Remaja ditahan edar dadah – Sinar Harian


Remaja ditahan edar dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Mac 2013

ALOR GAJAH – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai menjadi pengedar dadah ditahan polis ketika sedang menunggu pelanggan di sebuah ladang sawit di Machap Baru, di sini, kira-kira jam 2.15 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, gerak geri suspek yang mencurigakan apabila menunggu sendirian di dalam ladang itu sudah diperhatikan kira-kira seminggu lalu menerusi Ops Tapis.

Menurutnya, suspek yang memegang satu beg plastik warna cerah bertindak membuang ke dalam semak sebaik menyedari kehadiran polis sebelum melarikan diri ke dalam ladang sawit.

“Bagaimanapun polis berjaya mengepung kawasan itu sebelum menahan suspek dan membawanya ke lokasi plastik berkenaan dicampak.

“Selepas diperiksa, polis mendapati beg plastik berkenaan berisi 27 paket plastik lutsinar mengandungi dadah heroin dianggarkan seberat 41.6 gram” katanya.

Umar Ali berkata, suspek yang tidak bersekolah dipercayai menjadi pengedar di sekitar Machap dan Durian Tunggal datang ke ladang sawit menaiki motosikal yang diletakkan berdekatan jalan besar.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek beralamat di Jasin positif dadah jenis heroin dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum gantung sampai mati (mandatori) dan ditahan reman di bawah Seksyen KPJ selama tujuh hari sehingga 13 Mac ini,” katanya.

Kebajikan guru Kafa diabai – Sinar Harian


Kebajikan guru Kafa diabai

SITI AISAH HABIRIN
6 Mac 2013

SHAH ALAM – Datuk Seri Noh Omar membidas kegagalan kerajaan Selangor pimpinan pakatan pembangkang menaikkan jumlah elaun guru Kafa seperti yang dilakukan kerajaan persekutuan sejak dua tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, jika kerajaan negeri prihatin terhadap kebajikan guru Kafa mereka sepatutnya sudah menaikkan elaun daripada RM500 kepada RM800.

“Sebelum ini Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ada kata nak naikkan elaun guru Kafa dan pengumuman itu dibuat semata-mata sebab pilihan raya.

Jangan disebabkan politik rakyat menjadi mangsa,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan cek peruntukan daripada kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, di sini.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, kerajaan negeri juga boleh menaikkan elaun imam dan guru takmir namun tidak berbuat demikian.

“Kerajaan persekutuan tidak politikkan isu agama dan dalam usaha membangunkan setiap negeri kita tidak anak tirikan kerajaan pembangkang. Ini dibuktikan apabila tahun lalu, kerajaan persekutuan peruntukkan RM5.6 bilion untuk pelbagai projek pembangunan di Selangor,” katanya.

Mengenai peruntukan tersebut Noh berkata, kerajaan persekutuan sentiasa mengambil berat usaha meningkatkan syiar Islam di setiap negeri termasuk yang ditadbir pembangkang.

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan tahunan berjumlah puluhan juta ringgit kepada majlis agama Islam negeri bagi membiayai aktiviti keagamaan di negeri masing-masing.

“Untuk Majlis Agama Islam Selangor (Mais), kerajaan persekutuan menyerahkan lebih RM37 juta sebagai peruntukan tahun ini,” katanya.
Noh berkata, peruntukan itu meliputi pembayaran elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), elaun imam masjid dan elaun guru takmir untuk 2013.

Beliau berkata, sebanyak RM29,832,000 diperuntukkan bagi membayar elaun kepada 2,600 guru Kafa.

“Elaun sebulan bagi guru Kafa ialah sebanyak RM1,300 iaitu RM800 daripada kerajaan persekutuan dan baki dibayar kerajaan negeri,” katanya.

Noh berkata, sebanyak RM6,273,000 pula diperuntukkan bagi membayar elaun kepada 669 imam masjid yang setiap seorang menerima RM750 sebulan.

“Selain itu, sejumlah RM1,282,160 diperuntukkan kepada 140 guru takmir yang menerima RM800 sebulan,” katanya.