Peruntukan RM15 Juta Baik Pulih Sekolah, Bina Pusat Sukan Di Pensiangan – Bernama


Peruntukan RM15 Juta Baik Pulih Sekolah, Bina Pusat Sukan Di Pensiangan

PENSIANGAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi membaik pulih sekolah-sekolah dan RM5 juta bagi pembinaan sebuah pusat riadah dan sukan di daerah Pensiangan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ketika mengumumkan peruntukan itu, berkata kerajaan amat prihatin dengan kebajikan pelajar di luar bandar termasuk di Pensiangan yang mempunyai generasi muda yang ramai.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga ada kelemahan tetapi kita akan cuba memperbaiki kelemahan kita sebaik mungkin.

“Misalnya sekolah. Saya difahamkan di Pensiangan ada banyak sekolah. Sekolah yang (keadaannya) baik dan ada juga sekolah yang mempunyai kerosakan, sebab itu kita bagi peruntukan untuk memperbaiki…yang penting kita jangan abaikan, mesti perbetulkan (kelemahan),” katanya pada Majlis Bersama Rakyat Pensiangan di Nabawan di sini Sabtu.

Beliau berharap rakyat akan terus menyokong BN sebagai kerajaan bagi membolehkan lebih banyak bantuan dapat disalurkan.

Beliau berkata antara bantuan kerajaan yang akan diteruskan jika rakyat terus memberi mandat kepada BN ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kalau tak sokong BN, maka tak ada lagi BR1M. Ini umpama tolak rezeki. Lebih banyak kita (kerajaan) beri bantuan, rezeki pun makin bertambah. Jadi kita dapat beri banyak bantuan lagi.”

Muhyiddin juga meminta rakyat supaya tidak berkira siapa calon BN yang akan diletakkan bertanding pada pilihan raya umum nanti kerana menurutnya semua calon BN merupakan calon yang boleh menang dan mampu melaksanakan tugas untuk rakyat. BERNAMA

Bahasa Inggeris Subjek Wajib Lulus SPM – mStar


Bahasa Inggeris Subjek Wajib Lulus SPM

Oleh STEPHANIE LEE

KOTA KINABALU: Bahasa Inggeris ditetapkan sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila pelajar dan tenaga pengajar sudah bersedia, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sementara bersedia untuk melaksanakannya, ibu bapa, guru dan pelajar harus bekerjasama untuk memperbaiki kualiti Bahasa Inggeris di negara ini.

Menurut beliau, walaupun sistem pendidikan di negara ini dianggap baik, lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk mengangkat ia supaya setanding dengan negara lain.

“Kita harus berusaha dengan menjadikan sistem pendidikan di mana daya saing berada pada kelas dunia,” katanya selepas melancarkan Jelajah Guru Muda 1Malaysia di sini, Sabtu.

Beliau berkata, pendidikan antara penyumbang utama kepada pembangunan negara dan kualiti pembangunan modal insan manakala para guru memainkan peranan penting dalam memastikan matlamat direalisasikan.

“Ini suatu tugas yang amat penting yang dipikul oleh guru-guru. Sebab itu, kita mahu supaya peranan yang dipikul itu terus dipertingkatkan, diperkukuhkan lagi dan diperkuatkan lagi agar cita-cita kita untuk melahirkan atau generasi yang masyarakt Malaysia yang terdidik akan tercapai.

“Ini kerana dalam tempoh tinggal tujuh tahun lagi kita akan masuk dalam ambang penting dalam sejarah pembangunan negara iaitu menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri,” katanya.

Muhyiddin berkata meskipun bukan perkara mudah tetapi akan menjadi lebih mudah kalau ditanam iltizam, kesanggupan untuk memikul apa sahaja tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Guru tidak seperti penjawat awam yang lain, guru adalah kumpulan profesional kerana penjawat awam hanya menggunakan ilmu untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan, tetapi guru menggunakan ilmu dan menurunkan ilmu kepada anak bangsa agar berjaya menghadapi masa depan yang lebih baik khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar, penduduknya tidak berapa ramai tapi bertaburan di seluruh negeri dan tentunya perlukan suatu usaha yang lebih.

“Kalau di Semenanjung kita biasa ke sekolah untuk mendidik anak-anak dan tidak banyak halangan dan rintangan tetapi di Sabah dan Sarawak, guru-guru adalah guru-guru yang cekal dan berani, sanggup mengharungi sungai, jalan-jalan yang jauh berbatu-batu, berjam-jam lamanya dalam keadaan yang agak luar biasa,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (2013-2025) dalam tiga gelombang dalam usaha meningkatkan daya saing negara ini dalam arena pendidikan.

“Apa yang kita akan lalui adalah suatu yang agak luar biasa. Banyak negara mencuba menjadi negara berjaya dalam bidang pendidikan tapi sebahagian kecil sahaja yang mampu mencapai, sebahagian besarnya gagal.

“Tetapi kita mengambil satu langkah berani kerana bagi kita tiada yang mustahil. Kalau Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju, cemerlang dan hebat mahu bertanding sehingga ke peringkat antarabangsa setanding dengan negara gergasi dunia, maka sistem kita mesti sistem yang terbaik,” katanya.

Kerajaan kaji BI sebagai wajib lulus di peringkat SPM – Utusan


Kerajaan kaji BI sebagai wajib lulus di peringkat SPM

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

KOTA KINABALU 23 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengkaji untuk menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian dalam ucapan sempena himpunan Guru Muda 1Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130223/dn_24/Kerajaan-kaji-BI-sebagai-wajib-lulus-di-peringkat-SPM#ixzz2LitDXLFM
© Utusan Melayu (M) Bhd

SMK Seri Titiwangsa sedia rampas Piala Sumbangsih – Sinar Harian


SMK Seri Titiwangsa sedia rampas Piala Sumbangsih

23 Februari 2013
SMK Seri Titiwangsa sedia rampas Piala Sumbangsih
Dari kiri: Ketua Jurulatih SMK Tunku Anum, Basirol Abu Bakar; Muhammad Zhafir; Penolong Pengarah Bahagian Sukan, KPM, Harmiles Daramin; Muhammad Shuaib dan Jurulatih SMK Seri Ti

BERBEKALKAN kekuatan dan persediaan rapi pasukan, kapten SMK Seri Titiwangsa, Muhammad Shuaib Mohamad percaya, trofi Piala Sumbangsih mampu digenggam.

Bertemu juara bertahan Liga Kementerian Pelajaran (KPM), SMK Tunku Anum hari ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Muhammad Shuaib, akui pertemuan malam nanti pasti sukar.

“Tiada perlawanan yang mudah. Namun dengan persediaan pasukan dan kerja keras, kami mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain.

“Namun, beraksi di laman sendiri memberi kami banyak  kelebihan dalam usaha menyekat kemaraan lawan,” katanya.

Manakala Kapten SMK Tunku Anum,  Muhammad Zhafir Mohd Yusoff berkata, selaku juara liga musim lalu, pasti pasukan lain akan memberi tentangan sengit bagi mencabar kejuaraan musim ini.

“Apa pun, perlawanan malam nanti merupakan aksi pembukaan dan kami mahu mulakan dengan kejuaraan pertama.

“Kami tidak akan biarkan ia terlepas sekali lagi, memandangkan tahun lalu kami gagal mendapatkannya apabila tewas kepada SMK Seberang Temerloh,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Liga KPM musim ini dimulakan dengan format baru sejajar dengan peraturan yang diguna pakai Persatuan Bola Sepak Malaysia, bagi memastikan liga berlangsung lebih kompetitif.

Berdasarkan format baru, pasukan dengan ranking terbaik akan beraksi dalam Liga Super KPM, manakala selebihnya akan bertarung di Liga Perdana KPM.

Cuepacs: ‘Jangan dihabis 8 jam kerja dengan berpolitik’ – Sinar Harian


Cuepacs: ‘Jangan dihabis 8 jam kerja dengan berpolitik’

NIZAM ZAIN
23 Februari 2013
Presiden Cuepacs, Omar Osman
$entry.content.caption.value

SHAH ALAM – “Kita tak mahu kakitangan awam bekerja lapan jam sehari dihabiskan dengan politik.”

Demikan menurut Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman.

Omar mengingatkan penjawat awam supaya tidak mengkhianati akujanji yang telah dibuat sebelum pelantikan mereka, malah menjadi tanggungjawab untuk merahsiakannya daripada pengetahuan umum.

“Kalau dia nak cerita hal lain tak apa, asalkan akujanji mereka simpan maklumat dan rahsia kerajaan tidak didedah kepada umum.

“… kita tak fokus parti mana pun untuk berpolitik, kalau boleh biarlah penjawat awam sokong kerajaan, tak boleh laporkan rahsia kerajaan kepada pihak lain,” katanya yang dihubungi Sinar Harian Online.

Omar juga memberi amaran supaya penjawat awam yang ingin berpolitik agar tidak memburuk-burukkan kerajaan dan menghentam pemimpin negara sepanjang waktu bekerja di pejabat.

Sikap tidak bertanggungjawab itu kata beliau, perlu dielakkan kerana khuatir menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

“Kalau cerita kata kerajaan tak betul dan sebagainya, itu tidak patut dilakukan.

“… kerajaan bayar gaji mereka, tak adil jika penjawat awam memburuk-burukkan kerajaan.

“… kita tak mahu kakitangan awam bekerja lapan jam sehari dihabiskan dengan politik,” tegasnya.

Beliau mengingatkan penjawat awam supaya membantu kerajaan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah.

Omar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin tang memberi amaran kepada penjawat awam yang terbabit dengan kegiatan politik tanpa kebenaran daripada ketua jabatan ataupun berpolitik dalam waktu kerja boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan pekeliling yang membenarkan kumpulan pelaksana iaitu dari Gred 1 hingga Gred 40 terbabit dalam politik tetapi perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, antaranya mesti mendapat kebenaran daripada ketua jabatan dan berpolitik selepas waktu pejabat.

Dalam pada itu, bekas Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani menggesa penjawat awam yang berhasrat untuk menceburi bidang politik supaya meletakkan jawatan bagi memastikan tanggungjawab mereka kepada negara tidak terabai.

Muhammad menegaskan, sekiranya kakitangan kerajaan benar-benar serius dalam politik, mereka sepatutnya tidak mencampuradukkan antara tugasan dan politik yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan jentera kerajaan berfungsi dengan baik sekali dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kalau mereka nak bermain politik, mereka patut letak jawatan dan tumpu kepada politik, melainkan mereka boleh membahagikan masa yang sesuai.

“… sekiranya mereka berminat dalam politik, sewajarnya mereka meminta kebenaran daripada ketua jabatan itu sendiri, dia tak boleh berpolitik merata-rata dan ambil kesempatan,” katanya lagi.

Tambah Muhammad, beliau mendapati ramai penjawat awam yang terlibat dalam politik bukannya secara serius, sebaliknya sebagai ejen propaganda parti politik tertentu yang berperanan menghasut generasi muda dan memburuk-buruk kerajaan serta pemimpin negara.

Beliau kesal apabila terdapat segelintir guru di sekolah yang mengambil kesempatan terhadap pelajarnya dengan menyebarkan dakyah pembangkang, sekali gus boleh merosakkan minda generasi muda.

“Saya bersetuju (ambil tindakan) dan kita tertanya-tanya dari dulu lagi penjawat awam yang menjalankan kegiatan politik semasa bertugas.

“… ada guru mempengaruhi murid-murid supaya memberi sokongan kepada parti-parti tertentu, memburuk-burukkan kerajaan, jadi ia merosakkan minda generasi muda, ini satu perbuatan yang tidak baik.

“… mereka itu bukan minat menjadi pemimpin politik pun, tetapi dia berminat untuk memburuk-burukkan atau menghasut murid-murid,” tegasnya sambil menyifatkan penjawat awam yang terlibat dalam politik tidak menguntungkan, sebaliknya merugikan rakyat.

SISTEM PENGURUSAN LATIHAN GURU (eSPLG)


SISTEM PENGURUSAN LATIHAN GURU (eSPLG)

 

Penambah Baikan Proses Pengesahan ePROFIL
Tarikh Notis :22/2/2013
Pihak Admin telah membuat penambahbaikan bagi modul Pengeshan data- data eprofil menerusi modul SULDP

Pengguna kini boleh membuat carian dan filter berdasarkan NoKp, Nama, Gred Gaji, jawatan dan status pengesahan. pengguna juga boleh membatalkan pengesahan yang telah dilakukan.

Selamat Mencuba

Maklumat lanjut lawat http://apps1.moe.gov.my/splg/

Dedah pelajar kepada isu pengguna – Kosmo


Dedah pelajar kepada isu pengguna

BERA – Program celik kesedaran mengenai hak kepenggunaan untuk golongan kanak-kanak, Kids@Kepenggunaan, diteruskan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar 32 di sini bakal menjadi tuan rumah dalam majlis yang akan berlangsung esok.

Program itu yang akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 9.30 pagi dijangka menarik penyertaan lebih 1,000 pelajar.

Pengurus program, Leny Harlina Agus Sharif berkata, Kid@Kepenggunaan menggunakan pendekatan santai dan informatif sebagai pemangkin kepada pendidikan kepenggunaan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Matlamat utama program ini diadakan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna mendapat pembelaan jika ditipu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Program Kids@Kepenggunaan merupakan kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pelajaran.

Leny berkata, program itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti kuiz, ceramah kepenggunaan serta nasihat dan perkongsian pengalaman daripada artis-artis jemputan iaitu Dafi, Fauziah Gambus dan Zoey.

“Mereka bukan sahaja akan menghiburkan peserta program tetapi juga berkongsi pengalaman mengenai cetak rompak,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_15.htm#ixzz2LgI0nc9U
Hakcipta terpelihara

17 tahun terbaring – Metro


17 tahun terbaring

 0  0 Google +0  0  0

Usianya sudah 17 tahun dan layak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun disebabkan kecacatan fizikal sehingga badan menjadi bengkok manakala kedua kaki kurus seperti lidi mengakibatkan Mohd Azrul Abd Rahim, 17, hanya terlantar di atas tilam.

Ini kerana Mohd Azrul atau lebih mesra dengan panggilan Abang Ngah, anak kedua daripada empat beradik itu tidak dapat berdiri dengan stabil berikutan tulang belakang yang bengkok manakala kedudukan tapak kaki seperti terseliuh.
Bapanya Abd Rahim Abu Saad, 46, berkata, nasib malang menimpa Mohd Azrul berlaku selepas lapan hari dilahirkan isterinya Faizah Md Isa, 38.

 

“Selepas lapan hari dilahirkan, perubahan pada badan anak saya dapat dilihat sedikit demi sedikit sebelum jururawat memaklumkan dia dipercayai diserang demam kuning berikutan perubahan warna kulit menjadi kekuningan serta pucat.
“Terkejut dengan perubahan itu, saya kemudian membawanya ke Hospital Bandar Jengka (HBJ), Maran, sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Lepar Utara 1, semalam.
Menurutnya, disebabkan penyakit berkenaan berlarutan, anaknya terpaksa menerima rawatan selama sebulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAA.

 

Bagaimanapun, katanya, dia dan isteri reda dan menerima hakikat anak mereka terpaksa meneruskan kehidupan dengan hanya terbaring seumur hidup selain bisu.
Abd Rahim berkata, dia bersama isterinya tidak pernah terlintas di fikiran untuk menghantar anaknya ke mana-mana pusat jagaan kerana tidak sanggup berpisah selain menganggap Mohd Azrul adalah anugerah tidak ternilai.

 

“Saya bersama isteri tiada masalah menjaganya kerana kami bergilir. Ketika saya keluar bekerja isteri jaga dan sebelah malam giliran saya,” katanya yang bertugas sebagai polis bantuan di FELDA berkenaan.
Katanya, apa yang menjadi masalah, dia tidak mampu membeli kerusi roda yang boleh diubahsuai di tempat duduk memandangkan anaknya hanya boleh berbaring saja.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Prihatin pendidikan rakyat – Metro


Prihatin pendidikan rakyat

 0  0 Google +0  0  0

Masalah kesesakan lebih 2,000 pelajar sekolah rendah dan menengah yang menghantui penduduk Kota Kemuning sejak 10 tahun lalu dijangka berakhir dengan cadangan pembinaan tiga sekolah baru.

Projek dianggarkan bernilai RM45 juta itu membabitkan pembinaan sebuah sekolah baru iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning 2 dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khe Beng dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa bagi menampung pertambahan jumlah pelajar sekitar Kota Kemuning.
Parlimen Kota Raja mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sri Andalas dan Sri Muda dengan jumlah undi keseluruhan 104,134 orang terdiri tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

 

Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Raja Kamaruzzaman Johari berkata, beliau menerima pelbagai rungutan dan bantahan daripada ibu bapa akibat kesukaran mendapat tempat di sekolah kawasan itu kerana mereka enggan mendaftar anak di sekolah berdekatan yang dikatakan terlampau sesak.
Menurutnya, isu seperti kesesakan sekolah, masalah diajukan ibu bapa berkenaan perlu diambil kira atas beberapa faktor seperti pengangkutan dan jarak ke sekolah yang begitu jauh.
Katanya, menyedari hakikat itu, Kerajaan Pusat yang diterajui BN begitu prihatin membantu masyarakat yang memandang pendidikan sebagai tonggak utama untuk mencapai kejayaan.

 

Selaku Ahli Jawatankuasa Pendidikan UMNO Selangor beliau berkata, pembinaan beberapa sekolah baru itu dilihat satu pendekatan seimbang dalam melahirkan modal insan berilmu pengetahuan.
Selain masalah pendidikan, beliau berkata, masalah banjir kilat yang sering melanda tiga kawasan iaitu Johan Setia, Jalan Kebun dan Sri Muda setiap kali hujan lebat memaksa penduduk menghabiskan wang yang banyak untuk membaiki kediaman.

 

Katanya, masalah itu turut menimbulkan kebimbangan penduduk yang berasa seperti dianaktirikan kerajaan negeri apabila hanya menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang menyokong mereka saja.
Kamaruzzaman berkata, sebagai parti yang prihatin, BN Kota Raja mengambil inisiatif mengemukakan beberapa manifesto baru khusus bagi kawasan Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
“Walaupun tewas kerusi Parlimen ini pada Pilihan Raya Umum 2008, BN dan UMNO Bahagian Kota Raja sentiasa berjuang membela nasib rakyat yang mendakwa ditindas dengan janji palsu pembangkang.
“Kami menerima banyak rungutan daripada penduduk yang berasa ditipu dengan janji pembangkang. Jadi, bagi menyelesaikan masalah ini, kami mengusulkan dana bagi pembinaan sekolah baru serta mengatasi masalah banjir dari kerajaan Pusat,” katanya.
Menurutnya, bagi membantu mengatasi mangsa banjir yang tertindas akibat tidak menerima bantuan kerajaan negeri, beliau menyediakan pelan jangka pendek dan jangka panjang.
“Selain itu, komitmen diberikan setiap ahli parti komponen BN ialah bergotong-royong membaiki bumbung, lantai dan dinding rumah rosak menunjukkan kami begitu komited memastikan kehidupan rakyat terjamin. Inisiatif kerajaan memberikan rumah baru kepada golongan miskin di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) juga mampu mengurangkan masalah gelandangan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Terpaksa tidur berhimpit – Metro


Terpaksa tidur berhimpit

 0  0 Google +0  0  0

Berhimpit dalam satu bilik kecil dan tidur beralaskan tilam nipis menjadi kebiasaan bagi penghuni Rumah Amal Nur Murni (RANM) di Batu Kawa dan Taman Juta Ria, di sini.

Ketiadaan peruntukan mencukupi untuk memberi keselesaan kepada penghuninya menyebabkan mereka terpaksa hidup dalam kesederhanaan kerana keutamaan diberikan kepada perbelanjaan pendidikan.
RANM menempatkan 23 penghuni perempuan dan 16 lelaki berusia lingkungan tiga hingga 17 tahun yang terdiri daripada anak miskin tegar, asnaf zakat, anak yatim, ibu tunggal serta golongan yang memerlukan.

 

Pengurusnya Kamariah Ambo berkata, RANM mula beroperasi pada awal 2009 dan didaftarkan atas nama Pusat Jagaan Nur Murni pada 2010.
Katanya, ketika ini mereka dalam proses akhir mendaftarkan rumah kebajikan itu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapat bantuan daripada kerajaan.
“Kami memerlukan perbelanjaan RM19,000 sebulan untuk membiayai perbelanjaan penginapan, bil utiliti, sekolah, kesihatan, pengangkutan dan lain-lain.

 

“Setiap bulan kami terpaksa berjimat bagi memastikan wang sumbangan orang perseorangan yang diterima mencukupi untuk perbelanjaan terutama berkaitan pendidikan penghuni,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Katanya, dia bersyukur kerana ada individu yang bermurah hati membayar sewa rumah, tetapi hal lain yang membebankan ialah kos pengangkutan pelajar daripada asrama lelaki ke sekolah di Stapok.

 

“Keperluan diberikan kepada pendidikan, manakala keperluan lain seperti kemudahan asas sememangnya mengharapkan bantuan daripada orang ramai yang bersimpati.
“Asrama perempuan kami di Taman Green Field, Batu Kawa agak padat kerana menempatkan 23 penghuni dalam satu rumah, katil yang disediakan tidak mencukupi. Ada antaranya terpaksa tidur di lantai beralaskan tilam nipis, manakala yang bernasib baik dapat tidur atas katil yang usang,” katanya.
Katanya, mereka mengalu-alukan dermawan beramal dengan memberikan bantuan kepada anak yatim menerusi akaun Bank Muamalat 1101 0001 760 712.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23