Pantau sekolah berat sebelah – Sinar Harian


Pantau sekolah berat sebelah

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Februari 2013

ALOR KEDAH – Kementerian Pelajaran diharapkan mengambil tindakan sewajarnya berhubung dakwaan segelintir pihak mengenai sekolah di bandaraya ini yang dikatakan mengamalkan sikap berat sebelah terhadap pelajarnya.

Difahamkan sesetengah sekolah di sini hanya memilih guru dan kursus terbaik untuk diberikan kepada kelas terbaik, manakala kelas yang dipercayai kurang baik tidak mendapat perhatian sepatutnya.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, jika benar sesetengah sekolah mengamalkan konsep dan berdepan dengan sindrom ini maka satu tindakan harus diambil bagi menanganinya kerana ia merupakan perkembangan tidak sihat.

“Golongan pelajar harus menerima layanan adil dari segi pendidikan, malah tahap kebijaksanaan mereka tidak seharusnya dibeza-bezakan oleh mana-mana pihak. Seharusnya, seseorang pelajar yang lemah dalam pelajaran perlu mendapat bimbingan dari guru cemerlang dan perhatian yang lebih berbanding pelajar pintar.

“Jadi, jika isu berat sebelah ini timbul maka perkara ini berbalik semula pada tanggungjawab yang dimainkan guru, ibu bapa dan masyarakat dalam membangunkan pendidikan anak bangsa,” katanya mengulas laporan interaktif Sinar Harian, 9 Januari lalu.

Shamsul Bahar berkata, GPMS menyarankan pihak sekolah mengambil berat mengenai masalah ditanggung pelajar yang dikategorikan kurang baik ataupun bermasalah ini dan tidak seharusnya terus menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Menurutnya, jika pelajar lemah ini diberikan peluang dengan bimbingan dan kaunseling dari pihak berkaitan mengenai isu-isu tertentu, maka ia akan membantu mereka meningkatkan kebolehan diri sendiri.

“Penempatan guru bagi sesuatu kelas tidak boleh dilakukan secara diskriminasi, malah pihak berkaitan tidak seharusnya meletakkan kategori tertentu untuk pelajar tertentu sahaja kerana tindakan ini tidak wajar demi masa depan pelajar berkenaan,” katanya.

Katanya, masalah yang timbul bukanlah hanya terletak pada ibu bapa sahaja sebaliknya pihak lain termasuk masyarakat, guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) perlu mengambil berat dan peka mengenai isu ini terutamanya apabila bidang pendidikan dibangkitkan.

“Kita perlu wujudkan budaya mengambil tahu dengan memberi perhatian lebih tidak kira di dalam ataupun luar kelas kerana jika betul konsep ini diamalkan sesetengah sekolah, sememangnya ia akan menyebabkan sesuatu masalah berlaku,” katanya.

Derita mangsa dera emosi – Kosmo


Derita mangsa dera emosi

TINDAKAN ibu bapa yang menghukum secara memukul menyebabkan anak-anak menjadi trauma dan tertekan. – Gambar hiasan

 

TERSEBARNYA video yang menunjukkan seorang pembantu rumah mendera bayi berusia empat bulan di Kuantan, Pahang dengan cara yang agak ‘pelik’ seolah-olah memberikan isyarat kepada kita bahawa ibu dan bapa kandung sahajalah sebagai penjaga terbaik untuk setiap kanak-kanak.

Bagaimanapun, dalam rutin hidup kita hari ini, ia menjadi hal yang sangat mustahil, terutamanya bagi mereka yang hidup di kota besar. Suami dan isteri perlu bekerja kerana itu sahajalah cara untuk menyara kehidupan berkeluarga dengan lebih selesa.

Sebenarnya, kisah pembantu rumah atau penjaga bayi yang terlibat dengan penderaan berlaku di seluruh dunia. Kisah yang mungkin boleh dianggap ‘aneh’ adalah penderaan yang dilakukan oleh seorang wanita di pusat jagaan kanak-kanak di Plymouth, United Kingdom sekitar tahun 2008 hingga 2009.

Kepuasan yang gila

Vanessa George, seorang penjaga bayi dikatakan mendera sama ada secara seksual atau fizikal terhadap 30 kanak-kanak di pusat jagaan Little Ted’s.

Menjadi lebih aneh, perbuatan itu memberi Vanessa satu kepuasan. Dia malah merakamkan gambar kanak-kanak tadi untuk dikongsikan dengan seorang lelaki, Colin Blanchard, yang tinggal di kawasan yang lain.

Peliknya, mereka mempunyai kesukaan yang sama. Mereka berkongsi gambar kanak-kanak yang sedang didera melalui e-mel atau sistem pesanan ringkas. Perlakuan seumpama ini biasanya dilakukan oleh manusia yang tidak normal.

Bagaimanapun, realitinya semakin ramai manusia normal yang sebenarnya sedang mendera anak-anak mereka tanpa disedari. Ia mungkin bukan dalam bentuk penderaan fizikal atau seksual seperti yang sering dilaporkan.

Penderaan fizikal mudah dikesan dengan melihat kepada perubahan fizikal. Namun, apabila ada anak-anak yang diabaikan atau diancam emosinya, ia juga bentuk penderaan. Ia hal yang selalu terjadi walaupun tidak ramai yang menyedarinya.

KAUNSELING merupakan langkah terbaik supaya kanak-kanak tidak mengalami trauma yang serius. – Gambar hiasan

 

Ingat, kanak-kanak tidak boleh dilayan seperti manusia dewasa. Tidak memberikan kasih sayang, menghina mereka dengan kata-kata yang kesat, memperkecilkan keupayaan mereka atau apa sahaja tindakan yang menyebabkan kanak-kanak berasa terganggu emosi juga penderaan.

Tindakan-tindakan seperti itu biasanya akan menjejaskan mereka untuk membesar bagi menjadi individu yang sempurna.

Penderaan psikologikal itu mungkin sesuatu yang sangat sukar untuk difahami. Dalam konteks budaya kita, anak-anak diminta patuh sepenuhnya pada setiap yang dikatakan oleh ibu bapa.

Tatkala anak-anak tidak dibenarkan meninggi suara terhadap orang tua, malang sekali tiada pula halangan untuk ibu bapa menengking atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada anak-anak.

Tidak mempersoalkan

Dalam keadaan tertentu, ada ibu bapa yang mengeluarkan kata-kata seperti ‘anak haram’ kepada anak mereka sendiri. Oleh kerana anak-anak kecil itu tidak mampu mempersoalkan perkara yang dilakukan terhadap mereka, adakalanya ibu bapa merasakan boleh melakukan apa sahaja.

PENDERAAN datang dalam pelbagai bentuk sama ada fizikal, mental, emosi atau seksual.- Gambar hiasan

 

Bagaimanapun, harus diingat dalam menghukum kesalahan anak-anak, ada hukuman yang mungkin boleh menjejaskan perkembangan diri mereka. Hukuman seperti tidak memberikan makanan, membiarkan mereka kesejukan di bilik air atau meninggalkan anak-anak di rumah bersendirian adalah bentuk penderaan yang patut dihindarkan.

Walaupun kita mungkin tidak bermaksud untuk mendera kanak-kanak, tetapi ia boleh ditafsirkan sebagai ‘pengabaian’ yang sebenarnya juga merupakan penderaan.

Pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga, perceraian atau kesulitan ekonomi biasanya sering berdepan dengan masalah seperti ini.

Walaupun tidak melakukan sebarang tindakan yang mencederakan kanak-kanak secara fizikal, tetapi emosi anak-anak telah terjejas dengan teruknya.

Lebih buruk, kita mungkin sedang membesarkan anak-anak menjadi manusia yang bakal menjadi manusia yang buruk perilakunya.

Kajian-kajian sejauh ini menunjukkan bahawa anak-anak yang mengalami masalah seumpama ini biasanya menjadi manusia bermasalah pada kemudian hari.

Child Welfare Information Gateway pada tahun 2008 melaporkan bahawa kanak-kanak yang didera adalah 11 kali ganda berpeluang untuk ditangkap kerana salah laku juvana, 2.7 kali ditahan kerana kesalahan berkait keganasan ketika dewasa dan 3.1 kali berpotensi untuk terlibat dengan jenayah.

Semua ini adalah petunjuk bahawa apa yang dilakukan oleh manusia dewasa terhadap kanak-kanak bakal membentuk mereka sama ada menjadi manusia berjaya atau durjana.

Anak-anak ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkannya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0222&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2LbfJNQHl
Hakcipta terpelihara

‘Baik tumpu tugas’ – Metro


‘Baik tumpu tugas’

 2  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: “Tidak ada sebab kakitangan kerajaan mahu menukar kerajaan sedia ada kepada yang kita tak tahu lagi, ini bukan boleh cuba-cuba, takut yang 18 permohonan CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam) yang sedia (ada) hilang macam itu saja.”

Itu reaksi Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman ketika ditanya jaminan pihaknya bahawa 1.4 juta penjawat awam dan 500,000 pesara akan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan mana-mana kakitangan kerajaan yang ingin aktif dengan kegiatan politik supaya mematuhi Pekeliling yang melarang mereka berbuat demikian dalam waktu bekerja.

 

“Apapun, lebih baik untuk penjawat awam menumpukan perhatian terhadap tugas mereka selain berpolitik. “Kita sudah tandatangan aku janji, jadi lebih baik tumpu agenda penjawat awam, kalau nak berpolitik juga pergi sana-sini mesti minta kebenaran ketua jabatan, jangan berpolitik pada waktu pejabat, bocorkan rahsia kerajaan kerana ini tak baik,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Merintih sakit di pangkuan abah – Metro


Merintih sakit di pangkuan abah

 0  0 Google +0  0  0

Gua Musang: “Sakit abah, sakit,” rintih pelajar 14 tahun kepada bapanya sebelum meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 45.7 Jalan Gua Musang – Kuala Krai, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, Mohamad Shaffiq Ikhwan, 14, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Paloh 2 meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Kesihatan Bandar Ciku, dekat sini, akibat cedera parah di badan.
Kemalangan berlaku apabila Mohd Shaffiq yang menunggang motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, Mohd Hafiz Faadzil, 16, terbabas memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta Proton Persona yang dalam perjalanan dari Ketereh, Kota Bharu ke Puchong, Selangor.

 

Mohd Hafiz cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Kuala Krai, manakala pemandu dan tiga penumpang kereta itu tidak cedera.
Mayat Mohamad Shaffiq yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam RKT KESEDAR Paloh 2 pagi semalam.
Bapa Mohd Shaffiq, Zulkifli Daud, 49, dia berjumpa anaknya 10 minit di simpang tiga RKT KESEDAR Paloh 2 kira-kira 10 minit sebelum kemalangan.

 

Menurutnya, anaknya tidak memaklumkan hendak ke mana dan melihat anaknya itu menunggang motosikal bersama rakan ke arah Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
“Saya seperti tidak percaya kerana selepas 10 minit bertemunya, seorang rakan menghubungi saya memberitahu anak kemalangan. Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dia terbaring di tepi jalan raya.

 

“Pilu hati kerana ketika memeluknya dia merintih sakit berulang kali. Selepas 20 minit dibawa ke Pusat Kesihatan Bandar Ciku, dia meninggal dunia di depan saya,” katanya Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Geram habis – Metro


Geram habis

 3561  79 Google +0  0  1

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Seorang suspek kes rogol menerima perintah tahanan reman ke atasnya dalam keadaan koma dan terlantar di katil hospital selepas dia parah akibat dibelasah keluarga mangsa.

Lelaki berusia 28 tahun itu disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang meminta perlindungan di rumahnya di Bukit Puchong, di sini, kelmarin.

Difahamkan, lelaki terbabit (suspek) dikejarkan ke HKL jam 9 malam, selepas dibelasah sekumpulan antara tiga hingga lima lelaki dipercayai keluarga remaja perempuan yang dirogolnya itu ketika suspek berada di Setapak.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata akibat kejadian itu suspek cedera parah di kepala, selain empat tulang rusuk kanannya patah dan kini dilaporkan koma di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

FotoSUSPEK kes rogol terlantar di hospital.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Tiada penganiayaan penjawat awam terlibat politik – Utusan


Tiada penganiayaan penjawat awam terlibat politik

MUHYIDDIN Yassin bertanya sesuatu kepada Omar Osman ketika melawat tapak pameran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sempena Majlis Perjumpaan Khas Bersama CUEPACS di Dewan CIDB, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan tidak akan bertindak sewenang-wenang ke atas para penjawat awam yang dilapor melanggar etika bekerja semasa aktif berpolitik bagi memastikan tiada penganiayaan ke atas mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, demi keadilan, lembaga tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneliti segala laporan mengenai sesuatu aduan berdasarkan maklumat tepat dan lengkap.

Katanya, jabatan itu juga akan melakukan siasatan menyeluruh ke atas sesuatu aduan melibatkan penjawat awam yang berpolitik, tanpa menerima bulat-bulat laporan yang dikemukakan pihak tertentu.

“Sudah ada pekeliling yang dikeluarkan JPA yang membenarkan pekerja sektor awam terlibat dalam politik. Soal pertama, adakah yang terlibat itu dapat kelulusan atau tidak atau adakah buat sesuatu dalam jadual waktu kerja atau tak.

“Kita akan bertindak atas dasar maklumat tepat dan tidak boleh hanya bertindak atas dasar orang itu kata begitu begini kerana kalau disiasat sebenarnya mereka tidak buat. Jadi perlu ada perlu ada asas keadilan dalam tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta dalam sesi dialog sempena Majlis Perjumpaan Khas Bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd. Ali dan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Dalam pada itu, Farida memberitahu, JPA sentiasa membuat pemantauan berterusan ke atas aduan serta aktiviti penjawat awam yang terlibat dalam politik bagi memastikan mereka tidak melampaui batas.

“Mesti ada bukti, saksi, di mana, waktunya serta sudah tentu tidak boleh aktif masa pejabat dan kalau waktu pejabat, kena dengan izin ketua jabatan tapi biasanya dia akur lepas waktu pejabat,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130222/dn_03/Tiada-penganiayaan-penjawat-awam-terlibat-politik#ixzz2Lba7F27V
© Utusan Melayu (M) Bhd

LHDN hantar borang penyata cukai taksiran 2012 – Bernama


LHDN hantar borang penyata cukai taksiran 2012

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sedang dalam proses menghantar Borang Penyata Cukai Pendapatan (ITRF) bagi kategori E, BE, B, M, P, TP, TF dan TJ bagi Tahun Taksiran 2012 kepada pembayar cukai yang meraih pendapatan daripada perniagaan dan/atau pendapatan lain.

Bagaimanapun, Lembaga itu tidak akan mengeluarkan ITRF bagi Tahun Taksiran 2012 kepada pembayar cukai yang sebelum ini mengemukakan borang melalui e-Filing (termasuk m-Filing).

Pembayar cukai boleh terus menggunakan perkhidmatan e-Filing untuk mengemukakan ITRF mereka bagi Tahun Taksiran 2012 mulai 1 Mac, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tarikh tutup untuk mengemukakan ITRF bagi Tahun Taksiran 2012 ialah: 31 Mac, 2013 bagi majikan; 30 April, 2013 bagi mereka yang tidak menjalan perniagaan, dan 30 Jun, 2013 bagi mereka yang menjalankan perniagaan.

Ia berkata e-Filing ialah perkhidmatan percuma yang disediakan oleh LHDN yang membolehkan pembayar cukai melengkapkan, mengira dan mengemukakan ITRF mereka secara elektronik melalui Internet. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130222/dn_21/LHDN-hantar-borang-penyata-cukai-taksiran-2012#ixzz2LbZdyK2c
© Utusan Melayu (M) Bhd