‘Tukar imej sekolah jadi medium pupuk persefahaman’ – Metro


‘Tukar imej sekolah jadi medium pupuk persefahaman’

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Pihak sekolah diminta menukar imej supaya dapat dilihat sebagai tempat memupuk persefahaman dan muafakat antara ibu bapa dan ahli masyarakat, sekali gus melengkapi keperluan serta kepentingan murid.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, imej sekolah yang selama ini dilihat sebagai kepunyaan guru dan murid semata-mata perlu ditukar bagi menarik minat ibu bapa dan masyarakat bekerjasama dengan sekolah.
“Sebagaimana termaktub dalam Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak kita adalah menerusi kerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

 

“Inisiatif ini membabitkan kepentingan dan masa depan lebih 5.4 juta murid seluruh negara dan anggaran murid yang terbabit bagi tempoh 12 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong di Majlis Pelancaran Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.
Dokumen Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah itu dilancar sebagai inisiatif kebangsaan untuk menyatukan setiap pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat bagi melahirkan modal insan berkualiti untuk masa depan negara.
Majlis pelancarannya dihadiri wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan, pihak swasta dan pemimpin masyarakat setempat dari seluruh negara.

 

Ia mengetengahkan tema ‘Anak Nadi Aspirasi Kita-Pendidikan Anak Tanggungjawab Bersama’.
Menjelas lanjut, Muhyiddin berkata, Sarana Ibu Bapa bukan saja memberi fokus kepada peranan ibu bapa dalam pendidikan, malah turut menekankan kepentingan interaksi sosial dengan anak bagi mengeratkan hubungan.

 

“Kita menjadikan kajian OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) sebagai asas penyediaan sarana ini. Dapatan OECD ini tidak menghairankan kerana jika kita teliti satu persatu, setiap aspek yang disenaraikan memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada anak-anak.
“Sebagai ibu bapa, kita seharusnya menyedari keperluan dan kemudahan anak-anak belajar dalam keadaan yang selesa di rumah,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu juga digalak menyumbangkan idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada pihak sekolah.
“Bagi Sarana Sekolah pula, kita menekankan kepentingan peranan PIBG dalam menggerakkan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB). Ini kerana, di sekolah negara maju, ibu bapa menjadi penggerak utama untuk melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah.
“Begitupun, semua usaha ini tidak akan sempurna jika hanya membabitkan ibu bapa, sekolah dan masyarakat…sebab itu semua kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta perlu memainkan peranan bersesuaian terutama dalam aspek pembangunan kemanusiaan, kemahiran keibubapaan, kesihatan mental dan fizikal dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s