Pendidik bantah pindah guru
31 Mac 2013

Normala (depan, lima kanan) bersama-sama ahli Pendidik yang membantah kes pertukaran guru berkumpul di luar pejabat Jabatan Pelajaran Johor Bahru.
JOHOR BAHRU – Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) kesal dan dukacita tindakan yang dikenakan ke atas tiga guru di negeri ini yang dikatakan diarah berpindah ke daerah lain tanpa alasan atau mengikut prosedur yang ditetapkan.
Presidennya, Normala Sudirman berkata, tindakan menukarkan tiga guru terbabit disifatkan zalim dan pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa kes dan isu ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.
“Ketiga-tiga warga pendidik yang cemerlang dalam perkhidmatan itu diarah bertukar secara mengejut di tiga daerah berasingan di negeri ini tanpa alasan.
“Atas dasar ini, satu memorandum membantah pertukaran guru terlibat ditandatangani lebih 2,000 orang terdiri dari warga pendidik sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan yang berlaku,” katanya yang berkumpul di luar pejabat Jabatan Pelajaran Johor Bahru.
Normala berkata, tindakan menukar seseorang guru akan menyebabkan murid menjadi mangsa.
Dia menggesa jabatan itu mengembalikan martabat profesion perguruan dan tidak membiarkan maruah dan martabat guru dipermainkan.
“Prosedur pertukaran warga pendidik dalam perkhidmatan perguruan perlu dipatuhi supaya imej jabatan terus dihormati di mata masyarakat,” tegasnya.
Pihaknya kini sedang mengkaji beberapa kes dari sudut guaman dan perundangan terhadap isu yang melibatkan kebajikan dan hak warga pendidik dalam persada pendidikan negara.
“Saya menyeru warga pendidik bangkit mempertahankan hak dan maruah mereka dari menjadi alat salah guna kuasa yang merugikan pendidikan negara,” katanya.