‘Mak, abah mana?’ – Metro


‘Mak, abah mana?’

 131  5 Google +0  1  0

Semporna: “Mak, abah mana? Abah kerja kan? Kenapa mak menangis?”

Kata Mohd Aiman Hakimi, 7, anak kesayangan arwah Sarjan Abdul Azis Sarikon, 48, sambil meminta ibunya membuka pintu bagi menjemput kepulangan bapanya kerana dia menyangka bapanya masih hidup.
Sitti Banddorah Mahalil, 39, berkata anaknya itu yang tidak sihat sejak empat hari lalu, sering bertanya kepadanya di mana bapanya.

 

“Malam tadi (kelmarin) dia tarik-tarik baju, tunjuk pintu dan mengatakan abahnya ada di bawah (rumah).
“Dia (Mohd Aiman) tanya saya mana abahnya, dia cakap lagi ‘abah tidak ditembakkan?’. Saya tidak mampu berkata apa-apa, tetapi bagi mengambil hatinya dan meredakan persoalannya, saya beritahu, ‘tak’ (tidak kena tembak),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pelangi di sini, semalam.
Abdul Aziz antara enam pegawai dan anggota yang terbunuh akibat serang hendap kumpulan penceroboh Filipina di di Kampung Sri Jaya Simunul di sini, Sabtu lalu.

 

Sambil mengesat air matanya, Sitti Banddorah berkata, dia reda dengan pemergian suaminya dan menganggapnya sebagai wira negara.
“Saya kini perlu tabahkan diri untuk meneruskan hidup selepas kehilangan suami itu dan berharap serangan penceroboh dapat ditangani segera.

 

“Saya tidak mahu lagi melihat anak kecil kehilangan bapa seperti anak saya,” katanya dengan nada pilu.
Mengenai operasi besar-besaran pasukan keselamatan di Lahad Datu, Sitti Banddorah berharap ia akan menyelesaikan segala masalah yang ditimbulkan pengganas Sulu di negeri ini.
“Cukuplah dengan apa yang berlaku. Tidak mahu lagi kejadian seperti ini berulang.
“Berat untuk dipikul apabila menghadapi kehilangan begini, perasaan keluarga dan anak cukup berat menghadapinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07

‘Nani beritahu sering kena buli di asrama’ – Metro


‘Nani beritahu sering kena buli di asrama’

 171  5 Google +1  1  1

Mersing: “Sejak tahun lalu, Nani kerap merayu supaya kami menukarkannya ke sekolah lain di Bekok, Segamat dengan alasan tidak tahan sering dibuli di asrama,” kata Tidai Abu Bakar, 36, ibu kepada Yohanani Jati, pelajar tingkatan dua yang ditemui mati di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Nitar di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, Yohanani atau mesra dengan panggilan Nani yang juga pengawas sekolah ditemui terbaring di kaki lima dipercayai tergelincir dari tingkat empat, bangunan empat tingkat sekolah berkenaan.
Tidai ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing berkata, anak keempat daripada tujuh beradik itu sering meminta ditukarkan ke sekolah lain terutama di Bekok kerana mendakwa tidak tahan dibuli di asrama.

 

Malangnya, katanya, mereka tidak mampu berbuat demikian kerana jarak terlalu jauh dan memintanya bersabar.
“Kali terakhir bertemunya pada hujung minggu lalu dan seperti kebiasaan, Nani akan menyiapkan tugasan sekolah serta berehat di rumah kami di Perkampungan Orang Asli Tanah Abang, Ulu Sungai Endau.
“Kami tidak sangka kejadian ini berlaku. Nani seorang yang baik dan bijak malah memperoleh 4A1B pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Dia juga antara pelajar terbaik kategori Orang Asli daerah ini,” katanya.

 

Menurut Tidai, keluarga berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengenal pasti punca kejadian itu.
Bapa arwah, Jati Awang, 39, berkata, kali terakhir dia bertemu Nani ialah pada pagi semalam ketika menghantar pemacu jejari yang dimintanya di sekolah berkenaan.

 

“Nani meminta pemacu jejari itu beberapa hari lalu, namun saya hanya sempat menghantarnya pagi tadi (semalam).
“Bagaimanapun, pada jam 12 tengah hari, saya terkejut apabila menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian dan bergegas ke sekolah untuk melihat apa yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07

Enam pelajar dakwa jadi mangsa ‘Abang Civic’ – Utusan


Enam pelajar dakwa jadi mangsa ‘Abang Civic’

KUALA LUMPUR 6 Mac – Polis menerima enam laporan daripada pelajar lelaki mendakwa mereka diliwat seorang pengurus sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang ditahan polis baru-baru ini.

Satu daripada laporan tersebut sudahpun selesai disiasat dan suspek berusia 43 tahun dikenali sebagai ‘Abang Civic’ sudah didakwa atas tiga tuduhan berkaitan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lima lagi laporan dibuat oleh pelajar lain yang menjadi mangsa masih dalam siasatan.

“Kita masih menunggu laporan perubatan yang dijalankan ke atas mangsa bagi mengenal pasti dakwaan mereka diliwat oleh suspek mempunyai bukti kukuh.

“Keputusan sama ada suspek akan didakwa bagi kes-kes lain yang dikaitkan dengannya bergantung kepada keputusan ujian perubatan nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes ‘Abang Civic’ yang ditahan setelah dipercayai meliwat empat pelajar lelaki berusia 13 tahun dari sebuah sekolah menengah di Brickfields di sini baru-baru ini.

Suspek dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan melakukan seks oral dan meliwat kanak-kanak lelaki bawah umur berusia 14 tahun 10 bulan.

Lelaki berkenaan bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Dalam perkembangan lain, Chin Wah mengesahkan perniagaan dadah adalah punca seorang lelaki dibunuh di tingkat 23, Kondominium Pearl Point di Jalan Klang Lama di sini pada 22 Februari lalu.

“Kita juga percaya kenderaan digunakan suspek iaitu dua individu dari Asia Barat dalam kejadian pembunuhan itu telah dilarikan dan ditinggalkan di tepi jalan.

“Kenderaan tersebut bagaimanapun sudah hilang dipercayai sudah dijual kepada pihak ketiga. Polis sedang berusaha mengesan dua suspek dan kereta tersebut,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130307/je_06/Enam-pelajar-dakwa-jadi-mangsa-Abang-Civic#ixzz2MrqNVEGE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar tingkatan 2 maut kemalangan motosikal di Besut – Bernama


Pelajar tingkatan 2 maut kemalangan motosikal di Besut

BESUT, 7 Mac – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dekat Alor Lintang di sini, maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di persimpangan Kampung Amer, Alor Lintang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, dalam kejadian 6.30 petang itu Ahmad Imrannaim Mohammad dari Kampung Tanah Merah Kerandang, Jerteh maut di tempat kejadian.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyertai aktiviti sukan di sekolahnya dan menunggang dalam keadaan hujan lebat.

Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan akibat jalan licin, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pemandu kereta yang dikenal pasti sebagai Zarina Abdullah, 36, tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130307/je_09/Pelajar-tingkatan-2-maut-kemalangan-motosikal-di-Besut#ixzz2MrneG1z9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiga sekolah di Lahad Datu dibuka semula – Bernama


Tiga sekolah di Lahad Datu dibuka semula

LAHAD DATU 7 Mac – Tiga sekolah di daerah Lahad Datu yang ditutup sejak 1 Mac, dibuka semua hari ini selepas polis mengesahkan keadaan di daerah ini selamat dan terkawal.

Menurut laman web Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, lapan sekolah lagi masih tertakluk kepada arahan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Lapan sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Lok Buani, SK Fajar Harapan, SK Tanjung Labian, SK Sahabat 16, SK Sahabat 4, SK Cenderawasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.

Sebelum ini, 11 sekolah di Lahad Datu diarah ditutup sementara susulan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, dekat sini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di bandar Lahad Datu mendapati keadaan tenang dan terkawal dengan kedai-kedai beroperasi seperti biasa manakala orang ramai keluar menyelesaikan urusan masing-masing. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130307/dn_40/Tiga-sekolah-di-Lahad-Datu-dibuka-semula#ixzz2MrnVJwTw
© Utusan Melayu (M) Bhd