di seluruh negara yang berada pada tahap rosak teruk serta dikhuatiri boleh membahayakan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan itu merupakan insentif pertama yang disalurkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk membaik pulih sekolah-sekolah.

Menurutnya, kebanyakan sekolah yang tersenarai dalam kategori rosak teruk itu terletak di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak serta memerlukan pembaikan secepat mungkin.

“Semua sekolah di seluruh negara berada pada kategori ditetapkan seperti baik, sederhana, rosak kecil dan rosak teruk. Tetapi pada peringkat awal, kementerian memberi tumpuan untuk membaik pulih sekolah rosak teruk dahulu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130219/dn_07/RM500-juta-baiki-1608-sekolah-rosak-teruk#ixzz2LKxgaEzv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia dilancar sasar dana RM10 juta – Utusan


Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia dilancar sasar dana RM10 juta

PUTRAJAYA 18 Feb. – Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia yang dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri hari ini dilihat sebagai saluran murni untuk masyarakat umum membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh dunia.

Datin Seri Rosmah Mansor berkata, tabung yang menyasarkan kutipan dana sebanyak mungkin itu akan membantu kanak-kanak yang terlibat dengan pelbagai bentuk musibah seperti peperangan, bencana alam, kebuluran dan kemiskinan.

Buat permulaan, katanya, tabung itu diharap dapat mengumpul sekurang-kurangnya RM10 juta supaya misi membantu kanak-kanak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, satu Konsert Permata Seni bertemakan Mensyukuri Nikmati Kedamaian akan diadakan pada 25 dan 26 Februari ini di Istana Budaya Kuala Lumpur bagi mengumpul dana untuk tabung itu.

”Saya berharap badan-badan korporat dan individu agar tampil menghulurkan sumbangan bagi tabung itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Konsert Permata Seni 2013 sempena Pelancaran Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia di sini.

Konsert yang menggabungkan elemen lakonan, nyanyian, muzik dan tarian itu menampilkan tiga segmen iaitu Kesengsaraan, Kebahagiaan dan Aspirasi Anak-anak Dunia.

Persembahan pada 25 Februari untuk orang ramai dan masuk adalah percuma manakala keesokan harinya pula dikhususkan untuk tetamu jemputan.

Rosmah berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bagi membolehkan konsert tersebut disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

”Kita amat berharap konsert itu boleh ditonton oleh seluruh anggota masyarakat kerana persembahan tersebut mampu memberi pengajaran kepada rakyat tentang pentingnya mengekalkan keamanan dan kemakmuran sedia ada,” katanya.

Konsert diadakan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui agensinya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Istana Budaya dan RTM.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130219/dn_03/Tabung-Kesejahteraan-Kanak-kanak-Sedunia-dilancar-sasar-dana-RM10-juta#ixzz2LKxQdSk7
© Utusan Melayu (M) Bhd

SEMAKAN URUSAN TEMU DUGA JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH GRED DG41 BAGI GRADUAN PENDIDIKAN LULUSAN INSTITUSI PENGAJAN TINGGI AWAM DAN INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA TAHUN 2012 – SPP


SEMAKAN URUSAN TEMU DUGA JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH GRED DG41 BAGI GRADUAN PENDIDIKAN LULUSAN INSTITUSI PENGAJAN TINGGI AWAM DAN INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA TAHUN 2012

 

Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran akan menjalankan temu duga pelantikan ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 bagi graduan pendidikan lulusan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang bergraduat pada tahun 2012 dan graduan pendidikan lulusan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) tahun 2012 yang bergraduat selepas Jun 2012. Temu duga yang melibatkan seramai 5,033 orang calon akan dijalankan di seluruh negara mulai 19 Februari 2013 hingga 27 Mac 2013. Semakan secara berperingkat mengenai temu duga tersebut boleh dibuat di portal Suruhanjaya diwww.spp.gov.my mulai 15 Februari 2013. Baki seramai 2,791 orang calon perlu menjalani sesi penilaian khas oleh Suruhanjaya. Maklumat mengenai program tersebut akan dimaklumkan dalam sedikit masa lagi. Semak di siniMuat naik pada 15 Februari 2013

 

HARI MESRA PELANGGAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN – SPP


HARI MESRA PELANGGAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN

Program Hari Mesra Pelanggan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran akan diadakan di Tea Garden, SEAMO, RECSAM, Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor, Pulau Pinang pada 25 Februari 2013 (Isnin) dari pukul 9.30 pagi hingga 4.00 petang.

Anggota Perkhidmatan Pelajaran yang mempunyai pertanyaan mengenai urusan pelantikan dan perkhidmatan serta orang awam yang mempunyai pertanyaan mengenai urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi dan Anggota Kumpulan Sokongan dijemput hadir.

Muat naik pada 18 Februari 2013