Wee: Kementerian Pelajaran rancang adakan program pemakanan atasi obesiti – Bernama


Wee: Kementerian Pelajaran rancang adakan program pemakanan atasi obesiti

27 Februari 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran akan mengadakan beberapa program membabitkan kaunselor pemakanan, ibu bapa dan pelajar bagi mengekang masalah obesiti dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu bagi melibatkan ibu bapa dalam memantau pemakanan anak-anak mereka selain memastikan Indeks Jisim Badan (BMI) anak terbabit berada pada tahap ideal.

“Tanggungjawab memantau pemakanan dan BMI para pelajar bukan hanya patut dipikul oleh kementerian dan para guru namun ibu bapa juga perlu turut sama membantu.

“Jika pemakanan mereka hanya dipantau bila mereka di sekolah tapi tidak dipantau apabila berada dengan ibu bapa, usaha kami untuk mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar tidak akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) MSSM-MILO 2012, di sini, hari ini.

Kata Wee kementerian itu melaksanakan beberapa program seperti 1Murid 1Sukan yang menggalakkan pelajar menyertai aktiviti sukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu, sekali gus memberi peluang mengurangkan masalah berat badan berlebihan.

Katanya bermula tahun ini juga kementerian akan menganjurkan program pemeriksaan kesihatan dua kali setahun bagi menggalakkan BMI para pelajar kekal pada tahap yang baik bermula dari usia muda.

Ditanya mengenai keberkesanan program 1Murid 1Sukan,  Wee berkata, program itu mendapat respons yang baik dan penganjuran acara sukan di sekolah juga semakin meningkat  berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Kerajaan negeri juga memberi respons yang baik dan ada yang mahu kerajaan menubuhkan lebih banyak sekolah sukan negeri (SSN).

Pada majlis hari ini, atlet Sukan Olimpik 2012 bagi acara terjun 10 meter platform, Traisy Vivien Tukiet menerima Anugerah Puteri, sementara pemain skuasy Ng Eain Yow, 15, menerima Anugerah Putera.

“Saya tidak menjangka akan memiliki anugerah ini dan berterima kasih kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana telah memberikan latihan yang bagus sehingga saya dapat mencapai banyak kejayaan,” kata Ng yang pernah merangkul beberapa kejuaraan termasuk Asian Junior Individual Championship dan Milo All Star International  Open.

Remaja itu juga berharap acara skuasy akan dipertandingkan pada temasya Olimpik. – Bernama

Pelajar tingkatan 3 maut akibat renjatan elektrik – Bernama


Pelajar tingkatan 3 maut akibat renjatan elektrik

27 Februari 2013

KLANG – Seorang pelajar tingkatan tiga maut akibat terkena renjatan elektrik daripada sebuah kotak kabel pembekal elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah Kapar di sini pada 1.15 tengah hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mohammad Amirul Syafiq Halim, 15, disahkan meninggal dunia ketika dibawa oleh anggota polis untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kapar di sini.

Bapa mangsa, Halim Mohd Ismail, 38, berkata beliau dimaklum mengenai kejadian itu kira-kira 1.20 tengah hari.

“Saya difahamkan anak saya berada di kawasan itu sementara menunggu bas untuk pulang ke rumah yg terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Sebaik melintasi kotak itu arwah terkena renjatan elektrik serta terhenti dan berada dalam keadaan berdiri tegak,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa merupakan anak sulung daripada empat beradik dan bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

“Arwah seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Kali terakhir saya bersembang dengannya pada 6 pagi tadi sebelum keluar pergi ke sekolah.

“Kami sekeluarga reda tapi berharap supaya pihak terbabit peka dan mengambil tindakan segera menutup kotak kabel elektrik bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Halim berkata, jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kapar petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pengurus Besar TNB Selangor, Datuk Mohd Azim Yusof ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapati berlaku vandalisme pada kotak pembekal elektrik 33 kilo Volt (kV) berkenaan.

Beliau berkata pihaknya akan membaiki segera kotak itu dan kejadian berkenaan telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Tenaga.

“Kita telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian ini malah kami tidak menerima maklumat mengenai kerosakan itu dan berharap supaya orang ramai melaporkan sekiranya berlaku perkara yang sama,” katanya.

Pengarah Pelajaran Selangor Mahmud Karim berkata, pihaknya akan meminta sekolah berkenaan memohon pondok bas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kemudahan pelajar.

“Kita harap pihak berkenaan mengambil langkah sewajarnya supaya kejadian sama tidak berulang kerana ia bukan sahaja membahayakan pelajar sekolah tetapi juga orang awam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedih dengan kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. – Bernama

Dua remaja lelaki paksa gadis bawah umur lakukan seks luar tabii – Sinar Harian


Dua remaja lelaki paksa gadis bawah umur lakukan seks luar tabii

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Februari 2013

GEORGETOWN – Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap seorang gadis bawah umur.

A Chanrasegaran, 20, dan S Sangkaran, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan  di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, Chanrasegaran dan Sangkaran dituduh dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa berusia 16 tahun tanpa kerelaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Taman Metropolitan Relau, di antara jam 12.30 tengah hari hingga 3.40 petang, pada 14 Februari lalu.

Berikutan itu,  Chanrasegaran dan Sangkaran didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Untuk pertuduhan kedua, kedua-dua lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana daripada itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap seorang tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Sitarun Nisa mengurangkan jumlah jaminan kepada RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan setelah mempertimbangkan rayuan tertuduh yang tidak mampu membayar jaminan tinggi.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Ogos ini.

Ramai ibu bapa pilih sekolah berprestasi tinggi – Bernama


Ramai ibu bapa pilih sekolah berprestasi tinggi

27 Februari 2013

SUBANG JAYA – Ramai ibu bapa percaya bahawa guru banyak bertanggungjawab terhadap prestasi anak mereka di sekolah. Bagaimanapun, ibu bapa juga gagal menerima hakikat bahawa apa yang boleh dilakukan oleh para guru adalah terhad. Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk berusaha bersama-sama dengan anak mereka bagi menambahbaik prestasi akademik mereka.

Sekolah

Terdapat 10,066 buah sekolah di Malaysia – 7,733 sekolah rendah dan 2,333 sekolah menengah, menurut Kementerian Pelajaran. Sebuah daripada sekolah menengah itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ12, sebuah sekolah menengah untuk menampung pelajar dari kawasan penempatan USJ3, USJ11, dan USJ12.

Sekolah ini menerima status kelompok pada 2011. ‘Kelompok sekolah-sekolah cemerlang’ adalah sistem merit yang dilaksanakan dalam sektor pendidikan negara ini. Status ini diberi bagi sekolah dengan pelajar yang menunjukkan prestasi tinggi, dan ia menawarkan autonomi yang lebih lagi dalam pentadbiran sekolah.

Kelas besar

Pengetua SMK USJ12, Zaharah Ishak berkata pada tahun ini, seramai 503 pelajar memasuki Tingkatan Satu dalam sekolah kelompok ini, dengan tambahan 11 kelas untuk menampung lebih ramai pelajar.

“Kami mempunyai kelas-kelas yang besar sekarang ini dan setiap kelas boleh menampung 45 pelajar. Keseluruhannya, kami mempunyai 2,203 pelajar. Sekolah ini mempunyai 11 kelas masing-masing bagi Tingkatan Satu, Dua, dan Tiga dan 12 kelas masing-masing bagi Tingkatan Empat dan Lima,” jelas Zaharah.

Sekolah kelompok ini mempunyai 111 guru untuk mendidik pelajar yang terdiri daripada semua kaum dan lapisan masyarakat.  Mengenai SMK USJ12 ini ia adalah sebuah sekolah popular dalam kalangan ramai ibu bapa, khas bagi mereka dengan anak yang akan menggorak langkah ke persekolahan menengah selepas peperiksaan UPSR.

Para pelajar sekolah ini juga berdisiplin tinggi, yang menjadi elemen penting bagi sekolah kelompok. Menurut Jabatan Pelajaran Selangor, terdapat lebih 10 sekolah kelompok (sekolah rendah dan menengah) di daerah Petaling Perdana.

Pendidikan

Tetapi mengapa pula ibu bapa memilih sekolah kelompok ini bagi anak mereka? Seorang pegawai Kementerian Pelajaran menjelaskan bahawa sekolah-sekolah Berprestasi Tinggi dalam kategori sekolah-sekolah kelompok adalah berorientasi keputusan.

Sekolah-sekolah ini mempunyai sumber yang mencukupi serta menguruskan kewangan mereka dengan baik. Kini, terdapat 153 sekolah kelompok di seluruh negara termasuk 46 sekolah
rendah dan 107 sekolah menengah terdiri daripada sekolah-sekolah berasrama dan sekolah-sekolah kebangsaan bandar dan luar bandar.

Pada keseluruhannya, 213 sekolah di seluruh negara dikenali kerana kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum, dan 60 daripadanya dalam kategori Amat Cemerlang. Kesemua sekolah ini mencapai standard ‘Band 1’ terutama berhubung program akademik dan aktiviti ko-kurikulum.

Motivasi

“Saya memberi motivasi kepada pelajar dan memastikan mereka menunjukkan pencapaian baik dalam peperiksaan. Saya akan memastikan para pelajar setiap kelas menumpukan perhatian kepada guru masing-masing, dan saya percaya dalam memotivasi pelajar,” kata penolong kanan di SMK USJ12, Datin Suhailah Abdullah.

Sekolah-sekolah dalam gred A, B dan C dan SMK USJ12 adalah sekolah kelompok gred B di Selangor. Sekolah kelompok gred B perlu mempunyai purata gred 4 (atau lebih rendah) dalam keputusan PMR, SPM, dan STPM bagi tiga tahun berturut-turut, berbanding dengan sekolah dalam kelompok gred A yang perlu mengekalkan purata gred 3 (atau bawah).

Sekolah-sekolah kelompok dalam kategori gred B kebanyakannya adalah sekolah harian, yang telah wujud sejak lebih 100 tahun. Sekolah-sekolah ini termasuk sekolah-sekolah sukan, kebangsaan, agama dan vokasional. Menurut Jabatan Pelajaran Selangor, terdapat 25 lagi sekolah kebangsaan dalam senarai untuk dijadikan sekolah kelompok.

Guru-guru

Di SMK USJ12, para guru berusaha gigih untuk memastikan pelajar menunjukkan prestasi baik. “Dalam peperiksaan PMR baru-baru ini, kami menyaksikan sebilangan besar pelajar mencatatkan gred A dalam kesemua mata pelajaran. Para guru dan pelajar telah berusaha gigih untuk menghasilkan keputusan itu. Ibu bapa pelajar ini turut menyumbang kepada kejayaan anak mereka.

“Kami sangat bangga dengan pelajar kami,” kata Zaharah, yang akan bersara tidak lama lagi. Sebenarnya, 95.12 peratus daripada pelajar SMK USJ12 berjaya lulus dalam peperiksaan PMR 2012 berbanding 92.72 peratus pada tahun sebelumnya, yang jelas membuktikan bahawa dengan berkat usaha pasti membawa kejayaan. – Bernama

Guru wanita dan nenek disamun tiga lelaki di Jerteh – Bernama


Guru wanita dan nenek disamun tiga lelaki di Jerteh

27 Februari 2013

BESUT – Tiga lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan pisau rambo melarikan wang tunai dan barangan kemas daripada seorang guru wanita dan neneknya di sebuah kedai barangan elektrik di Jerteh, di sini semalam.

Ketika kejadian pada pukul 6.20 petang itu, dua wanita berkenaan berada di kedai milik keluarga mereka apabila tiga lelaki memasuki kedai itu dan berpura-pura ingin membeli barangan elektrik.

Seorang daripada lelaki itu mengeluarkan pisau rambo dan meletakkan di leher guru wanita berkenaan dan mengarahkannya menyerahkan wang dan barangan kemas, kata sumber polis.

Beliau berkata, wanita itu menyerahkan wang hasil jualan sebanyak RM1,000 dan lelaki yang tidak berpuas hati dengan jumlah itu meragut rantai leher dan gelang tangan emas yang dipakai guru wanita itu serta sebentuk cincin emas daripada nenek wanita itu.

“Ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan kereta Proton Iswara Aeroback tanpa nombor pendaftaran ke arah Kuala Terengganu. Mangsa dilapor mengalami kerugian kira-kira RM5,000,” katanya.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan.- Bernama

Eksekutif Ditahan Kerana Disyaki Liwat Pelajar – mStar


Eksekutif Ditahan Kerana Disyaki Liwat Pelajar

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang eksekutif sebuah syarikat pada Jumaat lepas, kerana disyaki meliwat seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di sebuah hotel di Jalan Kuchai Lama di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, lelaki berusia 40 tahunitu ditahan di Lumut, Perak susulan laporan polis yang dibuat ibu bapa mangsa selepas dimaklumkan mengenai insiden yang dikatakan berlaku pada 8 Februari itu, oleh guru kaunseling sekolah anak mereka.

“Pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Brickfields itu mengenali suspek melalui laman sosial Facebook dan dipercayai terpedaya dengan ajakan lelaki itu (untuk bertemu),” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini Rabu.

Mohmad berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasatmengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat.

Katanya, suspek juga disyaki melakukan perbuatan sama terhadap tiga rakan mangsa dan polis meminta individu berkenaan tampil membuat laporan polis.

Mengulas lanjut, beliau berkata modus operandi suspek adalah mendekati mangsa dengan menghadiahkan barangan kesukaan mereka sebelum dibawa ke hotel. – BERNAMA

Penganggur liwat budak dijel 10 tahun – Metro


Penganggur liwat budak dijel 10 tahun

 0  0 Google +0  0  0

Kota Bharu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap tuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Azman Mustapa menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Mokhtar Wan Sidek, 34, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan melampaui munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.
“Selepas meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah,” katanya.

 

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan.
Mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan syarat tambahan jaminan RM7, 000 dengan seorang penjamin.
Mengikut pertuduhan, Wan Mokhtar didakwa meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun berhampiran Jambatan Sungai Rasau, Pasir Puteh pada jam 2.30 petang, 29 Jun 2011.

 

Bagi kesalahan itu, Wan Mokhtar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam bela Rosmizan Sulaiman memohon tertuduh dijatuhi hukuman minimum.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

– See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penganggurliwatbudakdijel10tahun/Article/index_html#sthash.cJEnDgMb.dpuf

Mahkamah tambah empat lagi sebatan – Metro


Mahkamah tambah empat lagi sebatan

 1  0 Google +0  0  0

Oleh Sarah Zulkifli

Shah Alam: Seorang mekanik terpaksa akur selepas Mahkamah Tinggi semalam, menambah hukuman penjara dan sebatan terhadapnya yang didapati bersalah merogol seorang pelajar tingkatan satu yang kononnya mahu dihantar ke sekolah, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha memerintahkan Boh Chun Peng, 23, dipenjara 10 tahun dan enam kali sebatan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun lima bulan di sebuah rumah di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, antara jam 12.20 tengah hari dan 6.30 petang, 18 Januari 2010.

 

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.
Pada 29 Oktober 2011, Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mensabitkan perayu bersalah atas tuduhan itu.
Ghazali dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira kekerapan kes rogol yang berlaku dan berharap hukuman diberikan dapat memberi pengajaran kepada orang ramai.

 

“Dalam kes ini, perayu mengambil kesempatan terhadap mangsa yang ingin ke sekolah pada hari kejadian,” katanya.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mahkamahtambahempatlagisebatan/Article/index_html#sthash.LACfVJau.dpuf

2 sekolah terpaksa ditutup – Metro


2 sekolah terpaksa ditutup

 1  0 Google +1  0  0

Permaisuri: Dua sekolah di Setiu terpaksa ditutup apabila kawasan dan jalan menghubungkan sekolah berkenaan ditenggelami banjir.

Sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buloh yang ditutup selepas kawasan sekolah dan bilik darjah dimasuki air manakala laluan ke SK Kampung Besut ditutup kepada semua lalu lintas berikutan jalan ke sekolah itu ditenggelami air kira-kira 1 meter.
Guru Besar SK Kampung Buloh Mamat Hashim Muda berkata, air yang memenuhi kawasan sekolah kira-kira jam 3 pagi semalam memaksa pihak sekolah menangguhkan sesi persekolahan berikutan kelas dimasuki air.

 

“Kami sudah memaklumkan perkara ini kepada Pejabat Pelajaran Daerah Setiu dan ia akan diganti pada tarikh ditetapkan kemudian,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, semalam.
Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan sekolah itu ditenggelami air manakala beberapa kelas turut dimasuki air sejak awal pagi semalam.
Sementara itu di Besut, SK Kampung La di Hulu Besut, di sini terpaksa ditutup berikutan ramai pelajar dan gurunya tidak dapat hadir ke sekolah apabila jalan ke sekolah itu dinaiki air antara 0.6 meter dan 1.3 meter.

 

Laluan terbabit ialah di Kilometer (KM) 27, Jalan Jerteh-Keruak dekat Sungai Patong dan di KM13 dekat Kampung Gertak Jerbun.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

– See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2sekolahterpaksaditutup/Article/index_html#sthash.W3Kxe79U.dpuf

Dibelasah kekasih panas baran – Metro


Dibelasah kekasih panas baran

 6  0 Google +0  0  0

Gombak: Gara-gara memutuskan hubungan dengan teman lelakinya, seorang remaja perempuan bukan sahaja dimaki-hamun malah turut dibelasah kekasihnya itu yang datang ke rumahnya di Selayang Baru, dekat sini, kelmarin.

Malah, lelaki berusia 20-an itu turut mengugut memukul ibu mangsa yang cuba meleraikan pertengkaran antara mereka.
Mangsa berusia 15 tahun yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Selayang.

 

Sumber berkata, mangsa yang tidak tahan dengan sikap panas baran dan cemburu buta teman lelakinya itu bertindak mahu memutuskan hubungan mereka beberapa hari sebelum kejadian itu.
“Bagaimanapun, tindakan itu mengundang rasa tidak puas hati teman lelakinya menyebabkan dia mencari mangsa di rumah,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/27

– See more at: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dibelasahkekasihpanasbaran/Article/index_html#sthash.4h2tcKuH.dpuf