Guru ditangkap khalwat dalam semak – Sinar Harian


Guru ditangkap khalwat dalam semak

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2013

BUKIT KELUANG – Sepasang penjawat awam termasuk seorang guru kanan sebuah sekolah menengah di daerah ini dilaporkan ditangkap khalwat di kawasan semak berhampiran tangki air, di sini, dua hari lalu.

Difahamkan guru kanan lelaki itu berusia 50-an dan pasangannya yang bertugas sebagai kakitangan sokongan di sekolah berasingan ditangkap sepasukan anggota Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Besut ketika mereka berdua-duaan di dalam sebuah kereta.

Dikatakan, mereka yang juga telah berumah tangga dan mempunyai anak akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Besut bulan depan atas tuduhan berkhalwat.

Dua juvana mengaku tidak bersalah rogol, cabul – Sinar Harian


Dua juvana mengaku tidak bersalah rogol, cabul

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2013
Dua juvana mengaku tidak bersalah rogol, cabul
Kedua-dua remaja tersebut ketika dibawa keluar dari mahkamah.

AYER KEROH – Dua juvana mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas kesalahan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan seorang remaja berusia 17 tahun, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 17 tahun 10 bulan dan 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut di dalam prosiding tertutup selepas faham pertuduhan yang dibaca jurubahasa di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Seorang daripada tertuduh berusia 17 tahun 11 bulan yang berhadapan dua pertuduhan didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dengan cara memasukkan zakar ke dalam mulut mangsa seorang wanita berusia 17 tahun 10 bulan.

Kesalahan itu dilakukan di dalam semak di atas bukit berhampiran Kem Askar Wataniah Bukit Beruang, jam 4.30 pagi pada 21 Februari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia yang dituduh mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 30 tahun dan sebat, didakwa merogol mangsa sama di lokasi dan tarikh sama kira-kira jam 4.20 pagi.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa sama di lokasi dan pada tarikh sama kira-kira jam 3.45 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa, Raya Nor Shazwani Ishak yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM2,000 terhadap tertuduh pertama dan RM1,000 bagi tertuduh kedua.

Mohd Firdaus kemudian membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM2,000 dan RM1,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 8 April depan sebagai tarikh untuk serahan dokumen.

Remaja, kanak-kanak cedera diserang anjing – Sinar Harian


Remaja, kanak-kanak cedera diserang anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2013
Remaja, kanak-kanak cedera diserang anjing
Haniza menunjukkan kecederaan pada mata dan jahitan di kening Nurkhairunnisa akibat serangan anjing liar.

SERENDAH, Hulu Selangor – Seorang kanak-kanak parah, manakala seorang pelajar universiti menerima lapan jahitan di kening akibat diserang seekor anjing.

Mangsa, Mohd Aqashah Abdul Malik, 9, masih ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Selayang dan difahamkan telah menjalani pembedahan rahang semalam, sementara Nurkhairunnisa Sahlan, 24, direhatkan seminggu di rumahnya, di sini.

Menurut Nurkhairunnisa, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang, 1 Mac lalu ketika dia mahu menghantar dua anak saudaranya pulang.

“Ketika itu baru keluar pagar rumah, tiba-tiba seekor anjing menyerang kami.

“Akibat panik, motosikal yang kami tunggang terus meluru dan melanggar tiang menyebabkan kami terjatuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Melati.

Nurkhairunnisa mengalami kecederaan di mata dan kaki kanan, sementara Mohd Aqashah cedera parah di dagu, rahang, kaki dan tangan kiri, manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, dia sepatutnya memulakan sesi pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Isnin lalu, namun terpaksa menyambung semula cuti akibat kejadian itu.

“Saya baru habis cuti pertengahan semester sebulan, tapi kejadian ini memaksa saya rehat lapan hari lagi untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Haniza Ayu Salleh, 45, mahu pihak berkuasa menghapuskan anjing liar di taman perumahan itu yang didakwa semakin tidak terkawal.

Menurutnya, terlalu banyak kes serangan anjing liar di kawasan itu dan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, wanita dan penunggang motosikal.

Maut selepas pulang sekolah – Sinar Harian


Maut selepas pulang sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2013

KUALA PILAH – Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Muhammad (TMS) maut dalam satu kemalangan apabila motosikal ditunggang mangsa merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 1.5, Jalan Kuala Pilah-Tampin, dekat sini.

Kejadian yang berlaku pada 4.25 petang kelmarin menyebabkan M Kogulan, 16, maut di tempat kejadian selepas cedera teruk di kepala dan anggota lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang baru pulang dari sekolah dalam perjalanan ke Tampin.

Menurutnya, difahamkan mangsa cuba memotong sebuah lori di hadapannya sebelum merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tercampak.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan yang dikenali sebagai Tee Guan Joo tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Guan Joo dikatakan tidak sempat mengelak motosikal yang ditunggang Kogulan menyebabkan keretanya rosak teruk akibat rempuhan kuat,” katanya.

Azmi berkata, bedah siasat dilakukan lewat petang kelmarin di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

“Punca kematian masih lagi belum dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 dan lesen memandunya boleh digantung jika sabit kesalahan,” katanya.

Bahasa Inggeris Sebagai Subjek Wajib Lulus Boleh Dilaksana Seawal 2016 – Muhyiddin – mStar


Bahasa Inggeris Sebagai Subjek Wajib Lulus Boleh Dilaksana Seawal 2016 – Muhyiddin

Oleh SARBAN SINGH

PORT DICKSON: Cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dilaksanakan seawal 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat.

Pelajar yang gagal Bahasa Inggeris tidak akan menerima sijil penuh tetapi mempunyai peluang untuk menduduki semula kertas peperiksaan pada Julai tahun berikutnya, sejurus selepas keputusan SPM diumumkan.

Muhyiddin berkata dalam persediaan ke arah itu, Kementerian Pendidikan telah mula melatih 61,000 guru Bahasa Inggeris supaya mereka menjadi lebih mahir dalam bahasa ini.

Beliau berkata banyak pihak telah memberi maklum balas positif terhadap perkara ini apabila beliau mula mencetuskan idea ini beberapa tahun lalu.

“Saya tidak lihat mengapa ini tidak boleh dilakukan berdasarkan orang ramai, termasuk ibu bapa, yang menyokong cadangan itu.

“Saya juga telah membaca surat yang dihantar kepada akhbar-akhbar di mana ramai ibu bapa mengesahkan (cadangan) ini. Malah, ramai mahu perkara ini dilaksanakan dengan segera,” katanya pada Majlis Perasmian Program Memperkukuh Bahasa Inggeris dan Literasi Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa dekat sini, Jumaat.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata latihan guru Bahasa Inggeris adalah di bawah gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Kebangsaan (2013-2025).

“Gelombang kedua akan bermula pada 2016 dan ia adalah apabila kita mencadangkan ketetapan lulus bahasa Inggeris,” katanya, sambil menambah kementerian sekali lagi akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan, seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru, sebelum melaksanakannya.

Muhyiddin berkata penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar juga bertambah baik sejak kerajaan mula menggalakkan penggunaannya beberapa tahun lalu.

“Saya diberitahu berdasarkan kurikulum SPM sedia ada, hanya 20 peratus pelajar gagal bahasa Inggeris setiap tahun.

“Dengan itu, kita yakin akan dapat mengurangkan angka ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kerajaan komited menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah bagi memastikan rakyat mempunyai penguasaan yang lebih baik.

57 sekolah di Lahad Datu, Semporna dibuka Isnin depan – Bernama


57 sekolah di Lahad Datu, Semporna dibuka Isnin depan

SEMPORNA 8 Mac – Lima puluh tujuh sekolah yang kini ditutup sementara di Lahad Datu dan Semporna ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu akan dibuka Isnin depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Namun sebarang keputusan untuk melanjutkan tempoh penutupan sekolah terbabit bergantung kepada nasihat dan maklumat keselamatan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), katanya.

“Sekiranya MKN memberitahu kesemua sekolah selamat untuk diduduki semula maka kita akan buka semula,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Sarjan Azis Sarikon, antara perwira negara yang terkorban pada 2 Mac lalu dalam insiden pencerobohan pengganas di Semporna.

Mohd. Puad berkata, penutupan sekolah terbabit melibatkan cuti berganti di mana pihak sekolah perlu menggantikan sesi persekolahan apabila keadaan pulih bagi mengelakkan proses pembelajaran terjejas.

Beliau berkata, kementerian juga berbincang dengan pasukan keselamatan bagi menempatkan beberapa anggota polis di kawasan sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

“Ibu bapa tidak perlu risau berhubung keselamatan anak mereka sekiranya sekolah dibuka, kerana pasukan keselamatan ada ditempatkan di kawasan sekolah tersebut,” katanya.

Lapan sekolah yang masih ditutup di daerah Lahad Datu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Tanjung Labian, SK Sahabat 16, SK Lok Buani, SK Sahabat 14, SK Cenderawasih, SK Fajar Harapan, Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.

Di daerah Semporna, 49 buah sekolah masih ditutup, melibatkan 40 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah.

Beliau juga berkata, pihaknya berbincang dengan pihak keselamatan untuk memberikan kawalan kepada guru yang bertugas di kawasan berisiko.

Terdahulu, Mohd. Puad menyampaikan sumbangan berjumlah RM36,486.15 hasil kutipan daripada Kolej Matrikulasi di Malaysia kepada keluarga Allahyarham. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130308/dn_45/57-sekolah-di-Lahad-Datu-Semporna-dibuka-Isnin-depan#ixzz2MviEVnyl
© Utusan Melayu (M) Bhd